Rindu-Rinduan
Alhamdulillah… Saya selamat sampai ke rumah jam 8 malam tadi. Semuanya berjalan lancar dan tidak ada apa yang tidak diingini berlaku. Yang paling seronok, anak saya yang baru mencecah setahun pada minggu lepas masih belum tidur lagi. Sempatlah saya bermain dengannya sekejap demi melepaskan rindu selama 14 hari berjauhan. Dan… Hehehe… Tidak ketinggalan rindu kepada ibunya juga... :)
Rindu. Suatu perasaan indah yang dikurniakan Allah kepada setiap makhluknya sebagai anugerah, sebagai rahmat hidup di dunia ini. Bukan setakat manusia, bahkan kucing dan haiwan² lain yang hidup di dunia ini juga tahu erti rindu. Teringat lagi bagaimana seekor kucing saya yang sakit kerana merindukan ayah saya yang bekerja di Sarawak ketika itu. Sebaik ayah pulang, seharian dia bermanja dengan ayah dan… Mati di keesokan harinya.
Perasaan rindu ini sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan. Bayangkanlah jika tidak ada perasaan rindu dalam diri kita. Bagaimana ya? Seperti saya yang terpaksa meninggalkan anak isteri dan keluarga selama 14 hari, langsung tidak ada perasaan rindu terhadap mereka. Rasanya mungkin saya tidak balik. Selesai 14 hari, sambung lagi 14 hari dan seterusnya. Sehingga sebulan, setahun…
Kata orang rindu itu menyiksakan. Benarkah? Akan tetapi saya pula mengatakan rindu ini menyeronokkan. Bagaimana pula itu? Benar, rindu itu satu penyiksaan. Tetapi rindu akan bertukar menjadi seronok apabila kita dapat bertemu dengan orang kita rindui. Benar tidak? Dan seronoknya bertemu dengan orang yang kita rindui akan menyebabkan kita lupa betapa siksanya hidup menanggung kerinduan.
Sebenarnya di ketika ini, abang saya sedang bersama jemaah Tabligh di Kuala Terengganu kerana sedang keluar 40 hari. Pasti boleh dibayangkan bagaimana rindunya kakak ipar saya dan anak² mereka terhadap abang saya, seorang suami dan bapa yang penyayang. Dan saya pasti, abang saya turut merindui mereka sekuat mereka merinduinya. Tetapi apa yang lebih pasti, abang saya lebih merindui syurga Allah walau sekuat mana rindunya kepada ahli keluarganya.
Terus terang, walaupun saya telah biasa berpisah dengan keluarga saya selama 14 hari setiap bulan, namun saya tidak cukup kuat untuk meninggalkan mereka selama 40 hari. Mungkin saya boleh menangis mengenangkan mereka. Siapa tahu? Bagaimana pula dengan mereka yang keluar selama 4 bulan ke serata dunia demi menjalankan amanah menyebarkan agama Allah? Tentu lebih kuat rindu mereka terhadap keluarga mereka.
Namun bagi orang yang di dalam hatinya ada Allah, yang menjadi perkara utama yang mereka rindukan adalah syurga yang Allah janjikan buat kita. Ya. Tidak seperti saya, mereka sanggup mengenepikan kerinduan dunia keranaNya. Ini yang membuatkan saya kagum terhadap mereka. Alangkah bagusnya jika saya mampu berfikiran seperti mereka. Terkadang saya merasa pelik terhadap diri saya sendiri.
Bukan satu ayat di dalam al-Quran yang menyebut tentang beruntungnya orang yang mengenepikan kepentingan diri. Berpuluh atau mungkin beratus. Saya sendiri tidak pernah mengiranya. Akan tetapi, walaupun saya membaca kitab suci itu setiap hari, entah mengapa tidak meresap masuk ke dalam hati saya apa yang tertulis di dalamnya. Apakah kerana saya tidak memahaminya? Bukankah ada versi terjemahan? Atau saja saya buat² tidak faham?
Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripadaNya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (Quran Surah At-Taubah 9:20-22)
Ayat ini dengan jelas dan terangnya menerangkan bahawa tidak ada kerugian bagi mereka yang berjuang di jalan Allah. Bukanlah jihad itu setakat menghunuskan pedang. Berjalan di atas bumi, menempuh beribu kesukaran dan mengenepikan kepentingan dunia peribadi masing² juga adalah jihad. Tidak kiralah sama ada jihad kecil atau jihad besar selagi ianya atas nama Allah, tentu sekali tidak mungkin akan merugikan.
Tetapi entah di mana silapnya, saya yang sibuk mengaku beriman kepada Allah, sibuk membuat bising apabila orang menghina Nabi Muhammad saw, dan sibuk mengaku inginkan syurga yang dijanjikanNya, tidak melakukan apa² untuk ke arah itu. Hendak dikatakan saya tidak tertarik dengan syurga Allah, rasanya tidak. Saya amat² tertarik dan teringin sangat masuk ke syurganya. Siapa yang tidak mahu?
Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya. (Quran Surah al-Baiyinah 98:8)
Tidak teringinkah saya ke tempat seindah syurga Adn itu? Tidakkah saya merasa rindu terhadapnya (syurga Adn)? Saya tidak mampu menjawab. Saya tidak mampu memberikan jawapan yang tepat. Saya rindu kepada syurgaNya. Sungguh! Teringin benar saya untuk memasuki syurga itu. Tetapi rindu saya terhadap syurga keluarga saya mengatasi rindu saya terhadap syurgaNya. Rindu saya terhadap kehidupan dunia ini melebihi rindu terhadap akhirat.
Bukanlah menjadi kesalahan merindui ahli keluarga sendiri. Nabi saw sendiri merindui isteri dan keluarga Baginda. Pastinya ramai yang tahu kisah Nabi saw yang kerap berulang ke makam Saidatina Khadijah sehingga menimbulkan rasa cemburu di hati Aishah. Akan tetapi seharusnya rindu itu berbatasan. Sepatutnya rindu terhadap Allah mengatasi rindu terhadap apa² sahaja yang kita miliki di dunia ini. Barulah kita mampu menjadi muslim yang sejati.
Isteri kita akan meninggalkan kita. Begitu juga anak, ibu bapa, adik beradik dan harta dunia. Setiap titis kecil yang kita miliki pastinya akan meninggalkan kita. Kelak di akhirat kita akan dibangkitkan dalam keadaan bertelanjang bogel. Tidak ada apa² yang akan kita bawa dari dunia ini. Walupun sehelai kain buat menutup aurat. Yang akan kita bawa hanyalah amalan yang kita lakukan di dunia ini. Amalan yang kita lakukan khusus kerana Allah.
Namun, walaupun menyedari hakikat ini, walaupun mengakui merindui Allah dan syurgaNya, kita masih lagi leka menjalani hidup ini. Terkadang kita menjadikan keluarga sebagai alasan untuk menghalang diri dari keluar ke jalanNya. Semoga Allah mengampunkan kita atas kelalaian kita ini. Semoga Allah sudi menerima amalan yang sedikit ini. Dan semoga Allah melunaskan rindu kita terhadap syurgaNya.
(Tidak demikian) bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Quran Surah al-Baqarah 2:112)
No comments:
Post a Comment