Siapa Yang Menghina Nabi saw?
Alahai... Apa sudah jadi dengan maruah umat Islam hari ini? Sesudah kita
dihina, dikeji, dikutuk dan bermacam² di... lagi, kini golongan ahlun nar
ini semakin berani dengan mengkarikaturkan nabi junjungan kita Nabi
Muhammad saw. Walaupun saya tidak tahu apa perkara yang dijadikan bahan
lawak itu, namun perbuatan menzahirkan wajah Nabi Muhammad saw dalam bentuk
kartun jelas perbuatan yang melampau.
Maka kerana itu tidak hairanlah apabila kita mendengar atau melihat di sana
dan sini umat Islam melenting kemarahan. Logik. Adalah amat logik dan amat
wajar untuk umat Islam untuk memberikan reaksi sebegitu. Jika zaman ini
masih seperti zaman pemerintahan khulafa rasyiddin, nescaya sudah
dilaungkan jihad terhadap negara laknatullah itu. Sayang sekali kita hari
ini lebih sayangkan keuntungan dari maruah Nabi yang kononnya kita junjung.
Manakan tidak, andainya negara kita isytiharkan jihad kepada mana² negara
kafir, tentu sekali kita akan menghadapi tekanan antarabangsa seperti
pelbagai jenis sekatan dan di tahap yang paling teruk, seluruh dunia akan
memerangi kita, termasuk negara Islam yang lain. Maka hendak atau tidak,
suka atau tidak, kita terpaksa ketapkan bibir menahan geram. Kerana jika
terkena sekatan antarabangsa, susah pula jika kita hendak dirikan bangunan
tinggi² nanti...
Lalu apa peranan kita? Setelah kita menolak jihad kerana terlalu 'cintakan
keamanan', apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil terhadap negara
biadab ini? Membuat tuntutan agar mereka manarik balik kartun tersebut &
memohon maaf? Jika mereka enggan? Bagaimana? Apakah mencukupi sekadar
bersembang di kedai kopi atau sembang ala alaf baru di grup² internet? Atau
bagaimana?
Lalu hari ini, apa kata mulakan 'tekanan antarabangsa' terhadap mereka? Apa
kata kita haramkan terus barangan mereka dari memasuki kediaman dan premis
kita. Bagaimana? InsyaAllah kita cuba. Boleh? Akan tetapi sebenarnya, bukan
itu yang saya ingin sentuhkan di sini. Bukan tentang pemboikotan barangan
Denmark. Bukan juga tentang watak karikatur yang dihebohkan itu. Tetapi
masih lagi sekitar penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw.
Penghinaan yang ingin saya sebutkan di sini ialah penghinaan yang lebih
halus tetapi lebih dahsyat. Ianya terlalu halus hingga selalu terlepas dari
pandangan mata kasar kita. Tetapi ianya juga penghinaan yang lebih dahsyat
kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri. Apa dia? Siapa dia yang buat?
Siapa lagi jika bukan diri kita sendiri. Kita, keluarga kita dan paling
utama, para pemimpin kita yang beragama Islam.
Mari kita ambil kira contoh ini. Katakan anda seorang guru yang mengajar 40
orang murid. Anda ajarkan mereka 1 + 1 = 2. Tetapi kemudian murid² anda
bangun dan mengatakan anda salah. 1 + 1 = 11, kata mereka. Maka mereka
keluarkan hujjah² yang bodoh lagi dungu bagi menyokong kenyataan mereka
yang songsang itu. Apa perasaan anda? Tidakkah anda rasakan dihina dengan
sebegitu?
Bayangkan pula anda seorang bapa atau ibu. Anda meminta anak anda membantu
anda melakukan kerja rumah. Mereka enggan dengan mengatakan teralu banyak
kerja lain yang hendak dilakukan. Maka anda ceritakan betapa anda ketika
kecil sentiasa mengikuti arahan ibu bapa anda. Lalu anak anda menyangkal
dengan mengatakan anak² di zaman anda tidak sama dengan mereka. Anda ketika
kecil tidak pandai bermain komputer.
Apa pendapat anda? Tidakkah anda terasa dihina? Jika anda katakan ya, maka
sebenarnya kita telah menghina Rasulullah saw. Benar. Kerana kita 'dengan
bangganya' telah berkelakuan bodoh menentang ajaran Baginda Nabi saw.
Kerana Baginda Nabi saw mengajar kita agar menyerahkan diri kepada Allah
dan percaya kepada taqdirNya. Namun kita pula katakan bahawa harta dan
kekayaan sebagai penentu kebahagiaan.
Tidak cukup itu, apabila Nabi saw mengajarkan supaya dalam pembahagian
harta, perempuan mendapat 1/8 (Sekadar contoh. Bahagian sebenar adalah
berdasarkan kes), kita katakan pula bahawa pembahagian itu tidak adil. Kita
katakan kaedah itu merupakan diskriminasi terhadap wanita. Kerana kita
percaya bahawa wanita dan lelaki sepatutnya memperolehi bahagian yang sama
banyak dalam pembahagian harta pusaka.
Tambah parah lagi, kita dakwa hukum yang pernah dilaksanakan oleh Nabi
Muhammad saw sebagai tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang dan paling
kejam, kita katakan ianya hukum yang sangat zalim. Astaghfirullah...
Sekarang, cuba bandingkan dengan contoh di atas. Apakah kita tidak merasa
kita ini sama dengan murid² yang melawan gurunya dan anak² yang melawan ibu
bapa mereka dalam contoh tadi?
Apakah kita tidak merasa bahawa kita sebenarnya sama seperti kafir
laknatullah itu menghina Rasulullah saw? Mereka menggambarkan Rasulullah
saw dalam bentuk kartun atau karikatur, manakala kita pula menggambarkan
Rasulullah seperti seorang yang bodoh dan pemimpin yang zalim dengan cara
mempertikaikan hukum yang pernah dibuat oleh Baginda saw. Manakah yang
lebih jahat? Kita atau mereka yang telah jelas kafir itu?
Itulah... kata orang, kuman di seberang kita nampak tetapi gajah di depan
mata, kita biarkan. Kita terlalu sibuk melihat penghinaan yang dibuat oleh
mereka yang tidak langsung beriman kepada Nabi Muhammad saw hinggakan kita
terlupa untuk mengutuk atau menentang orang² kita yang mengaku kononnya
beriman kepada Baginda saw tetapi dalam masa yang sama menghina Baginda saw
dengan penghinaan yang lebih besar lagi.
Bahaya. Cukup bahaya. Kerana jika penghinaan yang dilakukan oleh orang²
munafiq ini tidak kita tentang dari sekarang, akan datang anak² kita
membesar dengan keyakinan bahawa Nabi Muhammad saw sememangnya seorang yang
zalim. Percayalah, syaitan tidak akan berpuas hati selagi kita semua belum
tersesat. Dan jika kita semua terselamat dari tiupan kesesatannya, nescaya
anak² kita pula yang akan menjadi sasaran mereka.
Maka adalah penting untuk kita mengikut telunjuk Nabi saw jika mahu
terselamat dari tergolong dalam golongan orang² yang menghina Baginda saw.
Ikutlah walaupun sekecil² arahan. Percayalah, walaupun arahan yang kita
tolak itu 'sekadar' arahan menutup aurah, ia juga termasuk dalam perbuatan
menafikan Nabi saw. Ia bererti kita juga menghina Nabi saw dengan
beranggapan arahan Baginda saw tidak sepenting mana...
Hari ini kita mengaku kita beriman kepada Nabi saw. Tetapi dalam masa yang
sama kita melakukan larangannya dan meninggalkan arahannya. Hari ini kita
akui Islam sebagai agama yang paling benar tetapi dalam masa yang sama,
kita agungkan corak pemikiran yang tidak Islamik. Agaknyalah, jika kita
dipertemukan dengan Baginda saw di Mahsyar nanti, sudikah Baginda saw
mengaku kita umatnya?
Lukisan kartun berwajah Nabi Muhammad saw memang jelas sebagai satu
penghinanaan. Tetapi mengingkari Baginda saw dan mempertikaikan hukum yang
pernah Baginda saw hukumkan adalah pasti sebuah penghinaan yang lebih besar
buat Baginda. Maka itu, jika benar kita kasihkan Baginda, kita perlu
berbuat sesuatu. Bukan dengan menyambut MaulidurRasul, sebaliknya dengan
berusaha menegakkan Islam yang sebenar² Islam.....
No comments:
Post a Comment