08 March 2006

Tudung Dan Hadits


Sakitnya hati ini apabila membaca sebuah email kiriman seorang teman saya.
Email ini diperolehinya dari sebuah egroup yang tidak saya sertai. Isunya
tentang seorang pekerja sebuah hotel antarabangsa yang diberi pilihan sama
ada hendak menanggalkan tudung, atau berhenti kerja. Saya lampirkan di sini
sedikit dari isi email tersebut.

"Kalau tak mahu kerja, berhenti saja. Islam tak mewajibkan perempuan pakai
tudung. Apa yang hendak dikecoh-kecoh sangat tu. Small matter..."

Bagaimana? Sesorang yang mengaku Islam sebagai agama yang dianutinya, pasti
akan tersentuh dengan pernyataan biadap seperti itu. Namun bukan setakat
itu sahaja. Dalam jawapan kepada komen orang lain terhadapnya, si penulis
telah menjawab dengan ayat yang jauh lebih biadab:

"Patutlah orang Islam bodoh sebab mereka serahkan Al-Quran itu seperi hak
alim ulamak, pada hal Al-Quran itu di turunkan untuk semua tak kira ustaz
ke, guru ke, buruh ke. Siapa baca Allah akan berikan hidayah (dalam bahasa
Melayu - Pertunjuk atau Hadiah). Mana ada hadis menyatakan al-Quran itu
menjadi rujukan Ustaz aje? Itu pasal semua jadi bangang, ustaz suruh terjun
laut semua ikut, nanti ustaz masuk neraka merogol kanak kanak pun
ikutlah!!! Beballah balik baca Al-Quran itu sendiri, belajar bahasa arab
sikit bukan susah. Kalau setakat dengar cakap ustaz dah tunjuk pandai
ugama, baik buang kan Al-Quran yang kamu pegang itu bawah bontot kamu aje
lah..."

"Betul tu, berbalik dengan Al- Quran sahaja. Kalau kita berpandu dengan
hadis, akal kita makin sempit sehingga nak kerja kat hotel pun
susah.Majikan suruh jangan pakai tudung mestilah ada sebab, bukannya
disuruhnya berbogel. Kita berkerja dengannya, kita ikut saja arahannya.
Janganlah mempelekehkan ugama Islam. Ugama Islam ni mudah dan dalam
Al-Quran pun ada sebut Allah tak mahu susahkan kita dalam bab ugama. Apa
maknaya itu? Renungkanlah.... firmannya itu."

Astaghfirullah... Saya menggeleng²kan kepala membaca email sejahil ini.
Ops... Jangan salah faham. Bukan teman saya yang menulis email tersebut
(terima kasih Zul!). Ianya dari seseorang yang saya tidak berminat hendak
sebut namanya di sini. Sebenarnya teman saya meminta supaya saya
menasihatkan si penulis namun saya berpendapat, adalah lebih baik saya
menulis sebuah posting penuh kerana saya bukannya pandai menasihati orang.

Baiklah. Perihal tudung. Apakah yang menakutkan sangat dengan imej
bertudung ini? Tambahan pula dengan kes terbaru tentang pelajar perempuan
bertudung labuh yang digunting tudungnya kerana tidak mematuhi kod
piawaian. Piawaian siapa? Piawaian Allah atau piawaian Hishamuddin? Apakah
imej bertudung labuh boleh dikaitkan dengan pengganas sebagaiman imej
berjambang sering dikaitkan?

Sebenarnya tudung adalah lambang bahawa Islam mengangkat wanita ke darjat
yang tinggi. Rasa²nya, mengapakah pihak hotel melarang si pekerja memakai
tudung? Satunya, mungkin kerana sifat kurang senang pengurusan dengan
ajaran Islam tetapi yang jelas ketara, semuanya kerana perniagaan. Kerana
bisnes. Bererti, perempuan, pada kacamata barat, hanyalah objek yang boleh
dijadikan bahan penarik pelanggan.

Sedang perempuan yang menutup aurahnya, akan membuatkan lelaki tertutup
nafsunya apabila melihat mereka. Bukan ini membuktikan pandangan mereka
(orang barat) bahawa wanita adalah objek seks sekaligus merendahkan
martabat wanita itu sendiri?

Baiklah. Itu isu berkenaan tudung. Namun isu yang lebih besar adalah sikap
si penulis yang terang²an menolak, bahkan menghina hadits. Kenyataan
penulis bahawa jika berpandukan kepada hadits akan menjadikan akal kita
semakin sempit adalah keterlaluan dan melampau. Malah, kata² sebegini
sebenarnya boleh merosakkan aqidah. Kerana menolak hadits bererti menolak
kepimpinan Nabi Muhammad saw berserta para sahabat Baginda.

Selama berkurun² lamanya, para ulama telah sepakat untuk menggunakan 3
sumber sebagai asas syariah Islamiyah. Ketiga² sumber tersebut adalah
al-Quran, Hadits dan qiyas. Kedudukan hadits sebagai sumber yang kedua
cukup membuktikan betapa pentingnya peranan hadits dalam penentuan sesuatu
hukum. Jadi, hadits bukanlah boleh untuk diperlekehkan apatah lagi untuk
dipermain dan dihina sebegitu rupa.

Benar ada hadits dhoif. Dan benar ada hadits palsu. Tetapi itu bukan alasan
untuk menolak hadits secara total. Hadits dhoif itu sendiri masih boleh
digunakan untuk fadhail walaupun tidak boleh digunakan dalam penentuan
hukum. Apatah lagi hadits² sohih terutama yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Muslim. Kedua² tokoh ini telah melakukan selidikan yang begitu
teliti sebelum meriwayatkan sesebuah hadits.

Benar al-Quran adalah sumber utama dan di dalam al-Quran telah diterangkan
segala²nya. Tetapi apakah al-Quran menerangkan secara terperinci berkenaan
semua perkara? Contohnya, di dalam al-Quran terdapat begitu banyak ayat
berkenaan suruhan untuk mendirikan solah. Tetapi, bagaimanakah keadaannya
solah yang akan didirikan? Bagaimanakah pula keadaannya solat untuk orang²
yang kurang upaya?

Di sinilah letaknya kepentingan hadits. Kerana Nabi saw telah menerangkan
"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolah." Lalu kita baca pula
hadits² yang lainnya tentang cara bagaimana Nabi saw qiam, rukuk, sujud dan
seterusnya. Bayangkan jika kita menolak hadits. Akan sempurnakan ibadah
solah kita? Tidak! Bahkan mungkin kita tidak mampu menunaikan solah kerana
tidak berpengetahuan untuk itu.

Bukanlah merupakan kekurangan bagi al-Quran untuk tidak menyenaraikan
segala perkara tentang ibadah dan panduan kehidupan manusia secara
terperinci. Sebaliknya, ia menepati dengan konsep pengutusan rasul. Jika
kitab Allah diturunkan lengkap mempunyai segalanya, maka tidak perlu bagi
Allah untuk mengutus mana² rasul yang sepatutnya ditugaskan untuk
menerangkan isi kandungan kitab² Allah.

Dan, kemungkinan al-Quran akan dijadikan berjilid² seperti encyclopedia
tulisan manusia yang terhad akalnya. Lihatlah, buku riwayat hadits sahaja
yang berada di pasaran melebihi 100 jilid. Bukankah Allah Maha Bijaksana?
Tidak mungkin Allah memilih orang yang hina untuk menjadi utusanNya. Dan
sudah tentu juga setiap tingkah utusan Allah adalah untuk panduan dan
ikutan kita semata².

Di dalam hal pentafsiran al-Quran pula, mufassirin bersetuju bahawa
seseorang itu perlu ahli dalam 18 cabang ilmu (jika saya tidak silap)
sebelum layak menafsirkan ayat² al-Quran. Antaranya adalah ilmu
Mansukh-Nasikh, Asbabun Nuzul (sebab² diturunkan ayat), nahu dan asal
sesuatu perkataan. Bukan semua orang layak mentafsirkan ayat dan mengusai
Bahasa Arab semata² belum melayakkan seseorang untuk melakukan tugas itu.

Untuk menterjemah, mungkin boleh. Akan tetapi untuk mentafsir terutama
untuk menetapkan sesuatu hukum berdasarkan sesuatu ayat, sama sekali tidak
layak. Al-Quran memang bukan untuk ulama semata². Ia sememangnya untuk
kesemua umat, muslim atau bukan muslim. Akan tetapi hak untuk mentafsir
al-Quran hanya terletak kepada para ulama, atau mereka yang arif dan mahir
dengan 18 cabang ilmu yang saya sebutkan tadi.

Salah satu hadits yang cukup popular iaitu 'ulama itu pewaris Nabi saw'
pula sudah cukup untuk kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ulama.
Memang ada ulama yang serong, yang sanggup memesongkan ayat al-Quran demi
kepentingan peribadi atau individu tertentu terutama pemerintah, tetapi
penjatuhan sesuatu hukum tidak boleh dibuat oleh seorang ulama semata².
Perlu ada permuafakatan oleh jumhur ulama muttakhir.

Saya tidak pasti dari mana datangnya idea kepada penulis untuk menidakkan
peranan hadits dalam penentuan syariah Islamiyah dan menafikan kewajipan
seorang muslimah untuk menutup aurah, termasuk bertudung. Mungkin ini
adalah kesan dari Islam Hadhari yang dilaungkan oleh satu puak yang isteri²
mereka sekaliannya menafikan kewajipan bertudung. Sedangkan di dalam
al-Quran Allah swt telah berfirman yang mafhumnya;

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka
menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,
kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau
putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara
lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera
saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang
mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan
(terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang
mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai
orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
(Quran Surah an-Nuur 24:31)

Apa lagi yang tidak jelas? Ayat ini secara terperinci telah menerangkan
tentang aurah seorang perumpuan, tentang mahram mereka dan setakat mana
labuhnya tudung yang perlu mereka pakai. Sekiranya tidak dituruti dengan
sebarang hadits sekalipun, ayat ini sudah begitu jelas dengan arahan Allah
berkenaan tudung. Lalu apa? Apakah sesiapa yang mengikut ayat ini, yang
diambil dari al-Quran juga akan dikatakan berfikiran sempit?

Jika ada sesiapa yang inginkan penjelasan lebih jelas tentang perundangan
syariah, bolehlah merujuk kepada buku bertajuk Panduan Memahami Syariah
Islam atau tajuk asalnya dalam Bahasa Arab Madkhal Li Daraasaat Asy-Syariah
Al-Islamiyah karangan Dr. Yusof al-Qardhawi, diterjemahkan oleh Sdr. Abu
Azzam dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi. Namun saya tidak mencadangkan buku
ini 100% kerana terdapat banyak kelemahan dari segi penterjemahan. Pun
begitu, ilmu dan hujjah yang diketengahkan adalah sangat² berguna.

Tudung adalah merupakan suatu kewajipan buat wanita muslim. Sama ada suka
atau tidak, sebarang tindakan cuba menidakkan hakikat ini boleh dikatakan
cubaan mensyirikkan Allah. Nasihat saya, sekiranya tidak menyukai sesuatu
hukum yang Allah perintahkan, adalah lebih baik untuk berdiam diri.
Simpanlah di dalam hati. Jangan cuba melawan ketetapan Allah. Dan yang
paling penting, jangan cuba menyesatkan orang lain.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.