Ditinggalkan...
Hari itu isteri saya pulang lewat. Hampir jam 12 tengah malam pun masih
lagi belum pulang lagi. Naqibah sudah menangis inginkan susu. Juga menangis
kerana merindukan ibunya. Hati saya menjadi panas mengenangkan keadaan ini.
Lalu saya capai telefon bimbit dan mendail nombor isteri saya. Pelik, tidak
ada nada menunggu sebaliknya saya terus terdengar suara isteri saya berbual
dengan seseorang di sebelahnya.
Namun saya tidak faham apa biji butir yang dituturkan. Saya menjerit
sekuat² hati meminta isteri saya menjawab panggilan saya namun dia bagai
sengaja tidak mahu mengangkatnya. Lama-kelamaan jeritan saya menjadi lemah
dan akhirnya bertukar menjadi tangisan apabila saya menyedari bahawa isteri
saya ingin meninggalkan saya. Namun perasaan sedih itu lenyap sebaik saya
tersedar daripada lena.
Alhamdulillah... Syukurlah ini sekadar mimpi. Esoknya, ketika saya berbual
dengan isteri saya di telefon, saya ceritakan kepadanya tentang mimpi saya.
Lega rasanya apabila isteri saya nyatakan bahawa dia tidak akan
meninggalkan saya dan tidak pernah terfikir pun untuk berbuat begitu. Benar
katanya itu hanyalah permainan syaitan. Dan saya mempercayai kata²nya untuk
setia bersama saya walaupun mengakui jodoh pertemuan ketentuan Ilahi.
Dalam tidak sedar, saya telah menjadi takut kehilangan isteri saya. Tidak
kiralah dia meninggalkan saya kerana terpaut kepada lelaki lain, atau sudah
jemu dengan keburukan saya atau juga kerana menyambut panggilan Ilahi. Yang
saya pasti kehilangannya akan membuatkan hidup saya tidak keruan. Walaupun
saya menyedari suatu hari nanti kehilangan itu tetap akan berlaku.
Tetapi sebenarnya ini adalah hakikat kehidupan manusia. Kita biasa
menyayangi sesuatu yang nampak di mata dengan curahan sepenuh kasih sayang.
Bukan sahaja isteri (bagi lelaki) atau suami (bagi perempuan), namun juga
ibu, ayah, anak, adik beradik, teman atau saudara yang rapat dengan kita.
Sayangnya kita kepada mereka sehinggakan kadangkala pemergian mereka tanpa
ada redha dalam hati kita.
Tidak kiralah sama ada perpisahan itu berlaku satu demi satu, atau
berturutan atau secara serentak, atau mungkin kita yang meninggalkan mereka
semua. Namun jika sudah dinamakan perpisahan, ia merupakan sesuatu yang
pasti meretakkan hati dan mengguris perasaan. Walaupun pada hakikat kita
amat² menyedari bahawa tidak ada pertemuan yang tidak disusuli oleh
perpisahan.
Dan itulah yang saya alami dalam mimpi saya. Kesedihan yang tidak terungkap
dengan kata². Malah, walaupun sudah mengetahui bahawa itu hanya sebuah
mimpi, timbul pula kebimbangan ia akan menjadi kenyataan. Namun sayang
sekali, dalam saya begitu takut ditinggalkan oleh isteri saya, tidak pula
wujud ketakutan dalam hati saya seandainya Allah yang pergi meninggalkan
saya.
Bagaimana agaknya perasaan kita ketika Allah tidak lagi menghiraukan kita?
Maksudnya, sama ada kita menyembahNya atau tidak, mengingatiNya atau tidak,
Allah tidak lagi peduli. Tidak ada lagi dugaan dalam hidup. Malah, apa
sahaja yang kita kehendaki akan kita perolehi. Allah akan segera tunaikan
kerana Allah tidak lagi ingin mendengar rintihan kita mengharap bantuan
dariNya.
Bagaimana agaknya? Apakah kita akan bersedih sepertimana kita kehilangan
orang yang kita sayang? Atau mungkin kita akan gembira? Manakan tidak, apa
sahaja yang kita mahu kita akan dapat. Hidup kita juga kita lalui dengan
lancar. Tentu menyeronokkan, bukan? Akan tetapi, bukankah kita sepatutnya
berasa sedih dengan kehilangan yang lebih besar ini? Yang lebih menyedihkan
daripada kehilangan kaum keluarga kita sendiri?
Kita merasa takut kehilangan orang yang tersayang tetapi yang menghairankan
kita tidak pula takut kehilangan kasih sayang Allah. Sedangkan, bukankah
Allah sepatutnya yang lebih kita kasihi dari segala apa yang ada di hadapan
mahupun di belakang mata kita? Benar kita boleh mengakui dengan lidah yang
kita sebenarnya takut kehilangan kasihnya Allah tetapi dapatkah kita
mengakui dengan hati?
Seorang suami tidak akan ditinggalkan oleh isterinya sekiranya dia memang
seorang lelaki yang baik. Pada kebiasaannya, lelaki yang ditinggalkan oleh
isterinya adalah yang jenis pemalas, panas baran, kaki botol, kaki betina
dan berbagai lagi sifat buruk dan huduh. Atau yang paling sering terjadi di
hari ini ialah si suami menduakan isterinya. Pada kebiasaannya juga, si
suami ditinggalkan apabila si isteri mendapati dia sudah tidak boleh
dinasihati lagi.
Begitulah juga keadaannya. Allah akan meninggalkan kita seandainya kita
bertindak dengan melakukan sifat² yang buruk, yang telah dinyatakan di
banyak tempat di dalam al-Quran. Apakah kita menyangka Allah akan mencintai
orang yang berkelakuan engkar? Sebagaimana seorang suami marah kepada
isteri yang mengingkari arahannya, begitulah juga kemurkaan Allah kepada
orang yang tidak mempedulikan arahanNya.
Allah juga mencemburui makhlukNya. Sebagaimana seorang isteri mencemburui
suaminya jika dia dapati si suami menjalin hubungan dengan perempuan lain,
sebegitulah juga Allah mencemburui makhlukNya yang meletakkan harapan
kepada selain daripadaNya. Ada banyak hadits yang menyebut betapa Allah
suka untuk mendengar hambaNya merintih merayu kepadaNya mengharapkan
bantuan dan pengampunan daripadaNya.
Namun apa yang terjadi ke atas kita pada hari ini? Marilah kita muhasabah
diri kita sendiri. Berapa tinggikan kita letakkan darjat Allah di dalam
hati kita. Apa benar kita sebenarnya mengasihi Allah lebih dari segalanya?
Lebih dari kerjaya kita? Jika benar, mengapakah kita tergamak menangguhkan
solah demi untuk menyiapkan kerja? Seolahnya keadaan kita sekarang, kita
telah menduakan Allah dengan wang dan harta dunia.
Allah telah menjadikan anak dan isteri sebagai kurnia yang tidak terhingga
hebatnya. Kemudian Allah jadikan hiasan, emas dan permata untuk
memperindahkan kehidupan kita. Sayangnya kita jadikan anak dan isteri kita
sebagai alasan untuk kita menjauhi Allah. Dan kita letakkan pengharapan
terhadap kebendaan sebagai penentu kebahagiaan. Maka kerana itu kita tidak
pernah bimbang untuk ditinggalkan oleh Allah.
Saya cukup gembira apabila mendapat jaminan dari isteri saya bahawa saya
tidak akan ditinggalkannya. Walaupun ianya hanya berbentuk sebuah janji
dari dua baris bibir. Anehnya saya tidak pula gembira sebegitu apabila
mendapat jaminan dari Allah bahawa Dia sama sekali tidak akan meninggalkan
saya. Tambah pelik lagi apabila janji ini ditulis dengan terang di dalam
kitab suci al Quran.
Jadi, apa kata hari ini, kita sama² mulakan sebuah kehidupan yang baru.
Sambil tidak mengurangkan sedikitpun rasa cinta kepada keluarga kita, apa
kata kita sama² tambahkan lagi rasa sayang kita kepada Allah. Marilah kita
kerjakan apa yang Dia kehendaki dan sama² kita tinggalkan apa yang dilarang
olehNya. Semoga dengan itu akan bertambah kasih sayang Allah kepada kita
dan kita tidak akan ditinggalkan olehNya.
No comments:
Post a Comment