Cemburu
Beberapa minggu lepas saya ada menerima sebuah email dari seorang sahabat.
Menurut sahabat saya itu di dalam emailnya, dia begitu geram terhadap
seorang taman serumahnya yang kelihatan begitu cemburu dengannya. Entah apa
yang dicemburukan dia sendiri tidak begitu pasti. Apa yang jelas, teman
serumahnya itu sering menjaja namanya dan menceritakan perkara² buruk
tentangnya di hadapan teman² lain.
Saya menggeleng² kepala ketika membaca email ini. Bukan menggeleng tidak
percaya. Bukan juga menggeleng kerana bosan. Tetapi menggeleng kerana
hairan, pelik dan ajaib dengan sikap manusia yang selalu mencemburui orang
lain. Bagaikan virus selsema, sifat cemburu ini memang mudah meresap ke
dalam tubuh seseorang itu dan datangnya pula tidak memerlukan undangan.
Saya sendiri akui sifat ini sering juga wujud dalam diri saya.
Bukanlah salah mempunyai sifat cemburu. Seperti cemburu seorang isteri
terhadap suaminya atau sebaliknya, misalnya. Ini adalah sifat yang normal,
sifat yang natural dan sifat yang menunjukkan perasaan cinta dan sayang
oleh seseorang terhadap pasangannya. Tetapi yang menjadi masalah ialah
cemburu yang tidak berpucuk pangkal atau cemburu buta. Lebih masalah adalah
cara bagaimana seseorang itu melayan perasaan cemburunya.
Cemburu juga digalakkan di dalam Islam. Tetapi hanyalah perasaan cemburu
melihat seseorang yang lain mampu membuat amalan yang lebih dari kita.
Seperti mana sifat Umar ra yang mencemburui Abu Bakr ra yang sering dahulu
dalam hal membelanjakan harta pada jalan Allah. Hinggakan di dalam satu
ghizwah, Umar ra membawa separuh dari hartanya dengan anggapan Abu Bakr
tidak mampu melawannya untuk kali itu.
Namun Abu Bakr ra datang dengan membawa keseluruhan harta yang beliau ada.
Hinggakan Nabi saw sendiri keberatan untuk menerimanya dan bertanya apa
pula yang beliau tinggalkan untuk dirinya dan keluarganya. "Aku tinggalkan
Allah dan RasulNya untuk mereka." jawab Abu Bakr ra. Ini adalah contoh
cemburu yang baik. Inilah bentuk bagaimana cemburu orang yang beriman
kepada Allah, NabiNya dan hari akhirat.
Jelas perasaan cemburu bukanlah satu kesalahan. Bahkan Allah sendiri
mencemburui hambaNya yang dilihatNya berharap kepada sesuatu selain
dariNya. Tidak mungkin untuk Allah melakukan sesuatu yang salah. Lalu,
apakah masalahnya dengan sifat cemburu? Seperti yang saya sebutkan awal
tadi, yang menjadi masalahnya ialah sifat cemburu buta dan juga cara
bagaimana kita melayan perasaan cemburu kita.
Cemburu yang dilahirkan selain sebab kebaikan, adalah cemburu yang
diasaskan oleh nafsu. Dan apa² sahaja yang diasaskan oleh nafsu merupakan
gasolin atau bahan bakar kepada hasutan syaitan. Bermakna, setiap kali
wujud perasaan cemburu di dalam hati kita, maka mudahlah untuk syaitan
menghasut hati dan jiwa kita. Dengan hasutan syaitan itulah akan terjadi
berbagai perkara yang tidak sepatutnya terjadi.
Cemburu terhadap pasangan juga berpunca dari nafsu. Walaupun ia cemburu
yang dibolehkan, namun ia adalah suatu perasaan yang perlu dikawal. Jika
tidak, akan terjadilah fitnah dan tuduhan melulu dan sehingga ke peringkat
yang paling teruk, perceraian. Bukankah perceraian itu satu majlis
keramaian bagi para syaitan dan pengikutnya? Maka itu, perlu ada kawalan di
dalam melayan perasaan cemburu.
Berbalik kepada kisah yang diceritakan oleh sahabat saya tadi, rasanya apa
yang dilakukan oleh teman serumahnya adalah disebabkan oleh perasaan
cemburu buta. Sudah namanya buta, maka tentunya ia tidak memerlukan apa²
sebab. Boleh jadi kerana melihat sahabat saya ini mempunyai pendapatan
lebih. Atau mungkin hanya dengan melihat sahabat saya itu membeli pen
barupun sudah cukup untuk melahirkan perasaan cemburu di hatinya.
Apa yang kita boleh lakukan jika orang mencemburui kita? Mungkin kita boleh
lari darinya dengan berpindah rumah. Atau mungkin kita boleh berkonfrontasi
dan bertanyakan sebab musabab yang sebenarnya mengapa dia mencemburui kita
atau mungkin kita boleh mengabaikan terus dirinya. Tetapi tindakan² ini
belum tentu dapat meredakan perasaan cemburunya terhadap kita. Malah,
mungkin boleh menjadikan ianya lebih teruk.
Maka itu saya nasihatkan sahabat saya itu agar membiarkan sahaja perkara
itu. Bukan mengabaikan sebaliknya berbuat seolah² tidak ada apa² yang
berlaku. Sambil itu berdoalah semoga Allah membukakan pintu hatinya untuk
menyedari kesilapannya. Selain itu, perlu juga bersyukur kerana, apabila
orang mencemburui kita, bermakna ada sesuatu yang kita lebih darinya.
Bukankah itu perkara yang wajib kita syukuri?
Jika hendak dipandang pada sudut yang lebih positif, anggap sahaja teman
itu sedang memberinya jalan untuk berbuat pahala. Kerana bukan sedikit ayat
di dalan al-Quran yang menyeru kepada manusia untuk bersabar. Jadi,
sekiranya sahabat saya itu terus bersabar dengan kedengkian teman
serumahnya, tentu sahaja pahala yang bakal dimiliknya bukan sedikit. Itukan
juga termasuk dalam perkara² yang menguntungkan?
Sebenarnya, susah untuk kita mengawal perasaan cemburu ini. Selalunya, kita
lebih mudah untuk melihat apa yang ada di tangan orang lain itu lebih
cantik atau lebih baik dari apa yang ada di dalam tangan kita sendiri.
Inilah nafsu. Seperti kata pepatah orang Inggeris, the grass is always
greener on the other side atau rumput itu sentiasa lebih hijau di seberang
sana. Ini semua kerana kegagalan kita untuk mewujudkan sifat syukur di
dalam hati kita.
Bagi orang yang kuat imannya, tidak ada apa yang perlu dicemburukan apabila
melihat apa² kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sebaliknya dia akan
terus menghitung segala kelebihan yang ada pada dirinya pada ketika itu.
Alangkah baiknya jika kita tergolong dalam golongan seperti itu. Kerana itu
Nabi saw berpesan agar tidak membandingkan diri kita dengan yang lebih atas
sebaliknya cubalah melihat yang berada di bawah kita.
Cemburu melihat orang lain berpendapatan RM1X,XXX sebulan? Cuba lihat
mereka yang pendapatannya kurang dari RM400. Dan lagi, terlalu mencemburui
tentang perkara keduniaan boleh mendorong kepada kesesatan. Manakan tidak,
akibat ingin turut berpendapatan sebanyak RM1X,XXX, kita pun sibuk dengan
urusan dunia. Hinggakan lupa mana yang haram dan mana yang halal. Hinggakan
lupa bila waktunya untuk beribadat.
Kata abang saya, harta dunia ini terlalu kecil. Segalanya tidak ada makna.
Kerana itu Allah mengizinkan orang kafir memilikinya. Jika harta dunia ini
penting dan besar nilainya, sudah pasti tidak ada seorang pun orang kafir
yang akan Allah izinkan menyentuhnya. Seperti syurga yang Allah khususkan
hanya untuk kita. Apakah orang kafir dapat memilikinya? Tidak! Bahkan
baunya juga tidak akan mereka cium, insyaAllah.
Jadi untuk apalah kita mencemburui kelebihan dunia yang dimiliki oleh orang
lain? Ianya tidak akan membawa kita ke mana². Bukankah lebih baik kita
mencemburui para sahabat Rasulullah saw yang telah dijanjikan syurga dan
bakal duduk berhampiran dengan Baginda di syurga sana? Mungkin dengan
perasaan cemburu seperti ini akan melayakkan kita untuk turut bersama
mereka. Siapa tahu? InsyaAllah......
1 comment:
Assalamualaikum.Sy seringkali membaca tulisan saudara.Umpama tazkirah kepada saya.
Cuma saya kurang bersetuju dengan ayat ini:
"Bahkan Allah sendiri
mencemburui hambaNya yang dilihatNya berharap kepada sesuatu selain
dariNya."
Saya khuatir ayat seperti ini menyamakan sifat Allah dengan manusia.
Post a Comment