04 March 2006

Taubat

Apa itu taubat? Rasanya perkataan ‘taubat’ ini sudah berlegaran di dalam
kehidupan masyarakat kita semenjak sekian lamanya. Hinggakan ada juga
peribahasa yang berbunyi ‘taubat sambal belacan’ yang membaca maksud
seseorang yang merasa menyesal melakukan sesuatu tetapi kemudiannya tetap
mengulangi semula perbuatannya itu.

Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan taubat? Cukup untuk kita
mengatakan bahawa kita sudah bertaubat hanya dengan sekadar menyatakan rasa
sesal dengan apa yang telah kita lakukan? Mengapa pula kita perlu bertaubat
dan bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui bahawa taubat kita telah
diterima?

Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan dosa. Kecuali para nabi yang
telah Allah kurniakan sifat maksum (bebas dari dosa-dosa besar) ke atas
mereka, tidak ada seorang pun yang mampu mendabik dada menyatakan bahawa
dia bebas dari sebarang dosa. Setiap dari kita, tidak dapat dapat tidak
pasti akan terpalit dosa. Yang membezakan hanyalah sebesar mana dosa yang
dilakukan.

Allah telah menjanjikan balasan azab yang pedih buat sesiapa yang melakukan
dosa. Jika berdasarkan fakta di atas, nescaya setiap dari kita akan disiksa
di akhirat kelak. Namun Allah dengan sifat Maha Pengasihnya, telah
memberikan kita suatu kurnia yang begitu hebat. Itulah taubat. Kerana
setitis air mata orang yang bertaubat mampu memadamkan api neraka yang
panas membara.

Namun melakukan taubat bukanlah semudah menyebutnya. Bukan juga seronok
seperti melakukan dosa. Pengucapan taubat yang dilafazkan perlu disertai
dengan perbuatan, dengan ikrar dan dengan niat. Bukanlah taubat namanya
jika seseorang itu menyatakan penyesalannya akan dosa yang telah dilakukan
di pagi hari tetapi kemudiannya mengulangi dosa tersebut tanpa rasa
bersalah pada sebelah petangnya pula.

Sejarah telah mencatatkan taubat yang pertama pernah dilakukan adalah oleh
Nabi Adam as. Allah telah menumpahkan kemurkaanNya hanya semata-mata kerana
Nabi Adam telah memakan sebiji buah dari pohon qurdi, satu-satunya pohon di
dalam taman syurga yang Allah melarang Nabi Adam dan isterinya Hawa dari
menghampiri. Akibat dari perbuatan itu, Nabi Adam dan Hawa telah
dicampakkan ke dunia di dua tempat berasingan.

Diriwayatkan, Nabi Adam telah merintih dan merayu, memohon keampunan dari
Allah selama 40 tahun lamanya sebelum Allah menerima taubatnya.
Bayangkanlah. Hanya kerana memakan buah dari pohon qurdi, Allah telah
menimpakan balasan yang sebegitu berat. Jika begitu keadaannya,
bagaimanakah agaknya kedudukan kita, yang lebih besar dosanya nanti ketika
semua amalan kita diperhitungkan di hadapanNya? Oleh kerana Allah maha
Mengetahui akan lemahnya manusia untuk menahan diri dari melakukan dosa,
maka itulah Allah telah memberi peluang untuk kita menebus kembali
kesalahan kita dengan jalan bertaubat.

Quran telah menjadi saksi berapa banyaknya kaum-kaum yang terdahulu telah
menerima balasan azab akibat keingkaran mereka terhadap perintah dan
larangan Allah. Kaum Nabi Nuh, Kaum Nabi Luth, Kaum Madyan dan banyak lagi
kaum-kaum lain yang telah menjadi bukti akan kekuasaan Allah dalam
memberikan balasan kepada sesiapa sahaja yang ingkar. Maka bukankah kita
sepatutnya merasa beruntung diperuntukkan satu amalan yang istimewa, yang
mana dengannya kita mampu membersihkan palit-palit dosa dan noda pada tubuh
kita?

Kata orang tua-tua, sesat di hujung jalan maka kembalilah ke pangkal jalan.
Tatkala kita sedang bergelumang dengan maksiat, sedang asyik menunaikan
tuntutan nafsu, kita sebenarnya telah tersesat dan telah terlari jauh dari
jalan yang diredhai olehNya. Maka satu-satunya cara untuk kita kembali ke
jalan yang Allah redhai hanyalah dengan bertaubat. Taubat yang
sebenar-benar taubat mampu menyucikan seseorang sehingga dia bersih dari
dosa seolah-olah bagaikan bayi yang baru dilahirkan.

Jika peluang untuk bertaubat ini tidak digunakan sepenuhnya, sudah pastilah
kita akan tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi. Taubat
bukanlah perkara yang patut ditangguhkan. Tidak kiralah sama ada seseorang
itu terlibat dengan dosa besar atau kecil, seharusnya taubat ini dilakukan
pada setiap masa dan ketika.

Dosa itu ghaib. Kerana itu kita tidak mampu melihat sebanyak mana dosa dan
pahala yang telah kita kumpulkan. Syurga dan neraka juga ghaib. Malah di
mana kita akan ditempatkan selepas hisab di Padang Mahsyar pun kita tidak
mengetahuinya. Hanya Allah yang menentukan segala. Maka kerana itulah
seharusnya taubat itu sentiasa ada di dalam hati kita. Tidak perlu tunggu
sehingga ajal datang menjemput atau sehingga kita melakukan dosa-dosa yang
besar.

Persoalan sama ada taubat kita akan diterima atau tidak, sebaiknya
diserahkan kepada Allah. Salah satu sifat yang perlu ada dalam diri orang
yang bertaubat ialah bersangka baik terhadapNya. Yakinlah bahawa Allah
melihat kesungguhan kita yang mahu kembali ke jalanNya. Yakinlah bahawa
Allah tidak pernah, tidak akan dan tidak mungkin akan menzalimi mana-mana
hambaNya.

Selebihnya, terpulang kepada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha
Mengatahui. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan sesungguhnya Allah itu
Maha Mengasihani…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.