14 March 2006

Secupak Dan Segantang


Kata orang tua², kalau sudah secupak takkan jadi segantang. Maksudnya,
kalau sudah sememangnya rezeki kita sebanyak itu, memang sebanyak itulah
yang kita dapat. Dan ada yang mengaitkan dengan kenaikan harga minyak.
Menurut mereka, kalau memang sudah harga minyak perlu naik, buat bagaimana
sekalipun tetap naik juga. Jadinya kita hanya perlu menerima sahaja.
Betulkah begitu?

Jika begitu, untuk apa kita bekerja? Lebih baik duduk di rumah. Kerana
kalau sudah memang rezeki kita secupak, kerjalah sebagaimana sampai gila
sekalipun, ia tetap akan secupak juga. Dalam erti kata lain, kalau sudah
miskin, kita tetap akan miskin. Betulkah? Salah? Jikalau salah, apakah
penjelasannya untuk orang yang telah berusaha dengan sebenar² usaha tetapi
masih gagal mengubah cara hidup mereka?

Dan apabila bercakap tentang rezeki ini, saya mempunyai konsep pemahaman
saya sendiri. Bagi saya, duit yang saya miliki bukan rezeki saya selagi
saya tidak membelanjakannya. Mana tahu, duit yang saya baru ambil dari bank
tiba² hilang secara misteri seperti mana yang saya ceritakan dalam artikel
Apo Nak Dikato? Atau mungkin duit itu saya sedekahkan pula kepada orang
yang lebih memerlukan. Bukankah duit itu menjadi rezeki orang itu pula?

Dan rezeki yang kita perolehi tidak pula bersifat kekal. Hari ini kita
perolehi gaji. Lalu kita membeli sehelai seluar baru. Jadi duit itu
sememangnya rezeki kita. Dan selepas kita pakai seluar tersebut, maka iapun
termaktub sebagai rezeki kita. Tetapi secara tiba², seluar tersebut hilang
di jemuran. Maka, setakat itulah saja seluar itu menjadi rezeki kita. Maka
hendak dibuat apakan? Redhakan sajalah...

Teringat saya kepada seorang kenalan saya. Baru² ini, ketika berbual
dengannya, dia meminta nasihat saya. Dia sesungguhnya di dalam kesempitan.
Hutang keliling pinggang. Tetapi dengan tidak disangka², isterinya pula
hamil 2 bulan. Kerana bimbang tidak dapat lagi menanggung kelahiran anak
tersebut, lalu dia bercadang untuk menggugurkannya. Jawapan saya? Sudah
pasti saya tidak setuju.

Memanglah berbagai nasihat yang saya berikan. Tetapi yang paling menarik
ialah kata²nya, "Aku tahu tidak ada jaminan bahawa aku akan senang
sekiranya anak ini aku gugurkan." Masih terngiang² perkataan ini.
Sepatutnya saya yang menasihatkannya, tetapi dengan kata² itu, seolahnya
saya pula yang dinasihatkan. Betul katanya, kita selalu membuat keputusan
yang merugikan. Hanya untuk sesuatu yang tidak pasti.

Contohnya dalam hal mendirikan solat. Di waktu azan Asar berkumandang,
itulah waktu dan ketikanya kita sering kesibukan dengan tugas. Maka kita
pun menangguhkan sebentar solat Asar demi untuk menyudahkan kerja yang
kononnya tinggal sedikit. Sedikitpun kita tidak perasan bahawa sebenarnya
tidak ada jaminan untuk kerja kita itu selesai seandainya kita tangguhkan
solat Asar itu.

Mengapakah kita boleh berbuat demikian? Apakah kita tidak yakin dengan
janji Allah? Bukankah Allah telah menjanjikan kebajikan untuk orang² yang
beramal soleh? Kita yakin kerja kita tidak selesai sekiranya kita bersolat
dahulu. Apakah solat itu membebankan dan mengganggu kerja harian kita?
Tidakkah kita yakin bahawa sebenarnya Allah-lah yang telah menyiapkan kerja
kita selama ini (kita siapkan dengan izin Allah)?

Berbalik kepada soal rezeki. Ini adalah soal kepercayaan. Ini adalah soal
iman. Apakah perlu untuk kita menjadikan rezeki kita yang secupak itu untuk
menjadi segantang demi untuk hidup bahagia? Apakah kita tidak boleh cukup
dengan rezeki yang secupak itu? Dan berapa banyakkah pengorbanan yang perlu
kita lakukan demi untuk menjadikan yang secupak itu segantang dan untuk
mencapai kebahagiaan?

Suatu ketika dahulu, hidup saya sempit dikelilingi dengan hutang. Duit gaji
habis digunakan untuk membayar kad kredit dan hutang² lain. Kad kredit pula
sudah sampai ke hadnya sehingga tidak boleh digunakan lagi. Puas saya
berusaha menjadikan rezeki saya yang secupak itu untuk menjadi segantang.
Namun setiap usaha tetap gagal. Sehingga saya bertukar kerja yang kononnya
bergaji lebih besar. Tetapi hutang tetap tidak langsai.

Kemudian Allah menyuluhkan cahaya hidayahNya kepada saya. Lalu saya
serahkan segalanya kepada Allah. Yang tinggal hanyalah sekeping iman nan
rapuh di hati. Setiap hari berdoa meminta Allah membantu. Dan kemudiannya
Allah melorongkan saya jalan penyelesaian. Hari ini, saya bebas dari
hutang² kad kredit. Segala puji bagi Allah. Tetapi, apakah saya bebas dari
hutang itu kerana rezeki saya yang secupak dulu telah jadi segantang?

Tidak. Rezeki saya tetap secupak. Tetap sebanyak itu. Memang ada lebihnya
gaji saya sekarang dari dengan syarikat dahulu. Tetapi setelah dibandingkan
dengan kenaikan harga barang, ianya telah menjadi sama semula. Tetapi
segala masalah ini hanyalah dengan bantuan Allah. Dan akhirnya saya mulai
sedar. Memang benar kata orang tua². Yang secupak takkan jadi segantang.
Tetapi yang segantang boleh jadi secupak.

Persoalan sebenarnya bukanlah bagaimana kita hendak menjadikan yang secupak
itu segantang. Tetapi bagaimanakah kita hendak membelanjakan yang secupak
itu agar dapat memenuhi keperluan kita. Itu sahaja. Jika rezeki secupak,
berbelanja bagaikan segantang, memanglah sampai bila² kita takkan lepas
dari bebanan hutang. Memanglah sampai bila² kita akan dihimpit masalah
kewangan.

Namun meletakkan segala²nya hanya semata² kepada Allah juga salah. Walaupun
secupak tidak akan jadi segantang, apakah kita mahu melihat yang hanya
cupak kosong yang tertinggal di dalam dapur kita? Tentu sekali tidak. Maka
itulah penting untuk kita berusaha. Jika setakat berpeluk tubuh, jangankan
segantang, secupak pun kita tidak akan dapat. Allah pun tidak akan membantu
orang yang tidak berusaha.

Bukanlah saya katakan suatu yang sia² berusaha untuk mengubah kehidupan.
Tidak. Sama sekali tidak. Apa yang ingin saya katakan, rezeki sebenarnya
telah tertulis untuk setiap dari kita. Hanya, Allah tidak mendedahkan
berapa banyakkah rezeki untuk kita. Oleh kerana kita tidak tahu, maka wajib
kita berusaha. Berusaha bukan untuk mencari rezeki, sebaliknya berusaha
untuk mengetahui seberapa banyak yang diperuntukkan untuk kita.

Apa yang penting, kita tidak boleh merasa kecewa dengan apa yang kita
perolehi di hari ini. Kerana rezeki hari esok masih lagi menjadi rahsia
Allah. Jika kita gagal dalam usaha kita pada hari ini, mana tahu esok Allah
gandakan rezeki kita. Satu bahagian sememangnya yang telah ditetapkan untuk
kita. Dan gandaannya pula adalah kerana sifat sabar dan sifat yakin
terhadap ketentuanNya. Jika Allah ingin lakukan, nescaya Allah akan
sentiasa mampu.

Sememangnya kita tidak akan mampu mengubah yang secupak untuk menjadi
segantang. Kerana kita manusia biasa. Hanya Allah yang mampu melakukannya.
Makanya, adalah perlu untuk kita perbetulkan niat. Bekerja bukan untuk
menjadikan yang secupak itu segantang, sebaliknya berusaha mencari
keredhaan Allah. Semoga dengan keredhaanNya, secupak yang kita miliki hari
ini, akan menjadi segantang pada esok hari. InsyaAllah.....

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Kebetulan, semasa menjelajah web alam maya ni, saya terbaca blog saudara.

Oh ya, saya rasa, kawan saudara tu tak patut gugurkan anaknya yang baru 2 bulan tu. Lagi pun, anak adalah rezeki kurniaan drpd Allah. Jgn risaukan sangat kerana Allahlah yang menyediakan rezeki utk anak dan keluarga tersebut. InsyaAllah, anak itu tak akan mati kebuluran.

Apa pun, teruskanlah menulis. Banyak pengajaran yg saya dpt drpd tulisan saudara.

wassalam.

日月神教-向左使 said...

ssd固態硬碟 外接式硬碟 餐飲設備 製冰機 洗碗機 咖啡機 冷凍冷藏冰箱 蒸烤箱 關島婚禮 關島蜜月 花蓮民宿 彈簧床 床墊 獨立筒床墊 乳膠床墊 床墊工廠 記憶體 產後護理之家 月子中心 坐月子中心 坐月子 月子餐 美國置產須知 隨身碟 花蓮民宿

Norulhuda said...

Saya share artikel tuan di facebook. Belum dapat izin ni, tapi saya sudah share. Mintak halal

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.