20 March 2006

Masalah

Agak lama saya tidak menulis. Kerana sebaik saya dari laut pada Selasa lalu, keesokannya terus sahaja ke kampung isteri saya di Tanjung Karang, Selangor. Bersempena dengan cuti sekolah, inilah sahaja masa yang membolehkan kami pulang ke kampungnya memandangkan isteri saya bertugas sebagai seorang guru. Itupun terpaksa menunggu saya pulang terlebih dahulu.

Sebelum pulang ke kampung, saya telah menghantar kereta saya ke sebuah kedai tayar untuk pemeriksaan, alignment dan pengimbangan (balancing). Saya jangkakan memang akan ada masalah pada bahagian tayar memandangkan stereng saya bergegar apabila dipandu laju sedikit. Sama ada wujud benjolan pada tayar atau mungkin rim saya yang telah bengkok yang menyebabkan gegaran tersebut.

Dan tepat seperti yang saya jangkakan, benarlah rim kereta saya di bahagian depan tempat duduk penumpang telah bengkok dengan teruk. Hendak diperbetulkan memakan masa seminggu. Tambah pula, belanjanya agak besar juga. Apatah lagi rim belakang juga bengkok sedikit. Mekanik kedai tersebut menyarankan saya menukar rim yang baru. Dengan mengambil kira faktor masa, lalu saya bersetuju.

Mujurlah di bulan ini ada pendapatan sampingan yang masuk ke akaun bank saya. Jika tidak, saya yang akan bengkok dibuatnya. Dengan belanja tol dan harga minyak yang telah meningkat, rasanya agak terkesan juga apabila ditimpa masalah begini. Dan mujur juga, walaupun bengkok teruk, kedai tersebut bersedia menerima rim saya untuk trade in.

Nampaknya begitulah. Pantang duit lebih sedikit, ada sahaja masalah yang akan menghabiskan duit saya yang lebih tersebut. Di bulan lepas, masalah yang sama juga timbul. Baru hendak mengira² gaji yang lebih dari biasa, secara tiba² telefon bimbit saya rosak dan diikuti bebarapa peralatan elektrik di rumah saya. Bil telefon rumah pula meningkat sehingga hampir RM300.

Kata ibu saya, memang muka saya tidak boleh dapat duit lebih. Walaupun ibu saya sebenarnya berseloroh, tetapi kemudian saya terfikir juga. Benarlah begitu. Ini bukan yang pertama kali berlaku. Sudah beberapa kali sebenarnya. Mengapa Allah jadikan begini? Walaupun berpendapatan lebih di bulan tersebut, dengan masalah yang menimpa, akhirnya jadi seperti biasa. ‘Wal hasil balik asal’.

Jika difikir dengan akal singkat, sepertinya Allah sengaja mendengki saya. Tetapi apabila difikir semula dengan lebih mendalam, akhirnya saya sedar bahawa sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaik² perancangan. Sesungguhnya benar bahawa bahawa Allah Maha Merancang sesuatu. Dan sesungguhnya benar Allah tidak akan duga kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu.

Seperti contoh saya tadi, memang benar Allah telah menjadikan kesemua lebihan pendapatan saya digunakan untuk menyelesaikan masalah saya hingga akhirnya pendapatan saya sama sahaja seperti bulan² biasa. Tetapi, bukankah itu satu rahmatNya apabila Dia menguji saya dengan ujian sebegitu tatkala saya mempunyai bajet yang mencukupi?

Bayangkan, bagaimana agaknya jika segala masalah itu berlaku di dalam bulan di mana pendapatan hanya sekadar cukup² makan? Tentu sahaja saya akan mengeluh penjang memikirkan dari mana hendak ‘dikorek’ duit untuk menyelesaikan masalah yang bertimpa. Maka wajiblah saya bersyukur kerana Allah telah mendatangkan ujian sebegitu di kala saya sedang mampu.

Kadangkala ujian yang Allah datangkan kepada seseorang adalah untuk menduga orang yang lain. Allah menjadikan kesusahan kepada A misalnya, mungkin sebenarnya untuk menduga adik beradiknya, atau saudara maranya, atau sahabat handainya atau mungkin juga jiran tetangga. Kerana Allah ingin melihat sejauh mana seseorang muslim itu sanggup melihat kesusahan muslim yang lain.

Kita sebagai muslim, seandainya sanggup melihat seorang muslim yang lain kesusahan, tanpa menghulurkan bantuan kecuali ucapan kasihan, maka sebenarnya kita telah gagal dalam ujian tersebut. Mungkin kita melihat kesusahan sahabat kita sebagai ujian untuknya. Tidak kurang juga kita katakan itu sebagai balasan untuknya. Tetapi kita terlupa bahawa kejadian itu sebenarnya sedang menduga kita.

Saya juga melihat Allah tidak mendatangkan masalah kepada seseorang itu tanpa jalan penyelesaian. Sama ada yang bersifat sementara atau kekal. Seperti kejadian di dalam keluarga saya sendiri. Tatkala Allah timpakan kesusahan kepada salah seorang abang saya, Allah berikan pula kesenangan kepada yang seorang lagi. Dan akhirnya, kedua beradik itu saling membantu.

Maka bukankah kesusahan yang Allah timpakan itu telah menyebabkan hubungan kedua beradik ini lebih mesra? Dan ia juga menyebabkan perasaan bangga (tanpa riak) pada diri saya melihat bagaimana abang saya yang dikurniakan kesenangan itu dengan murah hati membantu abang saya yang dalam kesempitan. Sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Hebat dan Maha Agung.

Inilah yang membuktikan kita manusia hanya mempunyai akal yang singkat lagi terbatas. Seperti mana kisah pertemuan Nabi Musa as dengan lelaki yang ditafsirkan oleh para mufassiran (ulama tafsir) sebagai Nabi Kahidir as. Kisah bagaimana Nabi Musa as tidak dapat lari dari menyoal Nabi Khaidir dengan perbuatan yang dilihatnya sebagai melampau.

Nabi Kahidir, kerika menumpang seorang pendayung sampan, telah membocorkan sampan tersebut, membunuh seorang kanak² dan memperbetulkan sebuah rumah yang hampir roboh di sebuah kampung yang penduduknya sombong² belaka. Andainya sampan kita yang dibocorkan, atau anak kita yang dibunuh itu, apakah perasaan kita? Sedang Nabi Musa as tidak mampu menahan perasaan marahnya apatah lagi kita.

Namun Nabi Khaidir telah diberikan kelebihan untuk melihat masa hadapan. Nabi Khaidir as tahu akan adanya raja zalim yang hendak merampas sampan yang mereka naiki. Dengan membocorkannya, kemungkinan sampan itu akan terselamat. Nabi Khaidir as juga tahu anak yang dibunuh itu mungkin akan mendorong ibu bapanya kepada kesesatan dan kekafiran. Dan beliau tahu dibawah rumah yang condong itu tersimpan harta anak² yatim. Surah al-Kahfi ayat 60-82 ada menceritakan kisah ini.

Tetapi kita seperti beliau. Kita tidak tahu tentang hari esok. Dan kita tidak tahu tentang ‘muslihat’ Allah. Maka tidak patut untuk kita mempersoalkan apa yang Allah jadikan. Tidak semestinya dugaan itu sebagai balasan dosa. Mungkin itulah caranya Allah hendak mengangkat darjat kita dengan memberikan kita peluang untuk bersabar dan bertaqwa…

1 comment:

Anonymous said...

terlampau ramai remaja yang datang masa uji bakat..sampai ada yang x dapat nombor..tu la dia penangan AF@aznil..keadaan dimana ibu bapa akan menyokong dengan setulus hati pembabitan anak2 mereka untuk masuk ke AF.."SYUKUR ALHAMDULILLAH, BERJAYA JUGA ANAK SAYA MASUK AF NI"..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.