Imej
Bulan lepas saya dikehendaki menghadiri satu kursus yang diadakan di ibu
pejabat kami di Kuala Lumpur. Kursus selama 2 hari sebegini sememangnya
mengganggu masa rehat saya di rumah. Namun yang seronoknya kursus begini
membuatkan kami berpeluang untuk bertemu dengan teman² lama. Maklumlah,
walaupun bekerja dalam syarikat yang sama, kami dipisahkan oleh lautan
sejauh beratus² kilometer jaraknya.
Pada hari terakhir, sewaktu hendak pulang secara tiba² hujan turun dengan
lebatnya. Lalu kamipun berkumpul di perkarangan bangunan pejabat kami
sambil berbual² kosong menanti hujan reda. Secara tiba², seorang teman
merapati saya. Melihat saya dari atas ke bawah sebelum membuka mulut dan
berkata "Engkau memang tak handsome-lah" sambil diikuti oleh gelak ketawa.
Saya juga turut tertawa bersamanya. Cuma yang peliknya mengapa dia secara
tiba² boleh berkata tentang itu. Bukan masalah berkecil hati. Semenjak
kecil saya memang telah sedia maklum saya bukan lelaki yang kacak. Cuma
masalahnya, apa yang membuatkan dia secara tiba² boleh terniat untuk
berkata begitu. "Tak apa bang tak handsome. Dah ada yang punya. Nak buat
apa handsome² pun" jawab saya sambil sekali lagi diikuti derai ketawa.
"Aku tak pedulilah kau nak buat apa dengan handsome tu. Aku cuma kata kau
tak handsome. Dengan kepala botak. Dengan jambang..." sambungnya lagi. Saya
masih lagi tertawa dengan balasan yang diberikannya. Hanya kali ini saya
lebih mengerti apa yang membuatkan sahabat saya ini tergerak untuk berkata
demikian. Rupanya kerana imej atau penampilan saya ketika yang 'serabut'
dengan jambang dan berkepala botak.
Sebenarnya, saya sudah lama tidak berjumpa dengannya. Hampir dua tahun.
Kali terakhir kami berjumpa adalah ketika saya masih lagi di bawah latihan
di pelantar tempat dia ditugaskan. Dan di ketika itu rambut saya masih
lebat. Masih berlum berjambang. Jangankan jambang, janggut pun tidak
tumbuh. Jika tumbuh, akan segera saya cukur. Tetapi kini selepas dua tahun,
imej saya memang jelas berbeza dari sebelumnya.
Baiklah, itu cerita pertama. Beberapa hari kemudian, seorang teman saya
dari syarikat lama saya bekerja menelefon saya. Katanya sudah lama tidak
berjumpa (lebih kurang 4 tahun) dan ingin mengajak saya minum di kedai
bersamanya. Saya tidak menolak dan dia katakan beberapa minit lagi dia akan
sampai. Memang benar, kurang setengah jam keretanya sudah terpacul di
hadapan rumah saya.
Sebaik saya membuka pintu, teguran pertama yang saya terima? "Mak ai! Apa
dah jadi? Kenapa tak pakai jubah dengan seban sekali?" usiknya sambil
tertawa. "Nak pergi solat aku pakailah serban dan jubah." jawab saya
sebelum kami memulakan perjalanan. Di dalam kereta, berbagai² soalan yang
ditanyanya. Mengapa saya berubah imejlah. Bagaimana saya boleh berubahlah.
Tak salah seperti wartawan hiburan sedang menemubal artis minggu ini.
Mungkin ada antara anda yang membaca tertanya apakah agaknya 'rupabentuk'
Abu Naqibah sebenarnya. Malah tidak keterlaluan jika ada yang membayangkan
seperti Taliban berdasarkan cerita yang saya garapkan di atas. Namun
sesungguhnya tidak. Saya bukanlah jenis yang berjubah 24 jam. Saya masih
memakai jeans dan t-shirt atau sesekali berkemeja. Tidak pula sentiasa
berkopiah atau pun serban siap terlilit di atas kepala.
Sebenarnya, bukan imej saya hari ini yang menjadi persoalan teman² saya
sebaliknya perubahan saya dari imej tedahulu ke imej sekarang ini. Itulah
yang sebenarnya. Jika dahulu berambut panjang, kini dah jadi botak. Jika
dahulu dagu saya licin, kini dipenuhi dengan rambut² kerinting. Jika
bermisai, kini tidak lagi. Itu sahaja. Entah apa yang besar sangat bagi
mereka. Mungkin, mereka melihat imej sekarang tidak bersesuaian dengan
saya. Mungkin.
Ah! Persetankan dengan sesuai atau tidak. Bukan itu matlamatnya. Bukan itu
yang penting sekarang ini. Apa yang penting, membela janggut adalah salah
satu perbuatan Nabi saw maka ianya suatu sunnah. Jika sudah dinamakan
sunnah, maka ianya merupakan pilihan sama ada hendak diikut atau tidak
(walaupun sebenarnya amat perlu diikuti). Dan saya memilih untuk mengikut
sunnah tersebut.
Paling menarik apabila seorang teman saya yang beragama Kristian menegur
saya. Katanya, jika saya hendak ke Amerika Syarikat, tentu saja saya tidak
akan mendapat visa. Kerana wajah saya yang iras² pengganas Taliban. Mulanya
saya hanya tersenyum. Namun setelah berulang kali ayat itu disebutkan di
hadapan saya, lalu saya katakan kepadanya; "I don't wanna go to US. There's
a lot of other places to go."
Rasanya, itulah kali terakhir dia menyebut pernyataan tersebut. Tetapi itu
teman saya yang beragama Kristian. Bagaimana pula ada sesetengah orang
Islam yang juga berpendapat imej sebegini sememangnya imej pengganas?
Apakah mereka tidak sedar perbuatan itu bererti dia menyamakan Nabi saw
dengan pengganas? Apa benarkah semua berjambang itu pengganas? Apakah yang
tidak berjambang itu baik² belaka?
Jikapun tidak dikaitkan dengan pengganas, imej berjambang ini dilihat
sebagai selekeh. Apakah boleh dilihat patut seseorang yang cuba mengamalkan
apa yang Nabi saw amalkan itu dianggap selekeh? Kebanyakan syarikat hari
ini, termasuk yang dimiliki oleh orang Islam memusuhi imej berjambang dan
berjanggut atas alasan ini. Mengapa ya, tergamak pula mereka mengikuti
ajaran 'seorang lelaki selekeh' (Nabi Muhammad saw).
Yang peliknya, apabila artis barat berjanggut, mereka katakan cantik pula.
Malah ramai di antara pemuda² sekarang ini yang membela janggut bagi
mengikut trend artis pujaan mereka. Sayang sekali. Perbuatannya sudah betul
(membela janggut), tetapi akibat niat yang tidak sempurna (kerana mengikut
artis), maka dia tidak memperolehi apa². Jika dapat ditukarkan sedikit
niatnya, nescaya hasilnya akan lebih baik.
Ini semuanya adalah akibat betapa jauhnya umat Islam hari ini dengan
pengetahuan mengenai Nabi saw yang mereka laungkan sebagai junjungan dan
menjadi ikutan. Mungkin bagi setengah pihak, apa ada pada pakaian atau
penampilan. Yang penting iman dan taqwa di dalam hati. Betullah perkataan
itu. Cuma, walaupun yang penting adalah iman dan taqwa di dalam hati,
penampilan kita tetap memainkan peranan juga.
Misalnya, apabila melihat seseorang yang bertanda merah atau putih atau
mungkin hitam di dahinya, tentu sekali kita tahu orang ini adalah penganut
hindu. Juga ketika melihat seseorang yang 'berihram oren' atau berjubah
hitam dengan setompok warna putih di bahagian lehernya. Kita boleh pastikan
mereka adalah penganut Buddha dan Kristian walaupun sekadar melihat secara
luaran sebegitu.
Lau orang Islam bagaimana? Apakah caranya untuk orang 'luar' mengenali kita
sebagai orang Islam? Apakah mereka perlu tunggu sehingga melihat kita
menunaikan solat atau ke masjid? Atau melihat kerakusan kita memilih
makanan ketika hampir waktu berbuka? Atau bagaimana? Di sinilah letaknya
kepentingan untuk menjaga tatatertib kita sebagai muslim. Bukan iman itu
terletak pada hati, pertuturan dan perbuatan? Bukan di hati semata².
Ini bukan cerita jambang dan janggut sahaja. Ini juga berkaitan dengan
aurat. Muslim sejati mesti berpakaian yang menutup sekurang²nya dari pusat
hingga lutut manakala muslimah di seluruh tubuh mereka kecuali muka dan dua
tapak tangan. Bukan sekadar bertudung tetapi lengan terdedah atau perut
'terboseh'. Berbaju pula perlu longgar agar tidak menampakkan sosok tubuh.
Barulah sesuai membawa nama Islam.
Berkata tentang ini, teringat saya kepada satu gambar kiriman teman saya.
Seorang pemain bola Arab Saudi (jika saya tidak tersilap) yang berlari di
tepi padang selepas menjaringkan gol sambil menayangkan bajunya yang
tertera perkataan dalam Bahasa Arab yang bermaksud lebih kurang 'kami rela
mati demimu ya Rasulullah'. Kita yang melihat gambar ini pun merasa bangga
kerana masih ada ahli sukan yang seberani itu.
Tetapi... Dengan berseluar pendek, rasanya seperti tidak kena pula. Iyalah.
Walaupun dia melaungkan rela mati kerana Rasulullah saw, apakah itu boleh
mengurangkan kemurkaan Baginda saw terhadapnya sedangkan semua orang tahu
betapa Baginda saw amat tegas akan perihal aurat ini? Wallahu 'alam...
No comments:
Post a Comment