Meletakkan Pengharapan
Hari pertama berada di tengah lautan dan bekerja pula di shift malam.
Ah...! Sememangnya ini bukanlah perkara yang saya gemari. Hari pertama...
Sudah pastilah terbayang² lagi di hadapan mata senyuman isteri dan keletah
anak saya, Nurul Naqibah Izzati yang sedang ligat belajar berjalan. Seperti
rasanya tidak mahu pulang bekerja. Seperti ingin terus²an duduk di rumah
bersama dengan mereka.
Namun inilah risiko yang saya perlu ambil tatkala saya membuat keputusan
untuk menerima tawaran bekerja di pelantar luar pesisir (offshore platform
). Perlu berjauhan dengan keluarga tercinta. Perlu hidup terasing dari
segala². Dengan komunikasi yang hampir terputus. Hanya panggilan telefon
selama 5 minit sehari dan juga email. Mujurlah masih boleh berutus email
sekalipun tidak dibenarkan melayari internet.
Sesekali teringat saat saya menghantar surat berhenti kerja di tempat kerja
saya yang sebelum ini. Beberapa hari selepas surat tersebut saya hantar,
seorang superintendant telah memanggil saya. Tujuannya bukanlah untuk
menaikkan gaji saya agar tidak jadi berhenti sebaliknya 'menakut²kan' saya
dengan beberapa cerita yang kurang enak didengar. Namun maksudnya tetap
sama. Agar saya meneruskan bekerja di syarikat tersebut.
Salah satu darinya ialah cerita bagaimana dia yang suatu ketika dahulu
pernah juga bekerja di pelantar luar pesisir tidak dapat pulang tatkala
ayahnya dimasukkan ke unit kawalan rapi atau ICU. Berceritalah dia
bagaimana dia gusar pada ketika itu. Mujurlah tidak ada apa² yang berlaku.
Lalu diapun membuat keputusan untuk segera mencari kerja lain di daratan
pula. Harus saya akui, sebenarnya ceritanya agak terkesan di dalam jiwa
saya.
Namun kemudian saya terfikir semula. Andai kata perkara ini berlaku kepada
saya, katakan salah seorang ahli keluarga saya ditimpa bencana, dan saya
berada di sisi mereka. Apakah yang mampu saya lakukan? Menghalang bencana
tersebut daripada berlaku? Katakanlah, seorang saudara saya dimasukkan ke
ICU. Apakah dengan kehadiran saya mampu menyelamatkan nyawanya?
Minggu lepas, ketika berbelanja untuk bekalan bulanan keluarga kami, saya
telah membelikan high chair (kerusi makan untuk bayi) untuk Naqibah. Saya
kira, dengan kerusi itu, bolehlah Naqibah duduk bersama kami ketika makan.
Semoga dengan itu perkembangan mindanya akan lebih pantas. Pada awalnya
kami sangkakan Naqibah tidak akan mahu duduk di situ namun rupanya, dia
begitu seronok dan kadangkala meminta diletakkan di kerusi itu.
Hingga pada suatu hari, Naqibah merengek meminta dia diletakkan di atas
high chair tersebut. Ketika itu ayah, ibu dan saya sendiri berada
bersamanya di dapur. Satu masalahnya ialah Naqibah terlalu aktif dan amat
suka memanjat. Dan kerana itu, pada satu ketika dia telah berdiri di atas
kerusi tersebut lalu cuba menggapai sesuatu di atas almari. Kerana keadaan
yang tidak stabil, Naqibah telah terus tersembam di atas lantai.
Ayah saya menggigil ketakutan. Mujurlah tidak ada sebarang kecederaan pada
Naqibah. Meskipun secarik luka. Sebenarnya kerusi itu dilengkapi dengan
tapi pinggang keselamatan. Namun ayah saya tidak mengenakan tali pinggang
tersebut kepada Naqibah kerana menyangka dia berada di sisi Naqibah dan
pastinya dia dapat melihat dan membetulkan jika ada apa² yang tidak betul
berlaku nanti.
Setelah keadaan kembali reda, ibu saya berkata, jika Allah menghendaki
sesuatu kejadian itu berlaku, maka sudah pasti ia akan berlaku. Tidak ada
yang dapat menahannya. Lihatlah. Ketika kejadian, kami bertiga ada bersama²
Naqibah. Namun tidak seorang pun di antara kami yang perasan apatah lagi
mampu menghalang kejadian itu dari berlaku. Naqibah tetap tersembam
walaupun kami bertiga hampir padanya.
Relatifnya dengan apa yang saya sebut di awal artikel ini, sebenarnya tidak
ada apa yang perlu saya khuatirkan untuk bekerja di tengah lautan ini.
Kerana sama ada saya ada atau tidak di sisi mana² ahli keluarga saya,
sesuatu yang telah Allah tetapkan pasti akan berlaku. Bahkan, jika saya
bekerja di darat sekalipun, belum tentu saya mampu untuk hadir dalam setiap
kejadian yang berlaku.
Apakah pasti orang yang bekerja di halaman rumahnya sendiri akan dapat
melihat saat² ibu atau ayahnya menghembuskan nafas terakhir? Dan apakah
sudah tentu bahawa orang yang bekerja di kutub utara tidak akan dapat
melihat ayah atau ibunya dijembut Izrail? Tidak.Itu rahsia Allah. Namun,
mengapa masih kita rasakan bahawa berada dekat dengan keluarga itu satu
kemestian? Seolah² nasib mereka kita yang menentukan.
Bukanlah saya katakan kita harus berserah bulat² kepada Allah. Sedang Nabi
saw katakan kepada sahabat Baginda bahawa unta yang tidak ditambat tidak
boleh dikatakan tawakkal. Atau maksudnya dalam perkataan lain, bukanlah
tawakkal sekiranya suatu perkara itu tidak didahului oleh usaha yang
bersesuaian. Bukan. Bukan itu. Setiap yang kita mahu, kita perlu usahakan.
Kemudian berdoa meminta kejayaan. Itu barulah boleh dipanggil bertwakkal.
Namun yang saya kisahkan di sini ialah sifat kebanyakan dari kita,
terutamanya saya sendiri yang adakalanya berfikir, bagaimanakah agaknya
keadaan keluarga kita andainya sesuatu terjadi ketika kita tiada. Walaupun
benar kita mungkin orang yang penting di dalam keluarga, namun tidak wajar
sebenarnya untuk kita mengangka bahawa keluarga kita tidak akan terjaga
tanpa adanya kita bersama mereka.
Kerana sebenarnya yang menjaga setiap dari kita adalah Allah semata².
Bagaimanakah kita sendiri yang nasib kita ditentukan oleh Tuhan Yang Maha
Menentukan dapat menentukan nasib orang lain? Di manakah kita letakkan
pengharapan kita? Bukankah kita sewajarnya mengharap kepada Allah? Bukankah
kita ini hanyalah makhluk dan bukankah haram untuk berharap kepada makhluk?
Mengapakah kita mahu keluarga kita berharap kepada kita?
Baru² ini abang saya menyertai kumpulan Jemaah Tabligh yang keluar 40 hari.
Banyak pengalaman yang abang saya kutip dan antara lain ialah kisah
bagaimana seorang temannya yang isterinya menderita berak darah dan perut
yang membusung. Kagum rasanya apabila abang saya memberitahu bahawa
temannya tetap menghabiskan 40 hari tersebut. Namun dari semasa ke samasa
beliau menghubungi isterinya untuk mengetahui status terkini.
Mungkin bagi sesetengah dari anda perbuatan teman abang saya itu sebagai
melampau tetapi apa yang abang saya katakan, temannya berpendapat kehadiran
dia di sisi isterinya tidak mampu mengubah keadaan. Kerana dia bukan
doktor, bukan tabib apatah lagi tuhan. Difikir² kembali, saya rasa ada
betulnya. Malah apabila saya kaitkan semula dengan kisah Naqibah yang
terjatuh dari high chair tempohari, rasanya tepat benar pendapatnya itu.
Tetapi kita ini manusia yang Allah kurniakan dengan perasaan kasih dan
sayang. Sememangnya atas dasar itulah kita mahu berada di sisi orang yang
kita kasihi terutama dalam saat² yang genting. Untuk mengutamakan mereka
bukanlah suatu kesalahan. Tetapi beranggapan bahawa hanya kita harapan
mereka untuk menghadapi kesusahan itu adalah suatu kesilapan. Kerana hanya
Allah yang layak diletakkan segala pengharapan.....
No comments:
Post a Comment