01 April 2006

April Fool


Selamat menyambut hari April Fool. Agaknya, mungkin ramai yang terkejut dan
tidak kurang juga yang marah² jika terbaca ayat pertama saya ini. Iyalah.
Setelah berjela² penerangan diberikan, saya masih hendak menyambut hari
'Kebodohan April' ini pula? Hm... Sahlah saya ini bodoh kalau saya berbuat
begitu, bukan? Kerana dikatakan sambutan April Fool berkaitan dengan
sejarah Islam di bumi Sepanyol.

Dikatakan, setelah Islam bertapak kukuh di Sepanyol, akhirnya Islam telah
tewas dalam peperangan dengan tentera Nasrani. Ramailah para pejuang dan
rakyat yang bersembunyi di celah² gunung dan hutan. Kemudian orang² Islam
ini telah dipujuk keluar dengan cara dikhabarkan kepada mereka ada kapal
yang sedang menunggu untuk membawa mereka berpindah. Sebaik mereka keluar,
kapal tersebut dibakar dan mereka pula disiksa.

Itu kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut. Sejauh mana kebenarannya,
saya tidak dapat memastikan. Namun, seandainya kisah ini benar, saya
berpendapat sememangnya tarikh 1 April ini ada sesuatu untuk disambut.
Bukanlah disambut sebenarnya. Perkataan yang lebih tepat ialah untuk
dikenang. Jika benar 1 April adalah hari ulang tahun umat Islam
diperbodohkan, maka adalah tidak wajar untuk kita melupakan begitu sahaja.

Tidak. Saya tidak menulis untuk menyeru sahabat² semua menangkat pedang
atau senapang dan mula memperbodohkan pula orang² kafir. Tidak. Bukan
begitu maksud saya. Sebaliknya, apa kata jika kita mengenang hari ini (1
April) sebagai hari bagaimana sebuah umat atau empayar yang gagah dan utuh
akhirnya terjerumus dan dihina dengan penghinaan yang tidak sanggup untuk
kita ulang cerita.

Tanggal 1 April sepatutnya menjadi satu tarikh yang sering kita sebut².
Kerana pada tanggal inilah tersaksi betapa umat Islam, yang sepatutnya
dipimpin oleh akal dan iman, bukan nafsu, yang sepatutnya menjadi umat yang
terpandai di kalangan yang pandai kerana mendapat petunjuk terus dari
langit, telah diperbodohkan dan direndahkan martabatnya oleh sekelompok
manusia yang dulunya berada di bawah kaki mereka.

Sudah setentunya tarikh ini mengundang nestapa di hati kita. Tetapi kerana
apakah nestapa itu hadir? Adakah kerana sedih mengenangkan kejatuhan Islam?
Jika begitu, soalan saya yang pertama adalah benarkan Islam itu jatuh?
Jawabnya adalah idak. Islam tidak pernah jatuh. Sebaliknya yang jatuh, yang
hina dan yang dikeji adalah penganut² Islam. Bukan Islam. Kerana Islam
tetap agung dan Islam tetap akan berada teratas sekali dikalangan yang
atas.

Soalan kedua, apakah umat Islam telah dihina dan diperbodohan pada tarikh 1
April tersebut sahaja? Jawapannya juga tidak. Malah umat Islam terus²an
dihina, dikeji, dicela dan diperbodohkan saban hari sehinggalah hari ini.
Dan soalan yang ketiga, bagaimanakah boleh umat Islam diperbodohkan
sedemikian rupa. Secara peribadi, saya ada satu jawapan mudah. Kerana umat
Islam telah meninggalkan kebijaksanaan mereka iaitu al-Quran dan hadits.

Lihat sahaja dunia hari ini. Bukan sedikit manusia yang mengaku muslim yang
berbangga dengan tingkahlaku mereka yang secara jelas, terang dan nyata
bercanggah dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran. Baik dari segi
pemakaian, corak pemikiran hinggalah ke tahap pentadbiran. Bukan setakat
berbangga dengan kejahilan mereka, bahkan turut tergamak menghinakan sistem
yang syumul ini.

Di dada² majalah, terpampang bagaimana artis² lelaki dan perempuan
berpelukan sesama sendiri. Walaupun bibir terkunci rapi tetapi seolahnya
dengan perbuatan itu mereka berkata, "inilah trend masa kini dan inilah
yang melambangkan kemodenan pemikiran kami". Bukankah ini juga lambang
betapa kita telah terus²an diperbudakkan oleh pemikiran barat? Dan bukankah
ini 'papan tanda' akan 'kemerengan' otak kita?

Tidak kurang pula golongan² yang duduk di kerusi empuk yang dengan
bangganya berkata dunia sekarang adalah dunia kapitalis. Menindas dan
memakan harta orang lain bukan setakat tidak menjadi kesalahan bahkan telah
menjadi kewajipan bagi memenuhi apa yang mereka panggil sebagai survival.
Tidakkah ini juga menggambarkan betapa umat Islam hari ini masih lagi bodoh
dan dungu?

Para pemimpin kita hari ini pula begitu sibuk merancang kemajuan dan begitu
seronok melakarkan wawasan untuk memajukan negara² Islam dalam tempoh 14
tahun lagi. Persoalannya, apakah jenis kemajuan yang kita cari? Apakah kita
mahukan sebuah kemajuan dengan acuan barat, di mana nafsu diletakkan
sebagai pemacu dalam pembangunan hidup mereka? Atau dengan acuan kita yang
lebih mengutamakan pembangunan rohani?

Setiap hari ada saja seruan dari pihak pemerintah untuk kita memajukan
ekonomi. Ekonomi, ekonomi dan ekonomi. Apakah kita lupa, saudara kita yang
diperbodohkan pada tanggal 1 April dahulu adalah begitu hebat dalam
ekonomi. Meraka hidup dengan kesejahteraan dan kekayaan. Dan harus pula
kita ingat, disebabkan kekukuhan ekonomi itulah mereka terlupa untuk
mengukuhkan iman dan akhirnya bertempiaran lari ketika diserang.

Di zaman Nabi saw dan Kahlifa urRasyidin r.anhuma, umat Islam tidaklah
begitu hebat dalam ekonomi. Namun iman mereka begitu mekar dan kuat. Dengan
keimanan yang hebat itulah mereka tampil di medan perang. Mereka tidak
berperang untuk mencari ghanimah sebaliknya mereka berperang untuk mencari
syurga Allah. Mereka bukan setakat tidak takut akan kematian sebaliknya
mereka pula yang mencari syahid.

Itulah bezanya mereka dengan generasi yang diperbodohkan dulu dan juga
generasi kita sekarang ini. Kerana itulah Islam cukup disegani di zaman
mereka tetapi telah diinjak dan dihina dalam generasi selepasnya malah
hingga ke hari ini. Umat Islam bukan disegani kerana kemajuan ataupun
kekayaan harta benda. Sebaliknya kerana kesuburan dan kekayaan iman yang
kukuh di dalam hati.

Maka sekiranya April Fool berlaku sekali lagi pada hari ini, tidak ada apa
yang perlu kita pelik dan hairankan. Kerana dalam dunia hari ini, setiap
hari adalah April Fool. Setiap hari umat Islam telah, sedang dan akan
diperbodohkan. Mungkin corak pembodohan tidak serupa tetapi hakikatnya
tetap sama. Selagi kita mengikut pemikiran mereka, meletakkan kekayaan
mengatasi segala²nya. selagi itulah kita sedang diperbodohkan.

Tidaklah saya maksudkan menjadi muslim kita dimestikan zuhud atau membuang
dunia dan hanya menumpukan kepada akhirat. Tidak. Bahkan saya tidak
menafikan mencari harta juga ada pahala yang telah Allah janjikan. Tetapi
berkadaranlah. Janganlah kerana hendak segera bergelar jutawan, kita
sanggup bina jambatan yang retak hanya selepas 5 tahun digunakan hingga
membahayakan nyawa orang awam. Itukan memakan hak orang lain namanya.

Jadi marilah kita bersama mengenang April Fool ini. Tetapi dalam acuan kita
sendiri, bukan acuan mereka. Kita jadikan tarikh 1 April ini untuk menjadi
pencetus kita untuk memuhasabah diri kita sendiri. Marilah kita katakan
kepada diri kita sendiri, "aku sudah cukup diperbodohkan". Semoga suatu
hari nanti kita akan berjaya ubah 1 April bukan sebagai tarikh untuk
mengenang umat Islam diperbodohkan tetapi sebagai tarikh umat Islam mula
diberikan pengajaran.

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.