03 April 2006

Kejayaan Di Dalam Sebuah Kegagalan


Baru² ini saya ada menerima sepucuk emel (bolehkah disebut sebagai
sepucuk?) yang datangnya daripada persatuan bekas pelajar (alumni) kursus
yang pernah saya ikuti di universiti dahulu. Emel tersebut antara lainnya
menyebut tentang perancangan jangka pendek alumni tersebut dan salah satu
dari perancangan tersebut adalah pertandingan golf antara ahli. "Huh!"
getus hati saya. Mengapa mesti golf?

Saya memang cukup anti dengan 'sukan' golf ini. Bukan kerana saya tidak
mampu menyertainya tetapi kerana bagi saya golf terlalu banyak membazirkan
tanah. Seandainya lapang² yang digunakan sebagai course ini didirikan rumah
kos rendah atau rumah PPRT, sudah pastinya kita boleh turunkan kadar
setinggan, kalau pun tidak membasminya sama sekali di bandar² besar.

Lalu, di dalam email balasan, saya telah memberikan kritikan yang agak
pedas. Saya kira akan dibidas semula tetapi Alhamdulillah, nampaknya ramai
pula yang bersetuju. Namun ada sepucuk emel saya kira tidak suka dengan
tulisan saya itu. Bagaimanapun, saya tertarik kepada ayatnya yang berbunyi
"adakah kerana kita sudah mempunyai kertas yang dipanggil diploma atau
degree dan pejabat tinggi melangit maka kita rasa kita sudah berjaya?"

Berjaya? Apakah yang kita katakan sebagai berjaya? Pada manakah kita
letakkan skala kejayaan kita? Pada harta benda yang kita miliki? Atau pada
pangkat dan kedudukan yang kita ada? Atau pada gaji atau pendapatan yang
kita perolehi setiap bulan? Apakah orang² kaya itu berjaya manakala ulama
yang zuhud itu gagal? Atau adakah seorang jurutera itu dikira sebagai
berjaya manakala tukang sapu pula seorang yang gagal?

Apakah saya ini orang yang berjaya? Jawapan saya ya dan tidak. Di kalangan
rakan sekampung, saya dikatakan berjaya kerana mempunyai pendapatan yang
lebih baik dari mereka. Tetapi di kalangan teman² sekuliahan dahulu, saya
adalah di kalangan orang yang gagal kerana mereka kini di kedudukan yang
selesa manakala saya masih lagi seorang juruteknik cabuk di syarikat 'orang
putih'.

Begitu juga si tukang sapu tadi. Mungkin kedudukannya dalam hirarki
masyarakat adalah rendah tetapi siapa yang tahu dia sebenarnya seorang bapa
yang berjaya? Mungkin anak²nya telah sedia terdidik menjadi hamba Allah
yang taat dan warga masyarakat yang berguna manakala si jurutera pula,
gagal membentuk anak²nya hingga kesemuanya dihanyutkan oleh arus kebendaan.
Jika dibandingkan sebegini, siapakah yang lebih berjaya?

Sebenarnya, berjaya atau gagal adalah terpulang kepada diri kita sendiri
untuk menilainya. Juga bergantung kepada faktor yang kita jadikan ukuran
untuk skala kejayaan kita. Tidak semestinya sebuah kegagalan itu adalah
kegagalan. Mungkin juga apa yang kita pandang sebagai kegagalan, adalah
sebenarnya sebuah kejayaan untuk kita tanpa kita sedarinya. Begitu juga
sebaliknya.

Suatu ketika dahulu, saya meletakkan jurusan Kejuruteraan Petroleum sebagai
pilihan utama saya ketika mengisi borang UPU. Bukanlah kerana minat yang
mendalam terhadap kursus ini tetapi bagi memuaskan isi hati kedua orang tua
saya yang tidak suka melihat saya memenuhi cita² saya untuk menjadi seorang
peguam. Saya duduki kursus ini dengan pengetahuan yang minimum tentang
apakah itu Kejuruteraan Petroleum.

Hanya setelah menyelesaikan tahun pertama saya, barulah saya sedar bahawa
ini sememangnya bukan dunia saya. Saya seolah² memaksa diri saya untuk
belajar apa yang sebenarnya saya tidak minati. Kemudian pelajaran saya
jatuh merudum. Ditambah pula dengan pergaulan yang terlalu bebas, nyaris²
saya dibuang dari pengajian. Dengan keadaan begini, apakah boleh saya
dikatakan seorang yang gagal?

Mungkin. Mungkin, kerana saya tidak lulus dengan cemerlang dalam setiap
subjek yang saya ambil. Mungkin, kerana saya tidak mampu mewujudkan minat
di dalam jiwa saya terhadap kursus ini. Tetapi, sungguhpun begitu, saya
mampu memuaskan hati kedua orang tua saya dengan mengikuti kursus ini.
Apakah ini tidak boleh disebut sebagai kejayaan? Dan saya juga di dalam
kerjaya sekarang kerana kursus yang saya ikuti dulu. Bukankah ini juga
kejayaan?

Lalu bagaimana? Saya tidak mampu meletakkan diri saya di dalam kelompok
orang² yang berjaya atau orang² yang gagal. Mengapa? Kerana walaupun gagal
saya tetap berjaya pada satu sudut yang lain pula. Inilah seninya ciptaan
Allah. Inilah keadilan yang hanya Allah mampu berikan kepada kita. Kita
gagal dan berjaya di dalam satu waktu yang sama. Atau dengan perkataan yang
mudah, tidak ada sesiapa yang gagal sebenarnya.

Begitu juga dengan orang² yang kaya. Kita lihat mereka mempunyai rumah yang
ibaratnya istana. Kereta yang panjangnya seperti ular sawa dan wang di bank
berjuta². Apakah mereka ini berjaya? Sudah tentu. Tetapi sebenarnya mereka
juga gagal. Mereka ini gagal dalam memperolehi ketenangan dalam hidup
kerana setiap masa sentiasa memikirkan tentang harta yang mereka ada.
Mereka juga gagal memanfaatkan masa untuk berada di samping keluarga.

Jadi, bolehkah untuk kita letakkan skala kejayaan itu pada bilangan harta
benda yang kita miliki? Tidak! Atau bolehkah kita sandarkan kepada
kedudukan dan pangkat? Juga tidak boleh. Apatah lagi pada pendapatan yang
kita perolehi. Sudah tentunya tidak. Kerana kejayaan adalah suatu perkara
yang subjektif. Ia bergantung kepada cara untuk kita menilai apakah maksud
kejayaan pada diri kita sebenarnya.

Sebagaimana seorang pegawai kerajaan yang biasa hidupnya dalam kemewahan.
Namun segalanya itu diperolehi dari jalan yang salah (rasuah & seludup).
Apabila sampai cahaya hidayah kepadanya, dia pun berhenti kerja kerana
berpendapat dia tidak akan mampu menahan nafsu jika meneruskan kerjanya.
Maka hiduplah dia sebagai peniaga pasar malam dengan pendapatan sekadar
adanya, tidak lagi semewah dahulu.

Mungkin ada yang menganggap orang ini sebagai gagal. Meninggalkan segala
kemewahan yang pernah dimilikinya. Sedangkan pada hakikatnya dia amat
berjaya kerana mampu melawan nafsunya. Walaupun rezekinya kini terhad,
namun sudah terang akan halalnya. Hidup juga tidak lagi di dalam ketakutan
bahawa dirinya akan dicekup apabila salah lakunya dibongkar. Bagi saya,
inilah yang layak digelar sebuah kejayaan.

Kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi jutawan dengan harta yang boleh
kekal sehingga generasi ke sepuluh, atau menunggu sehingga ke taraf
kedudukan seorang pemimpin agung untuk mengisytiharkan diri kita sebagai
telah berjaya. Kerana sebenarnya, kita sudahpun berjaya dengan siapapun
diri kita dan apapun kedudukan kita. Bahkan jika gagal sekalipun, di dalam
setiap kegagalan pasti ada terselit sebuah kejayaan.

Dan disebabkan setiap kegagalan itu terdapat sebuah (atau mugkin lebih)
kejayaan, maka sudah tentunya tidak ada sebab untuk kita merasa sedih atau
kecewa apatah lagi berputus asa. atas apa² kegagalan yang kita tempuhi. Dan
sesungguhnya, orang yang paling berjaya adalah orang yang sentiasa
mensyukuri apa juga yang dia perolehi. Tidak pernah mengeluh akan
kesusahannya dan tidak lupa diri dengan kesenangan. Inilah sebenar²
kejayaan...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.