20 April 2006

Ayah


Seronok melihat anak saya bermain. Baru berusia setahun 2 bulan, Naqibah tampak beitu cergas dan ada kalanya terlalu mengada². Terutama terhadap datuknya yang terlebih² memanjakannya. Kata ibu, Naqibah banyak mengikut sifat semula jadi saya. Paling ketara ialah ‘keras hati’ dan ‘kepala batu’. Nampak gayanya, bakal ‘meletuplah’ saya dan anak saya nanti.

Dalam penat melayannya, ada kalanya saya menjadi marah. Budak kecil, apa yang dia tahu. Semakin kita larang, semakin itulah dia menjadi semakin galak untuk melakukannya. Tetapi kadangkala saya terlupa akan hakikat ini. Itu membuatkan saya terfikir. Agaknya beginilah ‘lelahnya’ ibu dan ayah saya melayan saya ketika kecil. Maklumlah, seperti kata ibu, Naqibah banyak mewarisi sifat degil saya.

Ayah adalah seorang yang tegas. Rasanya ketika kecil, kami puas dibelasah dengan tali pinggang. Tetapi tidaklah sampai tahap didera. Dan kami juga dipukul sesuai dengan kesalahan yang kami lakukan. Tetapi itulah… Kadangkala kita tidak tahu apa salahnya dengan perbuatan kita. Kadangkala terasa seolah² ayah memang membenci dan memang sengaja mencari salah kami.

Dalam adik beradik seramai 6 orang, kata ibu, abang saya yang sulong adalah yang paling jarang atau paling sedikit menerima hukuman. Jika membuat kesalahan pun, walaupun tetap dipukul tetapi biasanya terlalu sekejap. Jadi yang ternampak di mata kami, ayah lebih menyayangi abang sulong saya lebih dari kami 5 beradik yang lain. Ayah berat sebelah dalam memberi kasih sayang.

Dan apabila abang telah bekerja, abang banyak membantu keluarga. Kami dapat melihat perhatian ayah lebih kepada abang sulong saya itu. Sebagai anak, bohonglah jika kami tidak cemburu. Kami juga mahukan perhatian yang sama. Akhirnya, ada antara adik beradik saya yang mula merenggangkan diri dengan ayah kerana percaya ayah tidak adil dalam memberi kasih sayang.

Hingga tibalah masanya apabila saya pula yang mengambil alih menanggung beban keluarga. Kini, perhatian ayah seolah² teralih kepada saya. Pernah juga kakak saya katakan kalau saya yang berkata tentang sesuatu perkara, tentu saya ayah akan bersetuju. Saya tertawa mendengar kata²nya. Apa yang berlaku sebenarnya, mereka tidak mengerti apa yang terjadi.

Semasa ayah memberikan lebih perhatian terhadap abang saya, saya melihat dari sudut yang berbeza dengan saudara yang lain. Saya memerhatikan apa yang membuatkan ayah begitu menyayangi abang saya. Rupanya begitu mudah. Kasih sayang yang sebegitu dicurahkan oleh ayah kepada abang saya sememangnya bersesuaian dengan cara abang saya menghormati ayah.

Semasa kecil, jika abang disebat kerana sesuatu kesalahan, abang tidak pernah cuba menafikan atau menegakkan benang yang basah. Abang hanya duduk diam menunggu tali pinggang mencecah badannya. Berbanding kami yang terjerit² kesakitan sambil tetap cuba menafikan kesalahan yang kami lakukan. Sedangkan ayah tidak akan menghukum tanpa bukti yang kukuh.

Dalam keadaan abang yang sebegitu, kata ayah, dia tidak sampai hati untuk terus menghukum abang. Begitu juga setelah dewasa. Abang tidak pernah membelakangi ayah dalam segala hal. Hendak membeli motorsikalpun abang tetap mengajak ayah bersama. Abang meletakkan ayah dalam sati kelompok terpenting di dalam hidupnya. Maka, wajarlah ayah lebih menyayanginya.

Dalam hal berkasih sayang, memang sudah untuk bersifat adil. Percayalah, tidak ada ibu bapa yang mampu menyayangi kesemua anaknya dengan jumlah kasih sayang yang sama. Sungguhpun begitu, anak² lain tetap juga mereka sayangi. Walaupun tidak seperti anak yang seorang itu, tetapi kasih mereka terhadap anak² mereka tetap melebihi dari kasihnya terhadap diri sendiri.

Pernah saya tanyakan kepada kakak saya yang mengatakan saya sebagai anak kesayangan, apakah selama ini ayah membiarkannya tanpa perhatian? Seketika kemudian kakak saya berkata “ya juga… Dulu aku demam, tengah malam ayah ketuk pintu tanya aku nak ubat tak… Nak pergi klinik tak… Masa tu aku dah kahwin dah… dalam hati aku cakap, sayang juga ayah pada aku…”

Memang sayang. Yang menjadi masalah adalah mata kita sendiri yang selalunya diseliputi oleh selaput cemburu yang sebenarnya diletakkan oleh syaitan. Pernahkah kita tanyakan kepada diri sendiri, jika kita mahukan sekian banyak perhatian dari ayah atau ibu kita, apakah ianya bersesuaian dengan kasih sayang yang kita curahkan kepada mereka berdua?

Seorang ibu atau ayah tidak perlukan segunung emas dan permata sebagai tanda dirinya disayangi oleh anak²nya. Juga tidak memerlukan rumah besar seumpama gedung. Yang mereka perlukan ialah penghormatan dari anak² sesuai dengan kedudukan mereka sebagai orang tua. Mereka hanya mahukan perhatian dari anak² yang mendengar kata.

Apakah kita mampu katakan kita menyayangi mereka padahal dalam membuat sesuatu keputusan kita lebih gemar mendengar nasihat dari kawan²? Apakah kita rasakan kita sudah cukup menyayangi mereka dengan kiriman sebanyak RM200 setiap bulan sedangkan kita lebih kerap menelefon kekasih kita yang kita temui setiap hari berbanding mereka seandainya kita tinggal berjauhan?

Kini, Alhamdulillah kesemua adik beradik saya faham bahawa ayah menyayangi kesemua kami dengan sepenuh hatinya. Tidak ada lagi yang hendak cemburu buta. Sesungguhnya syaitan itu tidak akan senang sehinggalah umat Islam itu berpecah belah dan melupakan Tuhan mereka. Dan sudah tentu syaitan ‘lebih berpuas hati’ jika dapat menjadikan sebuah keluarga bermusuhan sesama sendiri.

Tiba suatu masa nanti kita juga insyaAllah akan menjadi seorang ibu atau ayah. Di ketika itu tentu sahaja kita akan memahami mengapa suatu ketika dulu ayah dan ibu melakukan apa yang telah mereka lakukan. Dan, tentu sekali di suatu masa nanti, jika ada antara anak kita yang menuduh kita tidak berlaku adil, kita akan merasakan bagaimana sulitnya keadaan itu…

(Artikel ini saya tulis atas permintaan seorang sahabat… Wassalam…)

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.