08 April 2006

Sebatang Pokok, Secawan Kopi Dan Sebuah Kehidupan


Seorang petani mempunyai sebatang pokok rambutan yang cukup merimbun.
Dahannya berceracak ke sana dan ke mari. Dan setiap dahan itu pula,
menghasilkan rimbunan buah yang cukup lebat. Pada awalnya si petani berasa
cukup girang menantikan masa ranum. Namun ketika tiba masanya, petani
tersebut menjadi hampa. Kerana pokok yang rimbun itu berbuah masam rupanya.

Apa yang harus si petani lakukan? Menebang terus pokok tersebut? Rugi pula.
Mungkin pokok ini akan berbuah yang lebih baik di musim hadapan. Cantas
kesemua dahannya agar nanti tumbuh dahan yang baru? Semoga nanti dahan yang
baru ini akan menghasilkan buah yang enak? Atau abaikan sahaja pokok
tersebut? Kerana tidak mungkin lagi ia akan menghasilkan buah yang baru?

Jika si petani melakukan salah satu atau kesemua langkah yang tersenarai di
atas, pastinya si petani akan tergolong dalam golongan orang² yang rugi.
Kerana pokok itu tidak terhasil dengan sendirinya. Banyak peluh yang telah
dititiskan oleh petani tersebut. Maka, bukankah lebih elok jika si petani
membaja dahulu akar pokok tersebut. Sebelum dicantas dahannya, kan lebih
diperiksa akarnya terlebih dahulu?

Sebenarnya kehidupan kita ini umpama pokok rambutan tersebut. Rimbunan daun
dan dahan yang berceracak itu umpama harta dunia yang kita miliki. Manakala
buahnya adalah hasil iaitu keseronokan hidup yang kita rasai. Pohon yang
rimbun belum tentu menghasilkan buah yang cukup baik. Begitu juga harta
yang banyak belum tentu menjanjikan kebahagiaan.

Akar pokok itu melambangkan jiwa atau rohani kita manakala bajanya adalah
iman dan taqwa. Mungkin dalam kes ini, si pokok masih lagi mampu mencari
makanan melalui akarnya namun, zat yang diperolehi tidak mencukupi atau
bukan yang terbaik. Dan begitulah hidup kita. Mungkin kita rasakan segala
amalan yang kita lakukan telah mencukup sedangkan pada hakikat, kita masih
belum menemui kemanisan hidup.

Kemanisan hidup ini kita takkan perolehi dengan harta benda. Biarpun kita
miliki gedung² mewah yang bernilai ratusan juta ringgit, atau mungkin
ladang yang luasnya puluhan ribu ekar, itu semua tidak menjanjikan
kemanisan hidup buat kita. Kerana, harta benda hanya akan membuat jiwa kita
menjadi semakin kosong dan semakin layu jika kita terlalu mengejarnya.

Kata orang, agama dijunjung, dunia dijinjing. Kalau goyang agama, maka
lepaskanlah dunia dan selamatkanlah agama terlebih dahulu. Namun ada juga
yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Kata mereka, dunia dan akhirat
harus dipegang sama. Jangan jatuh salah satu. Harus sama rata. Iyakah?
Mungkin. Tetapi, apakah boleh kita memegang keduanya dengan sama eratnya?

Jawapannya tidak. Sama sekali tidak. Cubalah. Jika kita mengejar dunia,
pasti akhirat kita akan keciciran. Betul, walaupun bekerja kita tetap juga
bersolat. Tetapi, seawal manakah solat kita itu didirikan? Sejauh manakah
pula khusuknya jika asyik teringatkan tugasan yang belum dibereskan? Nyata
tidak akan wujud keseimbangan antara dunia dan akhirat di dalam jiwa kita.

Namun kata orang lagi, dunia itu ibarat bebayang. Semakin kita mengejar
maka semakin ia menjauh. Manakala akhirat pula umpama matahari. Semakin
kita kejar matahari, maka semakin pula bebayang tadi mengejar kita. Iaitu,
seandainya kita terus mengejar akhirat, percaya atau tidak bahawa dunia
akan mengejar kita. Lalu kita tidak perlu mengejar dunia lagi.

Tetapi amat sukar untuk menetapkan hati untuk mengejar akhirat semata.
Kerana akhirat tidak kelihatan di mata. Walaupun kita cukup sadari bahawa
setiap amalan akan beroleh balasan, namun yang kita sering titik beratkan
adalah balasan yang tampak di mata. Justeru tidak hairanlah seharian kita
(termasuk saya) terus-terusan mengejar dunia lebih dari akhirat itu
sendiri.

Hingga akhirnya kita hanyut dalam arus kehidupan namun masih lagi terlupa.
Dan apa yang lebih menyedihkan, kita tidak sadar akan kesilapan yang telah
kita lakukan. Terus²an mengejar bayang² dan meninggalkan matahari di
belakang. Hingga akhirnya hari pun malam. Dan apabila kita tersedar, sudah
terlalu lewat. Matahari sudah tidak akan terbit lagi. Wana'uzubillahi
minzalik...

Hidup ini sebenarnya umpama secawan air suam. Lalu kita masukkan gula yang
berupa harta, keluarga dan segala macam nikmat dunia. Walaupun kini air itu
telah menjadi manis, namun ianya tidak mempunyai sebarang perasa yang mampu
menambat hati kita. Lalu kita taburkan pula serbuk untuk menambah rasa.
Barulah ianya enak untuk dinikmati.

Itulah peranan iman di dalam hidup. Mungkin bagi sesetengah orang,
kemanisan gula sudah memadai. Namun kehadiran kopi akan menjadikan air itu
lebih berselera untuk diminum. Hanya, seberapa banyak serbuk kopi yang
perlu kita taburkan, bergantung kepada keperluan kita sendiri. Bagi yang
berjaga malam, tentunya mereka lebih gemarkan kopi yang lebih pekat atau
'kaw'.

Begitulah sebuah kehidupan. Benar, tanpa iman di dalam jiwa, kita masih
mampu menikmati kehidupan yang ada. Namun, dengan kekuatan dan ketebalan
iman, segala harta dan nikmat dunia ini akan menjadi lebih sempurna.
Walaupun kita tetap juga mengejar dunia, namun kita tahu ada masa untuk
kita berehat untuk minum secawan kopi. Tanpa iman, kita sendiri yang
keletihan kerana berlari tanpa henti.

Namun adakalanya kopi yang dibancuh tersalah adunan. Mungkin terlebih
kopinya atau mungkin terlebih gula. Jika ditambah gula atau kopi lagi,
bimbang nanti airnya akan menjadi semakin pekat pula akhirnya. Di
penghujungnya, kita juga yang bakal kehilangan selera. Tetapi kopi yang
sebegitu tidak perlu dibuang. Tidak salah jika kita membancuh semula.

Bahagikanlah kepada 2 bahagian kemudian tambahkan lagi air dan bancuhlah
semula mengikut resepi yang sepatutnya. Kini kita telah punyai 2 cawan
kopi. Jadi bolehlah kita berkongsi kenikmatan yang sama dengan rakan kita.
Itulah hebatnya agama Islam. Kerana Allah yang mencipta manusia, maka Allah
tahu kelemahan kita. Kerana itulah Dia telah menyediakan jalan untuk
bertaubat.

Kopi yang saya minum semakin lama semakin hilang 'kaw'nya. Kini, semakin
manis pula rasanya. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya membancuh semula.

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.