Bertemu Saudara baru
Malam semalam saya berpeluang mengikuti rakan saya ke sebuah majlis home party. Jangan tersalah anggap pula. Parti yang saya maksudkan ini bukanlah seperti parti goyang² kepala, minum², mabuk² dan bergomolan lelaki dan perempuan. Tidak. Sebaliknya ia adalah sebuah majlis makan² yang dianjurkan oleh pengedar² sebuah syarikat MLM untuk berkongsi pengalaman (sharing).
Majlis berjalan dengan lancar dan saya juga mendapat teman² baru disamping berpeluang menimba pengalaman dari penceritaan oleh mereka yang telah berjaya dalam bisnes yang mereka ceburi itu. Tetapi saya tidak mahu bercerita tentang syarikat itu, pelan pemasarannya mahupun produk mereka. Biarlah. Bukan itu yang menjadi tumpuan saya ketika ini.
Di penghujung majlis, ketika saya sedang hendak mengundurkan diri, tiba² kumpulan tempat kami berbual didatangi oleh seorang pemuda. Dalam kesamaran saya dapat melihat perwatakan pemuda tersebut yang saya kira agak menarik. Pemuda tersebut bertanyakan sesuatu terhadap rakan saya dan seketika kemudian, rakan saya menuding jarinya kepada saya.
“Apa hal?” tanya saya separuh bingung. “Tak. Dia ni baru masuk Islam. Nak tanya di mana boleh belajar agama. Aku cakap dengan kau pun boleh…” jelas rakan saya tadi. Saya sedikit terkejut. Maklumlah, ilmu saya pun tidak setinggi mana. “Oh… Aku pun bukan pandai sangat. Tapi kalau nak terangkan sikit² tu, insyaAllah” jawab saya. “Asal mana?” tanya saya lagi apabila melihat wajahnya mirip orang Melayu.
“Sarawak.” Jawabnya ringkas. “Kadazan?” tanya teman saya yang lain. “Bukan. Bidayuh.” Saya tersenyum. Alhamdulillah… Ucap hati saya. Menurutnya dia memeluk belum sampai setahun. Hanya pada awal Ramadhan yang lalu. Saya berkira² hendak bertanyakan tentang dirinya dengan lebih lanjut lagi tetapi rakan saya telah terlebih dahulu mencelah. “Dia nak cari orang yang boleh ajar mengaji.”
Tiba² rakan saya seorang lagi menyampuk. “Kau tahu, ada seorang kawan aku. Dia ni kaki mabuk. Boleh kata lebih banyak mabuk daripada normal. Tapi bila mengaji, macam nak menitis air mata dengar. Ya Sin tu dia hafal. Kalau berbual masa normal, habis aku ‘dibasuhnya’ tau.” Tutur teman saya tadi dengan penuh serius. Berdesing telinga saya mendengar kata²nya.
Apa ni? Mengapa hendak bercerita tentang ini? Mengapa ketika ini? Ketika ada seorang saudara baru bersama? Allahu Akbar. Memang saya kecewa. Bukan apa. Saya bimbang. Kita berusaha menceritakan bagaimana agama kita mampu mengawal hidup manusia. Tetapi apa yang cuba teman saya buktikan adalah orang yang menghafaz surah dalam al-Quran pun tersasar juga.
“Kita sebenarnya ada dua. Iman dan ilmu. Kalau ada ilmu, tak ada iman yang disertai oleh amal, tak menjadi juga. Ilmu semata takkan dapat menjaga kita. Begitu juga iman tanpa ilmu. Ha… Itu yang jadi tersesat tu hingga ke menyembah Ayah Pin tu.” Saya cuba mengalihkan cerita. Pemuda Bidayuh tu terangguk². Kami kemudian menyambung perbualan sedikit tentang agama sebelum dia beredar untuk pulang.
Selepas dia pergi, rakan saya mula berkata dia tidak mampu hendak mengajar kerana dia juga sedikit ilmunya. Saya katakan padanya, dakwah dan MLM ini sama. Kita perlu buat. Kerana semasa kita buat, kita akan mengajar dan belajar. Tetapi niat bukan untuk mengajar. Sebaliknya untuk berkongsi peluang, berkongsi kebaikan. Rakan saya tadi menganggukkan kepalanya.
Terus terang, saya memang teruja apabila mengenali seorang saudara baru seperti pemuda itu tadi. Tambah lagi dia berkata akan menghubungi saya kemudian. InsyaAllah, saya akan cuba dapatkan cerita bagaimana dia memperoleh hidayah hingga kembali ke agama yang benar ini. Untung dia. Kirakan hidupnya baru setengah tahun bermula kerana baru lagi memeluk Islam.
Tetapi saya amat kecewa dengan teman saya yang seorang lagi. Mungkin dia sebenarnya hendak bercerita tentang kehebatan temannya yang menghafaz surah Ya Siin dan pandai mengaji berlagu tetapi tetap hanyut. Namun bagi saya tempat dan masa yang digunakan tidak sesuai. Tidak, ketika ada saudara baru yang mungkin di hatinya penuh dengan keyakinan yang cukup menebal bersama.
Bukanlah saya katakan kita perlu menyorokkan sebarang keburukan tentang orang muslim. Tidak. Yang salah tetap salah. Jika temannya berperangai secelaka itu, maka memang celakalah temannya. Tetapi bukankah lebih baik jika kisah ini tidak disebut di hadapan saudara baru. Saya percaya, orang tertarik untuk memeluk Islam kerana kesucian agama ini di samping pengaruh rakan muslim di sekitar mereka.
Tetapi, jika hati mereka yang masih belum cukup utuh kita sajikan dengan cerita yang menunjukkan seolah² Quran itu tidak mampu mempengaruhi sifat seseorang manusia, apakah yang mungkin terjadi kepada kepercayaan saudara baru kita nanti? Kita seolah² merendah²kan kelebihan Quran. Saya melihat ini sebagai suatu amalan yang tidak sihat dan merbahaya.
Malah Baginda Nabi Muhammad saw sendiri memuliakan orang yang baru memeluk Islam sehinggakan memberikan sebahagian dari zakat untuk mereka. Ini bukan kes hendak membeli jiwa sebaliknya, Nabi saw mahukan saudara baru itu nanti akan rasa seperti disayangi dan dihormati oleh muslim yang lain. Dan yang paling penting keimanannya terhadap kesucian Islam akan bertambah.
Kita manusia akhir zaman, umat Nabi Muhammad saw, diturunkan tanggungjawab untuk menjalankan tugas para mursalin iaitu menyampaikan. Seperti seorang yang hendak menjual minyak wangi, apakah logik baginya jika badannya sendiri berbau seperti kari basi? Tidak! Sudah tentulah dia perlu menjaga imejnya. Supaya nanti hati pelanggan akan senang dan lebih percaya dengan produk yang dibawanya.
Tidak usahlah dibanggakan dengan orang yang melakukan maksiat. Apatah lagi jika diri sendiri yang melakukannya. Tidak ada untungnya bercerita tentang perkara seperti itu melainkan untuk dijadikan sebagai sempadan. Adalah lebih cantik jika kita bercerita kisah² nabi dan para sahabat. Semoga dengan kisah bergitu mampu memperkuatkan lagi iman dan taqwanya kepada Allah yang Maha Esa…
No comments:
Post a Comment