Rezeki
Dalam banyak² topik yang boleh dibicarakan dan boleh saya tulis, inilah
topik yang paling saya minati. Rezeki. Kerana topik inilah yang sering
mengganggu akal pemikiran kita. Dan topik inilah juga yang paling sukar
untuk difahami. Bukan sedikit sebenarnya di kalangan teman² yang bercerita
kepada saya tentang kesusahan dan kesempitan hidup mereka.
Sama ada yang saja² ingin berkongsi atau yang ingin meminta nasihat. Tetapi
bukanlah saya katakan di sini bahawa saya tidak berminat atau bosan dengan
apa yang mereka ceritakan. Tidak. Sama sekali tidak. Malah saya cukup
gembira dijadikan teman untuk berkongsi cerita. Kerana banyak pengalaman
dan pengajaran yang boleh saya tempa hasil mendengar kisah² mereka.
Paling banyak akhir² ini adalah kisah orang yang 'termengandung'. Bukanlah
maksudnya termengandung itu bahawa dia telah terlanjur. Tidak. Sebaliknya
saya gunakan istilah 'ter' di sini kerana mereka katakan bahawa mereka
tidak bersedia untuk menimang cahaya mata yang baru. Malah hingga ada yang
ingin menggugurkan kandungan. Puncanya? Juga rezeki.
Rasanya hampir semua orang tahu bahawa anak juga suatu rezeki. Jadi saya
tidak perlu ungkit lagi tentang itu. Cuma yang menarik perhatian di sini
ialah, keseringan kita menganggap bahawa rezeki kita yang paling utama
adalah harta benda. Walaupun kita tidak menafikan bahawa perkara² lain
umpamanya anak dan juga ilmu itu sebagai rezeki, tetapi keutamaan tetap
diletakkan atas wang ringgit.
Persoalan yang sering bermain di fikiran kita ialah, bagaimana hendak kita
menghadapi hari esok jika tidak ada wang pada hari ini. Seperti ibu saya
yang selalu sahaja bising menyuruh saya menabung untuk masa hadapan.
Katanya, jika ada wang simpanan, nanti jika sudah tua, apa² terjadi seperti
contohnya sakit atau anak ingin melanjutkan pelajaran, tidak susah untuk
menghadapi situasi seperti itu.
Saya tidak menafikan kebenaran kata² ibu saya. Hanya satu yang saya ingin
tanyakan. Apakah kita pasti bahawa orang kaya yang sakit akan selamat
kerana mampu membayar kos perubatan? Atau apakah pasti orang miskin yang
sakit pula akan mati kerana ketidak mampuan mereka? Jawapannya, saya kira
hampir semua yang membaca akan katakan tidak. Lalu? Di mana rasionalnya
pernyataan tadi?
Bukan salah untuk menyimpan. Tetapi saya teringat dalam satu ceramah pagi
di radio IKIM.fm yang membicarakan soal zakat, ustaz yang berceramah (saya
tidak ingat namanya) berkata bahawa zakat itu adalah levi atau cukai atau
mungkin denda ke atas wang yang tidak mendatangkan hasil. Kerana itu zakat
dikenakan kepada wang simpanan yang melebihi had yang dibenarkan.
Manakan tidak. Bayangkan kita ada RM10 yang kita mahu simpan untuk masa
hadapan, kononnya. Jadi, oleh kerana hendak menyimpan, kita sanggup
berdikit dalam perbelanjaan harian. Makan pun sanggup tidak bersayur. Oleh
kerana kita makan tidak bersayur, maka hak seorang petani miskin mula
terganggu kerana sayurnya tidak ada orang yang membeli.
Jika keadaan ini berterusan, maka si petani itu semakin susah. Oleh kerana
itulah Allah mengambil sebahagian dari apa yang kita simpan untuk
dipulangkan kepada si pemilik hak tersebut. Sesungguhnya saya amat²
bersetuju dengan apa yang ustaz ini katakan. Benarlah wang yang disimpan
tidak menguntungkan masyarakat sebenarnya. Malah mungkin merugikan.
Jika kita ingat ketika negara sedang teruk dilanda kegawatan ekonomi,
perdana menteri ketika itu, Dr. Mahathir telah menggunakan pendekatan yang
sama. Merendahkan kadar potongan KWSP untuk meningkatkan kuasa membeli
rakyat. Itu adalah kaedah yang betul. Hanya, perlaksanaannya yang tidak
kena kerana rakyat digalakkan pula untuk berhutang dengan syarikat kad
kredit...
Berbalik kepada perihal rezeki, sebenarnya kita manusia ini berfikiran yang
cukup pendek. Atau dalam erti kata lain, kita ini bodoh! Kalaupun kita rasa
kita bijak, namun tetap tidak sebijak Allah swt. Kerana apa yang akan
berlaku dalam tempoh 5 minit lagipun kita tidak dapat menjangka. Jangankan
5 minit, 5 saat pun kita tidak dapat menjangka. Apatah lagi 5 bulan dan 5
tahun.
Tapi kebanyakan dari kita (termasuk saya sendiri) sering berasa lebih
pandai dari Allah. Manakan tidak, melihat gaji dan pendapatan kita hari
ini, kita boleh menjangkakan bahawa perbelanjaan kita untuk hari esok sama
ada cukup atau tidak. Seolah² kitalah yang memberi rezeki kepada diri kita
sendiri. Hakikatnya, apakah kita tahu esok adalah hari yang sama seperti
hari ini?
Kerana itu, di dalam rukun iman terdapat 6 perkara. Merpercayai Allah
semata² tidak menjadikan kita orang yang beriman dengan sempurna. Harus
percaya kepada qada dan qadar dan juga hari akhirat. Kerana seperti keadaan
hari ini, kebanyakan dari kita percaya bahawa Allah-lah yang paling
berkuasa. Tetapi cukup sukar untuk mempercayai bahawa Dialah yang menulis
qada dan qadar untuk kita.
Seperti satu kejadian yang berlaku terhadap teman saya. Atas sedikit
kesilapan, maka dia telah tidak dibenarkan ke pelantar lagi. Mengenangkan
keadaan yang berlaku, kami semua (teman²nya) berasa kasihan kepadanya.
Tambah lagi dia mempunyai 6 orang anak dan ditambah pula dengan 2 orang
kembar yang baru lahir menjadikannya 8. Bagaimana agaknya hendak disara
anak²nya itu nanti?
Tetapi sesungguhnya rezeki itu hak Allah. Rupanya bencana yang dialaminya
adalah cara Allah menambahkan rezekinya. Teman saya itu telah diberikan
jawatan yang baru. Bukan setakat itu, jawatan yang baru disandangnya ini
pula dipenuhi dengan kerja lebih masa. Kini, teman saya boleh pulang ke
rumah setiap hari, tidak perlu lagi 'terapung' untuk 14 hari tetapi
memperolehi pendapatan yang lebih dari dulu.
Inikan rezeki namanya? Maka kerana itu, adalah tidak adil untuk kita
mengeluh atau menyesali keadaan hidup kita hari ini. Kerana Allah lebih
tahu apa yang kita perlukan. Allah mempunyai perancangan yang lengkap untuk
kita. Lebih lengkap dari perancangan yang kita lakukan sendiri. Sebagai
hambaNya, bukankah lebih baik kita hanya berserah setelah berusaha dan
berdoa?
Teringat kisah Nabi Ibrahim as. Ketika beliau dipanggang di atas api,
malaikat telah bertemu dengannya dan bertanya mengapa tidak memohon untuk
Allah padamkan api atau turunkan hujan atau sebagainya. Mudah saya jawapan
Nabi Ibrahim as. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan Allah tidak
memadamkan api tersebut mahupun menurunkan hujan. Sebaliknya api yang panas
bertukar menjadi sejuk.
Inilah kekuasaan Allah. Dia berhak dengan sebenar² hak terhadap apa juga
makhluknya. Dan kita tidak sewajarnya meletakkan pengharapan kepada selain
daripadaNya. Percayalah, wang bukan faktor untuk kehidupan yang sempurna
dan bahagia. Tidak. Tetapi jika jika percaya kita akan hidup susah tanpa
wang, sebenarnya kita telah meletakkan pengharapan terhadap makhluk.
Seperti seorang teman saya semalam yang bercerita tentang anak saudaranya
yang tidak berkelulusan. Antara perkataannya yang paling saya ingat ialah
"umat Islam hari ini ditindas dan dikeji kerana mundur dan miskin".
Seruannya kelihatan bersemangat. Katanya, untuk kembali dihormati kita
perlu menjadi maju dan perlu mengusai ekonomi. Itu katanyalah.
Tetapi mesti kita ingat. Umat Islam di zaman Nabi saw dan di zaman Khulafa
ur-Rasyidin dihormati dan digeruni bukanlah kerana harta. Kemenangan kaum
Muslimin dalam hampir kesemua ghizwah dan perperangan juga bukanlah kerana
kekuatan mereka atau ramainya bilangan mereka atau juga kerana kecanggihan
senjata yang mereka ada. Tidak. Semua itu tidak penting.
Yang menjadikan umat terdahulu dikagumi dan digeruni kerana ketebalan iman
yang mereka miliki. Mereka memenangi perperangan juga kerana iman mereka.
Kerana Allah menjanjikan kemenangan kepada orang yang mengimaniNya. Segala
kekayaan dan kemuliaan datang hanya dalam empayar² yang terbina selepas
zaman Khulafa ur-Rasyidin. Bukan di zaman mereka.
Janganlah bersedih sekiranya kita jatuh di tahap miskin pada hari ini.
Kerana Nabi saw mengatakan bahawa orang miskin akan memasuki syurga awal
setengah hari dari orang yang kaya. Dan setengah hari di sana bersamaan
dengan 500 tahun di sini. Mengapa? Kerana jika banyak harta, banyak pula
yang perlu kita jawab tentang punca dan ke mana kita perbelanjakannya di
Mahkamah Allah nanti.....
Saya sebenarnya mengingatkan diri saya sendiri. Kerana kadangkala saya juga
terbabas dalam berfikir. Hidup ini memang penuh dengan dugaan. Hidup ini
memang penuh dengan kesukaran. Kerana syurga Allah akan hilang manisnya
jika mudah untuk dimiliki. Bayangkanlah jika kita membuang air tanpa perlu
gesaan atau sakit perut terlebih dahulu. Tentu tidak seronok, bukan?
No comments:
Post a Comment