28 June 2006

Ganja, Candu Dan Belacan


Lebih seminggu yang lalu, secara kebetulan, ketika hendak menunaikan sunat
ba'diah Zuhur di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi, saya terlihat kelibat
teman saya yang telah lama tidak saya temui sedang berzikir. Jadi saya
sengaja mendirikan solat di sebelahnya dengan harapan agar dia tidak terus
pulang jika ternampak saya di sebelahnya. Alhamdulillah, segalanya terjadi
seperti yang saya harapkan.

Selesai solat, kami sama² duduk di tangga masjid sambil bercerita tentang
kisah silam dan kisah masa sekarang. "Aku nak ke Jabatan Agama ni" katanya
apabila saya tanya tujuannya selepas ini. Saya mengerutkan kening. Untuk
apa? Pelik. Lalu teman saya menjelaskan. "Aku nak ambil surat untuk keluar
3 hari di masjid di Tanjung Langsat. Masjid sana memang perlukan surat dari
jabatan..." katanya. Saya jadi separuh terkejut.

Astaghfirullah... Orang hendak duduk beribadah di masjid, qiamulail dan
kemudian mengajak orang kampung berhampiran semua ke masjid, perlu minta
pula kebenaran dari Jabatan Agama? Pelik... Pelik... Saya menggeleng²kan
kepala. "Hm... Nak buat maksiat tak payah pula surat dari jabatan" jawab
saya sambil disambut oleh gelak kecil kami berdua. Perkara² ini benar²
membuatkan saya berfikir panjang.

Lantas saya teringat satu dialog dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P.
Ramlee yang berjudul 'Ali Baba Bujang Lapok' yang berbunyi "Jual ganja ada
lesen. Jual candu ada lesen. Jual belacan tak ada lesen". Sebaik
mendengarkan ayat ini, saya yakin kebanyakan dari kita akan ketawa. Malah
ada yang ketawa terbahak² hingga 'pecah perut'. Tetapi apakah mereka yang
ketawa besar ini benar faham akan maksud ayat ini.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam kes teman saya tadi adalah contoh
terjemahan untuk dialog yang saya sebutkan di atas tadi. Teman saya ibarat
orang yang menjual belacan, satu kegunaan yang umum. Sungguhpun ianya
sesuatu yang diperlukan oleh masyarakat, namun ia tidak mendapat sokongan
dari mereka yang menduduki hierarki tertinggi dalam pentadbiran masyarakat
dan negara.

Namun jika ditinjau pula pusat² maksiat, kedai tikam nombor, pusat hiburan,
kelab malam dan lain² begitu mudah untuk dibuka. Hantar saja permohonan ke
PBT dan dalam masa yang singkat, segalanya akan beres. Dan sebenarnya
inilah yang Allahyarham P. Ramlee maksudkan dengan ganja dan candu dalam
dialog yang sama. Lucu bukan? Malah lebih lucu jika kita tahu maksud yang
sebenar.

Bahkan ini juga berlaku dalam masyarakat pertengahan dan bawah itu sendiri.
Lihatlah saja majlis perkahwinan. Sepatutnya, perkahwinan adalah perkara
yang mudah. Tertentu pengantin lelaki dan perempuannya, ada ijab dan qabul,
wali, dua orang saksi yang adil dan maskahwin (yang berpatutan), maka
sepatutnya selesailah upacara mulia. Tetapi hari ini, perkara yang sebegini
mudah telah sengaja sipersusahkan.

Bukan setakat wang hantaran yang ditinggikan nilainya, majlis juga perlu
diadakan sebesar yang boleh. Jika boleh, mahu diadakan siaran langsung di
televisyen. Inilah yang menjadikan perkahwinan sukar untuk dijalankan. Akan
tetapi, dalam masa yang sama, perzinaan menjadi semakin mudah. Pertumbuhan
hotel² murah dan taman² rekreasi memberikan kemudahan yang menyelesakan
buat pelaku² sumbang ini.

Lebih malang lagi, tiada sokongan yang diberikan kepada psukan penguatkuasa
jenayah syariah. Tentu kita masih ingat kisah penangkapan seorang artis
yang separuh bogel di dalam sebuah kelab malam terkemuka. Inilah satu
contoh terbaik untuk menerangkan ungkapan dialog dalam filem Ali Baba
Bujang Lapok tersebut. Bagaimana pencegahan maksiat dianggap suatu perkara
yang salah dan pembuat maksiat pula dianggap teraniaya.

Mengapa harus begini? Mengapa mesti diharamkan benda yang halal manakala
benda yang halal pula diharamkan? Apakah yang akan kita dapat dengan
perbuatan tersebut? Keseronokan? Ya... Memang betul. Tapi itu hanyalah di
dunia. Sedangkan hidup kita di dunia ini untuk waktu yang terhad. Apakah
kita rela sakit yang abadi demi semata untuk secebis keseronokan yang hanya
sementara?

Dan baru² ini, heboh pula cerita tentang kerajaan Kelantan yang menyediakan
satu skim galakan kepada pendakwah yang berupa wang tunai RM10,000 berserta
elaun bulanan sebanyak RM1,000, sebuah rumah dan kereta pacuan empat roda
bagi yang sanggup untuk mengahwini gadis² Orang Asli. Asalkan si pendakwah
sanggup tinggal di situ untuk menjadi imam dan mengadakan kelas fardhu ain
serta menjalankan kerja² dakwah.

Mengapakah rancangan sebaik ini harus ditentang? Apakah salah diberi
sedikit imbuhan, jika kerajaan mampu, kepada mereka yang sanggup
mengorbankan masa dan tenaga bagi menegakkan agama Allah yang maha suci
ini? Pemberian untuk pendakwah begini dipersoalkan tetapi perbelanjaan
jutaan ringgit untuk ahli sukan yang kerjanya mendedahkan aurah tidak ada
siapa yang mahu berbicara?

Kita marah apabila dapati agama lain cuba mendakwahkan agama mereka. Kita
marah melihat mereka masuk ke kampung² dengan duit berguni, cuba memberikan
bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan niat untuk berdakwah. Tetapi
di sebalik kemarahan itu, kita tentang pula orang kita yang cuba meyebarkan
ajaran ini. Siapakah yang salah? Mubaligh mereka atau sebenarnya diri kita
sendiri?

Memang sungguh Allahyarham P. Ramlee seorang genius. Dalam ketawa kita
telah disindir. Dalam tidak sedar rupanya kita mentertawakan diri sendiri.
Kini 'ganja dan candu' telah pun beredar dengan leluasanya di dalam
masyarakat kita. Manakala 'belacan' masih tetap diharapkan. Bimbang juga
nanti jika keturunan kita akan terpaksa memasak dengan memasukkan candu
akibat tiada pilihan dan buta kepada keturunan.

Jika sayangkan anak cucu keturunan kita, jika sayangkan Nabi saw, jika
sayangkan Allah dan agamaNya ini, maka situasi ini mesti diubah. Yang haq
mesti diakukan sebagai haq dan yang batil wajib kita tentang. Biarpun
berlesen, candu tetap membawa mudarat. Jika hari ini kita masih tahu
berfikir dan menolak, apakah anak cucu cicit kita nanti mampu berfikir
seperti kita? Apakah mereka akan berpeluang untuk berfikir seperti kita
nanti?

Jangan nanti suatu hari, yang berjubah dan berserban atau yang bertudung
labuh kita anggap sebagai terroris. Sedangkan yang mendedahkan sebahagian
besar dari kulit tubuhnya kita anggap gadis yang suci. Wana'uzubillahi
minzalik...

"Ya Allah! Berikanlah balasan kebaikan buat hambaMu Allahyarham Euku
Zakaria bin Euku Nyak Puteh. Sesungguhnya hanya Engkaulah sebaik² pemberi
kebaikan. Dan jadikanlah kami serta keturunan kami manusia yang soleh dan
taat..."

1 comment:

dugongsenyum said...

di Malaya masa ini lebih mudah untuk jumpa pelacor berbanding jumpa gula.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.