15 June 2006

Buang Anak - Ke Mana Jari Ini Hendak Ditudingkan?


Tempohari, ketika ke kedai untuk membeli barang, saya terpandangkan akhbar Harian Metro. Muka hadapan akhbar itu memaparkan berita yang mengisahkan tentang gejala pembuangan anak yang berleluasa di Johor ketika ini. Saya memang tidak berminat untuk membeli mana² akhbar arus perdana lagi jadi saya hanya membaca sekali imbas berita yang tertulis. Disebabkan dibaca sekali imbas, saya tidak berani hendak mengomentar berita tersebut.

Yang ingin saya komentarkan di sini adalah perihal pembuangan anak yang semakin berleluasa ini. Apatah lagi perkara ini berlaku di negeri kelahiran saya sendiri. Lebih memalukan, apabila kebanyakan orang Johor begitu berbangga dengan kewujudan sekolah agama milik kerajaan negeri yang mana semua kanak² diwajibkan mengikutinya. Persoalannya sekarang, di manakah jari ini hendak ditudingkan apabila berlaku perkara memalukan sebegini?

Sebagai seorang yang pernah terbabit secara langsung dalam pelbagai masalah sosial, saya secara peribadi merasakan adalah tidak adil untuk meletakkan segala kesalahan tersebut kepada remaja yang terbabit. Lelaki atau perempuan. Mungkin mudah bagi kita mengatakan remaja² yang terbabit dalam jenayah persetubuhan tanpa nikah atau zina ini sebagai manusia² yang rosak iman, atau memalukan bangsa atau apa sahaja.

Masalahnya, mengapa? Mengapa mereka boleh menjadi rosak iman dan memalukan bangsa? Adakah kerana mereka memang sengaja hendak memalukan bangsa sendiri? Atau sebenarnya mereka terpedaya dengan helah orang asing atau maksud saya dakyah agama lain atau apa? Benar mereka memang bersalah. Hukuman seratus rotan tetap hukuman (walaupun telah diabaikan) dan dosa tetap dosa.

Cuma yang peliknya, sebagai orang Johor yang telah diberikan pendidikan agama secara rasmi di sekolah agama yang saya sebutkan tadi, tidak seharusnya perbuatan songsang sebegini boleh berlaku. Atau apakah kerana peluang untuk melakukan zina itu begitu mudah? Atau mungkin sikap sambil lewa ibu bapa? Atau sebenarnya sistem dan silibus pendidikan agama yang diajar di sekolah milik kerajaan negeri itu tidak lagi relevan?

Kecenderungan masyarakat kita apabila berlaku sesuatu tragedy yang memalukan seumpama ini adalah dengan melakukan ‘tai chi’. Sebagaimana corak senaman fizikal ini yang ‘menolak angin’, begitu jugalah sifat kebanyakan kita. Maka ditudinglah jarinya kepada sesiapa sahaja. Para individu terbabit, ibu bapa mereka termasuk jugalah kerajaan. Sesiapa saja asalkan bukan diri mereka sendiri.

Benar, individu yang melakukan jenayah tersebut memang bersalah. Bersalah kerana menolak hukum Allah. Begitu juga ibu bapa mereka yang meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada mereka tanpa usul periksa. Kerajaan juga bersalah kerana menyediakan atau membenarkan punca² kepada kesongsangan sosial ini berleluasa. Baiklah. Semua pihak ini telah dipersalahkan. Kemudian apa? Apakah selepas ini masalah ini akan selesai dan tidak lagi akan berulang?

Bagaimana pula peranan masyarakat seperti kita? Kita iaitu saya sendiri dan anda semua? Apakah yang telah kita lakukan selama ini bagi membendung gejala ini? Saya terbaca komen di email dalam beberapa grup yang saya sertai. Cukup menyedihkan apabila ada beberapa pihak yang menggunakan alasan ini mengambil kesempatan untuk menerbitkan sentimen kenegerian. Menggunakan alasan ini untuk menghina orang Johor secara keseluruhannya.

Baiklah, memang mungkin gejala ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai keperibadian warga Johor. Lalu? Apakah yang kita lakukan agar perkara ini tidak merebak pula ke negeri lain? Apakah dengan sikap berlepas tangan dan mengatakan ini tanda kerosakan iman rakyat negeri Johor, maka perkara ini telah terjamin tidak menjadi satu wabak yang akan melanda negeri² yang mungkin setakat ini dalam kedudukan ‘pembuangan anak sifar’?

Ini sebenarnya adalah hasil kesilapan semua pihak. Semua pihak termasuk saya sendiri. Kerana apa? Kerana gagalnya kita melakukan nahi-‘anil’-mungkar. Kerana kita tidak menghalang berleluasanya kemungkaran. Kerana kita tidak menolak perbuatan takrabuz zina atau mendekati zina. Jika kita katakan sudah melakukannya, maka sebenarnya masih tidak mencukupi. Kita tidak melakukan sesungguh hati atau masih nyata kekurangannya.

Pergilah ke mana² pusat² membeli belah. Lihatlah berapa ramai remaja yang berpegangan tangan, yang berpeluk²an. Apa yang kita buat? Geleng kepala? Kerutkan dahi? Apakah itu memadai? Begitu juga dengan siaran televisyen. Cerita² dan filem² yang mengghairahkan sama ada dari luar mahupun terbitan tempatan. Apa yang kita lakukan? Mungkin kita tinggalkan filem sebegitu tetapi kepada mereka yang masih meneruskan tontonan? Kerutkan dahi lagi?

Begitu juga dengan tumbuhnya pusat² hiburan. Apa yang kita lakukan? Bersembang di kedai kopi dan di pejabat akan keburukan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan tempat sebegitu beroperasi. Kemudian? Habis begitu saja. Begitu juga apabila melihat anak² jiran yang songsang hidupnya. Apa agaknya reaksi kita? “Ah… Lantaklah. Asal anak aku tidak begitu sudahlah. Wana’uzubillahi minzalik…”

Jika beginilah tindakan kita, maka kita sama sahaja dengan mereka yang kita tudingkan jari terhadapnya apabila dibangkitkan dengan masalah ini. Malah sebenarnya jika Allah mahu turunkan bala, maka kita juga berhak ‘dihukum’ di dalam bala tersebut. Kerana kelalaian kita, kerana sifat lepas tangan kita dan kerana ingkarnya kita terhadap suruhan Nabi saw agar menggalakkan kebaikan dan mencegahkan kemungkaran.

Saya juga menerima beberapa emel yang menceritakan tentang taktik licik agama lain dalam memancing umat Islam kepada agama mereka. Entah betul atau cerita rekaan, tetapi kita sebarkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kerana cintakan Islam. Tetapi apabila berhadapan dengan taktik Yahudi yang menggalakkan kehidupan tanpa agama, kita redha bahkan turut sama mengedarkan gambar² dan kartun² lucah.

Suatu ketika dahulu, Marina Mahathir pernah mencadangkan untuk menghalalkan pelacuran bagi membendung gejala AIDS. Kononnya, apabila pelacuran telah dilesenkan, maka para pelacur tidak lagi malu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Astaghfirullah… Memang ini cadangan yang menyesatkan. Tetapi jangan terkejut jika nanti ada orang yang meminta agar masyarakat menerima kehadiran anak luar nikah bagi membendung gejala pembuangan anak.

Mungkin satu hari nanti kita terpaksa terima hakikat menantu kita adalah seorang anak luar nikah atau mungkin memiliki anak luar nikah kerana ia telah menjadi amalan biasa. Seperti mana yang berlaku di barat. Dahulu perempuan barat begitu menjaga kesucian diri tetapi akhirnya kini, terlalu ramai anak yang menggunakan nama maiden ibu mereka kerana ketiadaan bapa yang sah untuk diambil nama keluarganya.

Sebenarnya, jika kita benar² menurut sebagaimana yang Allah perintahkan dan sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi saw dan para sahabat Baginda, perkara ini takkan berlaku. Tetapi sedih jugalah apabila seorang menteri mendakwa jika para pelajar diajarkan dengan pendidikan Islam yang mendalam nanti mereka akan jadi pengganas. Seorang menteri yang beragama Islam pula. Kalau Sammy Vellu yang berkata begitu kita bolehlah faham lagi.

Silibus pendidikan di sekolah agama negeri Johor juga perlu di kaji dan digubal semula. Bukan Islam yang digubal tetapi silibusnya. Sebenarnya saya mempunyai seorang kakak ipar yang bertugas sebagai ustazah di sekolah agama negeri di Selangor. Menurut kakak ipar saya, perbandingan antara subjek yang diajar di sekolah agama Selangor dan Johor menunjukkan bahawa pelajar Johor diajar dengan ilmu yang terlalu mendalam.

Benar. Saya diajar ilmu Tawhid, Ibadat, Tarikh, Adab, Munakahat, Muamalat, Jenayat hingga ke Faraidh. Tetapi ilmu yang nampak seperti mendalam ini sebenarnya diajar secara ‘permukaan’ sahaja. Tidak mendalam. Lebih penting, tidak ada matapelajaran Ilmu Hadits dan Asbabun Nuzul yang mana kedua matapelajaran ini mampu memberikan penjelasan untuk apa sesuatu hukum itu Allah tetapkan melalui lidah mulia Baginda Muhammad saw.

Kita sedang menghadapi dunia akhir zaman. Benar, segalanya ini telah Baginda amarkan ketika hayat Baginda lagi. Tetapi apakah atas alasan itu maka kita akan rela untuk berpeluk tubuh melihat semua kebejatan ini mengancam keharmonian hidup dan kekuatan aqidah kita sendiri dan juga anak cucu kita nanti? Saya tidak tahu anda tetapi saya tidak mahu. Kerana itu saya menyokong penegakan undang² syariah sebagai undang² tunggal di negara kita.

Jika kita masih terus menudingkan jari kepada semua pihak lain, satu masalahpun tidak akan selesai. Pergilah ke cermin dan tudinglah diri sendiri. Jika terlihat panau di muka, apakah kita akan salahkan cuaca dan kondisi sekitaran atau kita mahu salahkan diri sendiri yang tidak pandai berusaha menghalang ianya berlaku dan tidak mengubatnya apabila ia telah terjadi? Marilah kita mulakan dengan menyokong usaha untuk menegakkan amr-bil-ma’ruf, nahi-‘anil-mungkar…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.