18 June 2006

Berapa Nilai Iman

Semalam Surau Bakti di Kampung Melayu Majidi dikunjungi oleh Jemaah Tabligh dari Terengganu yang sedang melengkapkan keluar 40 hari mereka. Sebenarnya mereka telah tiba di situ sudah tiga hari dan semalam adalah hari terakhir sebelum mereka bergerak ke Surau Jalan Tiong, Larkin. Seperti biasa, setiap kali keluar 40 hari, pasti akan diadakan bayan selepas solat Maghrib, bergantung jika masjid atau surau tersebut tidak mempunyai apa² aktiviti.

Bayan semalam diberi oleh seorang muda, mungkin seorang penuntut universiti kerana menurut Amir Sahab jemaah tersebut, antara peserta mereka adalah terdiri daripada enam orang pelajar universiti, empat orang hafiz dan hanya tiga orang awam menjadikan jumlah mereka 13 orang. Kerana itu, mungkin bayan semalam agak perlahan. Namun begitu, ada sebaris ayat yang cukup mengesankan di dalam hati saya.

“Iman itu adalah sesuatu yang amat bernilai. Sebagaimana lazim barang yang bernilai, pasti akan ada orang yang cuba mencurinya” katanya yang membuatkan saya berfikir panjang. Sebenarnya kata² tersebut tidak ada silapnya. Memang benar. Memang tepat sekali. Iman adalah perkara yang paling bernilai di dunia ini. Dan memang benar, memang sentiasa ada ‘pihak’ yang berusaha untuk mencuri iman dari dalam jiwa kita.

Persoalannya, jika benar iman adalah perkara yang paling bernilai, berapa nilai iman pada pandangan kita? Saya tidak mahu mengungkit tentang orang lain. Cukuplah dengan diri saya. Memang saya bukan orang kaya dan hanya yang saya miliki hanyalah sebuah kereka buatan Malaysia yang nilainya tidak sampaipun RM60 ribu. Tetapi rasanya saya cukup sayang dengan hanya yang sebenarnya tidak seberapa itu.

Bukan sahaja saya jaga kebersihannya, saya juga cukup jaga keselamatannya. Tidak cukup saya letakkan di tempat yang saya yakin ianya tidak akan dicuri, saya lengkapkan sekali dengan alat keselamatan di mana kereta itu perlu dilalukan dengan sekeping kad sebelum enjin kereta boleh dihidupkan. Sanggup saya belanjakan lebih seribu ringgit untuk alat yang kononnya mampu menjamin keselamatan kereta saya dari kecurian.

Tetapi hakikatnya harta yang paling bernilai ini tidak pula saya jaga dengan rapi. Bukan setakat tidak dijaga keselamatannya bahkan saya sangaja biarkan dia dimamah usia. Tidak seperti barangan antik yang semakin berusia semakin tinggi nilainya, iman yang saya katakan sebagai perkara yang paling bernilai ini semakin lama semakin lapuk dan semakin rendah nilainya. Jika ditakdir saya hidup sehingga seratus tahun agaknya, entah berapalah nilai iman saya nanti.

Mengapa ya? Adakah kerana iman tidak nampak di mata maka kita tidak pernah risaukan keadaannya? Atau apakah kerana saya yakin kereta murah saya itu mampu membahagiakan dan memenuhi keperluan saya di dunia dan di akhirat? Allahu Akbar. Takkan sampai begitu? Tapi… Mungkin lidah saya katakan tidak tetapi berdasarkan perbuatan saya seolah menggambarkan keadaanya memang begitu.

Lazim kita tonton dalam filem dan drama sama ada terbitan tempatan atau luar negara menggambarkan bagaimana sifat orang kaya mempertahankan harta yang mereka miliki. Sama ada harta itu dalam bentuk barangan antik atau pun syarikat atau apa² sahaja. Malah, untuk harta yang telah dicuri, sanggup mereka untuk bergolok gadai dan bersabung nyawa demi mendapatkan semula apa yang telah mereka kehilangan.

Tetapi dalam soal iman, kita dengan rela membiarkan ianya dicuri. Bukan setakat rela bahkan setelah mengetahui ianya dicuri pun, tidak ada tindakan yang diambil. Malah, kadangkala kita pula yang bagaikan meminta agar agar iman itu dicuri. Bersedih? Jangan harap… Ya, mungkin boleh dikatakan kita tidak perasan ianya dicuri tetapi setelah diketahui pun, kita tetapkan biarkan. Tidak ada tindakan yang diambil.

Saya cubal bertanya kepada diri sendiri, apakah perlakuan saya selama ini menunjukkan saya seorang yang menjaga iman? Mengumpat malah mungkin memfitnah, bercakap bohong, pengambilan riba dan sebagainya. Apakah itu menunjukkan sifat kita sebagai mukmin yang risaukan imannya? Dalam sehari, berapa banyakkah masa yang kita peruntukkan untuk mempercukupkan harta dunia berbanding dengan harta dunia?

Sebagai manusia yang berakal, saya sepatutnya tahu membezakan mana yang baik, mana yang buruk. Mana yang berharga dan mana yang tidak. Sayang sekali, dalam menilai harta yang hakiki, saya telah tersilap. Nampaknya saya meletakkan kemilikan dunia sebagai harta yang lebih bernilai berbanding dengan iman yang sebenarnya bukan setakat harta bahkan cahaya yang mampu menyuluh dikala dibangkitkan di hari kemudian kelak.

Hari ini iman saya diragut oleh dendangan² lagu yang mengasyikkan, tayangan² drama dan filem yang mengkhayalkan dan juga lambaian harta² yang menyejukkan mata. Sibuk dengan perkara² lagho sehingga sehari suntuk lidah ini kering dari membaca ayat² suci al-Quran dan zikrullah. Solat juga sering terburu² bagi merebut masa milik Allah bagi menunaikan hajat dunia dan berbagai perkara² lain yang nyata sia².

Lalu apa yang saya lakukan? Tidak ada apa. Bukan hendak dilipat gandakan usaha meningkatkan iman bahkan saya tambahkan lagi usaha² memenuhi cita² dunia. Astaghfirullah… Ini yang saya katakan rela harta yang paling bernilai ini dicuri. Bukan tidak ada niat untuk menebus kembali tetapi sekadar niat tidak menjadi apa. Jika tidak ada usaha yang dijalankan bermakna memanglah saya rela iman saya dicuri.

Entah mengapa di dalam hati ini cukup sukar untuk terbit perasaan terkilan tertinggal solat² sunat yang dijanjikan imbalan yang bukan sedikit. Tetapi jika terlepas peluang untuk mengumpul harta, ataupun ketinggalan acara² yang menyeronokkan saya jadi menyesal pula. Di penghujung hari, saya akan jadi ketinggalan dalam serba serbi. Ketinggalan dunia dan akhirat. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Selain itu, nilai sesuatu perkara juga terletak kepada siapa yang memberinya. Semakin dalam sayang kita kepada si pemberi, semakin rapilah kita menjaga barangan tersebut. Sayang sekali, iman yang diberi oleh Yang Maha Memberi, sering kita abaikan. Jika benarlah ayat di atas, ternyata sebenarnya kita tidak menyayangi Allah. Jika benarlah kita bukan terdiri dari orang yang menjaga imannya…

Tuhanku. Aku tidak layak untuk syurgaMu. Tapi ku tak sanggup menghadapi siksa nerakaMu. Dari itu terimalah taubatku Wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun…

1 comment:

Anonymous said...

pada pandangan saya, iman tidak begitu dijaga dengan rapi seperti harta kerana manusia, dengan akal yang sebegitu cetek tidak nampak apa yang iman itu boleh berikan kepada mereka sedangkan mereka nampak harta itu boleh berikan mereka kepuasan dunia.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.