05 June 2006

Gempa Di Yogya - Balasan Atau Peringatan?

Keletihan masih lagi terasa akibat perjalanan jauh dari kampung isteri di Tanjung Karang petang tadi. Maaflah jika ada yang tercari² update dari blog ini. Di rumah mertua saya, tidak ada sambungan internet walaupun saya membawa komputer riba milik isteri saya bersama. Sebenarnya ada banyak perkara yang ingin saya tuliskan hanya kesempatan yang tidak ada bersama saya ketika itu.

Salah satunya adalah kejadian gempa bumi di Yogyakarta (tetapi ada juga laporan yang menulis Jogjakarta) yang mengorbankan ribuan nyawa, yang saya sifatkan sebagai satu lagi peristiwa tragis dalam kurun ini yang menimpa jiran serumpun kita, Indonesia. Tidak sampai dua tahun lalu kita digegarkan oleh gelora tsunami yang menenggelamkan dan merobah sebahagian daripada peta Acheh.

Apa yang menarik minat saya untuk menulis berkenaan isu ini adalah reaksi beberapa orang yang begitu mudah meletakkan bencana ini sebagai balasan dari Allah terhadap penduduk Indonesia amnya dan Yogya khasnya. Persoalannya, apakah bencana ini suatu balasan ataupun sebenarnya suatu peringatan. Peringatan bukan setakat untuk rakyat Republik Indonesia sebaliknya untuk kesekalian ummat khasnya?

Umum mengetahui betapa sebahagian besar dari perhatian dunia yang diberikan kepada Indonesia sebelum gempa bumi itu meletus adalah terhadap Gunung Merapi yang telahpun menunjukkan tanda²nya bahawa ia telah bersedia untuk memuntahkan lahar berapinya. Namun entah bagaimana, yang ditunggu tidak tiba, tiba² bencana lain pula yang menimpa. Boleh dikatakan gempa itu berlaku tatkala orang memang tidak bersedia.

Bagi saya secara personal, kejadian ini lebih kepada peringatan dari Allah, bukan sebenarnya sebuah balasan. Di sinilah Allah menunjukkan kuasanya. Apabila Allah katakan jadi, maka akan jadilah sesuatu itu tanpa banyak soal jawabnya. Makhluk tanah bukanlah seperti manusia yang sering mereka² alasan bagi menolak ketentuan yang telah Allah tentukan. Bumi atau tanah akan sedia patuh tanpa banyak bicara.

Apakah Allah memerlukan asbab untuk melakukan sesuatu? Tidak! Bahkan Allah mampu menjadikan apa sahaja sama ada ianya mampu diterima oleh akal atau tidak. Inilah yang dapat saya pelajari kesan dari bencana yang menimpa Indonesia ini. Mungkin kita merasakan kita sudah cukup bijak dengan keupayaan untuk mengesan dan mengira kemungkinan sesuatu bencana akan menimpa seperti ledakan Gunung Merapi.

Tetapi tiba², bumi Yogyakarta bergegar lalu merobohkan bangunan² yang dulunya berdiri megah. Apakah hari ini kita perlu ulangi kesilapan kita ketika tsunami melanda lebih setahun yang lalu? Bukan kesalahan apa tetapi kesalahan dengan menudingkan jari kepada pakar bencana alam yang dikatakan gagal meramal kejadian bencana itu? Apakah kita tidak serik² lagi bermain dengan kuasa Allah?

Saya cukup tidak bersetuju jika bencana ini dikaitkan dengan masalah atau dosa² penduduk tempatan. Mengapa? Kerana bukan di Yogyakarta sahaja yang berlaku dosa. Apakah Kuala Lumpur itu sebuah kota suci yang diiktiraf sebagai bebas dari sebarang bentuk maksiat? Apakah aktiviti² larut malam di Bangsar yang mendapat pengiktirafan pihak pemerintah bukan dikira sebagai suatu dosa?

Lalu? Mengapakah kita itu tidak diserang bala sebegini? Begitu juga dengan Johor Bahru. Apakah bandaraya ini sesuci Kota Makkah sehingga Allah mengecualikan dari sebarang bentuk bencana? Dan, suatu ketika Kota Makkah sendiri pernah dilandan banjir besar. Apakah itu juga menunjukkan bahawa Kota Makkah tidak lagi suci dan terdapat dosa di dalamnya? Lalu untuk apa gelaran kota suci itu?

Maka kerana itu, tidak boleh sebenarnya untuk kita dengan sewenangnya menuduh penduduk Yogyakarta atau Indonesia lebih berdosa dari kita sendiri sehingga ‘memadankan muka’ mereka dengan apa yang terjadi. Tidak. Barangkali memang benar Bandar itu dipenuhi dengan dosa dan noda tetapi jangan terlalu mudah hendak membuat kesimpulan dengan mengatakan mereka sedang diberikan balasan.

Mungkin kejadian ini Allah jadikan untuk kita jadikan sebagai kayu ukur untuk mengkur setakat mana perpaduan kita sebagai sebuah negara Islam dalam membantu negara lain yang juga mengisytiharkan diri sebagai Islam. Mungkin Allah sedang menduga kita, bukan teman² kita di sana untuk melihat apakah kita layak dengan kesenangan yang telah Dia berikan kepada kita. Untuk tujuan apakah kesenangan itu kita gunakan.

Atau mungkin juga Allah ingin mengingatkan kita betapa sebenarnya kita selama ini bagaikan begitu pasti bahawa kita akan terselamat dari sebarang bentuk bancana alam seperti gampa bumi dan gunung berapi. Allah mahu mengingatkan kita bahawa jika Dia mahu jadikan sesuatu, Dia tidak perlu bersandar kepada sesiapa atau apa² pun dan segalanya hanyalah di bawah kekuasaanNya.

Dan mungkin juga Allah sebenarnya sedang meninggikan darjat sebahagian dari penduduk Bandar itu dengan menimpakan musibah. Kerana barangsiapa yang ditimpa bencana dan bersabar dengannya (dengan membaca ‘Innalillah’) insyaAllah akan dikurniakan dengan balasan nikmat yang hebat dan dan dinaikkan darjatnya beberapa darjat serba dijanjikan balasan yang baik untuk mereka di akhirat kelak.

Dan banyak lagi kemungkinan yang boleh diperkatakan. Namun, alasan sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ianya di luar kemampuan kita sebagai hamba yang lemah lagi tiada kuasa. Kerana ilmu kita adalah ibarat air yang melekat di jari yang dicelupkan di dalam sebuah lautan yang terlalu amat sangat luas. Oleh kerana rendahnya taraf pemikiran kita, adalah lebih baik untuk kita tidak memikirkannya.

Sebaiknya, di saat ini kita fikirkan bagaimana cara yang terbaik untuk membantu mereka. Sama ada dengan bantuan kewangan ataupun kepandaian atau mungkin juga tenaga. Dan setelah selesai berfikir, bertindaklah. Sesungguhnya saya kagumi mereka yang sanggup meninggalkan keluarga di rumah bagi membantu mangsa² yang memerlukan. Semoga Allah memberikan mereka balasan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dan jika kita tidak berpeluang bersama mereka, memadailah jika kita kurangkan kerisauan mereka terhadap keluarga mereka di sini dengan mengambil berat akan keadaan mereka yang ditinggalkan. Ini juga sebuah jihad. Ini juga fi sabilillah. Tidak ada salahnya jika kita saling membantu. Semoga dengan ini nanti, Allah akan memberikan kita balasan kebaikan yang hampir, jikapun tidak sama seperti mereka yang berkorban ke sana.

Saya insyaAllah akan menghulurkan bantuan. Tetapi saya belum pasti melalui saluran mana bantuan itu akan dihulurkan. Saya tidak lagi mahu menggunakan saluran dari TV3 kerana risau seperti mana selepas tsunami, Media Prima tiba² jadi kaya dan buka serta beli beberapa stesan televisyen dan radio swasta yang baru. Juga bukan melalui jalan RTM atau jabatan kerajaan kerana tidak lagi mahu mendengar dakwaan Najib Tun Razak wang itu adalah dari perbendaharaan negara. Jika anda ada caranya, sudilah berkongsi dengan saya…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.