25 June 2006

Tangkal


Beberapa hari lepas saya berkesempatan mendengar perbualan beberapa 'orang
lama'. Maksud saya orang lama di sini bukanlah orang yang telah lama
bekerja tetapi mereka yang telah lama gidup dan ada yang telah bergelar
datuk. Kata orang, mendengar perbualan orang lama ini kadang² boleh
menambahkan pengetahuan. Maklumlah, orang lama tentulah banyak pengalaman
mereka.

Topik hari itu adalah berkenaan kepercayaan mistik. Tentang hantu,
jembalang dan jin serta tidak ketinggalan ilmu² kebatinan dan tangkal.
Antara yang paling menarik adalah cerita tentang siong babi hutan.
Dikatakan sesiapa yang memiliki siong babi hutan ini, akan kebal dan tidak
lut senjata. Ada juga versi lain yang mengatakan pada siong itu terdapat
sebentuk cincin yang mampu membuat si pemakai ghaib.

Tetapi payah untuk ditemui, kata mereka. Kata hati saya pula, kalau cincin
itu mampu buat pemakainya ghaib, macam mana hendak jumpa? Sudah tentulah
babi hutan itu juga ghaib. Tetapi yang paling lucu adalah apabila mereka
katakan, babi tersebut akan menanggalkan siong atau cincinnya jika ia
hendak mandi... Mandi? Er... Cuba bayangkan bagaimana agaknya babi hutan
tanggalkan siong itu ya?

Mungkin kebanyakan yang membaca akan berkata ini adalah ideologi
kekampungan. Fahaman mengarut. Sementara bagi saya, walaupun sudah beberapa
kali 'disakat' dan pernah bertemu jelmaan makhluk berbentuk toyol, namun
terlalu sukar untuk meyakini. Bukan saya tidak percaya dengan kewujudan
mereka. Saya percaya. Mereka makhluk Allah juga. Hanya, untuk mengatakan
mereka hebat, agak sukar.

Sebenarnya kepercayaan begini sudah begitu sebati dengan kehidupan orang
Melayu sejak sekian lama. Mungkin ini diwarisi oleh fahaman animisme yang
diamalkan sebelum kedatangan Hindu dan kemudiannya disesuaikan menurut
kepercayaan terhadap alam ghaib seperti yang diajarkan di dalam Islam.
Namun kini kepercayaan itu sudah semakin meleset. Orang mulai menolak
kewujudan makhluk² ini.

Jika dulu, ada saja orang sakit, pawang dan bomoh akan segera dicari. Tapi
kini orang kita mula beralih ke hospital. Mungkin ini selaras dengan
peningkatan kadar celik huruf. Atau mungkin juga kerana ketiadaan bomoh dan
pawang yang berbakat? Wallhu'alam. Apa yang pasti, meskipun orang kita mula
melupakan 'kehebatan' hantu dan jembalang, namun kepercayaan tetap sama.

Kepercayaan dari segi, yang mendatangkan mudarat dan kebaikan adalah
makhluk. Bukan Allah. Hanya yang berbeza adalah makhluk 'yang dipercayai'.
Jika dulu, kita letakkan kepercayaan kepada hantu dan jembalang. Kini
kepercayaan kita letakkan pula kepada ubat²an. Kepada makanan tambahan. Dan
paling penting kepada duit. Kita percaya, duitlah punca kebahagiaan hidup
kita.

Jika dulu, orang kita bulat² percaya untuk menangkis sesuatu kejahatan,
kita perlu kepada tangkal. Jika berjalan di dalam hutan tanpa tangkal yang
terikat di pinggang, lengan atau tergantung di leher, alamat celakalah
padahnya. Begitu juga dalam mengubati penyakit. Sekira seseorang itu
sembuh, maka yakinlah ia akan tangkal yang dipakainyalah yang
menyembuhkannya.

Tetapi hari ini masyarakat umum mula mempercayai bahawa untuk terjamin
kehidupan hari ini dan esok, kita perlukan duit. Jika tidak ada duit,
seolahnya kita telah melihat hari esok, maka akan celakalah akibatnya.
Bugitu juga dengan ubat. Kalau demam, yang menyihatkan mereka adalah ubat
tersebut. Jika kita teliti, betul bukan bahawa hakikat minda kita tidak
pernah berubah?

Sedangkan pada realitinya yang menentukan keselamatan, yang menentukan
kebahagiaan bahkan yang menentukan kecelakaan, hanya Allah subhanahu
wata'ala. Begitu juga yang menyihatkan badan. Bukan ubat yang kita makan.
Itu hanya asbab. Dan Allah boleh menyembuhkan penyakit tanpa asbab ubat.
Allah juga boleh menjadikan seseorang itu senang tanpa sesen duit pun.

Kerana itu saya cukup tidak selesa jika ada yang suruh menabung duit untuk
kegunaan di hari tua. Kata mereka, jika masa muda ini tidak menabung, di
hari tua nanti hendak makan apa? Oh... Mungkin duit yang memberi mereka
makan. Tapi bagi saya, saya cukup yakin bahawa hanya Allah yang menjadikan
saya kenyang. Dan hanya Allah yang boleh menentukan susah senang saya di
hari kemudian.

Bukan salah untuk menabung. Simpanlah jika ada keperluannya seperti untuk
menunaikan haji atau sebagainya. Tetapi jika menabung sehinggakan sanggup
mengikat perut, atau sehingga terasa kering tapak tangan untuk menghulurkan
derma, entah apalah gunanya? Tidak mendatangkan hasil. Tidak mampu
menjanakan ekonomi masyarakat.

Kerana itulah orang Islam dikenakan zakat harta dan simpanan. Kerana wang
yang disimpan itu mungkin hak seorang nelayan atau pekebun atau siapa
sahaja yang kita batalkan niat untuk membeli barangan mereka kerana hendak
menyimpan duit. Dan duit inilah yang akan dipulangkan kepada mereka untuk
membantu mereka menampung hidup. Begitulah adilnya Allah menyusun kehidupan
manusia...

Kembali kepada tajuk, jika hari ini kita tidak lagi bergantung harap kepada
tangkal hitam pemberian tok bomoh, namun jadikan pula kepingan² duit
sebagai tangkal kita. Hari ini, sebagaimana takutnya masyarakat silam
kepada polong, begitu jugalah takutnya kita kepada kemiskinan. Seorang
miskin umpamanya seorang pembawa penyakit dijangkiti. Perlu dijauhi dan
dicemuh.

Sedang hakikat kemiskinan bukanlah kecelakaan. Memang kemiskinan mampu
membawa kepada kekufuran. Tetapi, apakah kekayaan dapat menjamin kita
menjadi orang² yang bersyukur? Nabi saw sendiri orang yang miskin. Bahkan
Nabi saw pernah bersabda bahawa dihari qiamah nanti, orang miskin akan
masuk syurga awal setengah hari (500 tahun) daripada orang kaya.

Mengapa? Kerana mereka tak punya banyak harta untuk dihisab. Mereka tidak
perlu ditanya ke manakah harta mereka dibelanjakan. Tidak. Mereka tidak
perlu itu. Bukankah ini suatu nikmat? Namun begitu, janganlah ini dijadikan
alasan untuk bersifat malas. Allah tidak menjadikan bumi dan segala isinya
untuk dipersiakan. Allah mahu kita berusaha.

Hanya haruslah berpada². Harta dunia ini murah. kerana itu Allah berikan
kepada semua orang termasuklah orang kafir. Namun harta di akhirat Allah
berikan hanya kepada mereka Dia pilih. Itulah mahalnya iman kita. Dan,
tidak perlulah untuk meletakkan segenap harapan kepada duit untuk
menjaminkan kebahagiaan. Rezeki itu hak Allah dan Dia boleh berikan kepada
sesiapa sahaja yang Dia mahu.

Kita mungkin merasa meremang bulu roma apabila bertemu hantu atau bercakap
tentang hantu. Sayangnya kita tidak pula seriau setiap kali nama Allah Yang
Maha Mulia berulang kali disebut. Mungkin agaknya kita yakini hantu itu
lebih perkasa dari Allah sendiri. Atau mungkin kita percayai bahawa hantu
mampu menyiksa kita dengan siksaan seberat siksaan neraka.

Tak perlu rasanya untuk takutkan hantu. Juga tidak perlu untuk takut
kehilangan harta dan apa yang kita miliki pada hari ini. Ada baiknya kita
bulatkan segenap rasa takut itu hanya kepada Allah Yang Maha Agung. Atau
kita lebih takut kehilangan kasih dan sayang Allah kepada kita. Mungkin itu
lebih bermakna dalam usaha untuk menjadikan kita muslim yang lebih baik.
Peringatan ini untuk semua dan diri saya terutamanya...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.