06 June 2006

Teman Lama

Petang tadi, ketika hendak keluar simpang di rumah saya untuk ke masjid, secara tiba² sebuah Saga berwarna merah meluncur laju di hadapan saya sehingga menyebabkan saya terpaksa brek mengejut. Saya memerhatikan nombor pendaftaran kereta tersebut dan dapati ianya milik teman saya. Lantas saya segera mengejar. Rupanya mereka tidak menyedari saya yang berada di belakang mereka. Mungkin kerana penampilan saya.

Sehingga di suatu bendul, teman saya memeperlahankan keretanya dan di ketika itulah baru saya dapat memotongnya. Kemudian saya memperlahankan motor saya apabila melihat rakan saya itu seperti hendak memperkatakan sesuatu. “Ei! Kau pergi ke masjid dulu, nanti balik kau singgah ‘belakang’.” Katanya. “InsyaAllah lepas Isya nanti” jawab saya lalu memecut untuk segera sampai ke masjid.

Jika diikutkan memang malas rasanya hendak keluar malam lagi. Tetapi tampaknya seperti ada perkara yang penting yang hendak dia perkatakan. Lalu selepas Isya saya segera ke tempat yang dikatakan. Dalam perjalanan, saya bertembung dengan teman saya tadi. Katanya dia mahu pulang dahulu untuk mandi dan berjanji akan segera kembali. Teman saya yang lain ada di dalam rumah.

Seperti yang diberitahu, saya bertemu dengan teman saya yang berada di rumah. Tetapi keadaan teman saya ini sepertinya sedang dalam kegelisahan. Selepas didesak, tahulah saya bahawa teman saya ini sedang risau kerana diburu oleh Ah Long. Katanya, dia diburu kerana teman yang dia kenalkan kepada Ah Long tersebut telah menghilangkan diri selepas meminjam sejumlah wang yang tidak dia ketahui berapa.

Melihat keadaannya yang kegelisahan, manakala teman yang pulang mandi tidak juga muncul², saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Sebaik saya melepasi rumah teman saya itu, saya terdengar suara memanggil nama saya. Rupanya teman saya baru sahaja selesai bersiap tetapi belum sempat keluar sudah terdengar bunyi ekzos motor saya melintasi di hadapan rumahnya.

Saya batalkan niat untuk pulang dan berbual dengannya di tepi jalan. Kami agak rapat suatu masa dahulu. Maklumlah, kami sentiasa bersama dalam berbuat kerja² jahat kami. Seperti biasa, apabila bertemu teman² lama, saya tidak kan lepaskan peluang untuk mentasykil mereka agar kembali ke pangkal jalan. Sempat juga saya bertanya sama ada mereka masih lagi menghidap ganja.

“Ganja dah banyak kurang dah. Tapi ubat batuk dah berhenti terus…” jelas teman saya yang membuatkan hati saya berbunga kegembiraan. Namun kegembiraan saya tidak lama apabila teman saya mendesak saya untuk ‘turun’ ke port kami dahulu. “Benda dah banyak berubah” katanya membuatkan saya tidak sedap hati. “Berubah jadi baik ke jadi semakin tidak baik?” tanya saya pula. “Kata ubat batuk dah berhenti, ganja dah kurang. Okaylah tu.”

“Betul, memang macam tu. Tapi masalahnya sekarang ni budak² dah beralih. Sekarang dah ‘kena’ ATS pula” jawabnya. Saya mengerutkan kening menunjukkan kurangnya pengetahuan saya mengenai ATS itu. “Ice. Atau syabu” terangnya lagi melihatkan riak wajah saya yang seakan tidak mengerti. Saya membeliakkan mata mendengar pengakuan teman saya tadi. “Kau?” “Aku pun sama. Kena juga…” jawabnya bersahaja.

Sebenarnya teman saya meminta saya menasihatkan teman saya yang seorang lagi (yang diburu oleh Ah Long). Katanya keadaan teman kami itu sudah semakin teruk. Bukan setakat menagih syabu bahkan percampurannya juga semakin tidak terbatas. Dan semua itu saya telah ketahui lebih awal kerana pernah diminta oleh ibu, adik bahkan arwah ayah teman saya dahulu untuk menasihatkan teman saya tadi.

Bukan saya tidak pernah menasihatinya. Sudah banyak kali. Setiap kali saya bercerita kepadanya, dia akan terangguk² menunjukkan wajah nan kesal. Tetapi kemudian akan kembali kepada keadaan asalnya semula juga. Namun saya masih jauh dari berputus asa. Saya percaya suatu hari nanti insyaAllah dia akan berubah juga. Apa yang penting mesti teruskan usaha dan perbanyakkan lagi berdoa untuknya.

Teman saya yang mengadu ini kemudiannya menyambung cerita tentang dirinya pula. Menurutnya, dia sekarang ini mula dilanda perasaan risau dengan masa hadapan. Dan paling penting, dia mulai risau sekiranya ibunya mengetahui segala ini. Sedangkan dia adalah anak bungsu dan menjadi anak kesayangan ibunya. Saya tersenyum mendengar ceritanya. Kerana saya pernah melalui keadaan yang dia lalui suatu ketika dahulu.

Lalu saya tanyakan kepadanya sama ada dia percaya atau tidak bahawa apa yang sedang dialaminya hari ini adalah mungkin sebagai permulaan hidayah buatnya. Dia tertawa mendengar soalan saya. Lalu saya ceritakan kepadanya apa yang telah saya lalui dahulu. Segalanya sama. Hidayah yang datang kepada saya bermula dengan perasaan risau akan masa hadapan setelah saya berkahwin dan memiliki keluarga kelak.

Bukan risaukan pendapatan, tetapi risau jika anak² saya akan menuruti jejak saya. Risau sekiranya saya ditangkap polis dan kemudian dipenjarakan. Risau jika saya memalukan nama ibu dan ayah saya dan bermacam lagi kerisauan yang sebenarnya suatu ketika dahulu tidak pernah sekalipun terlintas di dalam fikiran saya. Dan Alhamdulillah, saya berjaya memanfaatkan perasaan risau yang Allah ‘kirimkan’ kepada saya itu.

Saya katakan lagi kepadanya, separuh dari penduduk bumi ini beragama Islam kerana wujudnya perasaan risau ini di dalam hati Baginda Rasulullah saw dan para sahabatnya. Risau sekiranya terlalu ramai orang masuk neraka. Risau sekiranya manusia terus hidup di dalam kegelapan dan kemusyrikan terhadap Allah. Begitulah besarnya kepentingan perasaan risau di dalam hidup manusia sebenarnya.

Perasaan risau ini umpama lampu suluh yang terletak di atas meja. Saya katakan kepada teman saya bahawa apa yang dia perlu lakukan adalah pergi ke meja tersebut dan mengambil lampu suluh itu untuk menyuluh jalannya. Dia tidak boleh berharap lampu itu akan datang kepadanya dengan sendiri. Kerana hidayah adalah sesuatu yang perlu dicari, bukannya akan datang dengan bergolek kepadanya.

“Sekarang ni, apa yang perlu kau buat ialah pergi ambil wudhu dan tunaikan solat. Tak apa kalau tidak khusyu tetapi yang penting, selepas itu berdoalah meminta agar Allah menunjukkan jalan yang benar” kata saya lagi. Dia tertawa seakan tidak percaya bahawa dirinya dikurniakan hidayah. Hidayah atau tidak, itu di luar pengetahuan kita. Yang penting, kita berusaha. Setelah saya mengulang beberapa kali, dia mulai kelihatan mempercayainya.

“Tentang syabu ni, tengoklah apa yang boleh aku lakukan nanti. Aku akan cuba nasihat mereka perlahan². Tapi kita tak kuat. Yang kuat hanya Allah. Jadi kita kena sama² berdoa meminta Allah kurniakan kekuatanNya untuk kejayaan kita” tambah saya lagi. Dia mengangguk²kan kepalanya. Sesungguhnya saya akan berusaha untuk itu. Para sahabat sekalian, sudilah kiranya mendoakan untuk kejayaan saya….. (akan bersambung, insyaAllah).

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.