22 June 2006

Budaya Atau Agama?


Semalam petang, ketika berborak dengan teman², tiba² terkeluar cerita
tentang wanita yang merokok. Entah saya sendiri tidak berapa ingat
bagaimana topik ini terkeluar tetapi ia kemudiannya menjadi 'tajuk
perbahasan yang hangat' di situ. Masing² dengan cara sendiri. Tetapi secara
keseluruhannya, kemsemua yang ada menyelar perbuatan itu (walaupun kami
sendiri adalah perokok).

Yang seronoknya apabila ada seorang yang berkata wanita atau perempuan yang
melakukan perbuatan itu seakan tidak tahu malu. Kutukan demi kutukan
terkeluar yang kemudiannya disambut dengan gelak ketawa. Terkadang hinaan
yang dikeluarkan agak memedihkan. Mujurlah, Alhamdulillah, di kalangan ahli
keluarga saya yang perempuan tidak ada yang merokok.

Kemudian ada seseorang yang menyebut tentang senario di ibu pejabat kami di
Kuala Lumpur. Katanya, di sana keadaan perempuan menghidap rokok adalah
suatu kebiasaan. Tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Malah terdapat
seorang perempuan yang agak berusia, bertudung dan berbaju kurung tetapi
sering kelihatan berada dan menghisap rokok di smoking area.

Masing² menggeleng kepala. Ternyata mereka amat malu dengan tindakan
perempuan bertudung yang merokok itu. Rasanya sentimen terkuat mereka untuk
berasa malu adalah kerana wanita itu seorang Melayu. Kerana hampir
kesemuanya menyuarakan bahawa merokok bukan amalan wanita Melayu. Dan kata
mereka, merokok biasa dikaitkan dengan wanita jalang atau pelacur.

Saya agak kurang bersetuju dengan kenyataan itu. Juga kenyataan bahawa
rokok adalah pembunuh. Kerana nenek saudara saya, yang pastinya seorang
wanita adalah seorang perokok tegar. Beliau tidak jalang, bukan pelacur
malah adalah seorang perempuan kampung yang baik. Tetapi beliau telah
meninggal dunia lebih kurang lima tahun yang lepas, pada usia 104 tahun
akibat penyakit tua, bukan barah.

Baiklah, itu bukan isunya di sini. Yang menjadi isu ialah perbuatan merokok
oleh perempuan bertudung itu tadi. Apa pendapat anda? Secara peribadi, saya
tidak bersetuju jika wanita itu dikatakan memalukan. Namun saya tidak
mengatakan perbuatan merokok itu baik. Tidak. Cuma jika hendak 'dijijikkan'
wanita itu semata² atas satu amalan 'sekecil' itu adalah tidak wajar.

Fatwa telah dikeluarkan dan merokok dihukumkan sebagai makruh. Walaupun
ianya makruh yang menghampiri haram, namun makruh tetap makruh. Jadi,
apakah logik untuk kita keji seorang yang melakukan perbuatan yang setakat
makruh dengan kejian yang lebih menghinakan dari seorang yang lain yang
tidak melakukan perbuatan makruh tersebut tetapi melakukan perbuatan yang
haram pula?

Sebagai contoh, perbuatan merokok, larangannya tidak disebutkan di dalam
al-Quran yang merupakan qalam Allah. Tetapi perbuatan menutup aurah
dituntut secara terang di dalamnya. Begitu juga perbuatan menghampiri zina,
pengambilan untung yang berlebihan dan riba serta banyak lagi perbuatan²
yang Allah sebutkan sebagai menzalimi Allah dan diri mereka sendiri.

Yang peliknya, orang kita tidak pula merasa malu apabila melihat kaum
mereka melakukan perbuatan sebegini. Malah, pendedah aurah seperti beberapa
penyanyi popular dipuja dan disanjung. Inilah yang saya lihat sebagai
songsang. Kerana wanita bertudung yang merokok dipandang hina manakala
wanita yang tidak merokok tetap dipandang mulia walaupun sebenarnya
menafikan perintah Allah.

Mengapa kita tidak sibuk untuk berapa malu apabila melihat seorang wanita
Melayu mendedahkan rambut dan lehernya serta bentuk buah dadanya (walaupun
berbaju kurung)? Mengapa kita tidak malu melihat pasangan muda yang
dilahirkan dalam keluarga muslim dan belum berkahwin berjalan berpimpinan
tangan dan berpeluk² di depan khalayak? Malah kita boleh pula anggap
sebagai trend masa kini.

Itulah, berjuang pada perkara yang tidak betul. Paksinya sudah tepat,
menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Namun perkaranya yang
salah. Memang elok jika kita bertindak menggalakkan orang berhenti merokok
(bukan mencemuh perokok). Tetapi mengapa mesti ditekankan perkara ini dan
dalam masa yang sama terus sahaja membiarkan perkara mungkar yang lain
berleluasa?

Apakah kita sebenar seorang pejuang agama atau lebih kepada pejuang bangsa?
Apakah kita sebenarnya lebih sedih melihat seorang meninggalkan nilai
budayanya sedangkan yang meninggalkan nilai iman tidak menjanakan apa² rasa
kecewa dalam jiwa kita? Mungkin kerana itu kita terlalu berminat dengan
permainan makyung dan bertindak mempertahankannya walaupun ianya
melencongkan aqidah...

Hari ini, seorang penyanyi wanita yang togel kepala dan dadanya digelar
sebagai penyanyi yang bersopan. Sedangkan seorang penyanyi wanita lain yang
bertudung sering pula diejek dan dicemuh kerana dikatakan kuat bahkan
sering dilihat terkangkang² ketika menyanyi. Ada yang jelas mengatakan itu
memalukan kerana tidak melihatkan ciri kesopanan wanita timur.

Pada hakikat keduanya adalah sama. Keduanya memang memalukan. Kerana si
penyanyi yang mendedahkan aurah sememangnya terang salah manakala si
penyanyi yang bertudung pula mengalunkan suaranya dengan alunan yang
mendayu bagi menarik perhatian orang juga satu kesalahan. Hanya yang tidak
sedapnya, penyanyi yang tidak bertudung itu dianggap lebih sopan?

Apa sebenarnya yang dikatakan sopan? Mungkin boleh kita sebut seorang nyah
yang berlemah lembut dalam berbuat sesuatu kita katakan sebagai sopan? Demi
Allah tidak! Nyah tetap nyah. Biarlah selembut manapun dia tetap biadap
kerana menolak ciptaan dan ketentuan Yang Maha Pencipta dan Maha
Menentukan. Jika begitu, mengapa hendak dikaitkan pendedah aurah dengan
sifat sopan?

Mana yang lebih utama? Mentaati tatasusila kesopanan Melayu atau mentaati
perintah Yang Maha Menciptakan? Fikirkanlah. Mungkin benar wanita yang
merokok kelihatan jelik. Tetapi sebenarnya wanita yang mendedahkan aurah
adalah jauh lebih jelik. Jika hendak amr-bil-ma'ruf, nahi-'anil-mungkar,
sebolehnya biarlah paksi yang sebenarnya. Janganlah, yang menangkap ayam di
hutan kita penjarakan tetapi yang mencuri kesemua harta orang kampung kita
biarkan.....

5 comments:

Rahimi said...

A'kum.. Saya selalu baca blog abu naqibah ni.. mmg best.
Isu perempuan merokok ni menarik minat saya. Bagi saya, wanita merokok tidak sedap mata memandang lebih2 lg jika wanita bertudung merokok kerana dia telah mencemarkan maruah dan peribadi wanita yg bertudung. Sepatutnya dia berkelakuan sesuai dgn penampilan dia. Tp wanita yg membuka aurat lbh teruk kerana meninggalkan yg wajib ke atas dirinya dan menyumbangkan kpd gejala sosial hari ini.

Pasal merokok mmg tidak dinyatakan dalam Al-Quran bhw merokok adalah haram. Tp kerana ia lebih byk keburukan dr kebaikan maka perlu dijauhi. Sprti cth, asap yg dihembus oleh perokok lebih membahayakan kepada org sekitarnya seperti keluarganya. Oleh itu, bkn sahaja kesihatan perokok saja yg terjejas tp org lain juga turut menerima akibatnya. Bg saya perokok juga boleh dikategorikan sbg 'pembunuh' (may be indirectly).

Saya harap abu naqibah terus menulis bagi memberi kesedaran kpd org lain. Smg kita semua mendapat manfaatnya.

Anonymous said...

Pada pandangan saya, seorang yang ingin berdakwah tidak sepatutnya merokok. Meskipun dikatakan merokok itu makruh hukumnya, hukum makruh itu tidak sepatutnya diremehkan.
Banyak sangat keburukan merokok ni. Bukan sahaja mengganggu kesihatan, malah mengganggu keselesaan orang lain juga. Berjaga-jagalah dengan dosa-dosa kecil.

Saya bersetuju dgn pandangan abu naqibah supaya kemungkaran yang lebih besar itu lebih penting untuk dihalang berbanding kemungkaran yang lebih kecil.

Anonymous said...

Pada pandangan saya, seorang yang ingin berdakwah tidak sepatutnya merokok. Meskipun dikatakan merokok itu makruh hukumnya, hukum makruh itu tidak sepatutnya diremehkan.
Banyak sangat keburukan merokok ni. Bukan sahaja mengganggu kesihatan, malah mengganggu keselesaan orang lain juga. Berjaga-jagalah dengan dosa-dosa kecil.

Saya bersetuju dgn pandangan abu naqibah supaya kemungkaran yang lebih besar itu lebih penting untuk dihalang berbanding kemungkaran yang lebih kecil.

Anonymous said...

rase2 ini mcm isu mentaliti masyarakat melayu. sbb wanita bertudung itu adalah gambaran wanita yang baik sifat dan elok peribadinya. jd bila wanita tersebut merokok pastinya hilang sifat2 baik tersebut. pada pandangan saya wanita yang merokok samada bertudung atau tidak kelihatan kurang sopan dan tidak menggambarkan kewanitaan.

Anonymous said...

bagus sekali perbincangannya..

banyak mende yg saya setuju.

cuma saya kurang setuju (atau tidak setuju) bila kata rokok itu makruh.

bukankah haram hukumnya? kerana ia setaraf dengan dadah? cuma ia membunuh dalam diam dan pada kadar yang perlahan. Ramai org mati sebab rokok bukan?

sekalipun, jika ia makruh, tapi jika diulang2 tanpa niat nak berhenti, maka ia akan jadi haram bukan? Boleh kupas lagi tak? Kalau boleh, boleh saya tahu fatwa mana yang mengatakan rokok itu makruh?

adakah merokok itu tidak boleh jadi haram sebab zaman nabi takde rokok ?(serupa penyataan tak ade Gillette). Tidak begitu kan? Rokok boleh jadi haram sbb kias kan?

Last, adakah saudara merokok?

Selamat meneruskan perjuangan dengan jiwa yg kental dan hidayah dariNYa.. jazakaLlah..wslm.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.