26 June 2006

Kasih Sayang Allah


Seronok melihat puteri kesayangan saya membesar. Semakin comel dan semakin
bijak. Untuk kami, dialah penawar segala duka. Melihat keletahnya memang
tidak kering gusi dibuatnya. Ada² saja yang akan dilakukannya. Pada
kebiasaannya, datuk dan neneknyalah yang menjadi mangsa. Pantang melihat
orang buat kerja, pasti akan diganggu. Almari pakai mereka habis
'dikemaskan'.

Hanya satu yang menjadi masalah. Kedegilannya. Bukan degil bagaimana, cuma
setiap apa yang kita larang itulah yang terlalu ingin dibuatnya. Memanjat
meja makan, tingkap dan sebagainya. Mungkin kerana umurnya belumpun setahun
setengah, jadi dia tidak benar² memahami mengapa kami melarangnya. Kami
harap, semakin dia membesar, semakin dia faham mengapa kami melarangnya
berbuat sesuatu.

Sebenarnya, melihatkan keadaan puteri saya membuatkan saya teringat sifat
keseluruhan manusia secara amnya. Tampaknya seperti ada persamaan.
Persamaan dari segi, seronok melakukan apa yang dilarang. Semakin dilarang,
semakin pula seronok untuk membuatnya. Hanya, dalam kes kita, yang melarang
adalah Allah swt, Tuhan Yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui.

Namun asas mengapa sesuatu larangan itu dibuat adalah jelas. Kerana kasih
sayang. Rasanya sesiapa yang ada atau pernah ada anak kecil akan faham
bahawa kita orang dewasa melarang anak² ini melakukan sesuatu bukanlah
kerana dengki atau cemburu sebaliknya kerana risaukan keselamatan mereka.
Kerana kita sayangkan mereka dan tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku
ke atas mereka.

Begitu juga hakikat larangan Allah terhadap banyak perkara di dunia ini.
Adakah kerana Allah sengaja mahu menyekat kita menikmati keseronokan dunia?
Tidak! Atau adakah kerana Allah sengaja mahu menyusahkan kita? Juga tidak!
Bahkan ianya untuk kebaikan kita secara keseluruhannya agar tidak ditimpa
kecelakaan. Lebih dari itu, segala larangan itu adalah tanda kasih sayang
Allah terhadap kita.

Namun anak² kecil ini tidak akan mengerti mengapa kita melarangnya. Kerana
pemikiran mereka yang belum mumaiyiz. Belum mampu membezakan antara yang
baik dengan yang buruk. Dan sebenarnya, begitu jugalah hakikat kita sebagai
manusia. Pemikiran kita adalah cetek dan terhad. Kita tidak mempunyai
kepandaian seperti Allah untuk menilai sesuatu larangan yang Dia
perintahkan.

Lalu mengapa mesti kita mempersoalkan apa yang Allah larang? Mengapa, jika
Allah menyuruh kita menutup aurah, kita masih mahu degil. Bahkan memberikan
alasan² yang tidak masuk akal. Apakah kita menyangka fikiran kita ini jauh
lebih bijak dan lebih pandai dari Allah maka kita tahu apa yang lebih baik
untuk kita? Atau apakah kita ini tidak 'terikat' kepada perintahNya?

Begitu juga, apabila Allah melarang pengambilan riba dan untung yang
berlebihan. Apakah kita ingin katakan Allah sebenarnya sengaja tidak mahu
kita memperolehi kesenangan yang lebih mudah? Dan juga larangan² yang
lainnya seperti zina, minum arak, meninggalkan solat dan lain². Jelas, jika
kita melanggar arahan ini bererti kita menolak hakikat Allah lebih
mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Sebenarnya Allah amat² menyayangi kita. Sungguhpun Allah tidak memerlukan
kita. Bahkan jika Dia tidak menciptakan Adam as buat pertama kalipun tidak
ada tidak ada apa yang terjejas bagiNya. Walaupun sebesar sayap nyamuk. Dan
seandainya kita melanggar segala arahanNya dan kita terjerumus ke lembah
kemusnahan sekalipun, tidak akan sedikitpun kurang kerajaanNya.

Tetapi demi kasih sayang Allah terhadap kita hamba yang hina, Dia telah
mengutuskan bukan seorang, bukan dua orang bahkan ribuan nabi² dan rasul²
semata² untuk menolong kita. Supaya kita tidak teraba dalam gelap. Supaya
kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Supaya kita semua akan kembali
menghadapNya dalam keadaan yang suci dan berseri².

Lantas apakah tindakan kita bagi membalas kasih sayang Allah ini? Ya, kita
sambut kedatangan nabi² ini terutamanya khotimul anbiya Nabi Muhammad saw
dengan menyatakan iman kepada baginda dan perkara yang baginda bawa.
Kemudian? Apakah dengan pernyataan iman itu sudah mencukupi? Sedang pada
hakikat, hampir segala yang Baginda saw bawa kita dustakan.

Apakah ini caranya menghargai kasih sayang Allah? Mengenepikan apa yang Dia
perintahkan atau melakukannya secara sambil lewa jikapun tidak diabaikan
terus. Tidak. Tidak. Saya bukan berkata tentang orang lain. Apa yang saya
sebutkan di sini adalah tentang diri saya sendiri. Saya tidak tahu amalan
orang lain. Apa yang saya tahu adalah kelemahan saya sendiri.

Allah telah mengurniakan saya terlalu banyak kelebihan dunia. Ibu bapa yang
penyayang, isteri yang memahami, bayi perempuan yang comel, kerjaya yang
agak kukuh dan sebagainya. Namun saya sebagai hamba tidak pernah atau tidak
pernah cukup mensyukuri apa yang telah Dia kurnia. Bahkan sering meminta
yang lebih lagi. Sukar untuk menyatakan 'cukup' di dalam hati ini.

Apakah segala amalan kita ini cukup untuk membayar apa yang telah Allah
kurniakan? Tidak! Bahkan jika kita beribadat untuk 100,000 tahun lagi
sekalipun tidak mungkin dapat membayar walau sebesar kepala jarumpun segala
nikmatNya. Kerana setiap saat, setiap detik bahkan setiap milisaat kita
sentiasa berharap kepada kurniaanNya untuk meneruskan hidup.

Maka kerana itu Allah tidak pernah meminta kita membalas segala
kurniaanNya. Apa yang Allah mahu hanyalah untuk kita membesarkanNya yang
sememangnya paling layak untuk dibesarkan. Hanya untuk kita mengagungkannya
yang sememangnya paling layak untuk diagungkan. Sayang sekali perkara mudah
begitupun saya gagal. Pun begitu, Allah masih sudi juga menyalurkan
nikmatNya buat saya.

Alhamdulillah... Segala pujian bagi Allah. Jika tidak kerana kasihNya,
tidak saya akan berada di sini menulis artikel ini. Semoga Allah menjadikan
kita manusia yang sering bersyukur. Dan semoga kita semua menjadi orang
yang pandai menghargai kasih sayang yang dicurahkanNya.

"Ya Allah! Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau. Dan sesungguhnya kami
orang² yang lemah dan sering lupa. Maka jadikanlah kami orang² yang ingat
dan tahu mensyukuri nikmatMu. Amin... Ya Rabbal'alamin..."

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.