18 April 2006

Mekanik Melayu


Bulan lepas saya ada membeli sebuah motorsikal terpakai Modenas Kriss, dengan harga hanya RM1,900. Niat asal saya membeli motorsikal tersebut sebenarnya adalah untuk memudahkan saya berulang alik dari ke masjid memandangkan kereta saya digunakan oleh isteri saya untuk ke sekolah manakala sebuah lagi kereta untuk kegunaan ayah saya ke kebun.

Tetapi kemudian apabila mengenangkan nasib seorang teman saya yang terbeban dengan kenaikan minyak yang melampau baru² ini, saya bersetuju untuk menukar pakai dengannya di mana motorsikalnya, Suzuki RG Sport akan saya gunakan manakala dia pula akan mengambil motorsikal saya. Dengan harapan cara ini dapat mengurangkan perbelanjaannya untuk mengisi minyak.

Ternyata Kriss memang jimat dengan perbezaan lebih kurang RM1 sehari. Namun selepas seminggu motor saya berada di tangan teman saya itu, ia mula membuat ragam. Teman saya mengadu yang motorsikal itu payah untuk dihidupkan di pagi hari. Lalu sebaik pulang dari pelantar minggu lepas, saya mengambil semula motorsikal tersebut untuk diperbaiki.

Pada awalnya saya berniat untuk menghantarnya ke bengkel milik seorang kenalan saya tetapi saya dapati teman saya telah menjualkan perniagaannya kepada seorang saudagar Cina. Ketika berpusing mencari bengkel lain, saya terpandangkan sebuah bengkel di hujung jalan. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghantar motorsikal saya ke situ dengan niat hendak membantu sesama Melayu.

Saya ceritakan masalah sebenar dan meminta dia melakukan servis serta top overhaul dan berjanji akan datang mengambilnya pada petang hari. Tetapi motorsikal saya gagal disiapkan pada petang hari tersebut sebaliknya dihantar pulang pada malam hari. Tak mengapalah pada saya. Asalkan semuanya baik, saya tidak kisah dengan harga dan berapa lama  perlu saya tunggu.

Malangnya, pada keesokan harinya, ketika teman saya datang untuk menukar motor semula, kami dapati motorsikal saya itu kehilangan kuasa atau pick up. Untuk makluman, rumah setinggan saya terletak di bawah bukit. Untuk menaiki bukit dari rumah ke jalan raya ia sudah tidak mampu. Timingnya juga kelam kabut. Lalu saya tidak jadi melepaskannya kepada teman saya.

Pagi itu juga saya hantarkan motorsikal itu ke bengkel itu semula. “Kaburator & coil api rosak” katanya. Saya memintanya untuk menukar apa yang patut. Motorsikal saya tidak sempat disiapkannya pada hari itu dan hanya siap pada malam keesokannya harinya. Sekali lagi, saya tidak kisah berapa perbelanjaan dan masa yang diambil asalkan semuanya baik.

Malangnya selepas menanti begitu lama, keadaan motorsikal saya tidak berubah. Masih tiada kuasa. Rasa tertipu, keesokan harinya saya menghantar motorsikal saya ke sebuah bengkel milik seorang berbangsa Cina yang saya kenali secara kebetulan ketika motorsikal teman saya rosak di tengah jalan berhampiran bengkelnya. Anggapan pertama si pemilik bengkel tersebut, saya membaiki motor itu sendiri.

Semua kerana terlalu banyak kesilapan terdapat pada motorsikal tersebut. Timing chain yang dipasang tidak betul, skru patah dan yang paling menyakitkan, karburator dan coil api yang elok dikatakan rosak. Dan terdapat kemungkinan kaburator itu dirosakkan oleh mekanik sebelum ini. Nyata saya telah tertipu. Lalu saya meminta dia membaiki motorsikal saya sebagaimana sepatutnya.

Petang semalam motorsikal saya siap sepenuhnya. Semua sekali hampir RM1,300. Jika dicampur dengan harga saya membeli motorsikal tersebut, rasanya saya mampu dapatkan sebuah motorsikal yang lebih baru dan lebih elok. Namun nasi sudah menjadi bubur. Apa lagi yang hendak dikatakan? Telan sajalah. Cuma yang menjadi sesalan ialah bagaimana caranya orang kita berniaga…

Bagi saya ini adalah hasil sikap tidak percayakan hari akhirat. Seseorang yang percaya akan wujudnya hari akhirat, tidak akan tergamak untuk menipu dan menganiaya orang lain kerana yakin setiap amalan dan perbuatan akan mendapat imbalan pada hari pembalasan kelak. Dan orang yang percaya hari akhirat tahu, duit yang dimilikinya hasil penipuan akan menjadi bahan yang membakarnya di neraka kelak.

Ayah saya mula menyumpah & ingin bersemuka dengan mekanik Melayu itu pada awalnya namun saya melarangnya. Biarlah. Saya halalkan berapapun yang diambil. Cuma saya harap Allah akan memberikannya hidayah. Namun cerita ini terpaksa saya sebarkan kepada teman² saya yang lain. Bukan untuk menabur pasir ke periuknya, tetapi agar tidak ada teman lain yang terpedaya.

Namun jika dkikira semula, saya rasa mekanik Melayu itu hanya memainkan peranannya. Kerana jika dinilai semula, kesilapan yang paling besar adalah datang dari diri saya sendiri yang tidak berhati² ketika membeli motorsikal tersebut. Bukankah saya sepatutnya mendapatkan pertolongan dari orang yang lebih arif agar tidak tertipu ketika membeli?

Ini sebenarnya hasil dari kesilapan saya. Dan mekanik Melayu itu hanya memburukkan keadaan sahaja. Punca utama ‘musibah’ ini adalah dari sikap saya sendiri yang gelojoh dan tidak berfikir panjang. Segalanya boleh dielakkan jika saya tidak bertindak bodoh daripada awal lagi kerana motorsikal tersebut memang sudah rosak dari sebelum saya membelinya lagi.

Kemudian apabila saya fikirkan lagi, saya rasa ini semua adalah dugaan Allah untuk saya. Allah mahu saya buktikan apakah niat saya ikhlas hendak membantu teman saya atau bagaimana. Kerana niat ikhlas itu perlu ada pada sebelum, pertengahan dan ketika selesai perbuatan. Ini adalah di pertengahan perbuatan. Seandainya saya mengeluh hari ini, ternyata saya tidak ikhlas dalam memberikan pertolongan.

Dan ini juga sebagai bukti bahawa duit yang kita simpan belum tentu akan menjadi milik kita dan dapat digunakan sesuai dengan apa yang kita rancangkan. Sebenarnya duit yang saya gunakan untuk membayar kos baikpulih motorsikal saya itu adalah simpanan sebagai persediaan ketika saya berpindah rumah, insyaAllah tahun hadapan. Ternyata kita hanya mampu merancang dan hanya Allah yang menentukan segalanya.

Apakah perlu untuk saya menyesal? Tidak. Saya katakan kepada isteri saya, biarkan kita susah dan miskin di dunia asalkan kita kaya dan senang di akhirat. Sudah terlanjur hendak membantu, maka biarlah kita teruskan selagi mampu. Allah tahu apa yang kita niatkan. Allah tahu apa yang kita harapkan. Jadi biarlah kita tetapkan keinginan terhadap syurga Allah dan sandarkan harapan juga hanya kepadaNya.

Hanya saya sedikit menyesal dengan sifat orang kita. Jika dia secara berterus terang mengaku tidak pandai membaiki motorsikal saya, saya tidak akan marah dan mentertawakannya. Sebaliknya saya akan menghormatinya kerana sifat jujur. Sayangnya si mekanik Melayu itu memilih jalan yang sebaliknya. Jadi hari ini, walaupun tidak marah, saya sudah tidak mampu lagi untuk mempercayainya.

Banyak pengajaran yang saya perolehi dari kejadian yang kecil ini. Sifat percaya yang membabi buta, sifat gelojoh dan kekurangan ilmu atau kepandaikan sebenarnya adalah sifat yang merugikan. Jika saya berjaga² dari awal lagi, perkara tidak akan seburuk ini. Jadi sebenarnya kesilapan yang paling besar datangnya dari diri sendiri. Maka wajarkah saya memarahi si mekanik Melayu itu tadi? Tentu sekali tidak…

3 comments:

Unknown said...

Ahamdulillah, biarlah kita berasa tawar dan pahit di dunia ini, jangan merasanya di akhirat.. Tawakal..

Unknown said...

Ahamdulillah, biarlah kita berasa tawar dan pahit di dunia ini, jangan merasanya di akhirat.. Tawakal..

Anonymous said...

Berhati2 baiki motor di bengkel motor J Maju Motor Bangsar sederet Maybank bangsar sebab boss nyer kaki penipu.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.