05 September 2006

Setelah 49 Tahun


Bahang sambutan Hari Kemerdekaan mungkin masih lagi terasa. Ini dapat dilihat melalui banyak program yang diadakan seperti konsert dan acara² di televisyen. Begitulah. Hari Kemerdekaan dianggap sebagai salah satu hari yang paling bersejarah dalam kehidupan kita rakyat Malaysia. Barangsiapa yang tidak menyambutnya, akan dianggap sebagai tidak patriotik.

Lebih 49 tahun dahulu, datuk nenek dan moyang kita berkumpul beramai² dan bersatu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang tercinta ini dari penjajahan British. Mereka bersatu demi mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu. Lebih 49 tahun dahulu juga, ramai di kalangan mereka yang terkorban dalam usaha menyelamatkan golongan generasi mereka yang mendatang.

Idea kemerdekaan wujud setelah penjajah Inggeris membuat keputusan menubuhkan Malayan Union yang kemudiannya ditentang dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Usaha menentang Malayan Union menyaksikan perpaduan orang Melayu yang akhirnya pada Mei 1946, di Istana Besar Johor Bahru, telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dalam bahasa penjajahnya UMNO.

Pada dasarnya, UMNO bukan ditubuhkan untuk menuntut kemerdekaan. Sebaliknya UMNO ditubuhkan bagi menentang idea penubuhan Malayan Union. Orang Melayu pada ketika itu menganggap Malayan Union sebagai satu usaha biadap penjajah Inggeris dalam usaha merampas kuasa Raja² Melayu dengan menambahkan kuasa kepada Gabenor Inggeris.

Dan sebab lain adalah kerana tindakan wakil Inggeris, Sir Harold McMicheal yang telah menggunakan ugutan terhadap Raja² Melayu untuk mempersetujui plan yang mereka rencanakan. Harold juga dikatakan kurang ajar apabila memasuki istana² tanpa menanggalkan kasut. Atas sentimen inilah yang telah menyemarakkan semangat orang Melayu untuk bangkit menentang Malayan Union.

Atau mudah bicara, perpaduan orang Melayu pada ketika itu adalah untuk mempertahan kedaulatan bangsa Melayu selain untuk menjamin nilai² kebudayaan orang Melayu yang telah sekian lama dipupuk dan disemai dalam jiwa dikekalkan dan tidak dirobek oleh penjajah dengan menanamkan nilai bangsa mereka. Pemimpin kita ketika itu melihat budaya penjajah itu sebagai satu ancaman untuk nilai bangsa kita.

Namun kini, setelah 49 tahun mencapai kemerdekaan, nampaknya apa yang telah mereka bersusah payah perjuangkan dahulu kian terhakis dan kian pupus ditelan zaman. Kita memang sudah merdeka. Namun dalam masa yang sama, kita juga telah kehilangan sifat bangsa dan budaya kita sendiri. Kita telah menjadi satu bangsa yang pada 49 tahun dahulu dianggap sebagai suatu yang menakutkan.

Bahasa Melayu telah hilang waja diri dan harganya. Ia telah dihina apabila dinafikan untuk menjadi bahasa ilmu dengan menjadikan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran utama di sekolah. Lebih memalukan apabila ada orang kita yang menganggap sesuatu yang memalukan atau akan kelihatan bodoh apabila bertutur dalam bahasa kebangsaan ini.

Tidak cukup dengan itu, gadis² Melayu yang suatu ketika dahulu cukup dibanggakan dengan sifat lemah lembut, penyayang dan pemalunya, kini tidak jauh beza dengan gadis² penjajah. Bukan setakat berpakaian seksi, malah sudah pandai pulang jauh malam, berdisko sampai pagi, bermabuk²an dan hingga akhirnya menjadi manusia kejam dengan membuang anak di merata tempat.

Si pemuda pula sibuk hidup dalam alam khayal mereka. Menjadi penagih, tahi arak, tahi judi, lumba haram, penjenayah, perogol dan berbagai² lagi. Jika dahulu sering disebut ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’, kini lebih sesuai disebut ‘Pemuda Perosak Bangsa, Pemudi Memalukan Negara’. Entah bagaimana agaknya reaksi pejuang² Melayu yang dahulu jika melihat situasi begini pada hari ini.

Memanglah, masih ada lagi di kalangan kita yang masih tebal sifat Melayunya atau lebih baik, masih tinggi nilai imannya. Tetapi berapa ramai? Dan paling penting, seberapa lama dapat mereka bertahan mempertahankan keperibadian mereka yang sebegitu? Apabila kerosakan sudah menjadi sebati dengan masyarakat, maka tidak mustahil ia akan menjadi sesuatu yang normal dan aan diterima oleh kita kelak.

Salah siapa? Mahu salahkan ibu bapa? Mahu salahkan guru yang mengajar di sekolah? Atau mahu disalahkan para ulama yang kononnya tidak menjalankan tugas? Atau sebenarnya salah pemimpin kerajaan yang kurang memberikan perhatian kepada pembangunan insani sebaliknya lebih sibuk dengan perniagaan sendiri dan sibuk mencari kesalahan jabatan yang menyekat aktiviti sumbang syarikatnya?

Ya, mereka memang bersalah. Tetapi paling bersalah adalah kita! Atau lebih tepat lagi, mereka yang memilih si pendusta undang² ini menjadi pemimpin mereka. Kerana kita meletakkan kemajuan mendahului segalanya hingga terlupa betapa pentingnya untuk mendahulukan pelajaran iman. Sehingga kita jadi terlupa betapa pentingnya membentuk sebuah masyarakat yang aman sebelum menjadi sebuah masyarakat yang maju.

Pada detik tepat 12.00 malam pada 31 Ogos di setiap tahun, kita akan melaungkan perkataan ‘Merdeka!’ dengan begitu bangga sekali. Tanpa sedar atau mungkin buat² tidak sedar bahawa kita sebenarnya semakin lama semakin tenggelam dalam arus penjajahan mentaliti. Merdekakah kita jika kehidupan kita sama seperti apa yang terlalu ingin diterapkan oleh penjajah sewaktu menjajah kita dahulu?

Lihatlah pengisian malam kemerdekaan kita. Ianya dipenuhi dengan acara² konsert yang lebih banyak mengkhayalkan dari mendidik.Dan kemudiannya acara ini diakhiri dengan golongan muda menyambung ‘pesta’ mereka di tempat lain dengan melakukan zina dan maksiat² lain. Kita jadi terikut² dengan gaya barat dalam menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita. Mengapa tidak diadakan majlis kesyukuran bagi mensyukuri kemerdekaan yang juga merupakan sebuah nikmat dari Allah buat kita semua? Merdekakah kita dengan berkelakuan sebegitu?

Sebuah bangsa yang merdeka akan mempunyai sifat jati diri yang ampuh. Sebuah bangsa yang merdeka tidak akan sibuk terkejar² untuk menjadi seperti bangsa yang lain. Sebuah bangsa yang merdeka akan berbangga dengan apa saja yang mereka miliki. Mereka akan tetap teguh mempertahankannya dan tidak akan menerima pengaruh bangsa lain semata² atas nama kemajuan.

Laungan perkataan ‘Merdeka!’ ratusan ribu ataupun jutaan kali tidak dapat menjamin kebebasan bangsa kita dari penjajahan mental. Hakikatnya kita masih dijajah. Dan kita akan terus dijajah selama mana kita tidak pandai atau tidak mahu menghargai apa² yang kita miliki. Selama mana kita masih berbangga untuk menjadi orang lain daripada untuk menjadi diri sendiri…..

1 comment:

Anonymous said...

kepada pemburu "air" wanita..
saya doakan semoga anda diberi hidayah oleh Allah SWT..AMIN

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.