08 September 2006

Bersatu Di Dalam Sunnah


Pada hujung bulan lepas, saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk satu kursus di ibu pejabat. Ketika sampai di Hentian Putra, hujan turun dengan lebat. Tetapi saya tidak tunggu sehingga hujan teduh sebaliknya saya terus membeli sekaki payung yang dijual oleh seorang lelaki dengan harga RM5. Kemudian saya terus meredah hujan lebat dan lecak dengan beg yang tersandang di bahu.

Mungkin usia kasut yang sudah terlalu ‘tua’ atau mungkin juga hujan yang turun di bandaraya Kuala Lumpur berasid, sedar² saya lihat kasut saya sudah ‘ternganga’. Lalu tanpa berlengah saya menuju ke seorang tukang kasut yang saya temui di Chow Kit. Tukang kasut mengatakan yang ia akan mengambil masa yang lama kerana kasut saya basah dan mencadangkan saya pergi minum dahulu.

Saya tinggalkan kasut saya bersamanya dan dengan hanya berselipar jepun, saya menuju ke kedai makan berhampiran. Saya singgah di kedai yang pertama saya temui. Ketika melangkah masuk ke restoran tersebut, saya terlihat dua orang lelaki yang sedang duduk minum. Kedua mereka berpakaian sama. Berkurta (jubah yang labuhnya ke lutut) dan berkopiah. Seorang dari mereka pula memakai vest di badannya.

Mereka tersenyum melihat saya. Saya membalas senyuman mereka lalu mengangkat tangan dan memberikan salam. Kemudian saya duduk di meja sebelah mereka. Seketika kemudian datang seorang lagi teman mereka dituruti seorang lagi yang saya dengar mereka memanggilnya sebagai ‘Haji’. Saya tidak mengambil peduli dengan apa yang mereka perbualkan.

Tiba² salah seorang dari mereka menegur saya. Dari suara mereka barulah saya sedari. Rupanya mereka ini adalah warga Indonesia. Subhanallah… Sebenarnya, rakyat Indonesia di negara kita dapat kita cam dengan mudah melalui pemakaian mereka. Tapi untuk mereka berempat ini, memang tidak nampak sedikit pun identiti pendatang Indonesia pada pakaian mereka seperti yang kita selalu lihat.

Kerana apa? Kerana kesemua mereka berpakaian mengikut sunnah. Bukan mengikut trend. Jadi apa yang kelihatan pada diri mereka adalah sebuah identiti muslim. Identiti yang diterapkan oleh Baginda Nabi Muhammad saw. Dengan berpakaian begini, akan hilanglah identiti bangsa, negara atau apa sahaja. Sebaliknya kita akan wujud sebagai satu identiti yang lebih sempurna.

Begitu juga satu ketika dahulu. Ketika itu isteri saya teringin untuk memakan burger. Lalu ketika pulang dari maghrib, saya singgah ke satu warung di Kampung Melayu. Ketika sedang asyik menunggu burger yang saya tempah disiapkan, tiba² saya terdengar seseorang memberikan dalam di belakang saya. Saya menoleh dan terlihat seorang lelaki berkurta, berkopiah dan berjambang sedang menghulur tangan untuk bersalam.

Saya mengambut salamnya dengan mesra. Si penjual burger (seorang lelaki dan seorang perempuan) kelihatan keliru. Kemudian saya dengar yang perempuan bertanya kepada yang lelaki “Orang apa tu?”. Lalu si lelaki menjawab “Entah. Arab kot?”. Kemudian keduanya menoleh kepada saya sambil tersenyum. Mungkin mereka pelik kerana sebalik bersalam kedua lelaki itu terus berlalu. Sah mereka bukan kenalan saya.

Terus terang, saya sendiri tidak pasti warga negara apakah lelaki yang bersalam dengan saya itu. Tetapi saya boleh mengagak memang warga Arab berdasarkan bahasa yang dituturkannya ketika berbual dengan anaknya. Dan saya memang tidak mengenalinya. Tetapi apa yang membuatkannya menegur dan memberi salam kepada saya? Saya agak, kerana pakaian saya sama dengan pakaian mereka.

Dengan penampilan yang sama, memang kami adalah satu. Memang dia orang Arab dan saya orang Melayu. Tetapi hakikatnya kami adalah muslim. Kami adalah pengikut Nabi Muhammad saw. Dan kami menterjemahkannya dengan pamakaian kami. Dan sebenarnya, ada banyak kejadian yang saya lalui di mana saya ditegur oleh orang yang tidak dikenali hanya kerana pakaian dan perwatakan kami yang serupa.

Begitulah pentingnya mengikut sunnah. Kerana itulah ianya dititik beratkan dalam Islam. Pernah dikisahkan, Nabi saw menyuruh umat Baginda untuk memelihara jambang dan membuang (mencukur) misai bagi membezakan antara muslim, yahudi dan majusi. Walaupun sesetengah orang menganggapnya tidak lagi relevan, tetapi ianya tetap penting utnuk menunjukkan kesatuan ummah.

Hari ini kita terlalu sibuk mengikut fesyen terkini. Sama ada gaya rocker, hip-hop, dangdut mahupun gaya kasual biasa, kita selalu tidak mahu terlepas dari mengikut perkembangan dunia fesyen semasa. Tetapi fesyen sentiasa berubah. Hari ini kita kumpul duit untuk membeli sejenis pakaian yang mahal. Tiba² setelah cukup jumlahnya, ia tidak lagi menjadi sebahagian dari trend semasa. Bagaimana?

Begitu juga kita begitu berbangga dengan pakaian tradisional kita. Malah, apabila tiba hari Jumaat, ada yang bersiap dengan begitu cantik bergaya siap dengan baju melayu dan bersampin songket untuk ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat. Benar, memang baik untuk kita berhias ketika ke masjid tetapi pakaian mahal itu tidak menjanjikan apa² buat kita. Kerana ia bukan sunnah.

Tetapi sunnah itu kekal. Alangkah baiknya jika kesemua kita ‘melekat’ kepada sunnah. Mungkin tidak ke pejabat kerana peraturan yang telah ditetapkan tetapi sekurang²nya ketika ke masjid dan ketika menjalankan aktiviti agama. Kerana sememangnya sudah begitu jelas dan pasti bahawa pakaian cara sunnah ini telah menyatukan ummat yang jaraknya asalnya ribuan kilometer.

Sama ada orang Arab, orang Indonesia malah mungkin kepulauan Maluku sekalipun, apabila kita semua berpakaian cara sunnah, maka yang akan timbul ketika bersama hanya sebuah identiti muslim. Dan kita akan kekal bersatu selagi mana kita tidak menolak sunnah sebagai salah satu dari pegangan cara hidup yang penting untuk diamalkan. Sesungguhnya tidak ada satupun arahan Nabi saw yang sia².

Nabi saw telah meninggalkan begitu banyak amalan² sunnah untuk kita ikuti. Mungkin untuk bersolat tahajud setiap malam, atau meletakkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan peribadi ataupun memiliki empat orang isteri terlalu susah untuk kita amalkan kerana banyak alasan dan sebab yang kita reka sendiri. Tetapi soal sunnah berpakaian ini terlalu mudah. Apakah kita masih mahu menolaknya?

Nabi saw tidak pernah bersyariat bahawa sunnahnya hanya untuk amalan mereka yang banyak ibadahnya sahaja. Jadi tidak kira siapa kita, seharusnya sunnah sentiasa menjadi amalan kita. Semoga dengannya Nabi saw akan gembira untuk memberikan kita syafaatnya nanti di sana… InsyaAllah…..

1 comment:

Lidah Penghunus said...

Assalamualaikum.

saya tertarik dengan cerita anta yang pertama tu sbb memang betul la, contohnya suspek2 yg didakwa terlibat pengebom dibali yang kita lihat di berita2 tv. melalui kopiah dan janggut mereka nampak takde beza dengan ustat2 kita di malaysia ni. memang beza betul org yg identiti islam ni berbanding dgn mrk yg berpakaian moden. kalau indon kat malaysia ni memang mereka tak blh sembunyi la identiti mereka, kita akan dapat tau yg mereka tu indon.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.