17 September 2006

Pahit Akan Manis Juga Akhirnya


Minggu lepas, saya ke kedai rakan saya untuk menggunting rambut. Kebetulan,
ketika itu rakan saya agak sibuk kerana sedang melayan seorang rakan lain
yang datang untuk menggunting rambut anaknya yang baru berusia 3 bulan.
Jadi rambut saya dipotong oleh pembantunya, seorang muda yang baru tamat
latihan. "Macamana bang? Tapak satu ke kosong?" tanya pemuda itu. "Kosong!"
jawab saya sambil menyambut senyumnya.

Ketika dia sedang 'menebas' rambut di kepala saya, anak rakan saya di
sebelah tidak habis² menangis. Iyalah. Budak kecil bukan tahu apa. Tetapi
tangisan bayi tersebut menarik perhatian pemuda yang menggunting rambut
saya. "Lama tak dengar suara budak kecil menangis." katanya. "Seronok kan?"
tanyanya. Saya hanya tersenyum. Kemudian saya bertanya kepadanya "Kau dah
kahwin?" "Belum..." jawabnya ringkas.

"Tunggu apa lagi? Kahwin cepat la bagus..." "Belum ada rezeki bang..."
jawabnya lagi sambil terus tersenyum. "Rezeki ada je di mana². Mana boleh
kata belum ada rezeki" jawab saya pula. Dia tersenyum lagi. Kali ini dia
menukar jawapannya kepada 'belum sampai seru'. Okaylah kata saya. Kalau
kata belum sampai seru, atau maksudnya belum bertemu jodoh, mungkin saya
boleh terima lagi.

Entahlah. Akhir² ini saya asyik menasihatkan orang² muda yang saya temui
agar berkahwin cepat. Pantang terdengar mereka berbual tentang perempuan,
atau 'bergayut' di telefon lama², pasti saya akan 'menggatal' menyuruh
mereka berkahwin segera. Ramai yang memberi alasan mereka masih muda.
"Huh!" dengus saya. "Aku dulu ingat umur 27 masa aku kahwin dulu tu muda
lagi. Rupanya 27 tu dah terlalu tua sebenarnya..."

Tetapi yang paling ramai memberikan alasan mereka belum cukup wang, tidak
cukup bersedia atau kerjaya belum kukuh. Sebenarnya, saya cukup akui
perihal jodoh ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Menentukan semata². Jika
Allah menentukan belum ada jodoh untuk kita, buatlah bagaimana sekalipun,
kita tetap tidak akan berkahwin. Tetapi untuk menjadikan 'rezeki' atau wang
sebagai alasan, saya cukup tidak berkenan.

Saya teringat ketika saya hendak berkahwin dahulu. Sebelum saya mengikat
tali pertunangan, saya telah pun mempunyai satu kerjaya yang boleh
dikatakan stabil. Walaupun tidak semewah mana, namun saya masih mampu
berkereta dan mampu menanggung ibu bapa saya serta mempunyai sedikit 'wang
saku' untuk berfoya² (ini zaman muda² dulu la...). Namun segalanya berubah
tidak lama selepas saya bertunang.

Syarikat tempat saya bekerja mula mengehadkan dan mengawal jumlah jam kerja
lebih masa (OT). Pendapatan saya mula berkurangan. Bukan sedikit tetapi
hampir seribu ringgit juga sebulan. Ketika itu, perniagaan yang saya
jalankan juga mula dilanda masalah dengan rakan kongsi saya melarikan wang
pelaburan saya. Akhirnya saya mula 'berkawan rapat' dengan kad kredit.
Mula² memang mudah tetapi lama kelamaan saya jadi kian tersepit.

Akhirnya saya ambil keputusan untuk bertukar tempat kerja. Saya menyertai
syarikat saya bekerja sekarang ini sebagai pelatih. Berapa sen sangat gaji
yang saya perolehi sebagai pelatih. Selepas dibayar kad kredit, selepas
ditolak duit kereta dan duit untuk ibu bapa saya, yang tinggal untuk saya
adalah negatif. Dengan majlis yang bakal berlangsung tidak berapa bulan
lagi, saya mula kehilangan arah.

Sesekali syaitan berbisik kepada saya untuk membatalkan perkahwinan. Tetapi
tidak! Saya perkuatkan azam dalam hati untuk menunaikan janji yang telah
saya buat. Di ketika itu juga, Allah telah memancarkan sinar hidayahNya
kepada saya dan membawa saya pulang ke jalan yang dia redhoi. Saya mula
belajar untuk mensyukuri nikmat dan belajar untuk berkata cukup dengan apa
yang saya ada.

Saya mula pasrah dengan apa yang terjadi. Dan ketika majlis penyerahan wang
hantaran hampir sampai, saya hanya ada sepuluh ringgit di dalam poket.
Tunang saya (kini isteri) ketika itu pula masih menuntut di maktab.
Bagaimana pula dia dapat membantu. Dan kerana dia masih di maktab jugalah
kami harus kahwin segera. Kerana saya tidak mahu dia dihantar bertugas jauh
sebaik selesai pengajiannya.

Akhirnya, apabila tiba hari penyerahan wang hantaran, saya bertekad untuk
menggunakan wang ansuran bulanan kereta. Ketika itu, bayaran kereta saya
'tersangkut' untuk dua bulan. Pihak bank sudah sibuk menghubungi dan
mengugut untuk mengeluarkan surat tarik. Kad kredit saya juga sudah tidak
boleh digunakan lagi. Ada yang sudah sampai tahap maksimum dan juga yang
digantung kerana tiada pembayaran dibuat.

Saya jadi begitu buntu. Tidak tahu bagaimana saya boleh dapat sumber lagi
untuk meneruskan majlis yang telah dirancang. Nasib saya baik, tidak berapa
lama sebelum majlis, saya terdengar berita isteri seorang dari teman saya
diberhentikan secara VSS. Dengan muka tidak malu, saya pinjam darinya
RM1000. Dan dengan berbekal wang sebanyak itu, dengan kereta tergantung 3
bulan, dengan kad kredit yang dibekukan, majlis saya dilangsungkan...

Tetapi itu cerita dulu. Kini semuanya sudah selesai. Alhamdulillah saya
dikurnai seorang isteri yang penyayang dan sebuah keluarga yang bahagia.
Anak akan bertambah menjadi dua pada penghujung tahun ini, insyaAllah.
Kini, hutang kepada teman saya sudah dilangsaikan. Kad kredit yang dahulu
sudah saya potong selepas bakinya saya selesaikan. Dan, kereta saya juga
masih wujud hingga hari ini dan digunakan oleh ayah saya untuk ke kebun.

Inilah yang dinamakan rezeki. Sebenarnya, selepas berkahwin pun hidup saya
tidaklah berubah serta merta. Tetapi sedikit demi sedikit keadaan menjadi
lebih baik. Setahun selepas perkahwinan kami, latihan saya pun tamat dan
saya telah menerima kenaikan gaji yang agak selesa. Isteri saya juga tamat
pengajiannya di maktab dan ditugaskan mengajar di sekolah yang berhampiran
rumah kami. Keadaan telah menjadi benar² pulih.

Kelahiran anak sulung kami, Nurul Naqibah Izzati juga bagaikan 'membawa
rezeki' kepada kami. Rezeki yang kami terima bagaikan melimpah ruah. Pada
ketika itu, saya rasakan kepala saya cukup lapang. Dan hidup saya juga amat
tenteram. Tetapi langit tidak sentiasa cerah. Ada juga kalanya kami
tersepit. Dan kini isteri saya hamil lagi. Untuk seketika, kami dilanda
sedikit kesempitan tetapi tetap, tidak seteruk yang pernah kami alami
dahulu.

Tetapi seperti kata orang tua², setiap anak ada rezeki mereka sendiri. Hari
ini, saya dapat lihat beberapa 'pintu rezeki' yang baru mula terbuka untuk
kami jengah. Saya yakin malah begitu yakin sesungguhnya rezeki itu ada di
mana². Saya yakin Allah tidak akan pernah menduga hambaNya dengan dugaan
yang tidak mereka sanggup tempuhi. Dan saya cukup yakin, segala pahit akan
manis juga akhirnya.

Kerana itu, saya tidak merasa gusar lagi. Belanja kelahiran anak kedua
kami, belanja untuk Naqibah yang kian membesar, kos untuk perpindahan rumah
kami dan segala apa beban yang sedang dan akan kami tanggung, saya pasti
Allah telahpun menyediakan jalan penyelesaiannya. Yang penting untuk diri
saya, mesti terus berusaha dan mesti terus berdoa. Dan paling penting,
mesti sentiasa yakin kepada sifat a-Rahman dan ar-RahimNya.

Saya pasti, ada orang yang pernah mengalami pengalaman yang lebih
memeritkan dari apa yang kami alami. Tetapi percayalah, saat paling indah
untuk sesuatu penyiksaan itu ialah tatkala mengenangnya apabila semua
siksaan tersebut sudahpun selesai. Terasa manisnya hidup ketika itu. Sebab
itu, kadangkala saya akan mengungkit kisah ini dengan ibu bapa atau pun
isteri saya. Kami pasti akan tersenyum mengenangkannya.

Dan kerana itulah, saya seakan tidak dapat menerima apabila orang
mengaitkan rezeki dan wang sebagai alasan mengapa mereka masih belum
berkahwin. Rezeki itu milik Allah sebenarnya. Apa yang perlu kita lakukan
hanyalah berusaha sekuat mungkin dan berdoa sebanyak yang boleh.
Selebihnya, serahkan kepada Allah untuk melaksanakan rencanaNya.
Sesungguhnya Allah itu Sebaik² Perencana.

Jika rasa hendak berkahwin, berkahwinlah. Janganlah risaukan soal rezeki.
Sesungguhnya perkahwinan adalah sesuatu yang mulia. Perkahwinan juga
merupakan ibadah. Dan Allah telah menjanjikan bantuan untuk mereka yang
berbuat sesuatu keranaNya. Dan sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri
janji. Asalkan yang paling penting, dapatkan doa restu dan keizinan dari
orang tua. Dan perbetulkan niat perkahwinan ini didirikan kerana Allah,
bukan nafsu semata². Yang selebihnya, serah sahaja kepadaNya. Percayalah,
pahit akan manis juga akhirnya. Jika tidak di sini, mungkin nanti di
sana.....

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum,
saya cuma nak tau.. adakah artikel ini betul2 ditulis oleh anda? kerana saya juga ada membaca tulisan ini di satu blog lain yg juga menyatakan ianya hasil nukilan dia... agak mengelirukan.. sapa penulis yg sebenarnya?? apapun, memang bagus tulisan2 saudara (tak kisah la ia dari diri saudara sendiri atau diambil dari orang lain asakan ianya bermasejkan sesuatu yg baik, yg mengajak kepada kebaikan dan menjauhkan kemungkaran)...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.