24 September 2006

Kehadiran Yang Dinanti


Saya bangkit pagi ini seperti biasa. Jam 4.30 pagi. Sememangnya setiap hari
bekerja, inilah waktu saya meninggalkan 'katil tersayang' untuk mula
bekerja. Saya perlu menandatangani beberapa permit kerja agar bahagian
selenggaraan dapat menjalankan kerja mereka dengan lancar di siang hari
nanti. Seperti biasa, saya akan makan dahulu sebelum memegang pen untuk
memulakan tugas.

Tetapi pagi ini tidak seperti biasa. Ketika melangkah memasuki galley, saya
lihat sudah sedia ramai orang yang sedang menikmati juadah masing². Oh...
Hari ini 1 Ramadhan. Hari ini umat Islam di Malaysia memulakan ibadah puasa
wajib mereka. Dan malam tadi sudahpun dilakukan solat tarawih di mana saya
telah dipaksa menjadi imam. AllahuAkbar. Inilah pertama kali dalam hidup
saya mengimamkan solat Tarawih. Menggigil lutut dibuatnya.

Saya menyedut udara pagi ini dalam² ketika berjalan menuju ke bilik kawalan
sebentar tadi. Ah... Segarnya udara pagi Ramadhan ini. Alhamdulillah...
Betapa beruntungnya saya dapat menikmati bulan Ramadhan yang penuh barokah
ini sekali lagi. Hati saya cukup gembira. Sebenarnya sudah banyak
perancangan yang ingin saya laksanakan di dalam Ramadhan ini. Kerana itulah
saya tidak sabar² menantu kehadirannya.

Bagaimana tidak, di bulan ini Allah yang sememangnya Maha Pemurah telah
melebarkan lagi pintu rahmatNya untuk kesemua kita. Inilah bulannya di mana
setiap amal kita dibalas dengan balasan yang berlipat kali ganda. Inilah
bulannya di mana tidur yang tidak melalaikan juga diberikan pahala. Dan
inilah bulannya kita dapat memperkentalkan benteng kesabaran dan kekuatan
iman dalam menghadapi dugaan hidup.

Selama sebelas bulan sebelum ini kita telahpun melalui hidup ini sebagai
mukmin yang ada kalanya berjaya menewaskan dugaan tetapi yang pada
kebiasaannya, tewas dalam perjuangan. Sebelas bulan sudah lamanya semenjak
kali terakhir kita berjaya mengekang amukan nafsu terhadap nikmat² dunia.
Kini tibalah sebuah bulan di mana nafsu akan sekali lagi tunduk kepada
iman.

Jika dikenang²kan, alangkah bertuahnya kita kerana Allah telah
mensyariatkan berpuasa di bulan Ramadhan ini. Mana tidaknya, setelah puas
bergelumang dengan dosa, tidak kiralah sama ada kecil mahupun besar
sepanjang sebelas bulan yang lalu, maka Allah memberikan kita kemudahan
untuk mengimbangi dosa² yang kita lakukan dengan kurniaan pahala yang
mencurah² di bulan ini.

Agar nanti di Mizan, neraca yang menimbang amalan kita insyaAllah seimbang
ketika menimbang jumlah pahala dan dosa kita. Bayangkanlah jika tiada
keberkatan Ramadhan... Bagaimanakah agaknya dapat kita tambah pahala kita
dengan keadaan harian kita yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan² dunia?
Hendak bangkit di tengah malam bagi menunaikan solat tahajud pun sudah
bagitu berat. Bagaimana lagi dengan amalan² yang lain.

Oleh kerana itu, rugilah bagi mereka yang melalui Ramadhan ini secara sia².
Ramadhan ini seumpama sebuah kotak yang penuh berisi dengan harta yang
terbuka di hadapan kita. Sesiapa sahaja boleh mengambil harta tersebut
tetapi ianya tidak akan susut². Hanya apabila cukup tempoh, kotak itu akan
tertutup. Apakah yang akan kita katakan kepada orang yang melihat sahaja
kotak itu tertutup tanpa mengambil apa² dari dalamnya?

Begitu jugalah kita jika kita biarkan Ramadhan ini berlalu tanpa cuba
melakukan seberapa banyak amal kebaikan dan kebajikan. Tentu sahaja kita
akan tergolong dalam golongan orang yang bodoh. Bukan setakat bodoh bahkan
juga sombong. Kerana tidak mengendahkan pemberian yang diberikan kepada
kita. Maka kerana itu, sewajarnyalah kita berusaha bersungguh² untuk
merebut setiap kebaikan yang dijanjikan di dalam bulan yang mulia ini.

Saya yakin ramai di antara kita yang tidak sabar menanti kehadiran
Ramadhan. Kesemuanya menanti dengan sebab dan alasan masing². Ada yang
mengharapkan kehadiran Ramadhan ini akan menjayakan 'misi' menguruskan
badan mereka. Ada juga yang meletakkan harapan untuk berhenti merokok di
dalam Ramadhan ini. Ada juga yang ingin menjadikan Ramadhan ini sebagai
bulan untuk menambahkan simpanan.

Biar apa pun sebab dan alasan kita untuk menyambut Ramadhan, yang paling
penting jangan lari dari niat yang paling utama. Iaitu berpuasa demi kerana
ianya suatu suruhan dari Allah. Kerana tanpa niat yang ini, biarpun harapan
kita yang lain sempena Ramadhan termakbul tetapi tetap ibadah puasa yang
kita jalankan menjadi sia² belaka. Apatah lagi jika harapan kita tadi juga
terkubur berkubur. Tentunya lebih malang lagi jika berlaku sebegitu.

Allah telah menjadikan tempoh 29 atau 30 hari ini sebagai hari² yang penuh
dengan kegemilangan. Namun kemuliaan dan kesucian Ramadhan seringkali
tercemar kerana sifat tamak dan haloba kita terutama ketika membeli belah
untuk juadah berbuka atau ketika persediaan hari raya. Ini semua adalah
perangkap iblis yang sejak sekian lama begitu gigih melatih nafsu kita
untuk merasuk dan merosak akal dan pemikiran kita.

Jika di bulan Ramadhan ini, kita menahan lapar dan dahaga di siang hari,
kita menahan pandangan mata dan pendengaran telinga dari perkara² yang
tidak baik bahkan kita juga berjaya memaksa batang tubuh kita untuk berdiri
mengerjakan solat tarawih, tidakkah terasa ianya menjadi sia² sekiranya
kita gagal dalam menahan dan mengawal nafsu kita ketika berbelanja sehingga
terjerumus ke dalam jurang pembaziran?

Sesungguhnya Ramadhan ini seumpama seorang teman yang sering kita rindukan.
Kehadiran Ramadhan tentunya mengundang kegembiraan di dalam hati kita.
Maklumlah semenjak sekian lama menanti dan baru kini menjelma. Bagaimanakah
agaknya reaksi kita? Sudah tentu banyak yang ingin diperkatakan. Dan sudah
tentu kita mahu penuhi masa yang terluang bersama dengan perkara² yang
boleh diabadikan dalam kenangan.

Maka kerana itu sewajarnya Ramadhan ini diraikan. Setelah sebelas bulan
menghilang, 'kepulangan' Ramadhan kali ini biarlah kita sambut secara
meriah dengan amal ibadah yang dipelbagaikan. Biarlah kita luangkan
seberapa banyak masa kita dengan melakukan seberapa banyak ibadah yang
termampu. Ibadah² inilah yang akan menjadi kenangan dan yang akan
dibongkarkan di hadapan Allah kelak di Hari Akhirat.

Sesungguhnya kehadiran Ramadhan di sisi kita tidak akan lama. Setelah cukup
masanya, ia akan pergi. Maka sementara ia masih di sisi, marilah kita
manfaatkan masa yang ada. Kerana jika kita lepaskan peluang ini, belum
tentu sebelas bulan lagi kita masih lagi di sini...

Di kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut
kedatangan Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa kepada teman²
muslimin dan muslimat serta para pengunjung blog Diari Abi Naqibah ini.
Semoga puasa kali ini akan menjadi puasa yang paling berkat dan diterima
oleh Allah swt akan setiap amal kebajikan yang telah, akan dan bakal kita
jalankan insyaAllah...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.