18 September 2006

Darul Taqwa Dan Dr. Johar

Oleh: Unknown.

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang
dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba?
Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu.
Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik... Tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di
Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di
belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk
Dr.Johar, orang besar negara ini. "Pakcik, biarlah saya tolong kutip,
sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik" kata
budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk
Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok
dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru
berlapis-lapis.

Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah
pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di
udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan
panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh
manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku
mereka... Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. "Hoi
budak! Aku dimana sekarang?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak.
Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya? Teka-teki itu terus
menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut
hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis
Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang
hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum... Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan
membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini.
Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini
menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali Subhanallah, 30 kali
Astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan
lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada
dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia
tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan
aku? "Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita
selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya
angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan
ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan
matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. "Oh,
oh... Maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai
pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai
itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan
ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak
perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan
kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre
Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul.
Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang
ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di
negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. " "Pakcik, itu
pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul
Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu.
Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat
gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam.
Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada
orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin
kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?"
Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi
jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala lumpur.
Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi
itu sahaja, yang lain tak ada. "Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan
Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam.
Diberi amanah untuk memastikan kebersihan zahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit
dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa
yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.
"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan
Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas.
Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai
penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! Seksa
Neraka amat pedih... Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya
dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki
yang baru datang dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari
sekuat-kuat hati. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas... Lega.
Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu
minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound
system di tepi-tepi jalan:

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar,
hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin
supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila
datang!"

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, tidak akan mencemar duli menagih nasi.
Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di
tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan
berjubah. Matanya tidak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar ia
masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki." "Ceh!
Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."
Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain
yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka
pemisahan-pemisahan macam ni!". Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun
yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman
penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di
sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf
wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama,
sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri
dan anak perempuan" terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba
putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis,
sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..." "Masya-Allah
pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub
sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada
orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah..."
Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya
bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.
"Nasi beriani sepinggan !" ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?"
tanya pelayan itu kehairanan. "Ya! Apa peliknya?" "Baik, tuan. Tapi semua
orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya
pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke
tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan, hanya hamparan
permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka
makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian!

Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih
khas. "Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki." kata pelayan
itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu
berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan
seorang diri bagai kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam
sembahyang jemaah Subuh" ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa.
Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan sahaja. "Anta tak cuba tampung
dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak
simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu
ringgit... Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi,
seorang pun tak mahu terima sedekah ana" keluhnya. "Susah kita sekarang.
Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya
bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya
macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak
sudi pula terima sedekah kita... Oh...!" keluh seorang yang sama-sama makan
dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta
yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa,
yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila
kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk
kemaskinikan kementerian-kementeriannya... Ana nak labur habis-habisan.
Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun
makan dengan perlahan-lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada
pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan... Berhentilah
sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan
kedai merangkap pegawai perubatan..." kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak
pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam
negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!"
bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak
dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang.
Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum
kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!”

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam
aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan
menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang
penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya..." "Batalkan saja oder saya
tadi, banyak sangat cakap. Boring. Saya perlu hiburan sekarang... Di mana
boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem
komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang
menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma."

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang
ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip.
Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu
kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan
kolot... Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah
atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam
skrin timbul tajuk besar - KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul
nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN
NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA... Oh...Oh... Seram sejuk
tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku
macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati
lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas
skrin komputer: RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya
dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN
JANNAH YANG ABADI... Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang
Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada
seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik. Saya
pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda
sekarang..." "Ya, ya saya setuju" balas Datuk Dr. Johar. Telinganya
dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar
lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.

Ayat suci Al-Quran..."Eh... Ni suara orang mengaji..." "Nanti dulu pakcik,
selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya" kata pemuda
berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.
Kemudian getaran suara bergema....

"Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
Mendamba kasih yang tidak berhujung
Mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta...
Stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan
sajalah..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya
bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami
halalkan sajalah."

"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan
berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar
pencuri."

" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong
tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana
takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya" pekik Datuk Dr.
Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar, semua pandangan
menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini
tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter
dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang
jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas: "KELUARGA BAHAGIA
GEMBIRA DENGAN SUNNAH". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan
perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan
berpurdah.

Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum.
Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini?
Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar
tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba
meletus.

*****

"Datuk...! Datuk...! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar
bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?" tanya Datuk Dr. Johar. "Tidak, Tuk.
Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu
pilihanraya..." "Habis, mereka mahu apa?" "Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam?" keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya......

"ISLAM 'KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG... ITULAH JANJI ILAHI"

Nota Abu Naqibah:

Ini bukanlah karangan saya. Saya telah terima cerpen ini melalui email dari
seorang teman. Pertama kali membacanya saya jadi amat tertarik dan ingin
berkongsi dengan semua pengunjung blog ini. Mungkin ada antara anda yang
telah membacanya. Sayangnya nama penulis asal tidak disertakan. Jika ada
sesiapa yang mengetahui siapa penulis asal cerpen ini, diharap dapat
memberitahu saya supaya orang yang sepatutnya menerima kredit atas karya
yang superb ini.

Wassalamualaikum warahmatullah.....

3 comments:

Blogger said...

"ISLAM 'KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG... ITULAH JANJI ILAHI"

Rangkap perkataan ni yang sedap dibaca bagi saya.

Anonymous said...

Ceruta yang paling 'best' pernah saya baca dan menghayatinya seperti berada pada zaman Rasullullah.Kata-kata "ialam kan tetap dijulang walaupun ia ditentang... meremang bulu roma membacanya.Timbul saya semangat.Syabas kepada yang menulisnya.Saya cadangkan kita compilekan cerita2 sebegini dalam satu blog mesti best.

Anonymous said...

assalamualaikum...
saya tahu penulis cerita ni.nama dia Pahrol Mohd Juoi. beliau merupakan seorang penulis ruangan kemudi hati dalam Majalah Anis.Saya ada terbaca cerpen ni dalam himpunan cerpen2 islamik.ok..tu je..semoga berada dalam lindungan Allah sentiasa...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.