28 August 2006

Kemerdekaan Spiritual


Tak berapa lama lagi insyaAllah kita akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke 49. Angka 49 bukanlah angka yang kecil. Kiranya sudah hampir setengah abad kita mengecapi kemerdekaan. Sesekali mengenangkan zaman² ketika negara kita masih di dalam penjajahan, tentu sahaja kita sewajarkan mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi yang memberikan kita nikmat kemerdekaan ini.

Sebenarnya kemerdekaan boleh datang dalam pelbagai maksud dan bentuk. Ada yang memahami kemerdekaan itu sebagai kebebasan. Bebas untuk beragama. Bebas untuk mentadbir negara sendiri. Bebas dari penghambaan. Malah bagi budak² nakal, ketiadaan ibu bapa mereka di rumah juga merupakan kemerdekaan. Kerana mereka bebas untuk melakukan apa yang mereka suka di dalam rumah terbabit.

Merdeka bukan semata² dari segi fizikal seperti dimerdekakan dari menjadi hamba. Malah merdeka juga wujud dalam bentuk material seperti tidak lagi terikat kepada sumbangan atau bantuan orang lain, kebebasan dari segi mental dan juga kebebasan dari segi spiritual. Bagi saya secara peribadi, kemerdekaan atau kebebasan dari segi spiritual inilah yang paling penting
dan utama.

Kemerdekaan spiritual bukanlah bererti kita bebas dari ikatan sebagai hamba kepada Tuhan. Juga bukan bererti kita bebas dari sebarang bentuk aturan dan hukum ahkam agama. Sebaliknya kebebasan spiritual bererti kita mampu memerdekakan hati dan fikiran kita daripada sebarang kemanisan dan beban dunia agar dapat ditumpukan kepada penyembahan dan pengesaan Allah swt sebagai Tuhan yang Maha Agung.

Dan sebenarnya, inilah kemerdekaan yang paling sukar untuk dikecapi. Kerana, pada hampir setiap masa, jiwa dan roh kita telah terbelenggu kepada nikmat² dunia. Dalam kebanyakan masa, apa yang menjadi penumpuan keinginan kita adalah kejayaan dalam bentuk materi. Siapa yang tidak mahu menjadi kaya, banyak wang, popular, glamor, dikenali, disanjungi, diingati,
dihormati dan sebagainya?

Inilah resam. Manusia dari pelbagai zaman memang sentiasa melalui situasi ini. Dari dulu hingga sekarang dan mungkin hingga akhir zaman, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan harta kekayaan, populariti sanjungan dan apa² sahaja yang sebenarnya satu kejayaan yang berbentuk keduniaan semata². Dalam sedar dan tidak sedar, semua keinginan ini telah menjerat dan akhirnya menjajah diri kita.

Maka jadilah kita seorang insan yang sebagaimana tidak sepatutnya. Kerana terjajah dengan segala keinginan dan nafsu ini, kita telah merenggangkan, kalaupun tidak memutuskan terus hubungan dengan Allah al-Kholiq, yang telah mencipta dan memberikan rezeki kepada kita. Memang kita masih solat, masih puasa, dan masih melakukan beberapa ibadah lain tetapi bagaimana agaknya corak dan bentuk solat, puasa dan ibadah kita yang lain itu?

Adakalanya solat didirikan pada 'waktu kecederaan' kerana tugas yang diamanahkan oleh majikan. Berbekal alasan menjaga amanah juga adalah satu ibadah, kita tolak tanggungjawab yang telah Allah amanahkan kepada kita ke tepi. Pada hakikat sebenarnya, nafsu yang telah menjajah memerintahkan kita sebegitu kerana kita sedang mengejar kedudukan atau kenaikan gaji. Dan kita akhirnya tunduk kepada jajahan nafsu dan keinginan.

Bukanlah bererti kita perlu meninggalkan dunia dan menjadi zuhud serta jumud semata² untuk melayakkan diri mencapai kemerdekaan yang dimaksudkan. Tidak. Sesungguhnya Allah menjadikan kesemua nikmat dunia ini adalah untuk kita nikmati. Apa yang menjadikan diri kita terjajah sebenarnya adalah sifat 'tidak mengenal cukup' atau sifat tamak dan haloba dan berkeinginan untuk menumpuk²kan harta dengan seberapa banyak yang mungkin.

Berapa ramai agaknya di kalangan kita yang mampu menjadi seperti para sahabat Rasulullah saw yang apabila diberikan kekayaan kepada mereka, maka mereka akan menjadi lebih tawadhu' dan lebih khusyuk dalam beribadah? Saya percaya memang ada tetapi rasanya mungkin tidak berapa ramai. Kerana pada kebiasaannya, kita akan menjadi terlalu sayang dengan kurniaan hingga timbul perasaan takut untuk kehilangannya.

Bayangkanlah, jika kita seorang peniaga. Tiba² di suatu hari, setelah sekian lama berdoa, Allah telah memberikan rezeki yang berlipat kali ganda. Di hari itu, begitu ramai pelanggan yang menyerbu kedai kita hinggakan tidak menang tangan. Katakanlah, pada ketika azan Zuhur berkumandang dan pelanggan masih begitu ramai di kedai kita, apakah sanggup untuk kita tinggalkan kedai itu semata² untuk ke masjid berjamaah?

Rasanya tidak.Walaupun pada hari kebiasaannya, muka kitalah yang pertama sekali sampai ke masjid sebaik azan berkumandang. Inilah salah satu tanda penjajahan oleh nafsu dan keinginan. Kemudian bayangkan pula kita seorang pekerja di peringkat pertengahan. Gaji tidaklah sebanyak mana. Maka setiap hari kita berdoa meminta Allah memberikan lebihan rezeki untuk kita menampung keluarga.

Maka Allah izinkan dan secara tiba², kita mendapat limpahan kerja lebih masa ditempat kerja kita. Jika biasanya kita pulang rumah jam 6 petang, kini hampir jam 10 baru sampai. Dalam keadaan keletihan begitu, rasanya kebanyakan dari kita akan menangguhkan solat Isya' sehinggalah rasa letih itu hilang. Sekali lagi, ini juga tanda bahawa kita telah terjajah oleh nafsu dan keinginan kita.

Sebenarnya untuk memerdekaan diri dari penjajahan nafsu sebegini hanya memerlukan keimanan dan taqwa yang hakiki kepada Allah swt sahaja. Ia tidak menuntut lebih dari itu. Kerana hanya dengan ketaqwaan dan keimanan yang utuh, barulah kita dapat melihat segala dunia dan isinya begitu kecil untuk dibandingkan dengan kenikmatan yang Allah janjikan kepada mereka yang mentaatiNya.

Dan keimanan dan ketaqwaan sebegini hanya terdapat melalui kesungguhan niat dan perbuatan yang perlu dilakukan berulang kali dari masa ke semasa. Ia tidak akan datang dengan mudah. Biasalah. Untuk menikmati durian, tentulah kita terpaksa hadap durinya dahulu. Jika beli durian yang sudah siap berkopek, bukankah rasanya kurang enak. Kata orang, sudah hilang 'gasnya'.

Hanya setelah kita mampu melihat kecilnya nikmat dunia ini, barulah kita mampu meloloskan diri dari belenggu penjajahan spiritual sebegini. Kerana di kala itu, harta yang menimbun bukan lagi matlamat hidup kita. Kerana ketika itu, pangkat dan darjat bukan lagi menjadi impian kita. Kita hanya mahu disanjung oleh para malaikatNya dan segala penghuni langit. Hati kita telah sepi dari keinginan untuk disanjungi sesama manusia.

Mungkin ada yang akan tidak bersetuju dengan tulisan ini. Maafkan saya, ini hanyalah pendapat dari seorang insan yang dhoif. Anda berhaq untuk membangkang.

Di kesempatan ini, seiring dengan kemeriahan bulan kemerdekaan ini, ingin saya ucapkan 'Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 49'. Merdekakan diri dari penjajah. Merdekakan diri dari nafsu. Tetapi jangan merdekakan diri dari Tuhan. Kerana hakikat tetap hakikat. Bahawa kita adalah hambaNya dan akan kekal begitu hingga akhir masa...

1 comment:

Anonymous said...

boogie boogie

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.