01 August 2006

Lega?


Ada baca akhbar Mingguan Malaysia semalam (23 Julai 2006). Kalau ada, anda
perasan atau tidak di muka hadapan akhbar berkenaan, pada ruangan bawah
sebelah kiri, terdapat satu kolum kartun kecil yang bertajuk Senyum
Kambing. Kartun itu menyiarkan dialog antara dua watak. Orang yang pertama,
bertopi, berkata "Pusat hiburan tutup 1 pagi." manakala temannya yang
berjanggut menyambut dengan berkata "Aku lega.".

Sebenarnya kartun ini merujuk kepada berita yang lebih 'lengkap' di
bahagian dalam, mukasurat 3 bahagian Dalam Negeri di kolum pertama yang
bertajuk 'Semua pusat hiburan perlu tutup 1 pagi' oleh S. Anand Kumar. Ini
sebenarnya adalah laporan kepada pengumuman yang dibuat oleh Timbalan
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum sebagai hasil
mesyuarat JK Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang.

Rasanya mungkin isu ini berbangkit akibat cadangan oleh Menteri
Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor supaya melanjutkan waktu
operasi pusat hiburan sehingga jam 5 pagi. Menurut Datuk Mohd. Johari,
cadangan ini ditolak selaras dengan fokus kerajaan dalam mebanteras gejala
sosial dan salah guna dadah. Oh... Patutlah watak kartun Senyum Kambing di
muka hadapan berkata "Aku lega"...

Baiklah, kita tinggalkan soal perbincangan menteri² tersebut. Saya tidak
berapa suka hendak bercerita panjang tentang mereka. Kerana bagi saya
kebanyakan menteri yang ada sekarang adalah serupa. Kadangkala hujjah yang
saya baca dari rakan penulis lain di internet labih jitu dan lebih relevan
dari mereka. Jadi tidak perlulah membazir air liur. Hanya yang ingin saya
sentuh adalah tentang kartun itu sendiri. Watak dan dialog kartun Senyum
Kambing tersebut.

Saya tidak pasti watak kartun itu mewakili siapa. Sama ada ia mewakili
suara kerajaan, atau suara editor, atau semata² suara penulis / pelukisnya
atau sebenarnya ia bermaksud mewakili suara rakyat terbanyak atau lebih
tepat lagi sidang pembaca mereka. Tapi yang saya boleh agak, niat asal sang
editor mungkin untuk menjadikan kartun itu sebagai lambang suara rakyat
atas isu² yang terkini dan mungkin sensasi.

Secara peribadi, memang saya 'agak' berterima kasih kepada pihak kerajaan
yang tetap dengan keputusan tidak melanjutkan waktu operasi pusat hiburan
hingga jam 5 pagi. Tetapi, saya agak kesal dengan reaksi 'aku lega' oleh
penulis kartun Senyum Kambing itu. Jika benarlah kata² oleh watak dalam
kartun itu mewakili kata² rakyat terbanyak, nyatalah kita semua di dalam
ambang kebinasaan.

Apakah kita boleh berasa lega apabila kerajaan berkeputusan untuk
mengehadkan waktu operasi pusat hiburan ke jam 1 pagi sahaja? Tentu saja
tidak. Mengapa? Kerana, seperti kata Datuk Mohd. Johari, pusat hiburan
telah menjadi salah satu tempat untuk anak² muda mendapatkan bekalan dadah
dan juga tempat berlakunya gejala sosial. Jadinya, tutup jam 1 pagi masih
belum memadai sebenarnya. Masih belum dan tidak mungkin akan memadai.

Itu yang saya tidak faham dengan pemikiran para menteri kita. Bukan mereka
tidak tahu keburukan pusat hiburan. Tetapi tetap, mereka izinkan juga
beroperasi. Walaupun tutup jam 1 pagi, maksiat tetap akan berlaku. Katakan
pusat itu dibuka jam 6 petang. Hingga ke jam 1 pagi, ada 7 jam untuk
berbuat maksiat. Waktu memang sudah dikurangkan tetapi jalan tetap masih
dibuka. Bukankah itu tindakan yang kurang cerdik?

Contohnya, saya mempunyai seorang anak berusia satu tahun setengah. Sebesar
itu, tentu bahaya jika bermain dengan pisau. Lalu, setiap kali dia memang
pisau, saya rampas dari tangannya. Kemudian, pisau itu saya letakkan semula
di lantai. Apakah tindakan saya betul? Apakah dengan cara begitu, saya
boleh berkata saya telah menjaga anak saya dari bahaya bermain pisau?
Apakah isteri saya yang melihat boleh berpuas hati?

Tentu saja tidak! Bahkan jika orang hendak katakan saya bodoh kerana
tindakan tersebut, memang tepat dan kena sangat. Begitu juga dalam kes
pusat hiburan ini. Biarpun masa disingkatkan, namun pusat hiburan tetap
wujud. Bererti tukaran 'wang dan barang' tetap berlaku. Bererti urusniaga
'daging segar manusia' tetap mengambil tempat. Bermakna, tidak ada bezanya
antara tutup jam 5 pagi atau jam 1 pagi!

Jika benar kerajaan ingin menghapuskan penyalah gunaan dadah, atau serius
dalam menangani gejala sosial, sewajibnya kesemua pusat hiburan ini
ditutup. Jangan dibenarkan beroperasi walau sesaat pun. Hanya dengan cara
beginilah baru insyaAllah kita dapat mengurangkan satu opsyen tempat
maksiat kepada pelaku² sumbang. Tindakan begini pun, memudahkan lagi pihak
berkuasa melakukan pantauan.

Arahan pusat hiburan untuk tutup jam 1 pagi bukan perkara baru. Sudah
beberapa tahun. Hanya mungkin ianya atas arahan PBT, bukan kerajaan pusat.
Saya tidak perasan pula. Tetapi sayangnya penguatkuasaan tidak ada. Banyak
kelab malam yang buka bukan setakat hingga jam 5 pagi, bahkan ada yang
hingga ke jam 8 pagi. Ternyata, mengehadkan waktu operasi bukan tindakan
yang cerdik dan semerlang, gemilang lagi terbilang.

Tetapi saya boleh faham. Kerajaan tentunya memerlukan pusat hiburan ini
sebagai daya tarikan pelancong. Yalah... Pelancong yang melancong di sini
tentunya mahukan hiburan. Jika Malaysia ini senyap sunyi seperti tanah
perkuburan, siapa yang hendak datang melawat. Bukan? Dan lagi, pusat²
hiburan ini juga memberikan kerajaan pendapatan yang lumayan melalui cukai
perniagaan atau cukai hiburan atau apa² cukai lagi yang sesuai.

Baguslah begitu. Korbankanlah masa depan rakyat demi sedikit keuntungan.
Kerana mahukan Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang
popular, biarkanlah anak² bangsa terus hanyut dengan gelombang dadah, seks
bebas, pelacuran dan segala macam aktiviti songsang yang lain. Kenapa tidak
diadakan sahaja pusat pelacuran secara sah? Kerana pelancong² ini tentu
sahaja mahu merasakan 'daging ayam tempatan'. 'Kan lebih untung?

Makanya, anda bersetuju atau tidak jika saya katakan, tidak ada seorang pun
orang Islam di atas muka bumi ini yang boleh berkata lega apabila
pengumuman waktu operasi pusat² hiburan dihadkan hingga jam 1 pagi sahaja?
Setuju? Bagi saya, kita hanya boleh berkata lega hanya setelah kesemua
pusat² maksiat ini ditutup terus hingga ke akar umbi agar tidak muncul
semula sampai bila². Barulah boleh jadi negara model Islam Hadhari yang
terbaik.

Itupun, tidak boleh berasa lega sepenuhnya. Kerja² dakwah mesti diteruskan.
Kerajaan mesti mengambil alih kerja ini. Dan urusan dakwah diletakkan
sebagai program utama RMK9, sebelum apa² projek jambatan atau jalan raya
atau apa juga. Kerja² bukan ditumpukan kepada usaha membesarkan masjid,
sebaliknya usaha membesarkan jemaah masjid. Ketika itu, barulah kesemua
kita boleh berasa lega. Hm... Agaknya, Bapa Islam Hadhari, Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi mampu melakukannya atau tidak? Bilalah agaknya kita
semua boleh menarik nafas yang betul² lega ya? Wallahu'alam.....

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.