26 August 2006

Bantu Membantu

Tadi, ketika waktu minum, saya berbual² dengan operator radio yang bertugas untuk shift malam. Ketika berbual², tiba² dia membuka cerita pengalamannya pada suatu hari dalam sebuah bas ekspres. Katanya, ketika itu dia di dalam perjalanan dari Kerteh, Terengganu untuk ke Kuala Lumpur. Ceritanya berkenaan dengan sepasang suami isteri yang duduk di belakang tempat duduknya.

Dalam perjalanan, katanya, tiba² dia terdengar satu bunyi yang kuat seraya diikuti suara perempuan itu yang mengaduh. Teman saya menoleh ke belakang dan melihat isteri kepada pasangan tadi telah keluar darah dari hidungnya. Teman saya melihat sekeliling dan dilihatnya semua penumpang yang lain tidak berbuat apa². Lalu teman saya memberanikan diri untuk menegur sikap lelaki itu.

Relax la brother...” (teman saya seorang penganut Kristian Orthodoks berbangsa India) dan kemudiannya diikuti oleh satu pukulan dari botol air mineral bersaiz besar yang mengenai tepat ke mata teman saya oleh suami si wanita itu. “Mau lagi ka?” tanya lelaki itu. Teman saya lalu menjawab “Ei lu bodoh. Lu apesal pukul curi sama wa?” soal teman saya yang seolah² mencabar kelelakian si suami.

Lantas si lelaki segera meminta bas berhenti (untuk bergaduh di luar). Lelaki itu turun dahulu sebaik pintu terbuka. Namun ketika teman saya hendak melangkah keluar, pemandu bas terus memandu bas tersebut dan meninggalkan si lelaki tadi terkontang-kanting sendirian. Saya tergelak mendengar ceritanya. “Padan muka!” kata saya. Terbayang bagaimana keadaan lelaki itu menggelabah mencari jalan untuk pulang.

Namun seketika kemudian teman saya menyambung lagi. “Saya peliklah. There was not one person you know. A lot of them. Small fella. Big fella. Young fella, old fella. Tapi semua buat tak tau saja.” Kata²nya membuatkan saya terdiam sebentar. “Well you know Luke, this not happen only in here. It happen in all the developed contries. And now it’s coming here. We’re going towards them.” Jawab saya. Saya lihat dia terangguk².

Yeah… In the developed contries it’s like ‘F*** you! I don’t have time’” katanya lagi. Kali ini saya tidak ketawa lagi. Kerana saya rasa apa yang teman saya bangkitkan cukup benar. Kita kini mula kehilangan masa untuk mengambil tahu hal orang lain. Saya cuba membayangkan bagaimana jika saya turut berada di dalam bas tersebut. Apakah tindakan yang akan saya ambil? Seperti teman saya, atau seperti manusia² penakut yang lain..

Saya bukan mahu bercerita kisah rumahtangga di sini. Bukan tidak mahu tetapi saya rasakan tidak sesuai untuk bercerita tentangnya. Saya terlalu muda dan belumpun sampai 3 tahun menjalani alam rumah tangga. Takkanlah saya yang pengalaman baru setahun jagung ini hendak menasihatkan orang yang lebih berpengalaman? Jadi, isu bagaimana suami melayan isteri itu, biarlah kita tinggalkan dahulu.

Apa yang cukup menarik minat saya di sini ialah tentang perangai manusia hari ini yang tidak lagi mengambil tahu hal orang lain. Bukan setakat tidak ambil tahu, bahkan tidak kisah dan tidak mahu membantu walaupun melihat kecelakaan terjadi kepada orang lain. Lebih mengecewakan, orang lain itu adalah orang yang sebangsa dan seagama dengan kita. Jangankan hendak menolong, bersimpati pun mungkin tidak.

Di manakah silapnya kita? Apakah kerana arus kemodenan yang kita kecapi sekarang ini menghalang kita dari berbuat baik dan bantu membantu sesama muslim? Atau apakah kita terlalu sibuk dengan urusan lain hinggakan tidak ada masa walaupun barang seminit dua untuk menghentikan kekejaman dan ketidak adilan? Atau apakah keselesaan hidup kita membuatkan kita tidak perlu risaukan penderitaan orang lain?

Ini hanyalah satu contoh. Perkara ini tidak terhad kepada kes suami pukul isteri sahaja. Jika kita baca surat khabar, tentu kita pernah baca kisah orang yang begnya diragut kemudian tidak ada orang yang ambil peduli. Bukan? Begitu juga dengan kisah² lain. Kisah keluarga yang hidup miskin tetapi terbiar dalam pondok usang. Kisah keluarga miskin yang dihalau dari tanah yang ditumpanginya dan banyak lagi kisah yang menyayat hati.

Bukanlah bererti kita harus menjadi seperti orang kepoh yang hinggakan warna seluar dalam yang dipakai jiran kita pun kita perlu ambil tahu. Tetapi, jika kemungkaran telah berlaku di hadapan mata, bukankah wajib kita menghalangnya? Jika kecelakan telah berlaku terhadap saudara seagama kita di hadapan mata, bukankah wajib kita membantunya? Jangankan seagama, kafir zimmi pun wajib kita bantu.

Sebenarnya, setiap muslim mempunyai tanggungjawab mereka terhadap muslim yang lain. Setiap daripada jiran kita juga, mempunyai haq ke atas diri kita. Dan kesemua haq ini adalah wajib untuk kita penuhi jika terdaya. Terdapat banyak hadits yang menyentuh tentang haq² ini. Jika anda berminat, dapatkan kitab Mantakhab Ahadith. Topik Ikhwanul Muslimin menyentuh khusus berkenaan perkara ini.

Pada kebiasaannya, orang mudah menggunakan alasan ‘asalkan kita menentang dengan hati cukuplah…’. Sebenarnya tidak. Menentang dengan hati adalah bukti iman kita adalah selemah² iman. Apakah kita mahu berbangga memiliki iman yang lemah? Atau apakah kita ingin memulakan perjuangan dengan sebuah iman yang lemah? Tentu sekali tidak. Maka sebenarnya, menentang dengan hati adalah usaha yang sepatutnya terakhir sekali.

Sebelum itu, sebelum menentang dengan hati, mestilah didahulukan dengan penentangan menggunakan tangan. Ini bukan bermaksud kita harus bergaduh atau memukul seseorang sebaliknya ianya bermaksud dengan kuasa yang ada pada kita. Contohnya sebuah kerajaan yang mengawal rakyat mereka dengan penggubalan undang², seorang suami menegur atau membetulkan isterinya dan seorang bapa terhadap anak²nya.

Kemudian, jika kita tidak punyai kuasa, barulah dengan mengguankan lidah. Ini juga bukan bermaksud kita perlu menghamun mereka yang berbuat salah. Juga bukan untuk ajak mereka bertikam lidah. Tetapi dengan cara hikmah. Dengan berhemah. Mungkin dengan nasihat, ceramah atau dengan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai apa² kepincangan atau kebejatan yang di sekitaran atau yang terlihat pada mata kita.

Jika benar inilah kesan pembangunan yang kita miliki sekarang, pendapat saya, adalah lebih baik kita tidak maju. Bayangkan jika kita benar² telah menjadi negara maju nanti? Entah baimana agaknya keadaanya kita. Entah², selepas 3 bulan kita mati dalam bilik pun, belum dikebumikan. Kerana orang tidak tahupun kita telah lama mati. Kerana semua orang sedang sibuk membantu diri mereka sendiri… Wana’uzbillahi minzalik…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.