23 August 2006

Pengawalan Gejala Murtad


Semalam, ketika saya sedang membelek² isi kandungan email yang saya terima, seorang pelatih (trainee) menghampiri saya dan bertanya, “Han, kau tahu tak berita terkini tentang Lina Joy? Orang kata dia menang dalam perbicaraan…” Saya segera menggelengkan kepala. “Tipu je tu. Keputusan belum diputuskan lagi.” Jawab saya sambil mencari² email penafian berita tersebut yang sudahpun saya padamkan.

“Macam mana dengan cerita nama Islam pada MyKid? Kata nak padamkan, masa umur 18 tahun nanti baru letak Islam?” tanyanya lagi. Saya berhenti membelek kotak masuk email saya. Kemudian saya menoleh tepat ke arah wajahnya dan berkata, “Sebenarnya, ini bukan kisah perkataan Islam pada MyKad atau apa. Bukan juga soal mengawal orang Islam murtad melalui
undang².”

“Soal sebenarnya, mengapa ada orang Islam yang murtad? Mengapa boleh terlintas untuk mensyirikkan Allah? Apakah yang dijanjikan oleh agama lain yang lebih baik dari Islam yang serba sempurna ini. Inilah persoalan yang sebenarnya.” Kata saya kepadanya lagi. Dia menganggukkan kepalanya. Tidak tahulah sama ada dia bersetuju atau sebenarnya sudah malas mendengar ceramah saya lagi.

Bukan hati tidak marah apabila membaca penerangan PEMBELA berkenaan penyebaran Bible secara percuma kepada umat Islam pada 18 Ogos lalu. Bukan tidak tersirap darah dengan sifat hina Lina Joy yang mencemarkan agama Islam dengan permohonannya. Dan bukan juga tidak terkilan dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara jika benar mahu menghapuskan perkataan Islam pada MyKid. Bukan.

Saya memang terkilan dan amat tertekan dengan apa yang berlaku hari ini. Tetapi, persoalan yang bermain di fikiran saya, mengapakah kita perlu menggunakan kekerasan atau pengawalan menggunakan undang² untuk menghalang orang Islam murtad? Sedangkan ini adalah perkara terkecil yang perlu kita lakukan dalam usaha menyelamatkan agama yang maha suci ini.

Sebelum saya terus menulis, suka saya nyatakan di sini. Ketika saya menulis artikel Murtad tidak berapa lama dulu, ada orang yang mempersoalkan sikap saya yang menurutnya memperkecilkan usaha mengumpulkan tandatangan untuk petisyen kes Lina Joy. Sesungguhnya saya tidak pernah berniat begitu. Malah tidak terlintas walau sedikitpun di hati saya untuk memperkecilkan usaha mereka.

Saya, pada setiap masa, menyokong mana² usaha untuk melindungi iman orang Islam di bumi nan bertuah Malaysia ini. Dan saya juga, dengan sepenuh raga menolak sebarang usaha untuk menjatuhkan martabat Islam sebagai satu agama yang agung dan diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan dan kerajaan negeri. Harap tidak ada yang tersalah faham sekali lagi.

Apa yang cuba saya bawakan ialah, seperti kata saya kepada pelatih saya tadi, mengapakah ada orang yang boleh terfikir untuk mensyirikkan Allah? Betul, kita boleh halang mereka bertukar agama. Kita juga boleh kekalkan perkataan Islam pada MyKad mereka tetapi jika mereka mahu murtad dan mengamalkan agama baru mereka secara senyap², apa yang boleh kita lakukan?

Seperti kes Kamariah yang saya perolehi dari email. Dia redha dengan keadaannya dan hampir pasti tidak akan mengumumkan penukaran agamanya. Namun dalam pada masa yang sama, cuba mempengaruhi keluarganya untuk mengikuti jalan lembah kehinaan yang dipilihnya. Untuk kes yang sebegini, apakah yang boleh kita lakukan? Adakah dengan jalan undang² juga?

Sebenarnya, masalah terbesar kita di dalam perihal murtad ini adalah usaha dakwah. Bukan soal perundangan. Jika usaha dakwah kita betul, jika kita mampu meneguhkan keimanan dalam hati setiap dari kita, sebenarnya tanpa undang² murtad pun tidak akan ada orang Islam yang akan meninggalkan Islam. Sebaliknya, ramai orang kafir yang akan memeluk agama Allah ini.

Usaha dakwah kita pada hari ini adalah terlalu lemah. Selain dari penutupan sekolah² agama rakyat, pendidikan agama mengikut silibus sekolah kebangsaan pula gagal mengukuhkan iman anak² kita di sekolah. Sudahlah begitu, mereka ini disorongkan pula dengan budaya berhibur dan berseronok. Lihat sahaja program di kaca televisyen kita. Terlalu banyak acara hiburan berbanding acara berbentuk keagamaan.

Rakyat terutama umat Islam di negara kita hari ini lebih mengenali rupa artis dari para ulama kita. Sebut sahaja Mawi, Siti Nurhaliza, Faizal AF4 dan beberapa artis lain. Saya pasti anak sekecil 4 tahun pun sudah boleh mengenalnya. Sedangkan berapa ramai yang mengenal wajah Ustaz Haron Din, Ismail Kamus dan Akhil Hayy (sekadar menyebut nama yang popular sahaja).

Mengapa rakyat tidak mengenal wajah² ini? Mudah. Kerana tidak ada ruang buat mereka di televisyen arus perdana. Mengapa? Kerana mereka dari golongan pembangkang. Mudah, bukan? Walaupun anda mempromosikan Islam, oleh kerana anda bertentangan pendapat dengan pemerintah, wajah anda akan dicap sebagai perosak akhlak masyarakat.

Tetapi jika anda penyokong parti pemerintah, biarpun anda mempromosikan kerosakan dan kejelekan budaya, anda tetap akan berpeluang untuk muncul di kaca televisyen. Ini adalah realiti. Dan jika beginilah realitinya, jangan harap kita dapat menghentikan kegiatan murtad di kalangan umat kita. Gunalah undang² apa sekalipun, ianya pasti tetap akan berlaku.

Begitu juga dengan sikap masyarakat terbanyak (termasuk saya sendiri). Apabila bercakap tentang dakyah agama lain, kita akan, dengan mudah bertanya di manakah perginya jabatan² agama, Jakim, Perkim dan para ulama. Kemudian kita tanya lagi mengapa mereka tidak lakukan sesuatu. Mengapa mereka tidak berdakwah seperti mana pendakwah agama lain.

Mengapa tidak kita bertanya di manakah kita? Apakah telah tertulis di dalam mana² kitab bahawa kerja² dakwah itu milik pihak penguasa sahaja? Tidak! Dalam Islam tidak ada perkara begitu. Usaha dakwah adalah milik kita semua. Jadi sebenarnya, bukan jabatan agama yang tidak menjalankan tugas, sebaliknya setiap dari kita terbabit. Setiap dari kita yang leka!

Cuba fikirkan sejenak. Apa reaksi kita ketika melihat kesongsangan sedang berlaku? Ketika melihat pasangan yang bukan suami isteri dan bukan mahram sedang bercumbu rayu? Ketika melihat anak² dara kita berpakaian melebihi dari orang kafir? Mudah sahaja. Asal bukan anak aku yang buat begitu, sudah. Wan’uzubillahi minzalik… Betul tidak? Semudah itu bukan?

Tetapi sayangnya, jika kejelekan sebegitu sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat, bagaimanakah caranya kita dapat memastikan anak² kita tidak akan terjebak sama? Kita tentu tidak mahu menjadi seperti negara jiran kita di mana ibunya bertudung tetapi anaknya berskirt pendek sehingga menampakkan seluar dalamnya. Tetapi jika beginilah reaksi kita, ianya insyaAllah akan berlaku. Percayalah.

Dan orang kita juga sebenarnya lebih gemar berdebat tentang perkara furuk atau cabang daripada berkerjasama dalam usaha mengukuhkan iman di hati sesama kita. Orang kita lebih gemar menunjuk ‘akulah orang yang paling banyak ilmu’ kepada sesama manusia daripada menunjuk ‘akulah orang yang paling banyak beramal’ kepada Allah dan para malaikat…

Sebenarnya terlalu banyak lagi yang ingin saya titipkan di sini. Tetapi cukuplah. Untuk lain² perkara rasanya kebanyakan kita yang sering menganggap diri sendiri lebih pandai dari orang lain (terlebih lagi dalam bab agama) boleh berfikir sendiri. Cuma pokok persoalannya di sini ialah, jalan perundangan bukanlah yang terbaik untuk menghentikan kegiatan murtad di kalangan masyarakat kita.

Sama ada undang² murtad digubal atau tidak, sama ada perkataan Islam pada MyKad dan MyKid kekal atau tidak dan sama ada pendakwah agama lain berdakwah atau tidak, ini semua hanyalah faktor penyumbang (contributing factor). Faktor yang paling tepat adalah usaha dakwah yang berterusan. Jika benar kita tidak mahu lagi ada orang yang murtad, maka mulai sekarang ini usaha dakwah mesti kita jalankan.

Tidak perlu tunggu sehingga jabatan² agama memulakannya. Tidak perlu menunggu sehingga kita bertaraf ulama untuk memulakannya. Asalkan kita cintakan Allah, NabiNya dan agamaNya, maka kita mesti terus sebarkan kalimah Laailaha Illallah…..

1 comment:

Anonymous said...

Benar, masalah utama bukan pada undang2 atau kata2 pada IC, tapi usaha dakwah. smoga Allah bg saya kekuatan utk itu.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.