08 August 2006

Setengah Cerita


Baru² ini, seorang teman telah mengutus email kepada saya mengatakan rasa kecewanya terhadap layanan saya kepadanya. Menurutnya, beberapa hari sebelum itu dia telah menelefon saya namun saya telah menjawab dengan berkata; “Line tak clear…” lalu memutuskan talian. Terkejut saya membaca emailnya tersebut. Kemudian saya berfikir² sejenak kerana seingat saya, saya tidak pernah berbuat demikian kepada sesiapa pun.

Kemudian baru saya teringat. Saya adalah seorang pelanggan Celcom. Jadi, saya telah menggunakan khidmat Call Me Tone di mana pelanggan dibenarkan memilih lagu atau klip suara sebagai menggantikan bunyi toot toot ketika pemanggil menunggu panggilan diangkat. Dan saya telah menggunakan klip suara yang dibuat oleh Saiful Apek. Antara dialognya ialah, “Apa dia? Cakap kuat sikit! Line tak clearlah.”

Dan saya sebenarnya seorang yang bergitu cuai terhadap telefon. Kadangkala bateri telefon telah berjam² habis pun saya tidak perasan. Dan adakalanya pula, saya sendiri tidak tahu di mana saya letakkan telefon bimbit saya. Jadi kemungkinan, suara yang teman saya dengar ketika memanggil nombor saya adalah kepunyaan Saiful Apek. Dan kebetulan juga, ketika dia memanggil, bateri saya kehabisan. Maka terjadilah situasi sedemikian.

Saya cuba menerangkan keadaan tersebut kepadanya. Namun dia masih mendiamkan diri dan enggan menjawab email saya. Tetapi, sebaik saya sampai ke darat minggu lepas, teman saya ini telah menelefon saya. Katanya, dia hendak pastikan benarkah itu suara Saiful Apek atau saya sekadar berbuat alasan. Dan nampaknya, dia berpuas hati kerana mendapati apa yang saya jelaskan kepadanya adalah benar belaka.

Saya tidak salahkan teman saya. Dalam keadaan ini, sayalah orang yang paling bersalah kerana sengaja mencuaikan diri dalam menjawab panggilan telefon. Saya juga bersalah kerana telah menimbulkan syak wasangka kepadanya. Walaupun niat asal saya untuk menghiburkan rakan yang memanggil nombor saya, namun ramai sebenarnya yang telah ‘terkena’ dengan suara Saiful Apek tersebut.

Tujuan saya menceritakan ini kerana ingin berkongsi sesuatu dengan anda semua. Sebenarnya, apa yang terjadi ini adalah akibat ‘mendengar setengah cerita’. Teman saya tadi, telah mendapat setengah sahaja dari cerita sebenar. Dengan setengah cerita tersebut, dia telah membuat kesimpulannya sendiri. Mujurlah, teman saya ini sudi meminta penjelasan dari saya. Jika tidak, tentu sahaja saya telah mencipta masalah sendiri.

Tetapi sebenarnya kejadian setengah cerita ini begitu banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita bukan sahaja percaya, malah telah menjadikan setengah cerita ini sebagai sumber berita yang sohih. Dan kemudian kita akan bertaqlid buta dengan apa yang kita dengari dan percayai itu. Sehinggakan setelah diberitakan dengan penjelasan yang sebenar, kita masih tetap mahu percaya cerita yang mula² sekali kita perolehi.

Seperti dalam kes seorang yang putus tunang baru² ini. Setengah pihak begitu cepat menyalahkan si penyanyi, seorang lelaki. Dia dikatakan telah mula lupa diri walaupun dia tetap berdiam diri ketika mantan tunangnya sibuk menjaja kisah di sana sini. Manakala sebahagian pihak lagi menyalahkan mantan tunangnya yang juga dikatakan telah lupa diri dan bermata duitan.

Tetapi hakikat sebenar, kita memang tidak tahu. Baik si penyanyi mahupun mantan tunangnya, kedua² mereka menyimpan masalah sebenar dalam keretakan hubungan mereka. Dari mana para peminat membuat kesimpulan tentang penyanyi tersebut dan mantan tunangnya? Tentu sahaja dari setengah cerita yang mereka perolehi daripada wartawan ataupun sumber lain yang mereka sendiri tidak tahu kredibilitinya.

Begitu juga dengan kes seorang penyanyi perempuan yang telah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang boleh dipanggil bapa. Setelah beberapa lama si penyanyi ini digosipkan dengan personaliti itu dan ini, akhirnya setelah didedahkan rahsia hatinya yang sebenar, dia dicemuh pula dan dikatakan merampas suami orang. Lebih perit, dia dituduh sebagai mata duitan dan gila harta.

Padahal, apa yang terjadi di sebalik tabir hanya diketahui oleh mereka dan orang yang Allah izinkan untuk mengetahuinya. Dan sebahagian besar daripada orang yang memperkatakan tentang mereka sebenarnya tidak tahu menahu tentang kisah hidup mereka. Kebanyakan mereka hanya membuat kesimpulan berdasarkan apa yang mereka ketahui sahaja sedangkan ianya mungkin tidak sampai sepuluh peratus dari keseluruhan jalan cerita.

Jadi, apakah wajar untuk kita membuat kesimpulan berdasarkan setengah cerita yang kita dengar? Tentu sahaja tidak! Kerana ianya boleh menyakiti hati individu yang diperkatakan dan lebih parah lagi, boleh menyebabkan fitnah. Sedangkan fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Jadi, bukankah lebih baik jika kita biarkan sahaja perkara² sebegini berlalu tanpa perlu campur tangan dalam kehidupan peribadi mereka?

Saya tidak berpihak kepada mana². Saya juga bukanlah peminat di penyanyi perempuan tersebut. Tetapi saya agak kecewa dengan situasi yang berlaku. Jika penyakit setengah cerita sebegini dibiarkan berlarutan, saya bimbang ia akan menjadi barah. Sehingga ke satu tahap, apabila ia telah menjadi sebahagian dari tradisi masyarakat, maka ianya telah terlalu terlewat untuk diperbetulkan lagi. Wana’uzubillahi minzalik.

Sebenarnya, daripada kita bercerita tentang gosip putus tunang di penyanyi lelaki dan gosip kawin harta si penyanyi perempuan, bukankah lebih baik untuk kita bercerita tentang kezaliman tentera Israel yang terus²an membunuh saudara² kita di Palestin dan Lubnan. Ataupun kita boleh bercerita tentang kejahatan pertubuhan IFC yang cuba merampas haq Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Saya terkena hanya tempias dari setengah cerita kerana hanya seorang sahaja yang terlibat. Bayangkan bagaimana keadaannya jika hampir keseluruh negara bercerita tentang perkara serong berkenaan diri saya sedangkan saya tidak bersalah? Tentu sahaja lebih menyakitkan dan lebih memeritkan. Dan begitu jugalah perasaan kedua² penyanyi ini dan juga orang² lain yang pernah terlibat dengan insiden sebegini.

Agaknya, jika apa yang kita simpulkan itu adalah salah, bagaimana hendak kita berhadapan dengan Allah di akhirat kelak? Bagaimana kita hendak bersemuka dengan individu terbabit agaknya? Tentu sahaja kita akan dilabel sebagai golongan penyebar fitnah. Dan banyak dari pahala kita yang akan disalurkan terhadap mereka atau dosa mereka yang terpaksa kita pikul. Tanpa amalan dan dosa pula begitu banyak, di manakah agaknya tempat kita nanti di sana?

Jadi tidak usahlah dibicarakan lagi tentang mereka. Siapa sahaja yang hendak mereka kahwini, apa sahaja keputusan yang mereka ambil, selagi ianya berkaitan kehidupan peribadi mereka sahaja, maka biarkanlah. Apa yang penting, jika betul meminati mereka, berdoalah untuk mereka semoga Allah memberikan mereka tafiq dan hidayah dan terus membimbing mereka ke jalan yang Dia redhai…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.