11 August 2006

Dalam Bas Ekspres


Kadang kala saya teringat kata² dalam sebuah bayan yang saya dengar tidak berapa lama dahulu. Dalam bayan tersebut, diceritakan bagaimana sekumpulan jemaah tabligh atau karkun yang menaiki bas ekspress untuk meneruskan usaha atas iman mereka. Dalam perjalanan, tiba² bas tersebut berhenti. Kesemua karkun ini turun lalu menunaikan solat fardhu. Kesemua mereka bersyukur kerana berpeluang untuk bersolat.

Namun, kata yang memberi bayan, karkun² ini tidak sepatutnya berasa lega apabila dapat menunaikan solat kerana ada berbelas orang lagi penumpang bas tersebut yang tidak turut sama menunaikan solat… Itu kata pemberi bayan tersebut. Dan jika direnungkan, memang apa yang dikatakan olehnya itu benar. Sememangnya kita tidak patut berasa lega semata² kerana kita mampu beribadah sedangkan kebanyakan orang di sekeliling mengabaikannya.

Sebenarnya pada minggu lepas, sewaktu pulang dari kerja, saya tidak terus ke rumah. Saya terpaksa menghadiri mesyuarat exco kesatuan sekerja saya terlebih dahulu. Disebabkan itu, saya telah terlepas bas ke Johor Bahru pada jam 12 tengahari. Selepas selesai mesyuarat kira² jam 1 tengahari, seorang dari teman saya telah menghantar saya ke terminal bas Kuantan untuk mendapat bas jam 4 petang.

Itulah pertama kali saya pulang menaiki bas Transnasional. Kondisinya kurang selesa kerana keadaan tempat duduknya yang sempit. Tak mengapalah, kata hati saya. Kerana yang paling penting saya dapat segera pulang ke rumah. Lebih kurang jam 4, bas memulakan perjalanan. Kemudian ketika kira² jam 6 petang, bas tersebut telah berhenti untuk minum. “Alamak…” kata hati saya. Jika berhenti jam begini, bermakna waktu Maghrib ia tidak akan berhenti lagi.

Tetapi telahan saya silap. Jam lebih kurang 7.30 petang, bas tiba² berhenti lagi. Saya lihat terdapat papan tanda bertulis ‘Surau Kampung Wak Salam’. Alhamdulillah… Saya mengucapkan syukur. Lalu saya turun dan bersegera untuk menunaikan solat Maghrib dan menjamakkan Isyak di dalamnya. Tetapi itulah… Tidak sampai separuh pun dari keseluruhan penumpang yang turut turun menunaikan solat.

Saya lihat tidak sampai 10 orang di dalam surau dan kebanyakannya lelaki. Ketika ini, saya betul² teringatkan isi bayan yang saya sebutkan di atas tadi. Separuh dari hati saya meronta untuk mengejutkan dan mengajak penumpang² lain di dalam bas untuk solat bersama. Tetapi… Rasanya saya tidak punya kekuatan. Agaknya, jika saya berbuat sedemikian, berapa ramai yang akan mengikut?

Namun berapa ramai yang mengikut bukanlah perkara yang sepatutnya saya perkirakan. Sepatutnya saya mencuba. Bukan? Hm… Ternyata saya punyai iman yang begitu lemah. Kerana kata Nabi saw, pada keupayaan yang paling kurang adalah menentang keburukan dengan hati. Dan itulah selemah² iman. Saya jadi malu kepada diri sendiri. Kononnya hendak berdakwah. Tetapi dalam situasi begitu, saya jadi penakut pula.

Terlebih lagi terhadap 2 orang remaja yang turut turun bersama² kami. Tetapi, apabila kami memanjangkan langkah ke surau, kedua² remaja ini sebaliknya terus melepak di pondok berhampiran sambil menghisap rokok. Saya hanya mampu melihat. Separuh hati saya memang hendak bertemu mereka dan mengajak mereka tetapi separuh lagi berkata biarkan mereka. Dan akhirnya saya mengikut kata hati yang separuh lagi.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing. Bukan? Memang ramai sebenarnya orang di sekitar kita yang melalaikan ibadah. Tetapi apakah tindakan kita? Melainkan orang bawahan kita yang mampu kita paksa, atau orang yang benar² rapat dengan kita yang boleh kita sindir, selain dari mereka, kita hanya biarkan begitu saja. Itulah. Kita hanya menentang dengan hati. Mengiyakan kelemahan iman kita.

Saya sendiri merasakan saya berpeluang untuk bersolat Maghrib di Surau Kampung Wak Salam ketika itu kerana pemandu bas tersebut terdiri daripada mereka yang menunaikan solat juga. Lalu saya teringat situasi tidak berapa lama dahulu. Ketika itu, saya pulang dengan menaiki bas ekspres Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (Konsortium). Pada malam sebelum hari pulang, saya bekerja shift malam.

Jadi hari pulang itu saya dalam keadaan yang begitu mengantuk. Maka masa di dalam bas banyak saya habiskan dengan tidur. Bas tiba di Kuantan (dari Kerteh) agak lewat disebabkan kesesakan lalu lintas. Saya terjaga dan bertanya kepada pemandu berapa lama bas berhenti kerana saya hendak menunaikan solat. “Dah nak jalan dah ni…” jawab pemandu tersebut mambuatkan saya duduk semula dengan perasaan kecewa.

Kemudian, saya menyambung semula tidur saya sebaik bas bergerak. Tidur kali ini agak lena hinggakan ketika bas berhenti di Yong Peng, saya langsung tidak terjaga. Sedar tak sedar, saya lihat sekeliling tingkap bas telah dipenuhi dengan air sabun. Rupanya sang pemandu sedang membasuh bas. Saya cuba keluar tetapi pintu bas bertutup. Saya segera meminta pemandu bas untuk membukakan pintu tersebut.

Lama juga saya dibiarkan di dalam bas. Hampir sepuluh minit! Sebaik turun, saya segera merapati pemandu dan memberitahunya saya ingin bersolat dan memintanya menunggu saya kerana saya sedar saya sudah terlewat. Pemandu tersebut henya mendiamkan diri sebelum mengangguk lemah. Saya berlari ke surau dan kemudian bersolat segera. Hanya membaca surah² pendek dan tidak diiringi oleh apa² zikir kerana hendak cepat.

Tetapi alangkah terkejutnya saya, sebaik saya keluar dari bangunan restoran tersebut, saya lihat bas sudah mula bergerak. Ada seorang pemandu bas lain yang menjerit kepada pemandu bas yang saya naiki agar berhenti dan menunggu saya. Saya hanya menggelengkan kepala. Saya kesal. Apa yang paling saya kesalkan ialah, si pemandu yang kelihatan seperti membenci orang bersolat itu adalah seorang Melayu yang sepatutnya muslim.

Saya menaiki bas dengan wajah yang sengaja saya buatkan masam. Langsung tidak menoleh kepada pemandu. Saya jadi terlalu benci. Menyampah dan meluat dengan sikap orang Islam sendiri yang tidak menghargai solat. Pada awalnya saya mencatat nombor pendaftaran bas dan ingin melaporkan kepada pihak pengurusan mereka. Tetapi kemudiannya saya batalkan kerana saya bimbang jika si pemandu di berhentikan kerja atau diberi amaran pula nanti.

Biarlah Allah yang memberikan balasan kepadanya. Sama ada balasan itu dalam bentuk siksaan dunia, atau siksaan kubur ataupun dalam bentuk petunjuk dan hidayah agar dia bertaubat, itu terpulanglah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana. Saya hanya berdoa ketika itu kepada Allah agar tidak ada lagi orang Islam lain yang akan teraniaya oleh perbuatannya yang saya sifatkan sebagai membenci orang yang bersolat.

Wana’uzubillah. Semoga Allah melindungi kita semua dan tidak membalikkan hati kita untuk berkelakuan yang sama. Semoga semua umat Islam di atas muka dunia milik Allah ini akan menjadi makhluk yang pandai menghargai iman dan menunaikan kewajipan mereka terhadap Pemilik mereka. Dan semoga Allah memberikan kita semua kekuatan untuk menegakkan kebenaran, amr-bil-ma’ruf, nahi-‘anil-mungkar. Amin yan Rabbal ‘Alamin…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.