05 February 2007

Muda Sebelum Tua

Setiap pagi, sekiranya bekerja shif malam, saya akan menghadiri mesyuarat
bersama penyelia untuk memberikan laporan tentang kerja kami pada sebelah
malam kepadanya di samping berbincang tentang perkara-perkara berbangkit.
Jika dengan penyelia yang baik, mungkin perbualan kami tidak terhad tentang
perkara kerja sahaja. Mungkin akan berlarutan sehingga hal-hal politik,
dunia termasuklah bab agama.

Seperti pagi tadi, perbualan kami meleret sehingga ke ibadah solat. Pada
asalnya penyelia saya memperkatakan mengenai sesetengah orang yang suka
melebarkan kangkangannya ketika solat berjemaah kerana hendak mendapatkan
keselesaan ketika bertahiyat akhir. Kemudian diikuti pula dengan
kesilapan-kesilapan lain termasuklah kaedah turun bersujud yang
mandahulukan tangan, bukan lutut.

"Aku tahu sepatutnya turun lutut dulu baru tangan. Tapi lutut aku tak tahan
sakit…" katanya. Saya mengangguk sambil berkata, "Memang ada hadits Nabi
saw yang melarang kita bersujud seperti menangkap burung (turun dengan
mendahulukan tangan). Tapi itu bukan rukun. Cuma sunnah. Kalau dah sakit,
tak boleh tahan… Rasanya Allah tak menzalimi hambaNya." Penyelia saya
mengangguk-anggukkan kepalanya.

Teman saya bekerja pada shif malam adalah seorang pelatih yang masih muda
usianya. Dia kelihatan tertarik dengan perbincangan kami. Lalu saya menoleh
kepadanya dan berkata "Masa mudalah masa nak beribadah. Kalau dah tua, kau
tengok macam ni, banyak yang kita tak dapat nak buat." Kata-kata ini
sebenarnya lebih saya tujukan kepada diri saya sendiri. Dan ianya
membuatkan cerita lama saya kembali terimbas.

Saya bukanlah seorang insan yang mulia. Ketika muda banyak masa yang saya
luangkan kepada perkara-perkara yang lagho. Malah saya tergolong dalam
golongan remaja bermasalah. Bukan tidak ada yang cuba mentarbiah saya. Ada.
Tetapi kerana adanya sedikit ilmu agama dalam diri saya, seringkali hujjah
mereka saya patahkan. Lagipun, saya merasakan diri ini terlalu muda ketika
itu untuk 'melepak' di masjid.

Selalu kami (saya dan teman-teman 'seperjuangan') berkata masa muda inilah
untuk menikmati hidup. Buat apa yang kita hendak buat. Nanti sesudah tua,
sesudah merasa kesemua keseronokan, bolehlah bertaubat dan menghabiskan
masa dengan beribadah. "Kalau tak sempat taubat dah mati?" tanya seseorang.
"Hey… Only good men die young. And I'm not good enough!" jawab kami sambil
tertawa. Astaghfirullahal 'azim…..

Jahilnya kami ketika itu. Tetapi, katakanlah betul falsafah songsang kami
tadi. Hanya orang baik yang mati di usia muda. Dan kami semua 'berjaya'
sampai ke usia senja. Dan betul, di usia itu kamipun bertaubat. Apakah akan
diterima taubat kami kelak? Dan, yang juga perlu difikirkan, apakah di usia
itu kami dapat beribadah dengan kuat? Sedangkan usia tua sering dikaitkan
dengan kesakitan itu dan ini di seluruh badan.

Saya bersyukur yang amat apabila Allah melimpahkan cahaya hidayahNya kepada
saya ketika saya masih lagi muda. Pun begitu, ketika ini saya sudah mula
rasakan kudrat saya tidak seperti sepuluh tahun dahulu. Ketika ini,
Alhamdulillah saya masih boleh mengamalkan sunnah-sunnah di dalam solat
tetapi rasa sakit pada bahagian sendi sudah mula terasa. Tambah lagi dengan
kerja saya yang selalu terdedah kepada bahan kimia dan hidrokarbon.

Tetapi saya cuba membayangkan. Katakanlah saya bertaubat pada usia mencecah
50 tahun. Ketika itu, barulah saya hendak berjinak-jinak dengan tikar
sejadah. Dan pada usia itu, lutut saya sudah mulai longgar dan tidak lagi
mampu bersujud. Agaknya saya akan menangis kerana tidak mampu meletakkan
dahi di atas tempat sujud. Alangkah malangnya jika ketika itu baru saya
hendak menyesali masa yang berlalu.

Di masjid tempat saya sering bersolat, terdapat beberapa jemaah yang sudah
berusia yang bersolat secara duduk di atas kerusi. Mereka ini tidak lagi
mampu bersujud kerana masalah pada lutut dan kaki mereka. Kasihan mereka.
Saya berharap Allah menjauhkan saya dari penyakit yang sebegitu. Kerana
sesungguhnya, pada saya, nikmat di dalam solat itu adalah ketika bersujud
kepadaNya.

Malah ada juga riwayat yang mengatakan saat paling hampir kita kepada Allah
ialah tatkala kita bersujud. Syukurlah, kita masih mampu berada pada
kedudukan itu. Tetapi pernahkah kita terfikir tentang sahabat-sahabat kita
yang enggan merapatkan diri kepada Pencipta mereka sementara masih muda?
Selalu juga timbul rasa risau di hati saya kalau-kalau kita terlambat
mengingatkan mereka, mereka juga akan kehilangan peluang untuk bersujud…

Pandangan bahawa masa tua adalah masa paling sesuai untuk beribadah adalah
pandangan yang cukup tidak benar. Sesungguhnya masa muda inilah masa untuk
kita beribadah sepenuhnya. Inilah masanya untuk bersujud sepuas-puasnya.
Jika ramai yang beranggapan bahawa masa muda adalah masa untuk mengumpul
harta dunia, maka inilah juga masanya untuk menimba harta akhirat.

Siapa tahu, di hari tua nanti kita hanya mampu merenung tikar sejadah hanya
dari kerusi. Malah, mungkin juga kita hanya mampu bersolat menggunakan mata
kerana tidak lagi mampu begerak. Jika di usia muda ini kita sudah puas
beribadah, mungkin ketika itu tidak terasa sangat kehilangannya. Tetapi
jika tidak, seratus ribu tahun dipenuhi dengan penyesalan pun tidak akan
mampu memulangkan apa yang kita telah kehilangan.

Saya selalu merasa simpati terhadap ibu saya. Beliau menghidap penyakit
lutut yang agak teruk. Puas berubat ke sana ke mari namun masih belum
diizinkan untuk sembuh. Apa yang selalu ibu kata, beliau hanya mahu kakinya
pulih seperti sedia kala kerana mahu bersujud ketika menunaikan solat.
Katanya, lain benar rasanya tidak dapat bersujud ketika bersolat. Rindu
sangat hatinya untuk 'mencium' tikar sejadahnya.

Inilah yang membuatkan saya tertanya kepada diri saya sendiri. Apa yang
perlu saya tunggu lagi? Apakah sesudah kaki ini terketar-ketar baru hendak
memperbanyakkan solat? Apakah ketika tubuh ini sudah begitu lemah barulah
hendak memperbanyakkan puasa? Apakah setelah lidah semakin kelu barulah
hendak memperhebatkan zikrullah? Apakah sesudah nyanyuk nanti baru hendak
menghafal isi al-Quran?

Tidak. Saya tidak mahu begitu. Tetapi sebenarnya tidak mudah untuk menolak
godaan dunia. Rasanya terlalu sukar untuk duduk di tikar sejadah dari duduk
di hadapan komputer ketika ini. Begitu juga, lebih mudah lidah ini untuk
mengalunkan lagu berbanding zikrullah. Namun saya akan berusaha,
insyaAllah. Semoga Allah membuka hati saya untuk memperbanyakkan ibadah
ketika masih mampu melakukannya. Semoga saya tidak menyesal di belakang
hari….

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih bang!

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.