12 February 2007

Menzalimi Dan Dizalimi

Jika kita selak akhbar harian di ketika ini, kebanyakan masa yang akan kita
lihat adalah berita kemusnahan umat Islam. Hari ini, umat Islam dihina,
dicerca, dibunuh dengan kejam, dibom malah dituduh sebagai pengganas. Umat
Islam, yang suatu ketika dahulu umat yang paling kuat dan mengusai dua
pertiga bumi malah diiktiraf sebagai umat terbaik oleh Allah swt kini
seolah-olah kain buruk yang begitu hina kedudukannya.

Mengapa boleh jadi begini? Mengapakah Allah menghukum umat Islam sehingga
sebegini rupa? Melihat keadaan yang menimpa sesama umat, ramai umat Islam
yang bangkit di tengah malam berdoa untuk keselamatan mereka. Berdoa
meminta supaya Islam kembali menjadi agama yang dihormati dan umat Islam
kembali digeruni. Tetapi seolahnya Allah tidak menunaikan permintaan itu.
Mengapa?

Kebetulan, beberapa minggu lepas saya ada mengikuti sebuah bayan. Dalam
bayan tersebut, inilah antara perkara yang diungkitkan. Menurutnya, kita
dilahirkan sebenarnya untuk menyampaikan dakwah. Untuk membawa kalimah
'Laailaha illallah' kepada orang-orang kafir dan mereka yang belum menemui
hidayah. Maka pada setiap masa, inilah fungsi dan peranan utama kita
sebagai umat Nabi Muhammad saw.

Tetapi hari ini, perkara terpenting ini, tugas terpenting kita ini, telah
ditinggalkan dek kerana kita sibuk mencari harta dunia. Menurutnya lagi,
disebabkan kita telah meninggalkan tugas ini, maka telah ramai antara
mereka mati dalam kekufuran sebelum mendengar kalimah 'Laailaha illallah'.
Sebagaimana kita bencikan sebuah pemerintahan yang mengabaikan
tanggungjawabnya, maka sebegitulah kita.

Oleh kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan
oleh Allah swt, maka kitalah sebenarnya golongan yang zalim. Kita menzalimi
Allah, kerana mensiakan amanahNya, kita menzalimi orang kafir kerana tidak
membawa cahaya hidayah kepada mereka dan kita menzalimi diri kita sendiri
kerana menafikan tugas kita. Dan doa orang zalim memang tidak akan
ditunaikan oleh Allah swt.

Perkataannya itulah membuatkan ramai hadirin yang mengeluh. Ada yang
menggeleng-gelengkan kepala sambil menyebut 'AllahuAkbar'. Katanya lagi,
berdoalah di hadapan Ka'bah sekalipun. Selagi kita tidak menjalankan dakwah
sebagaimana yang kita telah ditugaskan, maka selagi itulah kita ini
golongan manusia yang zalim dan sebagaimana firman Allah, tidak akan ada
bantuan untuk orang-orang yang zalim...

Bayan yang telah disampaikan betul-betul menyentuh hati dan perasaan saya.
Walaupun sudah lebih dua minggu mendengarnya, sehingga ke hari ini ianya
masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya. Betul sangat apa yang
diungkapkan. Saya tidak tahu orang lain tetapi dengan menilai diri saya,
saya dapati sememangnya saya telah mengabaikan dakwah. Saya telah leka
dengan anugerahNya sehingga gagal menjalankan fungsi sendiri yang utama.

Janganlah menganggap setelah kita menunaikan kesemua ibadah fardhu ain maka
kita telahpun menjalankan tugas kita sebagai muslim. Sekali-kali tidak!
Solat, puasa, zakat , bersedakah dan sebagainya bukanlah tanggungjawab
sebaliknya ianya adalah rutin harian rohani kita. Sama seperti makan,
minum, qada hajat dan sebagainya. Tentunya kita tidak memanggil perbuatan
makan itu sebagai satu kerja untuk diri kita, bukan?

Orang yang menjaga ibadahnya tetapi meninggalkan dakwah samalah seperti
manusia yang tahunya hanya makan dan tidur. Kata orang Negeri Sembilan,
"buek mengabihkan boreh yo". Dengan solah dan ibadah hariannya, maka rohani
dan imannya tetap hidup. Tetapi seolahnya tidak ada fungsi dalam
masyarakat. Tidak membina bahkan tidak juga meruntuhkan apa-apa yang ada
disekitarnya.

Itu jika orang yang menjaga ibadahnya. Bagaimana dengan orang yang tidak
menjaga ibadahnya? Samalah seperti tunggul kayu. Tidak makan, tidak minum,
tidak tidur dan tidak ada fungsi langsung. Bahkan boleh jadi menyusahkan
orang yang lalu lalang. Dan boleh jadi juga mengganggu sesuatu kerja untuk
dilakukan di kawasan berhampirannya. Hendak dialihkan, sudah tertanam
begitu dalam pula.

Tugas menyampaikan bukanlah perkara enteng yang boleh dipandang sebelah
mata. Tidak. Dan bukan juga tugas yang boleh kita salahkan kepada pihak
berkuasa sekiranya ia tidak terlaksana. Juga tidak! Ia adalah tugas setiap
individu lelaki Islam yang mukallaf. Yang telah baligh dan berakal. Jadi,
sekiranya kita menolak kerja tabligh atau menyampaikan ini, maka kita
sebenarnya telah menggolongkan diri kita sama dengan orang yang tidak
berakal.

Ah! Sudah. Sekejap tadi zalim. Sekarang tidak berakal ataupun gila pula.
Jadi, siapakah kita? Seorang orang gila yang zalim? Atau seorang zalim yang
gila? Sama sahaja! Seandainya kita tidak menjalankan fungsi yang telah
diamanahkan, panggilan apa pun sesuai. Saya jadi takut. Bagaimana nanti
jika ada orang kafir yang mendakwa saya tidak menyampaikan kalimat
'Laailaha illallah' kepadanya di hadapan Hakim Segala Hakim nanti...

Apa yang hendak saya jawab? Sedangkan di hari itu, tidak ada penipuan.
Bahkan sehelai bulu matapun bisa berbicara menjadi saksi atas perbuatan
kita. Dan hari ini, sikap saya tidak jauh bezanya dengan mereka. Kecuali
ibadah harian yang saya lakukan, hari ini saya seorang yang mengejar
kekayaan. Seperti mereka, saya meletakkan dunia sebagai matlamat. Bagaimana
saya hendak menjawab pendakwaan itu nanti? Wana'uzubillahi minzalik...

Ketika berbual-bual dengan teman-teman seperjuangan, tersingkap kisah Nabi
Muhammad saw. Terungkit 'penderitaan' yang telah dilalui oleh Baginda saw
dalam memperkembangkan kalimah yang suci ini. Alangkah mulianya Baginda
saw. Begitu juga dengan para sohabat yang mulia ra. Sayangnya kita di hari
ini meletakkan dakwah di bawah telapak kaki kita. Tanpa membantu agama
Allah, apakah kita tidak malu mengharapkan bantuan dari Allah?

Kata orang, hendak berdakwah biarlah berilmu. Bagi saya, kita perlu berilmu
jika hendak berdebat. Tetapi untuk berdakwah, yang penting adalah iman.
Ilmu itu milik Allah. Apabila kita melakukan apa yang Dia perintahkan,
insyaAllah, akan dibukakan olehNya jalan buat kita untuk memperolehi ilmu.
Ilmu tidak datang dari seorang guru. Juga tidak datang dari sebuah buku.
Mereka hanya asbab. Tetapi ilmu datang dari Allah, yang Maha Mengetahui.

Seorang jemaah selalu mengingatkan. Jika kita berdakwah, hidayah itu
hanyalah milik Allah. Sama ada dia akan mengikut dakwah kita atau
sebaliknya, itu terpulang kepada Allah. Tetapi yang pasti, kita akan
memperolehi sesuatu, insyaAllah. Dan yang lebih penting, kita bukan lagi
seorang yang zalim. Semoga Allah tidak membenci kita sebagaimana kita
membenci seorang pekerja yang kerap 'mencuri tulang'...

3 comments:

Abu Ikhlas said...

dunia dan akhirat adalah seperti wanita yg di madukan. Sekiranya kamu melebihi seorang itu yg satu lagi akan kecewa. Pengaruh dan tarikan dunia memang hebat dan tak di nafikan. Andaikata allah zahirkan kehebatan akhirat nescaya manusia akan beriman dengan allah dan tak akan sabar untuk mati.

Anonymous said...

assalamualaikum...

bro, susahlah nak tengok cari hang punya arkib... tepi page kalau boleh biar ada mcm satu ruangan kat tepi, ada link utk tiap2 tajuk... tapi kalau takde link pun takpe, byk kerja tu, asalkan tahu tajuk tu kat bulan mana senang juga... pergh, jenuh lah cari setahun punya artikel satu page panjang...

ada lagi link yg best..

http://www.zaharuddin.net/

Abu Naqibah said...

Waalaikumussalam warahmatullah... Sowi ar Pie... aku set page ni pakai wide screen monitor. Tapi thanks sebab hilite benda ni. Sekarang aku dah pakai yang default template. Aku harap aku dah solve problem ni (sebab kat monitor aku, dari dulu lagi memang aku sentiasa nampak sidebar...)

Wassalamualaikum warahmatullah...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.