12 November 2006

Budaya Rasuah


Beberapa hari ini, orang sibuk membicarakan tentang kedudukan Malaysia
dalam ‘Carta Rasuah’ yang dipanggil Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang
dikeluarkan oleh Transparency International di mana kedudukan negara
dikatakan merudum dari anak tangga ke 39 ke anak tangga 44. Pentingnya
kedudukan ini bukan untuk menilai popular atau tidaknya negara kita dalam
dunia tetapi ‘popular atau tidaknya rasuah’ dalam negara kita.

Kalau bercakap tentang rasuah, tentu banyak tempat yang jari ini boleh
ditudingkan. Sama ada kepada kerajaan, yang akan dikatakan lemah dalam
menangani gejala ini, mahupun BPR yang dikatakan gagal dalam menjalankan
tugas. Tudinglah jari ini ke mana sahaja dan kepada siapa juapun. Tanpa
melakukan apa², hakikatnya tetap sama. Sama ada suka atau tidak, rasuah
telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita.

Saya teringat semalam, ketika berbual dengan isteri saya di telefon, dia
ada menyebut tentang seorang ibu kepada anak muridnya yang menduduki tempat
tercorot di dalam kelas. Sebaik mengetahui bahawa anaknya akan diturunkan
ke kelas yang lebih bawah, maka si ibu beriya² memujuk supaya isteri saya
membantu untuk membolehkan anaknya kekal di dalam kelas sekarang. Biarpun
diberi seribu satu alasan, si ibu tetap memujuk dan merayu.

Akhirnya isteri saya yang ingin menamatkan perbualan telefon tersebut,
memberikan alasan bahawa dia terpaksa bersiap untuk acara ‘Malam Majlis
Amal’ anjuran sekolahnya. Mendengarkan itu, segera si ibu berkata bahawa
dia sebenarnya berniat untuuk membelikan tiket untuk kesemua ahli keluarga
kami (yang bernilai RM70 setiap satu). Tetapi kemudian isteri saya menjawab
bahawa mereka telahpun memperolehi tiket percuma.

“Rasuah!” ucap saya sebaik selesai mendengar cerita isteri saya. “Tak
sangka…,” sambut isteri saya, “kerja macam ni pun ada orang nak rasuah.”
sambungnya lagi membuatkan kami sama² tergelak. Mungkin bagi si ibu (tidak
silap saya, seorang doktor) pemberian sebegitu bukan sebuah rasuah. Mungkin
baginya sebuah pemberian ikhlas. Mengapa? Kerana rasuah telah menjadi satu
budaya dalam masyarakat kita!

Ada orang mengaitkan ‘budaya’ memberikan anak upah jika membantu kita ke
kedai sebagai satu ‘usaha menyemai benih menerima rasuah’. Manakala bagi
saya pula tidak sebegitu. Ianya sebuah insentif. Ianya lebih kepada satu
usaha menggalakkan. Sama seperti majikan yang memberikan bonus kepada
pekerjanya jika mereka bekerja bersungguh² sehingga membuahkan keuntung
kepada pihak syarikat.

Lagipun, ianya tidak berkaitan dengan hak orang lain. Lainlah jika, kerana
kita memberikan anak kita upah, maka ada orang lain yang akan kehilangan
haknya. Itu barulah boleh dikatakan rasuah. Seperti dalam kes isteri saya.
Jika kerana hendakkan tiket percuma, maka isteri saya membenarkan anak si
ibu kekal di dalam kelasnya sehingga ada pelajar yang layak kekal
diturunkan kelas, maka jelaslah ianya satu jenis rasuah yang nyata.

Kemudian saya teringat lagi. Satu kejadian yang berlaku kepada anak saudara
saya. Ketika itu, anak saudara saya berada di dalam darjah 5 atau 6.
Seorang dari gurunya ada mengadakan kelas tuisyen pada sebelah malam. Yuran
bagi kelas tersebut adalah sebanyak RM8 bagi setiap malam dan diadakan 3
kali setiap minggu. Oleh kerana ibu bapanya kurang berkemampuan, maka anak
saudara saya tidak dapat mengikuti kelas tersebut.

Apa yang berlaku memang di luar dugaan. Menurut anak saudara saya, gurunya
‘mengugut’ akan memberi tips & hints kepada mereka yang mengikuti kelas
tuisyennya sahaja. Jadi, orang seperti anak saudara saya, tidak akan
mendapatnya dan perlu berusaha lebih untuk lulus dalam matapelajaran yang
diajar oleh guru tersebut. Dalam erti kata lain, si guru hanya akan
memberikannya kepada anak muridnya yang ‘merasuahnya’ sahaja.

Tetapi, saya katakan kepada anak saudara saya, pedulikan saja ‘ugutan’ guru
tersebut. Kerana, ketika UPSR nanti, bukan guru itu yang membuat soalan.
Lagipun, tidak rugi berusaha lebih kerana hasilnya dia juga yang perolehi.
Dan keputusannya, anak saudara saya lulus UPSR dengan mendapat 5A dan kini
sedang menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah sains di Kota
Tinggi.

Apa yang paling menarik adalah, komentar dari kakak saya yang terluka
dengan tindakan guru tersebut. Kata kakak saya, sepatutnya seorang guru
ikhlas mengajar. Tidak perlu meemikirkan duit. Walaupun saya tidak
bersetuju dengan tindakan guru terbabit, tetapi saya tidak boleh menerima
ungkapan kakak saya sebulat²nya. Bukan kerana isteri saya seorang guru
tetapi kerana mengenangkan guru juga seorang manusia.

Bukankah sifat manusia normal hari ini suka kepada kemewahan? Apakah
seorang guru perlu menjadi ‘luar biasa’ dengan mengunci semua pintu
nafsunya kepada kemewahan dunia? Jawapannya memang ya, tetapi adalah tidak
adil kepada mereka untuk mengharapkan mereka bersikap sedemikian. Sedangkan
kita sibuk berbangga dengan kemewahan kita, apakah kita mahu manusia
berjasa ini hanya melihat sambil menelan air liur sahaja?

Maka itu saya katakan, gejala rasuah ini sebenarnya berpunca dari sikap
diri kita sendiri juga sebenarnya. Kerana kita telah menetapkan ciri²
manusia yang berjaya itu pada kemewahan dan kebendaan. Hari ini, berapa
ramai orang yang berminat bersuamikan atau beristerikan atau bermenantukan
orang yang banyak berjasa berbanding dengan orang yang banyak berharta?
Saya rasa, semua orang tahu jawapannya.

Kita menetapkan bahawa, individu yang dikatakan berjaya adalah mereka yang
mempunyai satu kerjaya yang memberikan pulangan yang besar. Tidak kiralah
bekerja sendiri atau makan gaji. Juga mereka yang memiliki rumah bak istana
atau kereta yang penjang menjalar. Maka atas sebab ini, masyarakat kita
hari ini hidup dengan bermatlamatkan harta kebendaan untuk menggolongkan
diri sebagai orang yang berjaya.

Apabila konsep begini diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat, maka
terjadilah perbuatan ‘matlamat menghalalkan cara’. Gara² mahukan hasil yang
cepat, ada yang sanggup mengggadaikan maruah diri dan iman dengan
mengamalkan rasuah dan penyalah gunaan kuasa. Cuba lihat. Mereka yang
melakukannya memanglah bersalah. Tetapi kita yang terlibat dalam membentuk
konsep masyarakat yang sebegini, tidak merasa bersalah jugakah?

Saya teringat pula kepada seorang teman lama. Sudah terlalu lama saya tidak
berjumpanya. Yang saya tahu dia sudah berhenti dari tempat lama dan
memasuki sebuah badan kerajaan. Asalnya saya begitu terkejut mengapa
memilih sebuah kerjaya yang lebih kecil pendapatannya. Tetapi setelah
diberitahu, rupanya teman saya ini berniat hendak mengambil rasuah apabila
menjawat jawatan tersebut.

Dan yang terakhir saya dengar tentangnya, dia sudah menjawat jawatan itu
dan memang betul² mengamalkan rasuah. Kini sudah memiliki kereta mewah dan
sudahpun membeli sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Tidak
tahulah betul atau tidak cerita yang disampaikan ini tetapi jika benar,
alangkah malunya! Bukan sahaja teman saya tetapi seluruh masyarakat dan
stuktur pentadbiran negara sendiri.

Lebih 1400 tahun dahulu, tatkala Nabi saw dan para sahabatnya yang mulis
masih belum wafat, tidak ada kejadian rasuah sebegini di kalangan umat
Islam. Mengapa? Kerana ketika itu, masyarakat yang wujud hidup di dalam
suasana yang zuhud. Masing² membesarkan akhirat lebih dari dunia. Masing²
memandang syurga itu lebih tinggi dari mahligai di puncak gunung emas.

Oleh kerana itu, tidak ada apa yang perlu dikejarkan di dunia ini oleh
mereka. Mereka tidak terkejar² longgokan harta. Jika sudah begitu, untuk
apakah mereka memberi dan mengambil rasuah? Di sinilah contohnya bagaimana
fahaman sebuah masyarakat mampu membentuk suasana yang lebih baik. Jika
iman masyarakat itu sendiri sudah korup, maka sudah tentu tidak ada
kebaikan buat mereka secara keseluruhannya.

Maka sebenarnya, untuk menangani gejala rasuah ini, pengamalan Islam secara
kaffah itu penting. Islam mesti diamalkan seperti mana yang diajar oleh
Allah swt di dalam al-Quran dan diteladankan oleh Nabi Muhammad saw melalui
sunnahnya. Bukan dengan menambahkan nama baru pada penghujung Islam itu.
Baru dengan ini sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang
boleh dibentuk.

Penekanan pendidikan terhadap aspek teknologi tidak akan membawa apa²
kebaikan jika tidak disertakan dengan pendidikan Islam dan pembentukan iman
yang sempurna. Jika kesemua kita mampu berhenti bermegah dengan kejayaan
dunia dan menjadikan ianya matlamat kehidupan sebaliknya meletakkan akhirat
mengatasi segalanya, insyaAllah apa jua jenis gejala bukan setakat
dibendung, malah dihapuskan buat selamanya. InsyaAllah…

3 comments:

sharifah said...

bagi saya rasuah dan sumbangan banyak perbezaannya. Rasuah adalah apa yang kita terima sebelum kita memberi, manakala sumbangan adalah apa yang kita terima setelah kita memberi, saya juga seorang guru jadi saya juga faham situasi yang berlaku. Bagi saya rasuah tetap salah, contohnya seorang pelajar memberi rasuah pada gurunya supaya markahnya cemerlang,padahal dia tidak cemerlang, manakala berbeza pula seorang pelajar memberi sumbangan setelah mengetahui dia cemerlang...jadi rasuah dan sumbangan itu berbeza..kedua-dua item ini membuat kita keliru...suami saya sendiri keliru dalam meluluskan pinjaman seseorang...saya pernah berbincang pasal ini dengan suami, dan pendapat saya, kita tak boleh terima apa2 barang atau wang dari seseorang sebelum kita meluluskan pinjaman kerana itu dianggap rasuah, jadi kita meluluskan pinjaman disebabkan kita dah dapat habuan padahal dia tidak layak, jadinya itu adalah rasuah...andaikata dia memang layak mendapat pinjaman dan pinjaman itu kita luluskan, dan dia dengan rasa terima kasih memberi sumbangan, itu dikira sumbangan bukan rasuah jadi kita masih boleh menerima sumbangan tetapi bukan RASUAH...

Anonymous said...

Pn Sharifah,
Sumbangan itu juga boleh menjadi rasuah sekiranya pemberi sumbangan itu mengharapkan agar kita dapat menolongnya pada masa hadapan.Sekiranya pada masa hadapan dia memohon pertolongan dari kita,mungkin kita akan menjadi serba salah untuk tidak menolongnya.

Jika suami puan tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan,adakah beliau akan diberikan sumbangan?Sudah tentu tidak.Sumbangan yang diterima itu adalah kerana suami puan mempunyai kuasa di situ.

日月神教-向左使 said...

ssd固態硬碟 外接式硬碟 餐飲設備 製冰機 洗碗機 咖啡機 冷凍冷藏冰箱 蒸烤箱 關島婚禮 關島蜜月 花蓮民宿 彈簧床 床墊 獨立筒床墊 乳膠床墊 床墊工廠 記憶體 產後護理之家 月子中心 坐月子中心 坐月子 月子餐 美國置產須知 隨身碟 花蓮民宿

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.