11 October 2007

Ramadhan Yang Berlalu, Apa Yang Kita Mahu Dan Apa Yang Kita Perolehi?

Ramadhan kian tiba ke penghujungnya. Petang ini (Khamis, 11 Oktober 2007)
segerombolan pakar akan 'menghendap kelahiran' anak bulan Syawal. Bermakna,
tidak esok, lusa kita akan menyambut Aidilfitri. Sekali lagi, Ramadhan
meninggalkan kita dengan pelbagai perasaan dan memori. Ada perasaan gembira
dan ada perasaan duka. Ada memori manis dan ada memori lara. Pemergian
Ramadhan memang ditangisi. Tetapi ketibaan Syawal tetap dirai.

Moleknya di penghujung bulan yang mulia ini, marilah kita muhasabahkan apa
yang telah kita perolehi dalam hampir tempoh 30 hari melalui. Namun
sebenarnya, apa yang kita cari dengan kehadiran Ramadhan ini? Apa yang kita
mahu? Sesetengah ada yang mencari keredhaan Allah. Dengan amalan
bersesuaian, insyaAllah itulah yang akan diperolehi. Namun masih ada lagi
yang mencari lebih dari itu.

Ada yang menjadikan Ramadhan ini sebagai medan menurunkan berat badan. Ada
juga yang menjadikan Ramadhan ini sebagai lubuk mengumpulkan kebendaan.
Biar apa pun hasrat dan keinginan, marilah kita muhasabahkan. Berjayakah
kita? Berapa banyakkah berat yang diturunkan? Berapa banyakkah harta yang
ditumpukkan. Gagal atau berjaya? Namun sesungguhnya, segala ibadah itu
mesti hanya diniatkan untuk Allah Subhanahu Wata'ala.

Semua ini mengingatkan saya kepada teman saya yang menyertai jemaah tabligh
untuk keluar selama 40 hari. Katanya, dia berharap pulang dari 40 hari itu,
dia dapat membuang ketagihan merokoknya. 40 hari berlalu dan kepulangannya
saya nantikan dengan deretan cerita yang menarik, yang biasanya menjadi
ole-ole dari mereka yang berpergian sepertinya. Tetapi ternyata ianya tidak
sebegitu.

Katanya, tidak banyak yang menarik untuk diceritakan. Dia juga tidak dapat
banyak beribadah sebaliknya lebih banyak tidur. Dan lebih menarik lagi,
ketagihan rokoknya masih belum mampu dihindarkan. Saya juga turut merasai
kehampaan yang dirasakan olehnya. Namun dia tersedar akan kesilapan yang
telah dilakukannya. Dia menentukan hasil yang dia mahukan dari amalannya.
Matlamatnya sudah becabang, bukan bulat hanya untuk Allah.

Mungkin dengan itu Allah menentukan tiada apa bahagian untuknya. Tiada
kenikmatan ibadah yang biasa diperolehi oleh orang lain. Dan tiada juga
kejayaan meninggalkan ketagihan tembakau. Saya hanya mendengar dengan
teliti. Banyak juga yang saya perolehi dengan cerita yang sedikit ini.
Rumusannya cuma satu. Segala amalan mesti diniatkan hanya untuk Allah.
Kemudian perolehannya, biarlah Dia yang tentukan segalanya.

Begitulah Ramadhan ini. Ramai sebenarnya yang terlepas apa yang diinginkan
tanpa disedari. Sedih juga apabila melalui bazaar Ramadhan dan mendapati
masih ramai yang sibuk berjual-beli sedangkan azan Maghrib sudah
berkumandang. Malah ada juga yang meninggalkan tarawikh demi menghabiskan
barangan jualan. Jika beginilah caranya Ramadhan dilalui… Apakah nikmat
Ramadhan mampu dirasai.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya gagal menikmati Ramadhan seperti yang
saya harapkan. Tidak. Matlamat saya bukan untuk menurunkan berat badan.
Bukan juga untuk mengumpul duit raya. Matlamat saya mudah. Saya mahu
memanfaatkan bulan ini dengan ibadah. Saya mahu penuhi malam dengan
amalan-amalan soleh dan mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh 30 hari
ini.

Tetapi apa yang saya dapati? Al-Quran yang saya baca tidak sampaipun juzuk
yang kesepuluh. Tarawikh? Kalaulah tarawikh itu ibarat pagar dan puasa saya
ibarat sebidang kebun, nescaya kebun itu telah musnah dilanggar makhluk
perosak. Begitulah rompongnya solat tarawikh yang saya kerjakan di setiap
malam Ramadhan. Itu amalan yang paling asas. Amalan tambahan lain jangan
terlintas di fikiran.

Apa amalan yang kerap saya perbuat di bulan ini hanyalah pembaziran.
Membazir ketika membeli juadah berbuka puasa. Membazir ketika berbelanja
untuk persiapan keluarga. Membazir, membazir dan terus membazirkan. Dan
kebetulan, di bulan ini Allah kurniakan saya dengan rezeki yang lebih dari
biasa. Apa lagi, belanja sakanlah saya untuk baju-baju anak-anak dan isteri
saya.

Sehingga pada suatu masa, ketika saya sedang minum di sebuah kedai bersama
teman-teman, seorang teman lama datang menemui saya. Tanpa banyak bunga
bahasa, teman saya itu bercerita tentang masalah yang sedang dilaluinya.
Rupanya salah seorang anaknya menghidap menyakit leukemia. Dia kemudiannya
menghulurkan surat daripada doktor yang mengesahkan apa yang diceritakannya
adalah benar.

Saya terkedu. Lebih pilu, apabila membaca sepucuk surat dari Hospital
Universiti yang bertajuk 'amaran terakhir' atas kegagalan teman saya untuk
menyelesaikan bil perubatan anaknya. Saya kenal teman saya ini. Kerjanya
hanya sekadar pemotong rumput. Bil sebanyak RM860 itu terlalu tinggi
baginya. Ah… Inilah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pemimpin
bersenang lenang, rakyat marhaen digilis hutang hingga kecundang…

InsyaAllah saya akan menulis sebuah artikel berasingan berkenaan anak itu.
Tetapi apa yang saya ceritakan di sini ialah naluri kebapaan yang wujud
dalam diri. Saya melihat wajah comel anaknya yang baru berusia 7 tahun itu.
Doktor menjangkakan hanya ada tempoh tiga tahun sahaja untuk dia meneruskan
hidup. Selepas teman saya itu beredar, saya termenung dengan menung yang
cukup panjang. Bagaimana jika anak saya ditimpa bencana yang sama?

Saya masih ingat ketika di bangku sekolah dahulu. Dalam bab puasa, antara
soalan kegemaran ustaz saya ialah faedah disyariatkan berpuasa. Dan antara
jawapan skema yang akan diberikan ialah supaya kita dapat merasakan
kepayahan orang yang kurang keberadaannya. Supaya kita boleh merasa
susahnya orang miskin melalui hari dengan lapar dan dahaga. Tetapi…
tercapaikah matlamat itu?

Benar, ketika berpuasa sememangnya kita merasakan keperihan menahan lapar
dan dahaga di siang hari. Tetapi di malam hari, sebaik terlaungnya azan
Maghrib, kita 'qadha' semula waktu makan yang telah kita tinggalkan di
siang hari. Malahan berbuka puasa menjadi satu pesta pula masa kini.
Dapatkah kita merasakan kesusahan mereka sedangkan mereka masih terus
menahan lapar dan dahaga sehingga keesokan harinya???

Begitu juga dengan persiapan hari raya. Berbelanja sakan, borong segala
yang ada di kedai semata-mata dengan alasan, hari raya setahun sekali.
Sedangkan si miskin ini hendak membeli pakaian setahun pun tidak sekali.
Tercapaikah matlamat pesyariatan puasa? Dari segi apakah kita dakwa diri
kita mampu berkongsi perasaan dengan mereka sedangkan yang kita rasakan
hanya keseronokan untuk menikmati hari raya?

Saya cuba mengimbas kembali Ramadhan yang saya lalui. Berapa banyakkah
sedekah yang telah saya hulurkan… Ya Allah! Malunya aku! Rasanya sehelai
baju anak saya jauh lebih tinggi nilainya dari sedekah yang telah saya
hulurkan. Dan baju anak saya bukan sehelai tetapi berhelai-helai. Jika
beginilah pendekatan saya, sahlah saya seorang yang gagal ketika berpuasa.
Nyata roh Ramadhan gagal menyerap ke dalam hati dan jiwa saya…

"Wahai Ramadhan… Kau akan berlalu lagi. Pergimu kali ini entah kita akan
bertemu lagi. Namun biar datang pergimu berulangkali, aku masih di sini.
Masih menagih kasih duniawi. Aku alpa dan lupa dengan sifat Rahim
Penciptamu. Sehingga aku lupa mengasihi saudaraku yang kesusahan ketika
sedang aku bersamamu. Sedangkan itu antara tujuan kau diutuskan kepadaku.
Ramadhan… Semoga bertemu lagi. Semoga pertemuan yang mendatang nanti tidak
aku bazirkan seperti pertemuan di kali ini. Semoga ketika itu aku bukan
lagi orang yang hanya mementingkan diriku sendiri…"

Akhirul qalam, saya, Abu Naqibah dan mewakili isteri saya, Ummu Naqibah
berserta anak-anak kami, Nurul Naqibah Izzati dan Nurul Nazhurah Izzati
ikhlas menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kesilapan dan
kekurangan kami selama ini. Semoga kedatangan Syawal ini mengundang sejuta
keceriaan dan kegembiraan buat kita semua. Dan semoga amalan kita di
sepanjang Ramadhan akan diterima olehNya, insyaAllah…

24 July 2007

Gangguan Seksual

Bayangkan dalam satu situasi. Seorang perempuan berpakaian cukup seksi.
Dengan dada yang terdedah, dengan kain yang singkat lagi ketat hingga
membonjolkan apa yang sepatutnya tersimpan. Kemudian si perempuan ini
bejalan di hadapan seorang lelaki. Dek kerana daya tarikan yang cukup
hebat, lelaki itu menatap dada putih, gebu yang terdedah itu dengan
pandangan yang cukup 'menakutkan' si perempuan.

Mungkin ada perempuan yang suka ditenung sebegitu. Tetapi, pada umumnya,
reaksi yang batal diterima adalah kerlingan marah daripada sang perempuan.
"Gatal!", sekurang-kurangnya itu yang akan tersembul dari bibir perempuan
itu. Lebih malang lagi, jika ni berlaku dalam sebuah syarikat, kemungkinan
lelaki itu boleh didakwa sebagai melakukan ganguan seksual terhadap wanita
tersebut.

Peraturan gangguan seksual di tempat kerja rasanya sudah lama digesa oleh
pihak kerajaan untuk dilaksanakan. Sebagai muslim, sesungguhnya saya amat
bersetuju dengan peraturan ini. Bukankah Islam diutuskan salah satunya
sebagai penyelamat kaum wanita? Dengan adanya peraturan yang sebegini,
diharapkan sekurang-kurangnya dapatlah membentung nafsu jahat ketua-ketua
lelaki yang suka mengambil kesempatan.

Tetapi adakalanya saya berasakan peraturan ini sebagai berat sebelah.
Rasanya peraturan ini terlalu membela wanita dan benar-benar menekan
lelaki. Contohnya, seorang perempuan yang sengaja mahu menggoda seorang
lelaki, dengan sengaja membuka butang bajunya ketika di bilik lelaki
tersebut. Tetapi sekiranya ada pihak yang menyerbu, dengan sedikit air mata
daripada perempuan itu, tentu sahaja si lelaki akan dituduh sebagai cubaan
mencabul.

Tetapi bukan ketidak adilan sebegitu yang ingin saya bicarakan di sini.
Cuma saya selalu terfikir. Adalah salah bagi seorang lelaki untuk merenung
seorang perempuan dengan renungan yang bernafsu. Begitu juga, salah bagi
seorang lelaki untuk memegang atau menyentuh, secara sengaja, mana-mana
bahagian pada tubuh wanita yang dirasakan sensitif atau boleh memalukan
wanita tersebut.

Betul, perbuatan-perbuatan yang saya sebutkan di atas memang boleh
dikatakan melampau. Tetapi, pernah si penggubal peraturan ini terfikir
tentang perasaan kaum lelaki pula? Sememangnya Allah menciptakan lelaki itu
akan teransang dengan perempuan. Sedangkan melihat perempuan berbaju kurung
dari kain lembut yang ditiup angin pun adakalanya boleh merangsang lelaki,
apatah lagi yang terang dan nyata terdedahnya.

Berapa ramaikah lelaki di dunia ini mampu menahan matanya melihat paha atau
dada yang putih, gebu dan montok tertayang di hadapan mata? Saya boleh
menjangkakan, ada yang akan berkata "takkanlah lemah sangat iman hingga
tidak dapat menghindar dari memandang yang sebegitu". Benar. Tetapi, berapa
tebalkah tembok iman yang diperlukan. Saya percaya Tembok Besar China juga
akan roboh jika acap kali diasak.

Maka sebenarnya, lelaki juga sepatutnya dibenarkan untuk membuat dakwaan
gangguan seksual oleh wanita. Percaya atau tidak, perempuan yang berpakaian
seksi sebenarnya sedang melakukan gangguan seksual kepada lelaki. Dan
gangguan-gangguan perempuan ini sebenarnya sama sahaja jahatnya dengan
lelaki yang melakukan gangguan seksual menggunakan anggota fizikal mereka.

Terus terang, saya sendiri cukup terganggu dengan perempuan-perempuan yang
sebegini. Seperti contohnya baru-baru ini. Saya mengadakan perbincangan
dengan jurutera dan ketua-ketua saya. Si jurutera perempuan ini duduk
bertentangan dengan saya. Ketika itu kesemua kelihatan baik sahaja kerana
pakaian jurutera itu, walaupun tidak menutup aurah, masih kelihatan tidak
mencolok mata.

Namun seketika kemudian dia berpaling membelakangkan saya seraya
membongkok, merapatkan dadanya ke meja. Ketika itu tersinsinglah jaket dan
bajunya menampakkan kulit bahagian belakang tubuhnya. Saya jadi serba
salah. Terpaksalah saya menunduk untuk mengelakkan fitnah. Kata orang,
pandangan pertama rezeki. Pandangan yang berikutnya pula adalah bencana.
Sudah tentu saya tidak mahukan bencana itu.

Tetapi terlalu lama pula dia berkeadaan begitu, Akhirnya saya menyorong
kerusi dan duduk di hadapannya. Suasana tenang buat seketika. Tidak berapa
lama kemudian si jurutera tadi berdiri pula. AllahuAkbar… Rupanya seluar
yang dipakainya sangar ketat. Ditambah pula keadaan fizikalnya yang montok,
sememangnya menyakitkan iman. Saya dapat lihat beberapa teman
tersenyum-senyum melihat keadaan ini dengan anak mata saya.

Ketika itu saya terfikir. Kalaulah semua perempuan yang seksi didenda
alangkah baiknya. Sekurang-kurangnya dapat juga menjaga orang-orang yang
lemah imannya seperti saya. Tetapi, jika saya tidak silap, sudah ada
peruntukan untuk hukuman sebegitu bagi kebanyakan negeri. Iaitu berpakaian
atau berkelakuan tidak sopan atau tidak senonoh di hadapan khalayak
merupakan satu kesalahan dan boleh didenda.

Tetapi definisi tidak sopan atau tidak senonoh terlalu subjektif. Sukar
untuk ditentukan. Mungkin jika orang perempuan yang berjalan dengan hanya
memakai coli dan seluar dalam di tengah bandar akan dihukum sebagai
berkelakuan atau berpakaian tidak senonoh. Tetapi bagaimana pula dengan
mereka yang berpakaian tetapi telanjang? Kelihatan seperti berbaju tetapi
sebenarnya tidak begitu?

Contohnya berbaju tanpa lengan. Sesetengah orang menyifatkan ianya sebagai
seksi tetapi ada juga (ramai sebenarnya) menganggap itu sesuatu yang biasa.
Begitu juga dengan yang berpakaian ketat. Bajunya memang berlengan panjang
dan menutup dada sehingga ke leher tetapi telalu ketat hinggakan bagai
hendak meletup benda yang (sepatutnya) tersembunyi di dalamnya. Itukan
seksi juga namanya? Itukan berpakaian tidak senonoh juga?

Sebenarnya, jika hendak menjaga tatasusila sebagai orang timur amnya, dan
sebagai muslim khasnya, penggubal undang-undang wajib berlaku adil. Jangan
hanya lelaki yang didenda sedang perempuan yang adakalanya lebih bertindak
sebagai punca dibiarkan bermaharajalela. Kedua-duanya sama. Jika lelaki
mencabul atau merogol itu satu kesalahan, perempuan yang berpakaian seperti
meminta untuk dirogol juga sepatutnya dianggap membuat kesalahan.

Allah telah mendatangkan panduan dengan terang dan nyata. Hanya perlu kita
mengikut arahanNya untuk kehidupan yang lebih sempurna. Tidak perlu
didefinisikan seksi itu apa dan bagaimana. Ikut saja suruhan Allah. Sesiapa
yang tidak menutup aurah dengan sempurna, baik lelaki mahupun perempuan,
mesti didenda. Semoga dengan ini, insyaAllah masyarakat akan lebih
terpelihara. Dan lebih utama, Allah juga akan menjadi lebih cinta kepada
kita…..

22 July 2007

Asbab

Dunia Darul Asbab. Saya sangat suka perkataan ini. Dari semenjak kali
pertama saya mendengarnya, sehinggalah ke hari ini, perkataan ini selalu
terngiang-ngiang di telinga saya. Maksudnya dunia ini dipenuhi dengan asbab
atau sebab, atau punca. Atau lebih jelas, segala perkara yang berlaku di
dalam dunia ini, ada penyebab kepada kejadiannya. Tetapi segalanya adalah
ketentuan Allah. Allah-lah yang menjadikan segalanya.

Misalnya Allah menjadikan kelahiran. Tetapi setiap kelahiran itu Allah
ciptakan asbab untuknya. Dan asbab untuk kelahiran itu adalah seorang
lelaki (ayah) dan seorang perempuan (ibu). Begitu juga halnya dengan hujan.
Allah-lah yang sebenarnya menurunkan hujan kepada sekalian penduduk bumi.
Tetapi hujan itu Allah turunkan dengan berasbabkan awan mendung yang
mengandungi air di dalamnya.

Tetapi Allah tidak berkehendak kepada asbab-asbab ini. Allah tidak perlu
kepadanya untuk menjadikan dan menciptakan segala sesuatu. Jika Allah ingin
menjadikan apa sekalipun, dengan hanya berkata "Jadi", maka jadilah ia.
Allah telah menciptakan dunia ini, syurga, neraka tanpa berasbab apa-apa
pun. Mungkin orang kafir percaya kepada teori Big Bang bagi penciptaan
dunia tetapi syurga dan neraka, tidak ada punca kepada penciptaannya.

Bahkan Allah telah menciptakan manusia tanpa ibu dan tanpa ayahnya. Iaitu
Nabi Adam as. Begitu juga, Allah pernah menciptakan manusia dari seorang
lelaki tanpa kehadiran wanita iaitu Hawa as, isteri Adam as yang dicipta
dari rusuk Nabi Adam as sendiri. Dan Allah juga pernah menciptakan manusia
hanya dari seorang wanita, tanpa perlu wanita itu disentuh oleh mana-mana
lelaki. Itulah Nabi Isa al-Masih as, anak kepada Maryam.

Sungguhpun Allah mampu menciptakan segalanya tanpa asbab, namun Allah tetap
menjadikan asbab sebagai sebahagian intipati penting dalam kejadianNya. Ini
bukanlah sebagai tanda kelemahan Allah. Sebaliknya inilah bukti kekuasaan
Allah. Sungguhpun sesuatu kejadian itu mempunyai asbab, namun asbab itu
tidak berdiri dengan sendirinya. Di sebalik asbab itu, masih terdapat
banyak lagi perkara lain yang menjadi asbab kepada asbab.

Contohnya seseorang yang menghidapi sakit kepala. Maka pergilah dia ke
kedai untuk mendapat sekian jenama ubat. Kemudian dengan taqdir Allah,
sembuhlah dia selepas memakan ubat tersebut. Maka dikatakan dia sembuh dari
sakit kepalanya kerana ubat yang dimakannya. Tetapi ubat itu hanya suatu
asbab. Allah yang menyembuhkan penyakitnya. Asbab ini hanya sebagai hiasan
mata kita sahaja.

Namun ubat itu semata-mata, tidak mampu menjadi asbab untuk penyembuhan
penyakit itu. Kerana di dalam ketulan ubat tersebut, terdapat bahan lain,
contohnya paracetamol, yang meredakan penyakit itu tadi. Dan sebenarnya,
bahan itu juga tidak mampu menjadi asbab untuk penyembuhan. Perlu ada bahan
sampingan yang lain barulah ia boleh bekerja. Dan begitulah seterusnya.
Sentiasa ada asbab kepada asbab-asbab ini tadi.

Saya teringat kepada sebuah kisah yang saya dengar dalam sebuah bayan.
Kisah mengenai seorang lelaki dari sebuah kampung yang sungguh terasing
dari bandar. Kampung ini begitu jauh daripada kemajuan. Masih tidak ada
bekalan air dan elektrik di kampung ini. Penduduknya mendapatkan bekalan
air dari perigi yang mereka gali sendiri. Air perigi itulah yang mereka
gunakan untuk memasak, bersuci dan sebagainya.

Pada suatu hari, seorang dari penduduk kampung ini telah pergi ke bandar.
Maka tercengang-cenganglah dia melihat keadaan bandar yang jauh berbeza
dari keadaan kampungnya. Seketika kemudian dia terdengar laungan azan dari
sebuah masjid berdekatan. Maka begegaslah dia ke masjid itu untuk solat
berjamaah. Namun sesampainya dia di sana, terkejutlah dia melihatkan
keajaiban di hadapan matanya.

"SubhanAllah…". Terbeliak matanya melihat orang ramai sedang mengambil
wudhu' dengan air yang keluar daripada dinding melalui kepala paip.
Kemudian dia terfikir. Sekiranya dia membeli kepala paip itu dan
memasangnya di kampung, tentu seluruh kampung akan mendapat faedahnya.
Selesai solat, segeralah dia ke kedai dan kemudian pulang ke kampung dengan
hati yang berbunga-bunga.

Setelah memasang kepala paip itu ke dinding rumahnya, dia pun memanggil
seluruh orang kampung untuk berkumpul. "Mulai hari ini, kita semua tidak
perlu bersusah payah lagi menimba air dari perigi. Cuma perlu buka paip ini
dan air akan keluar dengan sendiri" katanya sambil memusing kepala paip
tesebut. Namun terkejutlah dia kerana tiada setitik air pun yang keluar
dari situ.

Dengan perasaan marah bercampur malu, dia segera ke bandar semula, ke kadai
tempat dia membeli paip tersebut. Dia bertanya kepada pemilik kedai
tersebut mengapa paip yang dibelinya tidak mengeluarkan air sebagaimana
paip yang dilihatnya di masjid. Lalu pemilik kedai bertanya kepadanya
cara-cara dia memasang paip tersebut. Setelah diceritakan, fahamlah pemilik
kedai tersebut seraya menceritakan keadaan yang sebenarnya…

Begitulah. Kita sebenarnya tidak boleh memandang sesuatu asbab itu secara
zahirnya sahaja. Tidak boleh menilai dari permukaannya sahaja. Kerana
sebenarnya tiada kuasa pada asbab itu untuk menjadikan sesuatu kejadikan.
Seperti contoh kisah di atas. Meskipun air itu keluar dari kepada paip yang
ada, namun jika tidak dipasang batangnya dan tidak dihubungkan ke tangki
air dan seterusnya, tetap air tidak akan keluar juga.

Lebih dari itu, segala jenis asbab di dalam dunia ini pun tidak akan mampu
menjadikan apa-apa kejadian tanpa izin dari Allah. Jika sekalipun paip itu
disambungkan secara betul dari punca hingga ke kepala paip tersebut, jika
Allah tidak mengizinkan untuk air mengalir keluar dari muncungnya, nescaya
tidak akan ada setitis pun air yang akan keluar. Kerana semua ini makhluk
dan hanya Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tidak berkuasa.

Maha Suci Allah dari sebarang kekurangan. Agaknya, jika Allah menciptakan
perkara-perkara atas muka bumi ini tanpa berasbab, mungkin kebanyakan kita
sudah menjadi gila. Bayangkan, malam ini kita masih bujang, esok bangun
pagi kita sudah pun punyai anak. Atau hari ini kita hanya seorang kuli yang
kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi tiba-tiba keesokannya
kita adalah seorang jutawan. Bukankah haru jikalau sebegitu?

Apa yang paling penting, kita tidak boleh meletakkan iman ke atas
asbab-asbab ini. Tidak boleh sama sekali kita yakin bahawa ubat yang
menyambuhkan penyakit, atau makan yang menjadikan kita kenyang. Kerana
semua itu Allah yang menentukannya. Tanpa izin darinya, ubat boleh menjadi
racun, semakin ditelan semakin sakit dan nasi bisa menjadi angin, semakin
dimakan semakin senak. Sesungguhnya kuasa Allah mengatasi segala sesuatu…..

21 July 2007

Bahasa Melayu Malaysia

Selain dari milis yahoogroups yang saya sertai sekarang, saya juga menerima
email dari alumni universiti tempat saya belajar dahulu. Tetapi saya tidak
berapa mengikuti perkembangan milis tersebut. Maklumlah, kebanyakan ahlinya
sudah berpangkat besar. Gaya hidup sudah jauh berbeza dengan saya. Jadi
gaya pertuturan kami juga berbeza. Hanya sesekali sahaja saya membuka email
dari milis tersebut, bergantung kepada subjeknya.

Entah bagaimana, pada suatu hari saya terbuka satu email yang kebetulan
bercerita tentang masalah bahasa. Saya tidak tahu di mana puncanya. Yang
saya tahu, seorang daripada ahli menyatakan pendapatnya untuk pihak
universiti melakukan sesuatu kerana didapati, kebanyakan lulusan universiti
itu tidak mahir berbahasa Inggeris. Katanya, ketika suaminya menemuduga
lulusan universiti tersebut, masalah ini begitu jelas sekali.

Saya jadi berang. Lalu saya menjawab email tersebut dengan berkata, mengapa
mesti sessi temuduga dijalankan dalam Bahasa Inggeris? Mengapa tidak
dijalankan dalam Bahasa Melayu? Bukankah ini Persekutuan Tanah Melayu yang
kemudian sengaja dihilangkan perkataan Melayunya oleh Allahyarham Tunku
Abdul Rahman dengan menamanakannya sebagai Malaysia. Di manakah letaknya
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan?

Kebetulan juga, tidak lama selepas itu timbul isu matapelajaran Bahasa
Melayu ditukarkan kepada Bahasa Malaysia. Kononnya, sudah lama ianya
dipanggil sebegitu dan hanya ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi
Menteri Pelajaran barulah ia ditukar menjadi Bahasa Melayu. Tindakan yang
sia-soa, bagi saya. Ianya hanya helah politik untuk menonjolkan
Anwar seorang perkauman Melayu kepada bangsa asing di negara ini.

Dan seperti biasa, pihak kaki-kaki bodek di media segeralah mengadakan
temubual bersama beberapa penonton yang dijumpai di tepi-tepi jalan. Dan
seperti biasa juga, kesemua mereka akan bersetuju dengan tindakan kerajaan.
"Bagus! Ia menghasilkan perasaan pemilikan bersama oleh semua bangsa
terhadap Bahasa Malaysia," jawab seorang penonton berbangsa Cina dengan
pelatnya.

Pemilikan bersama? Saya mencemik… Bahasa Melayu atau kini Bahasa Malaysia
tidak pernah dimiliki secara bersama oleh mana-mana bangsa di Malaysia ini
kecuali bangsa Melayu. Dan tambah memilukan lagi apabila kini orang Melayu
sendiri mula menolak kepentingan Bahasa Malaysia sehinggakan di rumah pun,
bercakap dengan anak-anak menggunakan Bahasa Inggeris. Jadi Bahasa Malaysia
ini milik siapa?

Cuba hitung, berapa ramai menteri yang mahu bertutur dalam Bahasa Malaysia
apabila ditemubual? Itu belum kira artis, yang asalnya SRP pun cukup-cukup
makan. Masalahnya, Bahasa Inggeris telah dianggap sebagai satu 'gaya hidup
mewah'. Orang kaya, orang penting, orang terpelajar, mesti pandai bertutur
Bahasa Inggeris. Jika tidak, tarafnya sama macam orang-orang kampung
kalaupun bukan hulu dan solok!

Saya selalu terkenangkan sewaktu saya masih kecil. Saya akui. Ketika itu
saya terlalu dangkal dengan Bahasa Inggeris. Pernah satu ketika saya
diketawakan kerana tidak tahu apa makna dragon dalam Bahasa Malaysia. Malah
pernah, ketika di MRSM, teman-teman saya menurunkan notis yang saya tampal
kerana ayatnya terlalu hancur (dalam Bahasa Inggeris). "Memalukan maktab
je" ujar teman saya sambil menurunkannya.

Tetapi itu semua tidak menjatuhkan semangat saya untuk terus belajar. Dan
Alhamdulillah, hari ini walaupun penggunaan Bahasa Inggeris saya tidak
sehebat mana, saya boleh bertutur dengan lancar. Malah dalam keadaan kerja
saya sekarang, saya banyak berhubungan dengan orang luar. Dan nampaknya
mereka tidak ada masalah untuk memahami pertuturan saya. Malah kebanyakan
surat mohon dan berhenti kerja teman-teman saya, saya yang menulisnya.

Tetapi untuk sampai ke tahap ini, saya tidak pernah mengorbankan penggunaan
Bahasa Malaysia. Di rumah, saya tidak pernah menggunakan Bahasa Inggeris.
Begitu juga dengan teman-teman. Malah ada kalanya, dengan jurutera Melayu
yang terlalu gila hendak bercakap dalam Bahasa Inggeris pun, saya hentam
jawab soalannya dalam Bahasa Malaysia. Sungguhpun begitu, saya masih dapat
menguasai bahasa asing ini.

Apa yang cuba saya bawakan di sini ialah, perlukah kita korbankan bahasa
kebangsaan kita demi untuk mengusai bahasa penjajah ini? Perlukah kita
menjadikan bahasa ini bahasa pengantar di sekolah mengatasi bahasa ibunda
kita yang kononnya termasuk dalam perlembagaan UMNO untuk
mempertahankannya? Perlukah kita berbicara dengan anak-anak kita di rumah
dengan bahasa ini demi masa depan mereka?

Saya tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris terutama untuk mereka yang
bekerja di syarikat multinasional. Tetapi pentingnya Bahasa Inggeris kerana
kita menganggap bahasa kita sendiri lemah dan rendah! Jikalau kita
sayangkan bahasa dan bangsa kita dan berkeras untuk mempertahankannya,
mungkin hari ini kesemua syarikat yang menjalankan urusniaga di Malaysia
akan menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya.

Cuba buka kembali lipatan sejarah ketika Inggeris mula-mula bertapak di
Tanah Melayu dahulu. Apakah kedatangan Inggeris ke tempat kita kerana pada
ketika itu majoriti orang kita fasih berbahasa Inggeris? Tidak! Tukang
kebun, orang gaji, pemandu, semua tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi
penjajah-penjajah ini belajar Bahasa Melayu demi kepentingan mereka, supaya
dapat berkomunikasi dengan orang Melayu.

Tetapi hari ini, segalanya sudah jadi terbalik. Mereka sudah tidak perlu
lagi berbahasa Malaysia kerana sudah tidak ramai orang Malaysia yang mahir
berututur dalam bahasa ini. Jangankan yang bukan Melayu, malahan orang
Melayu sendiri pun sudah mula lupa bahasa inbunda mereka. Mungkin di masa
depan, bertutur dalam Bahasa Kebangsaan akan menjadi satu aib yang besar
kepada penuturnya.

Tidak ada pemilikan bersama terhadap Bahasa Malaysia ini. Sepatutnya ia
dikekalkan dengan nama Bahasa Melayu. Bangsa-bangsa asing tetap dengan
bongkaknya akan mengaku mereka kurang fasih berbahasa Malaysia sedangkan di
sekolah dari darjah satu hingga ke tingkatan lima inilah bahasa
pengantarnya. Penukaran nama ini hanya menghilangkan satu lagi hak Melayu.
Yang penting, bahasa kebangsaan kita akan tetap dan terus terpinggir…

Kerajan perlu bersikap rasional. Janganlah hanya tahu berfikir bagaimana
hendak menang pilihanraya dan bagaimana hendak menjatuhkan imej dan
kredibiliti tokoh pembangkang. Acara pembangunan Melayu, kaum yang
membentuk negara ini pada asalnya sepatutnya menjadi agenda yang paling
utama. Kerana sifat tamak kuasa mereka, orang Melayu yang akhirnya kian
tersepit di bumi sendiri… Ah! Untungnya menjadi Melayu di Malaysia ini…..

20 July 2007

Demi Cinta

Saya biasa terdengar atau terbaca, dan mungkin kebanyakan dari kita juga
biasa terdengar dan terbaca tentang penderaan mental mahupun fizikal yang
dialami oleh seseorang yang dilakukan olah orang yang mereka sayangi. Sama
ada mereka yang sudah terikat secara sah mengikut syarak iaitu ikatan
perkahwinan, mahupun mereka yang masih lagi dalam alam percintaan.
Ceritanya tidak jauh berbeza.

Kisah isteri yang dipukul oleh suami, kisah isteri yang suaminya curang.
Atau sebaliknya kisah suami yang disiksa oleh isteri atau suami yang queen
controlled. Sebenarnya, kisah sebegini sememangnya menyayat hati dan
sememangnya wajar kita bersimpati terhadap mereka. Dan tidak salah untuk
kita membantu sama ada dari segi kewangan, perundangan mahupun dari segi
pemberian kaunseling dan nasihat.

Dan percaya atau tidak, selalunya nasihat yang sering kita dengar adalah
untuk mereka yang disiksa itu meninggalkan pasangannya. Sama ada sang suami
menceraikan isterinya mahupun sang isteri memohon fasakh dari pejabat
khadhi. Tetapi pada keselaluannya juga, mereka ini jarang mahu berpisah
dengan pasangan mereka. Iyalah. Kerana enggan berpisahlah mereka cuba
mendapatkan nasihat…

Tetapi kalau ditanya sebabnya mengapa, kebanyakan akan berkata "saya masih
sayang kepadanya". Rasanya ini telah menjadi alasan yang lazim bagi
pasangan-pasangan yang bermasalah sebegini. Sayang? Pelik juga, bukan?
Setelah disiksa, dicurangi malah kadang kala dihina, namun masih tetap mahu
bersama demi semata-mata perasaan kasih, sayang dan cinta yang menebal di
dalam dada.

Sebenarnya, saya tidak mahu memperlekehkan rasa kasih antara mereka. Saya
juga punyai isteri, punyai anak. Saya faham apa itu erti kasih sayang. Cuma
yang saya ingin umpilkan di sini, berapakah sebenarnya harga kasih kita
kepada pasangan kita. Bolehkah kasih sayang diukur secara fizikal? Pasti
ramai yang menyebutnya tidak boleh. Iyalah… Jika sanggup disiksa demi
cinta, tentu tinggi harga cinta tersebut.

Tetapi itu perasaan cinta dan kasih sayang sesama manusia. Bagaimana pula
dengan perasaan cinta dan kasih sayang kita terhadap Allah? Apakah tidak
ternilai harganya? Apakah sama atau apakah lebih kasih kita terhadap Allah
berbanding rasa kasih kita terhadap pasangan kita? Untuk soalan itu, saya
rasakan jawapannya tidak. Rasanya cinta kita terhadap Allah jauh lebih
rendah dan jauh lebih murah harganya.

Saya tanyakan kepada diri saya sendiri. Seandainya hari ini anak saya jatuh
sakit. Dan demi mendapatkan ubat untuk merawatnya penyakitnya, saya perlu
meredah hutan belantara, mendaki tujuh gunung dan merentasi tujuh lautan.
Apakah saya akan sanggup? Jawapan saya, insyaAllah, saya akan sanggup. Jika
benar ubatan itu mampu menyembuhkan anak saya, lautan api pun akan saya
usahakan untuk merenanginya.

Tetapi untuk Allah, berapa sangatkah pengorbanan yang boleh saya lakukan?
Contohnya hari ini, ketika azan dilaungkan, saya sedang sibuk menyiapkan
tugasan saya. Apakah sebaik mendengar azan saya akan tinggalkan tugas saya
dan segera menyambut laungan muazzin? Rasanya tidak. Paling hebat, saya
akan gunakan alasan Allah memahami keadaan saya. Saya rela korbankan
kepentingan solat di awal waktu demi tugasan duniawi saya.

Apakah dalam keadaan itu boleh saya katakan cinta saya kepada Allah tinggi
dan tidak ternilai harganya? Itu baru soal menyambut laungan azan. Belum
lagi soal meninggalkan keluarga untuk berpergian ke jalan Allah
(fisabilillah). Dan menyebut tentang berpergian ke jalan Allah ini, saya
segera teringat kepada Jemaah Tabligh. Kerana perbuatan ini sering
dikaitkan dengan gerakan mereka.

Mereka ini sanggup mengorbankan kepentingan dunia demi untuk menegakkan
agama Allah. Tetapi apa pandangan masyarakat terhadap mereka? Masyarakat
menghina! Malah golongan ini dianggap lebih jijik daripada golongan
penzina, pemimum arak dan pencuri duit rakyat sehinggakan dilarang memasuki
segelintir masjid sedangkan tokoh korporat yang terkenal dengan
kemunafikannya disambut meriah ketika 'melawat' ke masjid tersebut.

Beginikah caranya kita menyatakan rasa cinta kepada Allah? Sudahlah kita
enggan berbuat seperti mereka, bahkan kita hina pula mereka. Sedangkan
perbuatan berpergian seperti mereka ini telah dilakukan oleh para sohabat
Nabi Muhammad saw. Sebagaimana ada jemaah dari negara China yang menyatakan
makam Abi Waqas ada terdapat di sana yang letaknya ribuan batu dari tempat
asalnya. Apakah beliau juga seorang yang hina?

Ternyata cinta kita kepada Allah begitu murah dan begitu rendah. Kita
dengan mudah selalu mengenepikan perintah Allah demi melaksanakan
tugas-tugas duniawi. Hukum-hukum Allah kita letakkan di bawah telapak kaki
kita dengan alasan negara kita ini bermasyarakat majmuk. Kita takut
mengguris hati orang-orang kafir tetapi kita tidak pernah kisah mengguris
hati Allah. Cintakah itu namanya?

Sedangkan cinta Allah kepada kita jauh lebih tinggi dan jauh lebih mahal
harganya. Allah menciptakan dunia ini bukan untuk Dia tinggal di dalamnya.
Dan Allah ciptakan syurga bukan untuk keselesaanNya sendiri. Tetapi untuk
kita! Walaupun Allah telah tahu bahawa kita akan membelakangkanNnya dan
akan memusnahkan dunia ini termasuk diri kita sendiri, namun Allah tetap
teruskan kerana Dia mahu memberikan balasan syurga bagi yang patuh.

Tidak cukup dengan itu, diutuskan pula para Mursalin dan Ambiyak untuk
mengingatkan mereka yang kufur. Namun apa balasan kita atas kecintaan Allah
terhadap kita? Penderhakaan demi penderhakaan. Pengkhianatan demi
pengkhianatan. Dan kekufuran demi kekufuran! Dan setelah semua itu, dengan
mudah kita melafazkan Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. 'Mulia'
sungguh cinta kita kepadaNya…

Jika sebenarnya kita sanggup menderita kerana orang yang kita cintai,
mengapakah sukar sangat untuk kita bersusahan sedikit demi kerana Allah?
Sedangkan penderitaan yang dialami akibat pasangan kita tidak tahu di mana
akhirnya dan apa kesudahannya tetapi kesusahan yang kita alami demi untuk
Allah sudah pasti akan berakhir dengan kenikmatan yang tiada terperi di
syurgaNya kelak.

Marilah kita bersama bermohon kepada Allah supaya kita dianugerahkanNya
perasaan cinta dan kasih yang tiada batasnya terhadap Dia, RasulNya dan
agamaNya. Marilah kita berdoa agar dijadikan insan yang tahu menghargai
erti kasih sayang yang dicurahkanNya dan bersedia untuk berkorban segalanya
demi untuk Dia. Semoga hati ini rela menderita dan tersiksa pada jalanNya.
Demi cinta kepadaNya…

19 July 2007

Setelah Sekian Lama

Sudah agak lama saya tidak menulis. Mungkin sudah hampir sebulan. Dan
rasanya dalam tempoh hampir tiga bulan ini, hanya ada satu posting sahaja.
Saya juga sudah lama tidak menjenguk ke blog saya. Agaknya sudah berhabuk
dan bersawang, seperti rumah yang sudah lama ditinggalkan. Mujur tidak
diduduki jin kerana, kata orang tua-tua, rumah yang ditinggalkan lebih 40
hari akan diduduki oleh 'makhluk ghaib' ini.

Sebenarnya saya sudah berkira-kira untuk berhenti menulis. Rasanya saya
sudah tidak larat lagi melakukan 'kerja' yang suatu ketika dahulu sangat
saya sukai ini. Saya berfikir untuk menguburkan Diari Abu Naqibah setakat
di sini sahaja. Dan saya juga terfikir untuk keluar dari semua milis yang
saya sertai. Tetapi sebenarnya saya tidak ada alasan khusus untuk berbuat
begitu. Hanya kerana saya rasa saya sudah tidak mampu menulis lagi.

Tetapi saban hari ada saja emel yang menjengah kotak masuk saya. Ramai juga
yang tertanya-tanya mengapa saya menyepi. Ada juga yang menyatakan sokongan
kepada saya. Tidak kurang juga yang meminta saya menulis suatu tajuk
artikel untuk mereka tujukan kepada orang tertentu. Saya jadi terharu.
Tetapi saya tidak mampu menulis lagi. Hanya saya pohon kepada Allah untuk
memberikan saya hidayah, nusrah, kekuatan dan ilham.

Dan hari ini Alhamdulillah, kekuatan untuk menulis kembali ada di dalam
diri. Untuk berapa lama saya tidak pasti. Tetapi insyaAllah, ada beberapa
topik yang ingin saya kupas dan kongsikan bersama anda semua, sahabat yang
sentiasa menghulurkan sokongan buat saya. Tetapi tulisan saya bukan untuk
memperbetulkan orang lain. Ianya sekadar luahan isi hati dan lebih kepada
pengislahan diri sendiri…

Akhirnya keputusan saya bulat dan tekad. Saya tolak tawaran kerja yang saya
ceritakan dalam artikel 'Hanyut' sebelum ini. Saya nekad. Wang ringgit
bukan penentu kebahagiaan hidup. Saya ada perjuangan di sini. Saya masih
ada perjuangan yang belum selesai dalam kesatuan. Biarlah saya selesaikan
perjuangan ini dahulu, dengan izin Allah, sebelum saya mengejar harta untuk
memuaskan nafsu (semoga Allah pelihara saya dari sifat begini).

Dan Alhamdulillah, saya dikurniakan sebuah keluarga yang tidak
materialistik. Ibu saya tidak menyokong saya meninggalkan kerja saya
sekarang. Malah beliau mahu saya fikirkan tentang kesatuan sebelum membuat
keputusan. Begitu juga dengan isteri saya. Baginya, apa yang penting saya
gembira dengan kerjaya saya. Tidak semestinya gaji besar hidup gembira dan
sebaliknya. Sesungguhnya merekalah orang yang sangat saya cintai.

Begitu juga beberapa rakan yang tidak gembira dengan berita tawaran yang
saya terima. Saya terharu apabila ada yang mengatakan mereka memerlukan
saya di sini untuk berkhidmat di dalam kesatuan, untuk membela nasib
mereka. Saya akui, saya bukan hero. Saya seorang tidak akan mampu mengubah
apa-apa. Tetapi kata-kata beginilah yang menjadi perangsang dan sebab untuk
saya terus kekal di sini. Semoga Allah manjadikan pilihan saya ini betul.

Bekerja di tengah laut ini adakalanya membosankan. Terutama di hari-hari
pertama. Tetapi apabila sudah menghampiri hari pulang, keseronokan mula
terasa. Tetapi yang menjadi beban terbesar adalah ketika meninggalkan
rumah. Sedihnya rasa untuk meninggalkan keluarga terutamanya anak-anak yang
masih kecil. Entah kembali lagi atau tidak, belum dapat dipastikan.
Suasanya sungguh memilukan.

Seperti baru-baru ini. Naqibah turut bersama ketika ayah saya menghantar
saya ke Terminal Bas Larkin. Sepanjang perjalanan, macam-macam yang Naqibah
bualkan dengan saya. Tiba di stesen bas, segera Naqibah menghulurkan tangan
untuk bersalam. Seronok rasanya melihat anak saya yang berusia dua tahun
setengah itu pandai menghulurkan tangan sebelum saya keluar dari kereta
dengan tanpa perlu disuruh.

Namun ketika melambai, saya terlihat genangan air di kelopak matanya.
Begitu juga di rumah. Isteri saya bertanya kepada Naqibah apa yang saya
pesankan kepadanya. Petah Naqibah mengulangi pesan saya tetapi dalam nada
sebak. Kemudian dalam perjalanan, saya dikejutkan oleh panggilan dari
isteri saya. Naqibah tidak mahu tidur, menangis katanya. Hanya setelah
mendengar suara saya, barulah Naqibah diam dan melelapkan matanya.

Kasihan anak kecil ini. Turut sama terkorban perasaannya. Malam itu saya
juga tidak lena tidur di dalam bas. Air mata saya menitis membasahi pipi.
Terbayangkan senyuman, gelak tawa dan tangisan Naqibah. Terkadang terasa
zalim meninggalkannya. Tetapi ini kerja pilihan saya sendiri. Saat-saat
begini, rasanya saya mahu kerja di darat semula. Supaya hari-hari dapat
berjumpa anak kesayangan saya ini.

Tetapi jika difikirkan semula, kerja di darat tidak menjanjikan kami boleh
sentiasa bersama. Melihat orang lain, rasanya kualiti masa saya bersama
anak-anak lebih dari mereka. Manakan tidak, sekarang ini jika minggu tidak
bekerja, saya bersama anak-anak hampir 24 jam sehari. Tetapi jika kerja di
darat, saya terpaksa keluar rumah ketika mereka masih tidur dan pulang
mungkin setelah mereka terlena. Begitulah. Setiap perkara ada lebih dan
kurangnya…

Suasana di dalam bas juga tidak menyelesakan. Semuanya disebabkan
sekumpulan penumpang berbangsa Tionghua yang turut sama di dalam bas
tersebut. Suara mereka yang berbual dengan nada yang tinggi diikuti hilaian
tawa mereka yang kuat benar-benar mengganggu lamunan saya. Sesekali timbul
juga di hati rasa untuk mengherdik mereka kerana tidak pandai menghormati
perasaan penumpang yang lain.

Tetapi akhirnya perasaan itu saya pendamkan. Saya terfikir, mungkin mereka
tidak selalu dapat peluang begitu. Sesekali naik bas ekspress
beramai-ramai, tentu menyeronokkan. Agaknya, saya juga akan berbuat perkara
yang sama. Biarlah, kata hati saya. Telatah anak muda. Lambat laun mereka
pasti mengantuk dan akan tertidur juga nanti. Dengan berdiam diri dan
bersabar, sekurang-kurangnya saya tidak menambah koleksi musuh saya.

Dan ditakdirkan pagi itu saya terlajak. Saya hanya terjaga dari tidur
ketika bas berada di Paka. Sepatutnya saya turun di Kerteh. Dalam
kelam-kabut itu, saya dapati satu beg saya yang mengandungi komputer riba
saya telah tiada di tempatnya, di tempat simpanan bahagian atas tempat
duduk. Saya jadi menggelabah. Tiba-tiba salah seorang dari kumpulan remaja
Tionghua tadi menunjukkan beg saya ada di tempat duduk hadapan sekali.

Rupanya beg saya terjatuh ketika saya sedang tidur. Dan mereka telah
meletakkan di tempat duduk itu setelah melihat saya tidak tersedar.
Syukurlah… Mujur saya tidak mengherdik mereka. Akhirnya mereka yang
membantu saya. Sesungguhnya sabar itu ada kebaikannya, bukan? Dan tidak
semua orang berbangsa asing itu jahat dan tidak berbudi pekerti. Inilah
satu lagi pengajaran dalam hidup saya…

23 June 2007

Hanyut

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Bukan setakat di blog ini sahaja
tetapi di mana-mana jua. Sememangnya tulisan saya sudah lama menyepi dari
ruang maya. Bukan ketandusan idea. Banyak perkara yang ingin saya tuliskan.
Dan bukan juga kekurangan masa. Banyak masa yang boleh digunakan. Hanya…
Keadaan diri saya yang tidak menentu menyebabkan saya berpendapat saya
tidak sesuai lagi menulis apa-apa artikel…

Saat ini saya merasakan saya amat jauh dari Tuhan. Tidak… Bukanlah sampai
ke tahap melupakanNya. InsyaAllah tidak. Hanya amalan-amalan saya kian
berkurangan. Yang masih kekal pula, kualitinya amat menyedihkan. Saya
menjadi terlalu lemah. Dalam keadaan sebegini, saya bimbang jikalau tulisan
saya menjadikan diri saya hanya seorang yang hipokrit atau dalam bahasa
sebenarnya, munafik.

Sebenarnya hampir semua tulisan saya lebih kepada penceritaan tentang diri
saya sendiri. Tentang perkara-perkara yang boleh saya kongsikan dengan
teman-teman. Kerana itu blog ini saya namakan sebagai 'dairi'. Saya sedia
berkongsi bukan sahaja cerita-cerita yang indah tetapi juga cerita tentang
keburukan saya dengan harapan, cerita-cerita itu boleh dijadikan 'panduan'
teman-teman sekalian mengharungi kehidupan sendiri.

Bukan bermaksud saya ini terlalu baik. Maksud saya, jika ada pengajaran
yang elok, bolehlah dijadikan contoh dan jika ada pengajaran yang buruk,
bolehlah dijadikan sempadan, agar teman-teman tidak mengulangi kesilapan
yang saya lakukan. Tidak pernah saya berniat -hendak menasihatkan
teman-teman sekalian apatah lagi hendak mengajar. Saya hanya seorang
manusia biasa yang diselubungi dengan seribu satu kekurangan dan kelemahan.

Sesungguhnya kejadian yang menimpa saya sekarang ini bukanlah bala bencana
atau apa. Hanya… Saya merasakan diri saya telah gagal menjadi manusia
sebagai mana sepatutnya. Kegagalan yang pernah saya alami suatu ketika
dahulu dan saya pernah bangkit mengatasinya. Kini saya gagal lagi.
AllahuAkbar… Sebab itu adakalanya saya berasa kecewa dengan sikap saya
sendiri…

Saya gagal menghadapi dugaan Allah. Lebih memilukan, ujian ini bukanlah
ujian kesusahan sebaliknya ujian kesenangan. Allah berikan saya sedikit
kelebihan dalam rezeki. Apa yang saya lakukan? Saya tidak jadikan rezeki
itu sebagai alasan untuk lebih bertaqwa kepadaNya sebaliknya ia menjadi
asbab saya menjauhi Dia. Kini saya jadi sibuk dengan dunia yang Dia
berikan, yang selalu saya sebut sebagai suatu yang nyata sementara.

Sayang… Sayang sekali. Suatu ketika dahulu, hidup saya pernah bergelumang
dengan dosa. Kemudian Allah selamatkan saya, dengan asbab doa ibu, isteri
dan adik beradik. Kemudian susah payah saya bangkit memperbetulkan diri.
Bersusah payah saya tanamkan sifat cintakan amalan. Bersusah payah saya
tanamkan sifat bencikan keduniaan. Tiba-tiba, dengan sedikit kesenangan,
mudah sekali saya musnahkan apa yang telah saya usahakan selama ini.

Lebihan rezeki tidak menjadikan saya seorang yang bersyukur. Sebaliknya
saya menjadi seorang yang tamakkan nikmat dunia sehinggakan lebihan rezeki
tadi menjadikan saya berasa tidak cukup. Saya mahukan lebih lagi sedangkan
saya sudahpun terima lebih dari yang sepatutnya saya terima. Ya Allah…
Sukarnya diri ini untuk mensyukuri nikmatMu. Mengapa aku begitu kejam
terhadapMu ya Allah???

Belajarlah untuk berkata cukup. Ya, saya sudah belajar. Dan saya pernah
pandai berkata cukup. MasyaAllah… Indahnya hidup ketika itu. Tidak pernah
wujud kebimbangan dalam diri tentang rezeki. Saya begitu yakin dengan
pengurusan rezeki olehNya. Sayangnya saya gagal mempertahankan sifat
sebegitu. Hari ni, saya berasa perkataan cukup itu begitu pahit untuk
dizahirkan. Terlalu perit untuk dinyatakan.

Saya lupa kepada hadits Nabi saw yang dahulu selalu saya sebut-sebut. Nabi
saw pernah mengingatkan supaya janganlah kita sibuk mengira rezeki hari
esok kerana sesungguhnya Allah menurunkan rezeki pada setiap hari. Hadits
yang cukup saya yakini ini akhirnya saya tinggalkan sepi. Saya sibuk
mengirakan rezeki yang bakal saya perolehi dalam beberapa bulan mendatang.
Mengapa? Tidak yakinkah saya kepada sifat Maha Pemurah Allah?

Astaghfirullah… Sebab itu saya katakan saya telah bersifat kejam kepada
Allah. Saya seolahnya menganggap Allah akan terlupa menentukan nasib
saya.bersifat kejam kepada Allah. Saya seolahnya menganggap Allah akan
terlupa menentukan nasib saya.Kerana itu saya sibuk mengaturkan rezeki saya
sendiri. Sedangkan Allah telah menetapkan rezeki bagi setiap hambaNya.
Bahkan rezeki seekor semutpun Allah yang menetapkannya…

Baru-baru ini saya dipanggil untuk ke satu temuduga. Temuduga di sebuah
syarikat yang saya sendiri tidak pernah memohonnya. Tetapi saya hadiri juga
kerana menghargai susah payah syarikat tersebut mengaturkan sesi temuduga
mengikut keselesaan saya. Dan saya hadir ke temuduga di syarikat tersebut
tanpa sebarang persediaan dan tanpa sebarang harapan untuk diterima bekerja
di sana.

Tetapi Allah telah menjadikan segalanya lebih rumit untuk saya bagi menguji
diri saya. Dalam pada tiada persediaan, rupanya saya berjaya menambat hati
panel penemuduga saya. Lalu saya diterima bekerja. Lebih mengejutkan, saya
bukan sahaja diterima bahkan syarikat tersebut telah menawarkan gaji yang
lebih tinggi dari yang saya nyatakan ketika menulis borang ketika baru tiba
di pejabat syarikat tersebut.

Saya jadi keliru. Saya sayangkan pekerjaan saya sekarang. Ketua yang baik,
teman-teman yang memahami dan lebih penting, saya ada perjuangan dalam
kesatuan sekerja. Tetapi… Tawaran ini terlalu hebat. Tetapi… Jika saya
terima tawaran ini, bererti saya mengecewakan orang yang meletakkan harapan
kepada saya di dalam kesatuan. Sesuatu yang pernah saya lakukan di tempat
kerja saya terdahulu…

Keputusan belum saya bulatkan. Separuh dari diri saya mahukan jawatan baru
ini. Manakala sebahagian yang lain menentangnya. Apatah lagi rezeki yang
mendatang ini tatkala iman saya berada lebih rendah dari telapak kaki saya.
Saya bimbang jika ini menjadikan keadaan saya lebih buruk dari keadaan yang
sedia ada. Saya bimbang jikalau selepas ini, saya lebih hanyut dibawa oleh
arus dunia yang kejam ini…

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui… Maka biarlah Engkau yang
menentukan nasibku kelak. Tetapi ku pohon kepadaMu… Dekatkanlah aku kepada
pintu rahmatMu dan jaukanlah aku dari siksa nerakaMu. Ya Allah, aku
perlukan bantuan maka berikanlah aku nusrahMu. Aku perlukan petunjuk maka
berikanlah hidayahMu. Ya Allah… Sesunggunya siapalah aku melainkan seorang
hina bergelar hambaMu…..

04 June 2007

Afiat Di Dunia, Afiat Di Akhirat

Saya sebenarnya sedang menghabiskan pembacaan sebuah buku berjudul 'Jangan
Melampaui Batas' tulisan Dr. 'Aidh Abdullah al-Qarni. Setelah helai demi
helai diselak, saya mula rasakan keseronokan membacanya. Gaya penulisan
yang bersahaja disertakan dengan perikan ayat dari al-Quran dan hadits
menjadikan ianya sebuah buku yang saya terfikirkan tentang isi kandungannya
setiap kali berseorangan.

Sebenarnya buku ini berbicara secara kasarnya tentang dosa dan taubat. Amat
sesuai untuk orang yang mahu atau sedang bertaubat terutamanya seperti saya
yang sedang hampir gagal di pertengahan taubat yang saya ucapkan.
Sekurang-kurangnya buku ini mengingatkan saya banyak perkara dan
memotivasikan saya untuk memperkuatkan semangat dan memperhebatkan
penentangan terhadap permintaan nafsu.

Paling menarik, di dalam buku ini diselitkan sebuah hadits. Hadits itu di
antara lainnya mengisahkan tentang seorang sahabat Nabi saw yang datang
berjumpa Baginda saw dan meminta sebuah doa yang terbaik untuk di doakan.
"Afiat di dunia, afiat di akhirat" jawab Nabi saw. Dan setelah soalan yang
sama diulang sebanyak tiga kali, itulah juga jawapan yang keluar dari mulut
Baginda saw.

Manurut Dr. 'Aidh, afiat di dunia adalah kesihatan manakala afiat di
akhirat pula adalah pengampunan dari Allah swt. Manurutnya lagi,
sebagaimana pentingnya kesihatan di dunia ini, maka sebegitu jugalah
pentingnya pengampunan olehNya di akhirat kelak. Dan setelah
difikir-fikirkan, tidak dapat tidak, saya amat bersetuju dengan apa yang
dinyatakannya. Roh yang tidak diampunkan samalah seperti jasad yang tidak
berkeupayaan…

Apa yang kita cari dalam hidup kita di dunia ini? Harta dan kekayaan?
Kebahagiaan rumah tangga? Ketenteraman hidup? Kereta besar, rumah besar dan
segala-galanya yang besar? Apa lagi? Jika mampu, tentu kepala keretapi pun
kita mahu beli. Begitulah hebatnya dunia ini menarik perhatian kita. Maka
kita pun berusaha pagi, petang, siang dan malam untuk mencapai apa yang
kita idamkan selama ini.

Akhirnya, Allah tunaikan impian dan harapan kita. Maka jadilah kita seorang
yang kaya yang memiliki hampir segala-galanya. Apa sahaja yang terlintas di
hadapan mata, mampu kita dapatkan. Tetapi, dalam masa yang sama, Allah
menarik balik nikmat yang telah diberikanNya kepada kita sebelum ini. Tanpa
sedar, ketika kita memperolehi segala nikmat yang kita idamkan itu ketika
kita di hujung usia.

Ketika itu, seluruh badan sudah terketar. Hendak ke tandas pun perlu
dipapah. Hendak makan pun perlu disuapkan. Itupun makanan yang telah
dikisar. Kita miliki kereta yang termahal di dunia tetapi setakat mampu
'menumpang' di belakang kerana tiada upaya memandunya. Pegang sterengnya
pun setahun tidak sekali. Kita punyai mahligai indah umpama Taj Mahal
tetapi ruang kita hanya di atas katil dalam sebuah bilik…

Bahagiakan kita ketika itu? Sempurnakah kehidupan kita sebegitu? Demi Allah
tidak. Mengapa? Kerana kita tidak sedikitpun dapat menikmati segala nikmat
dunia yang kita perolehi tanpa satu nikmat penting iaitu kesihatan. Kesemua
benda, rumah, kereta, wang, harta dan sebagainya tidak membawa makna kepada
kita. Sebaliknya, kaum kerabat kita yang dapat bergembira dengannya.
Begitulah pentingnya kesihatan.

Dan begitu jugalah pentingnya pengampunan Allah di akhirat kelak.
Bayangkan, ketika dibangkitkan kita sarat dengan senarai amal kebajikan
yang kita perbuat di dunia. Dalam masa yang sama, sebagai manusia yang
bukan maksum, kita turut membawa beban-beban dosa yang sama beratnya atau
mungkin lebih berat lagi dari pahala-pahala yang kita perolehi hasil amalan
kita ketika di dunia dahulu.

Pada ketika itu, apakah yang paling perlu kita harapkan? Tentu saja
pengampunan dariNya. Bayangkanlah, walaupun senarai amalan kita panjang
berjela, namun setiap titik dosa yang kita perbuat kesemua diperhitungkan
satu persatu. Tidak ada satupun yang Allah perkenan untuk diampunkan.
Apakah ketika itu kita jangka kita dapat memasuki syurga Allah? Janganlah
diharapkan. Tidak mungkin kita akan ke sana.

Janganlah menyangka kita akan masuk ke syurga dengan amalan yang kita
perbuat. Solah, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lainnya hanyalah
bekalan buat kita menghadap Allah di hari kemudian. Bukan sebuah jaminan
yang kita akan terselamat dari nyalaan api dan siksaan yang tidak terperi
sakitnya di neraka al-jahim. Tidak. Syurga atau neraka, semuanya bergantung
kepada rahmah dan pengampunan dariNya.

Jadi apa gunanya senarai amalan yang bergulung-gulung panjangnya jika tiada
pengampunan Allah di hari hisab kelak? Sebagaimana tubuh si kaya yang hanya
mampu berbaring di atas tilam emas, begitulah kita kelak jika tiada
pengampunan dariNya. Kesemuanya sia-sia. Kesemua amalan kita tidak akan
membawa apa-apa maknanya lagi. Dan akhirnya, tiada tempat untuk kita di
syurgaNya.

Namun Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan maha
dalam segala sifat kebaikan dan maha suci dari segala sifat buruk dan
kekurangan. Sungguhpun kita hadir di hadapanNya kelak dalam keadaan miskin
amalan, tetapi jika Dia sudi memaafkan kita dan sudi menerima kita
melangkah masuk ke dalam syurgaNya, nescaya di situlah tempat kita. Nescaya
kitalah orang-orang yang bergembira.

Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita mengabaikan ibadah di dunia ini.
Setiap ibadah yang diperintahkan sama ada yang wajib mahupun yang sunat,
adalah sebagai bekalan untuk kita mendapat belas dan kasihan dariNya.
Sungguhpun kesemua kita adalah sama, tetapi di sisi Allah, amalan dan taqwa
membezakan antara kita. Dan syurga itu bertingkat-tingkat, dengan kedudukan
kita di tingkat mana bergantung kepada amalan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Lagipula, apakah kita tidak malu hendak memohon pengampunan dariNya
sedangkan tangan kita bersih dari sebarang amalan tambahan? Apakah kita
menjangka kita akan diampunkan olehNya setelah kita menyesiakan setiap
perintah dan laranganNya di dunia ini? Apakah kita fikir, dengan meletakkan
arahan manusia lebih utama dari arahanNya menjadikan kita layak untuk
memperolehi maghfirahNya?

Mungkin. Tetapi, secara peribadi saya berasa amat malu jika situasi itu
berlaku terhadap diri saya. Rasanya saya malu hendak berhadapan dengan
Allah dengan buku amalan yang kosong tetapi buku dosa yang berkeping-keping
banyaknya. Apatah lagi hendak memohon rahmah dan pengampunanNya demi
memasuki syurgaNya. Maka kerana itu, kita perlu kuatkan azam dan semangat
untuk terus beramal kepadaNya walaupun sekecil-kecil amalan sunat. Mesti
teguhkan hari meninggalkan setiap laranganNya walaupun sekecil-kecil
perkara yang makruh. Semoga dengan itu, Allah sudi mengampunkan kita.
InsyaAllah….

31 May 2007

Islam Dan Perkataan Islam

Alhamdulillah... Akhirnya selesai juga kes tuntutan Azlina Jalani untuk
menggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Akhirnya Mahkamah
Persekutuan telah membuat keputusan dengan 2 menolak dan 1 bersetuju bahawa
perkataan Islam pada kad pengenalan hanya boleh digugurkan setelah mendapat
keizinan daripada Mahkamah Syariah. Berakhir juga kemelut yang menggugat
kesabaran ramai umat Islam di negara kita ini.

Banyak pihak yang menyatakan kelegaan mereka dengan keputusan yang dicapai
oleh Mahkamah Persekutuan. Saya juga, secara peribadi amat gemabira dengan
keputusan ini. Ini sebagai satu tanda bahawa kredibiliti Mahkamah Syariah
di negara kita masih terpelihara. Walaupun kerap dikritik oleh akhbar
Inggeris berfahaman sekular dan beberapa akhbar berbahasa Melayu, nampaknya
kuasa Mahkamah Syariah masih diiktiraf di negara ini.

Kini, suka atau tidak, Azlina terpaksa menelan hakikat bahawa dirinya yang
dilahirkan Islam masih terikat dengan perundangan Islam walaupun realitinya
dia telah mengisytiharkan murtad dan menentang agama ini bahkan menghina
Allah dengan perbuatannya itu. Suka atau tidak, secara perlembagaannya,
seorang yang dilahirkan Islam akan kekal 'muslim' walaupun hati mereka
menolak hakikat itu.

Bagaimana dengan kita? Suka dengan keputusan itu? Secara peribadi saya suka
dengannya. Tetapi untuk berpuas hati atau merasa lega, saya rasa masih
tidak boleh lagi. Benar, perkataan 'Islam' akan terus terlekat pada kad
pengenalan Azlina atau nama Kristiannya Lina Joy. Jadi? Apa kesannya kepada
masyarakat? Apakah dengan ini kita dapat mengembalikan semula iman Lina Joy
yang telah dirampas oleh kafir laknatuLlah itu?

Memang, dengan terteranya nama Islam, sedikit sebanyak memberikan impak
kepada kehidupan Lina Joy. Dia tidak boleh berkahwin (atau lebih tepat,
mendaftarkan perkahwinannya) dengan lelaki bukan Islam. Dia juga masih
tertakluk kepada undang-undang Syariah di mana dia boleh ditangkap dan
didakwa sekiranya bersekedudukan, minum arak, tidak berpuasa di bulan
Ramadhan dan sebagainya. Seterusnya?

Hakikat sebenar Lina Joy masih murtad! Dia masih enggan mengakui semula
keesaan Allah dan masih enggan sujud menandakan pengabdian diri kepadaNya.
Kesan dari tekanan yang diterima, mungkin akan menyebabkan Lina Joy
berhijrah meninggalkan negara kita. Tetapi, apakah ini dapat menyelesaikan
masalah murtad di kalangan masyarakat kita? Apakah dengan penghijrahannya
akan terpelihara semula martabat Islam yang kian tercemar?

Lebih bahaya lagi, Lina Joy boleh menjadi duri dalam daging. Perkataan
Islam pada kad pengenalannya seolah menjadi lesen untuknya menyusup semula
ke dalam masyarakat Melayu dan menyebarkan fahaman songsang anutan barunya
kepada masyarakat kita. Jangan ingat semua orang tahu kes Lina Joy ini.
Ramai orang yang masih melopong mulutnya jika terdengar nama Lina Joy.
Apatah lagi Azlina Jalani.

Kerana itu saya katakan, ada perkara yang lebih penting yang sebenarnya
kita terlupa untuk mengambil kira. Itulah kerja dakwah dan tarbiyah.
Bukanlah saya katakan mengekalkan perkataan Islam pada kad pengenalan itu
tidak penting. Tetapi ianya tidak sepenting kegiatan dakwah dan tarbiyah
yang mana sebenarnya, mampu menyelesaikan masalah murtad dalam negara kita
secara total, dengan izin Allah tentunya.

Dan kerana itu juga saya katakan, saya (dan saya harap anda semua) tidak
boleh berpuas hati mahupun merasa lega dengan keputusan yang dicapai oleh
Mahkamah Persekutuan ini. Keputusan ini baik tetapi tidak cukup baik untuk
membendung apatah lagi membanteras gejala murtad di dalam negara kita.
Murtad akan terus berlaku dan akan terus berlaku walaupun perkataan 'Islam'
tidak boleh ditanggalkan dari kad pengenalan mereka.

Dan kita juga perlu pertimbangkan satu kemungkinan. Bagaimana jika suatu
hari nanti, kerajaan menetapkan bahawa agama seseorang tidak perlu
dipamerkan di kad pengenalan. Bagaimanakah ketika itu? Orang Islam bebas
meninggalkan agama suci ini sesuka hati mereka. Jangan tolak kemungkinan
ini. Dengan keadaan kerajaan yang tidak mementingkan pembangunan Islam
(melainkan Islam Hadhari), ianya berkemungkinan besar boleh terjadi.

Saya selalu terfikir. Apa lagi yang dicari oleh mereka yang murtad ini? Apa
yang ada pada agama lain sehinggakan mereka merasakan ianya lebih lengkap
dari Islam. Sedangkan Islam menyediakan segala-galanya. Ajaran Islam
merangkumi segalanya. Sedangkan cara duduk di tandas juga diajarkan. Hanya
satu sahaja yang tiada. Iaitu kebebasan untuk berbuat maksiat. Kebebasan
untuk berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya.

Saya juga pernah terbaca pengakuan mereka yang pernah atau masih lagi
murtad. Antara punca terbesar adalah kerana mengikut kekasih hati. Ada juga
yang kononnya menemui kasih sayang dalam agama baru mereka. Jika
perkara-perkara inilah punca mereka ini menyekutukan Allah dengan berhala
buatan manusia, nyatalah sebab sebenar pemesongan mereka adalah kurangnya
pengetahuan agama serta lemahnya iman dalam diri mereka.

Kurang pengetahuan agama, lemah iman, kerana apa? Kerana tidak adanya usaha
di kalangan kita untuk menyebarkan pengetahuan agama dan usaha
memperkukuhkan pegangan iman di dalam ummah. Jika ada sekalipun, ianya
disertakan dengan yuran dan bayaran yang banyak. Lebih teruk lagi, apabila
ada jemaah yang berdakwah secara percuma, mereka ini difitnah, dilontarkan
dengan pelbagai tohmahan malah diharamkan dari memasuki sesebuah masjid.

Seperti mana yang berlaku kepada Jemaah Tabligh. Mereka difitnah, dikatakan
mengabaikan keluarga. Mereka ditohmah kononnya kurang ilmu tetapi hendak
mengajar orang. Bahkan ada imam surau-surau dan masjid-masjid yang
menghalang mereka menjalankan kegiatan dakwah di kejiranan mereka dengan
alasan meninggikan bil air dan elektrik. Jika ada yang membenarkan
sekalipun, jemaah ini dikenakan bayaran terlebih dahulu.

Beginikah caranya kita hendak memperkembangkan agama kita dan mengatasi
gejala murtad? Anak muda yang keluar 40 hari mencari iman di dalam diri
kita herdik dan hina tetapi mereka yang sibuk berhibur di kelab malam,
bersorak sakan melihat Akademi Fantasia bahkan jalan berpegangan tangan
antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, kita biarkan tanda redha.
Jika beginilah caranya, lebih banyak Lina Joy akan dilahirkan.

Jika Jemaah Tabligh kurang ilmu, di manakah perginya orang yang banyak
ilmu? Sibuk mencukur janggut dan memakai sampin untuk masuk ke televisyen?
Atau sedang sibuk mengira 'wang upah' atas ceramah yang mereka adakan?
Tambah malang, jika ada orang berilmu yang hendak mengadakan ceramah secara
percuma, mereka juga dihalang. Permit tidak diberikan bahkan para hadirin
malah mereka sendiri ditahan di bawah akta ISA.

Kita sayangkan agama kita. Kita juga dakwa kita sayangkan Allah. Tetapi
kita benci usaha memartabatkan agama Allah yang kita cintai. Samalah
seperti seorang lelaki yang mendakwa mencintai isteri tetapi dibiarkan
tanpa nafkah dan layanan yang sepatutnya. Bukankah tindakan kita ini zalim?
Bukankah kita juga seakan-akan 'penyumbang kepada suburnya' gejala murtad
dalam masyarakat kita?

Maka kerana itu, jika tidak mahu lebih banyak Lina Joy wujud di negara ini,
dengan memulakannya pada diri sendiri, kita mesti berubah. Jika sayangkan
Islam, biarlah mereka yang memahami Islam yang mentadbir negara. Jika
sayangkan Allah, biarlah mengembangkan agamaNya menjadi agenda utama. Dan
jika sayangkan Rasulullah saw, biarlah sunnahnya menjadi cara hidup kita.
Semoga Allah menbantu usaha ikhlas kita.....

28 May 2007

Syurga Dan Neraka

Seorang guru pernah bercerita kepada saya. Katanya, diriwayatkan, tatkala
Allah selesai mencipta syurga, maka Allah memanggil malaikat untuk
menyaksikan kehebatannya. Malaikat yang melihatnya telah terpesona dengan
kecantikan syurga lalu berkata "Nescaya semua orang akan mahukannya". Lalu
Allah melindungkan syurga itu dengan kemiskinan, kepayahan dan ujian. Maka
berkata pula malaikat, "Nescaya, tiada yang akan berjaya".

Kemudian Allah menciptakan neraka dan sekali lagi memanggil melaikat untuk
melihat betapa azabnya siksaan yang ada di dalamnya. Malaikat yang
melihatnya berasa gerun dengan penderitaan yang terkandung di dalamnya
seraya berkata "Nescaya, tidak akan ada orang yang akan mahukannya". Tetapi
kemudian Allah lindungkan ianya dengan emas, kekayaan dan keseronokan,
berkatalah mereka "Nescaya tidak akan ada yang akan terlepas".

Saya sebenarnya amat terkesan dengan riwayat ini. Dan beberapa kali juga
saya ulanginya di hadapan beberapa orang teman (terutama yang lebih junior)
sebagai peringatan buat mereka dan diri saya sendiri terutamanya. Mengapa?
Kerana riwayat ini sudah menjelaskan sesuatu yang perlu kita fahami secara
asas. Iaitu jalan ke syurga itu sememangnya dilitupi duri dan onak manakala
jalan ke neraka sememangnya dipenuhi dengan kenikmatan.

Mungkin kerana itu, walaupun hakikat indahnya syurga telah diuar-uarkan
oleh Allah melalui lidah mulia rasulNya Muhammad saw, namun duri dan onak,
kemiskinan, kepayahan dan ribuan lagi keperitan yang menanti di pintunya
menjadikan kita seakan terlupa akan kehebatan nikmat di dalamnya. Deretan
kesusahan yang menanti sepanjang jalan ke syurga menjadikan syurga itu
hilang daya tarikannya di hadapan mata kita.

Begitu juga jalan ke neraka. Sememangnya mudah. Dan yang lebih pasti,
tampak indah. Seronoknya berada dalam jalan ke neraka ini sehingga kita
terlupa hakikat sebenar neraka itu yang dipenuhi dengan azab penderitaan,
nyalaan api hitam dan biru, lautan peluh, nanah dan darah dan pelbagai lagi
siksaan-siksaan yang menggerunkan bukan sahaja manusia, bahkan malaikat
yang melihatnya.

Dan kerana mudahnya ia kelihatan, ditambah lagi keseronokan yang ada
sepanjang jalan menujunya, ramai di antara kita yang sama ada secara
sengaja atau tidak telah memilih neraka menjadi tempat tujuan utama.
Wana'uzubillah… Sebenarnya, bukanlah kerana kita 'tertarik' kepada siksaan
yang ditawarkan di dalamnya. Tidak. Tetapi sebenarnya akibat terpedaya
semasa berada di atas jalannya.

Maksiat dan dosa itu memang menyeronokkan. Memang lazat. Katakan apa saja
bentuk maksiat. Riba? Rasuah? Zina? Mencuri? Minum arak? Apa lagi? Kesemua
memang seronok untuk dilakukan. Apatah lagi di zaman serba moden ini. Orang
serba berbangga dengan kemungkaran yang diperbuat. Seorang lelaki akan
begitu berbangga dengan keupayaannya meniduri seorang gadis dan lain-lain
lagi.

Sedangkan jalan ke syurga tampak kelam dan memeritkan. Siapa yang suka
berlapar? Siapa yang sanggup hidup dalam kemiskinan? Bangun malam untuk
bertahajud? Malah bagi orang yang mengejar keuntungan, meninggalkan
perniagaan dalam tempoh sepuluh minit untuk berjemaah di masjid juga suatu
kerugian. Dan mereka juga, orang-orang yang memilih hidup zuhud, sering
dipandang jijik di mata masyarakat. Siapa yang sanggup jadi sebegini?

Maka benarlah ungkapan malaikat tadi. Tiada siapa yang akan terlepas dari
siksa neraka dan tiada siapa yang akan berjaya untuk masuk ke syurga.
Kerana kebiasaan kita untuk melihat dan seterusnya mengutamakan luaran
terlebih dahulu dari hakikat yang terselindung. MasyaAllah… Tetapi dengan
sifat Rahim dan Ghafur Allah, insyaAllah kita akan mampu juga menjejakkan
kaki ke taman syurgaNya yang penuh keindahan selagi kita beriman.

Tetapi, apakah neraka akan menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita
akan ke syurga? Inilah yang sering menghantui pemikiran saya. Saya takut
untuk masuk ke nerakaNya. Saya gerun mendengar kisah-kisah siksaan yang
disaksikan oleh Nabi saw di neraka ketika peristiwa Israk & Mikraj. Tetapi
kaki ini selalu berat untuk berdiri menghadapNya. Mata ini terlalu sukar
untuk menahan mengantuk demi beribadah kepadaNya.

Tambah lagi dengan kehidupan hari ini. Saranan Nabi Muhammad saw, insan
yang selalu saya sebutkan sebagai kasih dan cinta kepadanya, yang saya akui
sebagai utusan Allah, yang saya iktiraf sebagai manusia terunggul untuk
dicontohi, saya ketepikan begitu sahaja. Saya tidak mahu hidup dalam
kekurangan seperti Baginda saw. Bahkan saya turut sama dalam perlumbaan
mengumpul harta dunia bersama orang-orang yang tidak beriman!

Kebanyakan dari kita mengakui keimanan kepada Allah dan NabiNya serta Hari
Akhirat. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang benar-benar bersedia untuk
bertemuNya & merebut Syafaat NabiNya di Hari Akhirat kelak? Cuba lihat diri
kita hari ini. Dari pagi sampai ke pagi, yang selalu terkeluar dari bibir
kita adalah kata-kata bagaimana hendak menambahkan pendapatan. Entah berapa
kali sahaja kalimah zikir dan fikir ummah terkeluar dari situ.

Hari ini, ramai dari muslim yang sudah tidak hairan dengan syurga dan
neraka Allah. Sehinggakan ada yang sanggup mendakwa nikmat yang sedikit di
dunia ini bagaikan di syurga. Seperti contohnya, dapat berduaan dengan
kekasih itu bagaikan berada di syurga. Atau, kota maksiat seperti Haadyai
dan Las Vegas tanpa silu digelar sebagai syurga. Sedangkan syurga Allah itu
jauh lebih hebat dari itu.

Begitu juga dengan neraka. Sesetengah dari kita ada yang merasakan diri
mereka dapat menahan siksa dan nyalaan api di neraka kelak. Astaghfirullah.
Semuga Allah mengampunkan dan memberikan kepada mereka dan juga kita semua.
Tetapi sesungguhnya siksa neraka Allah itu begitu hebat azabnya. Tidak ada
satu jiwapun yang akan mampu menahannya walaupun Iblis, yang pernah menjadi
ketua para malaikat.

Menyamakan apa-apa kenikmatan dunia ini bagaikan syurga Allah dan apa-apa
kesusahan pula sebagai neraka Allah adalah perbuatan yang jahil dan kejam
terhadap Allah. Sesungguhnya, seandainya syurga dan neraka itu dizahirkan,
tidak akan ada orang di dunia ini yang akan melakukan pekerjaan lain selain
beribadat bagi mendapatkan tempat di syurgaNya dan mengelak dari terjerumus
ke dalam neraka.

Saya menulis bukan untuk sesiapa. Tetapi untuk diri saya sendiri. Semoga
selepas ini tubuh ini tidak lagi berat dari beribadah kepadanya. Supaya
lidah ini lebih asyik mengalunkan zikir dari berbual perkara yang lagho.
Supaya mata ini lebih seronok menatap naskhah al-Quran dari menonton
hiburan di televisyen. Supaya aqal ini lebih mencari redhaNya dari mencari
kekayaan duniawi. Supaya hati ini lebih mengingatiNya dari mengingati yang
lain. Amin…

Tuhanku… Aku tidak layak untuk syurgaMu. Tetapi aku tidak sanggup
menghadapi siksa nerakaMu. Terimalah taubatku, Kau ampunilah dosa-dosaku.
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar.....

26 May 2007

Tidak Puas Hati

Baru-baru ini dalam sebuah grup yang saya sertai, terdapat perbincangan
mengenai satu email yang dikirimkan ke dalam grup. Email yang menggunakan
tajuk 'Saya Tak puas Hati Dengan Suami Saya' itu menyenaraikan 40 perkara
yang menimbulkan ketidak puasan dalam hati beberapa orang isteri.
Sesungguhnya saya sememangnya suka membaca perkara sebegini.
Sekurang-kurangnya saya boleh juga mengambil pengajaran daripadanya.

Tetapi seketika kemudian saya terfikir. Patutkah kita berasa tidak puas
hati dengan pasangan kita? Sama ada kita sebagai suami atau isteri.
Patutkah sebenarnya kita senaraikan perkara-perkara atau kelakuan-kelakuan
pasangan kita yang mengguriskan hati kita? Bagaimana pula dengan diri kita?
Apakah kita sebenarnya yakin kelakuan atau sifat atau layanan kita terhadap
pasangan kita sudah memuaskan hati mereka?

Sebenarnya, kalau kekurangan yang kita cari, maka kekuranganlah yang akan
kita dapati pada diri pasangan kita. Bukan sahaja pasangan kita, bahkan
sesiapa sahaja yang kita kenali. Kerana sebagai manusia, kita sememangnya
sudah diciptakan dengan sifat kekurangan. Jadi mencari-cari apatah lagi
menghebahkan kekurangan yang ada pada diri pasangan kita bukanlah perkara
yang bijak yang boleh kita lakukan.

Sesungguhnya, bukan kekurangan pada pasangan kita yang menjadi persoalan.
Sebaliknya kebijaksanaan pada diri kita bagaimana hendak menerima dan akur
dengan kekurangan yang ada pada dirinya serta sebolehnya memadamkan ianya
dari penglihatan kita sekaligus menyerlahkan kelebihan yang ada pada
dirinya. Kerana dengan penerimaan yang betul, sebuah kekurangan itu bisa
menjadi satu kelebihan.

Namun bukan kisah itu yang saya ingin bicarakan di sini. Persoalan kurang
atau lebihnya seseorang itu terlalu subjektif untuk diuraikan. Terpulang
kepada individu yang terlibat. Sebaliknya apa yang ingin saya utarakan di
sini adalah berkenaan dengan perasaan tidak puas hati. Satu perasaan yang
biasanya terbit kerana kegagalan pihak satu lagi berbuat sebagaimana yang
kita ingin atau harapkan.

Sebagai contoh, seorang suami yang tidak puas hati terhadap isterinya yang
dikatakan sering bangun lambat. Sehinggakan sarapan pun terpaksa dibeli di
kedai. Persiapan anak-anak ke sekolah pun si suami yang terpaksa uruskan.
Ataupun rungutan seorang isteri kerana sifat malas suaminya untuk menolong
di dapur. Balik pejabat tahunya hanya makan dan kemudian tidur. Tidak
peduli penat lelah isterinya yang bertungkus lumus menguruskan rumah
tangga.

Saya percaya, sesetengah individu amat suka memperbesarkan isu sebegini.
Hinggakan ada yang bukan setakat bercerita kepada kawan sepejabat, bahkan
menulis artikel mengenainya bahkan adakalanya mengirimnya ke ruangan
keluhan hati di akhbar-akhbar. Perasaan tidak puas hati ini mungkin wujud
kerana kita yang menganggap pasangan kita sebagai milik kita gagal
memperolehi layanan sebagaimana yang sering kita impikan.

Tetapi sebenarnya, pernahkah kita terfikir bahawa kita tidak pernah
memiliki pasangan kita? Apa yang ada hanyalah ikatan sementara yang boleh
bertukar menjadi ikatan yang abadi hanya sekiranya iman dan taqwa dijadikan
nilai-nilai utama dalam perhubungan itu. Itupun, pasangan kita tetap bukan
hakmilik kita secara mutlak. Mungkin kita miliki kasih mereka tetapi bukan
fizikal mereka. Tidak seperti pemilikan seorang tuan terhadap hambanya.

Namun lebih dari itu, setiap dari kita sebenarnya dimiliki oleh satu Zat
yang jauh lebih hebat. Pemilikan yang bukan setakat kepercayaan dan kasih
sayang, bahkan hubungan yang wujud adalah hubungan antara hamba dan
Tuannya. Di mana kita adalah hamba manakala Zat itu bertindak sebagai Tuan
yang mempunyai kuasa secara total terhadap apa jua yang ada pada diri kita
waima atas setiap titis darah yang mengalir dalam tubuh.

Itulah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Maalikin Naas, Tuhan Pemilik Manusia.
Allah yang Maha Agunglah yang sebenarnya berhak menguasai diri pasangan
kita bahkan diri kita sendiri. Dan sebenarnya, Allah yang berhak untuk
berasa puas hati atau tidak dengan perbuatan dan kelakuan kita.
Persoalannya, berpuas hatikah Allah kepada kita? Apakah perbuatan kita
menyamai apa yang dikehendaki atau diperintahkan olehNya?

Tadi, kita merasa marah kerana isteri kita kerap bangun lewat sehingga
mengabaikan diri kita. Tetapi bagaimana dengan diri kita? Awalkah kita
bangun untuk menunaikan solat Subuh? Apakah kita solat di masjid sebaik
azan dilaungkan atau ditunggu sehingga akhir waktu barulah 'berlumba'
mengerjakannya? Bagaimana dengan bangun malam untuk tahajud? Kerapkah kita
menunaikannya atau sebenarnya kita lebih mencintai tilam kita?

Begitu juga dengan isteri yang berang dengan suami yang enggan membantu
mereka di dapur. Berangnya bukan main. Tetapi pernahkah kita bertanya,
tidakkah Allah berang dengan kita yang enggan beramal dengan ibadah sunat?
Cukupkah solat kita dengan 17 rakaat, 5 waktu sehari semalam tanpa 12
rakaat tambahan yang dituntut oleh Nabi Muhammad saw untuk kita
mengamalkannya? Tidak pemalaskah kita?

Kadangkala, kesal juga hati melihat segelintir insan yang telah berada di
dalam masjid, tetapi enggan bangun dan mengangkat takbir untuk mendirikan
solah qobliah waktu sementara menunggu iqamah dilaungkan bahkan lebih rela
menghabiskan masa dengan berbual sesama mereka. Bukankah sifat ini sama
sahaja dengan sifat malas yang dirungutkan oleh kita terhadap pasangan
kita?

Cuba bayangkan bagaimana reaksi seorang suami apabila isterinya membantah
cakapnya berulang kali. Si suami meminta isterinya memasak nasi tetapi si
isteri sibuk mengilatkan kukunya. Kemudian si suami ketika pulang ke rumah
melihat keadaan rumah yang tunggang langgang sedangkan si isteri sedang
sibuk berbual. Ataupun ketika suami mengajak isterinya bersama tetapi si
isteri sedang asyik menonton Akademi Fantasia.

Jika kita di kedudukan suami itu, dapatkah kita bertahan dengan kelakuan
isteri yang sebegitu? Jika kita katakan suami mana yang sanggup dibantah
isterinya secara berterusan, mengapa pula kita tergamak membantah perintah
Allah berulang-ulang kali secara berterusan? Dari hal menutup aurah
sehingga ke bab riba. Dari hal menunaikan solah sehingga menunaikan zakat.
Apakah kerana kita terlalu selesa selesa sifat Ghafur Allah?

Apakah kita tidak takut kehilangan Allah, atau ditinggalkanNya kerana
keburukan sifat kita? Apakah kita yakin dengan amalan kita hari ini mampu
merebut kasih Allah? Wallahu'alam. Saya tidak berani komen. Hanya yang
boleh saya katakan, saya tidak rasa kita layak untuk berasa tidak berpuas
hati terhadap pasangan kita atas kekurangan mereka sekiranya kita sendiri
jauh dari sifat sempurna untuk melengkapkan pengabdian diri kepada Allah
swt…..

24 May 2007

Dari Kuantan Ke Johor Bahru

Hari ini sudah hampir dua minggu berlalunya 13 Mei, tarikh sambutan bagi
Hari Ibu. Seperti biasa, 13 Mei tidak mengundang apa-apa erti buat saya.
Ibu saya juga tidak suka Hari Ibu disambut pada hari-hari tertentu.
Sepatutnya, setiap hari adalah Hari Ibu, katanya suatu ketika dahulu. Dan
bagi saya pula, saya tidak perlukan 13 Mei untuk meraikan ibu saya. Saya
juga turut bersetuju hari ibu adalah 365 hari setahun.

Sepatutnya setiap hari ibu ibu dihormati. Setiap hari juga si ibu perlu
dijauhkan dari bebanan kerja yang berlebihan. Bagi diri saya, setiap bulan
saya akan bawa ibu dan ayah makan di luar. Jadi hari itu dapur kami tidak
perlu berasap. Begitu juga jika hendak membelikan mereka sesuatu. Tidak
perlu tunggu setahun sekali. Kalau bawa berbelanja, biarkan sahaja mereka
pilih apa yang mereka mahukan.

Saya juga beruntung kerana memiliki seorang isteri yang mampu menyayangi
ibu saya seperti ibu kandungnya sendiri. Adakalanya isteri saya yang
memberitahu apa-apa yang ibu inginkan yang disebutnya tanpa kehadiran saya.
Lebih beruntung lagi, syarikat tempat saya bekerja juga menyediakan
peruntukan untuk family dinner setahun sekali membolehkan saya membawa ibu
bapa saya makan di restoran yang lebih mewah.

Kelakar juga jika diingatkan. Ibu saya bukan main sakan membuat pesanan
manakala ayah dengan wajah bimbang kalau-kalau pesanan ibu melebihi bajet
yang ada. Tetapi bagi saya, berapapun yang dibelanjakan untuk mereka tidak
patut menjadi persoalan. Kerana pengorbanan yang terlalu hebat, yang tiada
tandingannya yang telah mereka berikan demi membesarkan kami adik beradik.

Dan berkata tentang pengorbanan ini, saya teringat ketika perjalanan pulang
saya dari Kuantan ke Johor Bahru lebih dua minggu yang lalu. Ketika itu,
saya menaiki sebuah bas buruk yang setiap barisannya terdapat empat orang
penumpang. Jadi suka atau tidak, ada orang lain yang akan duduk di sebelah
saya. Tiba-tiba naik seorang perempuan berusia lingkungan 40an terus menuju
ke tempat duduk saya.

Wajahnya sedikit berubah melihat saya. Mungkin dia juga tidak selesa duduk
bersebelahan seorang lelaki. "Nak duduk sini?" tanya saya kepadanya merujuk
kepada kerusi yang saya duduki iaitu bersebelahan dengan tingkap. Dia
tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Saya bingkas bangun dan
membenarkannya mengesot ke sebelah dalam. "Terima kasih" tuturnya ringkas.

Tidak banyak yang terjadi di awal perjalanan. Saya menghilangkan kebosanan
dengan mendail nombor kakak angkat saya yang tinggal di Kuala Lumpur.
Selesai berbual ditelefon, saya hidupkan pemain MP3 saya lalu memejamkan
mata. Alah bisa tegal biasa. Dek kerana terlalu biasa menaiki bas ekspress,
tidur di atas kerusi pun lenanya seperti tidur di atas katil. Saya hanya
terjaga ketika bas berhenti untuk minum.

Selesai berehat, bas memulakan perjalanannya semula. Ketika itu, barulah
wanita di sebelah saya tadi memulakan bicara. Pada awalnya, dia banyak
bertanya tentang diri saya. Tentang kerja dan sebagainya. Iyalah, baginya
sesuatu yang memelikkan apabila seorang yang tinggal di Johor Bahru bekerja
di Kerteh, Terengganu. Mulut saya pun becok menerangkan natur kerja saya
kepadanya.

Kemudian tiba giliran saya menjadi pemberita. Menurutnya, dia bekerja di
Kota Tinggi, Johor tetapi keluarganya berada di Kuantan. Anak sulungnya
kini di UiTM manakala anak kedua dan ketiganya bersekolah asrama. Manakala
anak bungsunya kini bersekolah darjah lima (atau enam) dan tinggal buat
sementara dengan ibunya di Kuantan. Katanya, suaminya telah lama meninggal
dunia. Lebih kurang tujuh atau lapan tahun dahulu.

Sedih juga katanya terpaksa berjauhan dengan anaknya. Dalam sebulan hanya
empat hari sahaja dapat pulang ke kampung. Pada awal dia bekerja dahulu,
hari-hari menangis mengenangkan anak yang ditinggalkan. Tetapi terpaksalah,
katanya lagi. Dia mesti mencari rezeki demi menanggung perbelanjaan
anak-anak yang masih belajar. Ketika itu, saya dapat melihat genangan air
jernih di kelopak matanya.

"Dulu kak kerja jaga kaunter tiket di Terminal (Makmur). Tapi lepas
syarikat kak kerja tu tutup, pergi macam tu je dengan gaji pun tak bayar,
lama kak menganggur. Kerja ni pun kawan kak yang rekomen…" Ceritanya dengan
lebih lanjut. Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala. Dalam hati saya kagum
dengan ibu tunggal ini. Saya faham perasaan berjauhan dengan anak-anak.
Apatah lagi seorang perempuan yang jiwanya lebih halus.

"Dulu anak kak yang nombor dua tu duduk asrama penuh. Tapi dia tertekan.
Hari-hari dia dibuli." Sambungnya lagi. Menurutnya, anak keduanya itu
akhirnya jatuh sakit yang menyebabkan kulit mukanya mengalirkan darah.
Tubuhnya menjadi kurus kering. Banyak duit yang dihabiskan untuk mengubati
anaknya itu. Namun berkat usaha dan tawakkal kepada Yang Esa, dia berjaya
dipulihkan.

Ketika bercerita, dia meraba-raba di dalam begnya. Diambilnya sehelai tisu
dan disekanya air mata yang tergenang di pipinya. Saya juga turut bersedih.
Sesekali terbayang bagaimana jika anak saya sendiri mengalami apa yang
sedang dia alami. Tetapi seketika kemudian ibu tunggal itu tersenyum
apabila bercerita tentang anak sulungnya yang berjaya sampai ke universiti.
Dapat saya rasakan kembangnya hati seorang ibu dengan kejayaan anaknya.

Tetapi katanya, pada awal tawaran itu diperolehi, dia nekad meminta anaknya
menolak kerana tidak mampu untuk menyediakan wang perbelanjaan. Tetapi
disebabkan kasihan melihat anaknya bersungguh, dia usahakan perbelanjaan
itu dengan pelbagai cara. Alhamdulillah… Akhirnya anaknya selamat memasuki
menara gading dan insyaAllah akan tamat pengajian tidak berapa lama lagi.

Mungkin kisah ini tidak mengundang apa erti bagi sesetengah orang (kerana
lemahnya gaya saya bercerita). Tetapi saya yang mendengarnya keluar dari
mulut wanita itu, dengan emosi, dengan riak wajahnya dan titisan air mata
yang ditahan-tahan, cukup terkesan. Hati saya memuji-muji Allah kerana
menemukan saya dengan wanita ini. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari
cerita-ceritanya.

Wanita memang lemah. Tetapi pada keadaan yang memaksa, wanita akan lebih
hebat dari lelaki. Sebagai ibu tunggal, wanita ini berjaya melepasi
kebanyakan rintangan tanpa ditemani insan lelaki bergelar suami. Semuanya
kerana kasihnya buat anak yang menjulang tinggi. Seluruh hidupnya
dikorbankan untuk anak-anak. Kebahagiaan, kebebasan malah juga perasaannya
sendiri. Inilah perngorbanan seorang ibu. Cinta ibu itu lebih sejati dari
cinta seorang isteri. Cinta dari empat orang isteri yang dihimpunkan tidak
akan mampu menyamai cinta seorang ibu kandung. Semoga Allah merahmati
kesemua ibu di dalam dunia ini…..

04 May 2007

Pemimpin Dan Yang Dipimpin

Entah bagaimana, saya kurang pasti. Tetapi perbualan dua orang sahabat saya
akhirnya bertukar menjadi pedebatan yang hangat. Masing-masing berdiri atas
hujjah masing-masing. Saya pula hanya duduk di tengah-tengah. Bukan tidak
punya idea tetapi kerana umur kedua-dua mereka yang melebihi sepuluh tahun
jaraknya dengan saya membuatkan saya terfikir saya terlalu mentah untuk
menjampuk dalam perbualan mereka.

Tetapi akhirnya apabila keadaan menjadi semakin hangat, saya mengajak salah
seorang dari mereka untuk pergi minum. Alhamdulillah, dia bersetuju. Jadi
topik itu saya matikan begitu sahaja. Tidak ada 'penggulungan hujjah'.
Sebenarnya, berbahas itu baik. Tetapi jika terlalu taksub kepada hujjah
yang kita pegang, akhirnya menjadikan hati kita buta untuk melihat kebaikan
yang ada dalam hujjah orang lain.

Sebenarnya kedua mereka berbincang tentang masalah sosial masyarakat.
Seorang dari teman saya meletakkan kesalahan pada diri kerajaan. Katanya,
kerajaan sebagai pemegang kuasa, gagal memanfaatkan kuasa yang ada pada
tangan mereka untuk menghalang mana-mana kegiatan yang tidak bermoral.
Bahkan mereka menutup pula sekolah-sekolah agama. Bagi saya, tiada salahnya
dalam hujjah yang diujarkan oleh teman saya yang ini.

Kemudian, yang seorang lagi pula berkata kita tidak boleh menyalahkan
kerajaan. Lahirnya seorang pemimpin yang cintakan dunia kerana sikap
keseluruhan masyarakat yang mencintai dunia. Kalau masyarakat itu cintakan
agama, insyaAllah pemimpin yang bakal lahir juga mereka yang percaya kepada
balasan akhirat. Jadi katanya, yang bersalah adalah pendakwah yang tidak
membimbing masyarakat. Ini juga saya rasakan betul.

Bukanlah saya bersifat lalang di sini. Tetapi hakikatnya memang sudah
sebegitu. Hujjah kedua-dua mereka memang benar. Tidak perlu dikatakan siapa
yang lebih benar. Yang penting, kerajaan salah, pendakwah juga salah.
Bercakap tentang pendakwah, siapakah sebenarnya pendakwah? Kerja
menyampaikan ini sebenarnya adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu
muslim. Jadi, kesemua muslim itu dikira sebagai pendakwah.

Bermakna kesemua kita bersalah. Saya cuba merenungkan kata teman saya yang
kedua. Katanya, pemimpin yang cintakan dunia lahir daripada sikap
masyarakat yang cintakan dunia. Benar. Sangat benar. Cuba lihat sekeliling
kita hari ini. Bagaimana masyarakat kita menjalani kehidupan mereka.
Berlumba-lumba untuk mendapatkan kekayaan. Berlumba-lumba untuk mempamerkan
kemewahan.

Dek kerana tamakkan habuan dunia, sampai ada yang terlupa di mana letak
halal dan haramnya punca rezeki itu. Sehinggakan sanggup melabur dalam
sistem yang tersimpang dari syariah. Tidak cukup itu, apabila bijak pandai
kita, para ulama, mengeluarkan fatwa mengharamkan jenis-jenis pelaburan,
maka kita tentang fatwa dan pendapat mereka. Semata-mata kerana kita rasa
rugi jika tidak berlabur dalam skim yang haram itu.

Tidak cukup itu, kita gunakan hadits Nabi saw sewenang-wenangnya.
"Sesungguhnya meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan berharta lebih baik
dari keadaan meminta-minta" tanpa kita selidiki apakah sebenarnya asbab
hadits tersebut dinyatakan. Sehingga kita menafikan hadits lain yang mana
Nabi saw mengangkat orang miskin ke darjat lebih tinggi dengan menyatakan
orang miskin akan masuk syurga setengah hari (500 tahun) lebih awal.

Atas sifat ini, sifat tamakkan harta dunia, maka kita alihkan qiblat kita
kepada kebendaan. Kita ubah matlamat hidup sebagai untuk mencari kekayaan
dan kemewahan, bukan untuk mencari keredhaan Allah. Maka kriteria pemimpin
yang akan kita pilih juga semestinya berubah. Kita katakan, pemimpin yang
mampu membawa kemajuan itulah pemimpin yang layak untuk memerintah negara.

Jadi bagaimana hendak membawa kemajuan? Banyak. Tetapi cara yang paling
mudah adalah dengan berkompromi dengan hukum Islam. Kemajuan itu kelihatan
agak lambat tanpa pengambilan riba. Industri pelancongan tampak lesu tanpa
penjualan arak dan penganjuran pesta besar-besaran. Kita mahukan
pembangunan. Dan inilah pembangunan yang dibawa oleh pemimpin yang kita
pilih, yang kita yakini mampu membawa kekayaan kepada negara.

Salahkah sang pemimpin? Sedangkan mereka hanya menghulurkan kepada rakyat
apa yang rakyat itu sendiri mahukan. Bukankah rakyat ingin kemajuan? Rakyat
sebelum ini tidak pernah bercerita mahu dipimpin untuk ke syurga. Rakyat
tidak pernah bercerita mahu undang-undang hudud ditegakkan. Yang rakyat
mahukan hanya pembangunan. Mahu mudah dapat kerja. Mahu mudah kumpul harta.
Salahkah mereka?

Untuk ini, saya bersetuju pula dengan pendapat teman saya yang pertama.
Kerajaan tetap bersalah. Biarpun mereka dilantik kerana rakyat mahukan
pembangunan, tidak bererti mereka perlu mengenepikan hukum yang telah Allah
tetapkan. Pembangunan bukan sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Nabi
memuliakan orang miskin tetapi Nabi saw tidak pernah menghina orang kaya.

Jadi tepatlah perbuatan mereka untuk membawa kemasyhuran kepada negara.
Hanya, mengapa perlu jalan yang songsang yang dipilih? Mengapa mesti
memilih untuk melaburkan wang amanah rakyat ke tempat-tempat yang haram di
sisi syarak? Mengapa sanggup bertoleransi dengan kemunafikan dan
kemungkaran atas nama kemajuan? Mengapa sanggup menggadai maruah dan masa
depan bangsa atas dasar menarik pelabur asing?

Kerana ingin memperlakukan barangan buatan tempatan, dianjurkan pesta
seperti karnival JomHeboh. Memanglah di temasya ini banyak syarikat yang
dapat membuat promosi dan meraih keuntungan tetapi janganlah sampai menutup
mata apabila melihat kejelikan di dalamnya. Mufti juga sudah
mengisytiharkannya sebagai haram, tetapi tidak pernah dihentikan. Mengapa?
Atas alasan ekonomilah!

Malah, lebih memilukan lagi, stesen radio dan televisyen milik kerajaan,
RTM turut sama menganjurkan acara yang serupa. Karnival Gempar kini pula
diadakan kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007. Apakah
kerana terlalu ingin menyuburkan industri pelancongan maka kita sanggup
butakan mata melihat kebejatan yang berlaku dalam setiap acara seperti
Karnival Gempar dan JomHeboh diadakan?

Saya yakin hujjah kedua-dua teman saya benar. Hanya keengganan menerima
hujjah orang lain yang menjadikan perdebatan mereka tegang. Benar, kerajaan
bersalah kerana terlalu berkompromi dengan kemaksiatan. Tetapi rakyat juga
tidak kurang salahnya kerana memilih orang seperti mereka menjadi pemimpin.
Maka kesedaran perlu dipupuk dari bawah. Semua rakyat mesti sedar
tanggungjawab mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara. Boleh pilih
yang membawa kemajuan, boleh pilih yang membawa kemasyhuran tetapi yang
penting, pilihlah mereka yang sentiasa membawa kalimah Allah di dalam hati
mereka…..

03 May 2007

Selamat Hari Pekerja

Tanggal 1 May setiap tahun, seperti kebiasaan, seluruh golongan pekerja
menyambut Hari Pekerja atau dahulunya, ketika saya masih di zaman
kanak-kanak, dipanggil sebagai Hari Buruh. Mungkin perkataan 'buruh'
memperlihatkan kerendahan martabat, atau kebiasaannya 'buruh' dikaitkan
dengan pekerja kontrak pembinaan, maka ianya ditukarkan menjadi Hari
Pekerja. Namun Hari Pekerja mahupun Hari Buruh, konsep perayaannya tetap
sama.

Hari Pekerja diwujudkan mungkin sebagai menghargai pengorbanan golongan ini
yang banyak membantu dalam mempertingkatkan keuntungan syarikat dan
menaikkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai orang yang tergolong dalam
kelompok yang diraikan, tentu sahaja Hari Pekerja memberikan suatu jenis
perasaan dalam diri saya. Tentu sahaja saya berasa gembira ada hari yang
dikhususkan khas untuk meraikan kita semua.

Tetapi mungkin juga bagi sesetengah orang Hari Pekerja hanyalah sebuah hari
cuti umum. Di hari ini, yang mana telah digazetkan sebagai hari cuti umum
di hampir setiap negara di dunia, mereka gunakan untuk menghabiskan masa
bersama keluarga. Inilah harinya untuk keluar membeli-belah, atau mungkin
berkelah atau mungkin bermalas-malasan sahaja di rumah bersama anak dan
juga isteri dan keluarga.

Saya sebenarnya teringat akan satu perbualan antara saya dengan seorang
teman tidak sampai dua minggu yang lalu. Kami sebenarnya sedang berbicara
tentang seorang lagi teman kami yang telahpun sampai ke usia persaraan.
Teman saya itu kemudiannya telah memohon untuk kembali bekerja dengan
syarikat lamanya melalui syarikat pembekal tenaga kerja yang membekalkan
pekerja secara kontrak.

Tetapi kemudian permohonan teman saya telah ditolak. Sebabnya mudah. Kerana
teman saya itu mempunyai kes mahkamah dengan pihak syarikat yang masih
belum selesai. Saya cukup kecewa dengan tindakan syarikatnya dan
berpendapat, pihak pengurusan sedang cuba menunjuk samseng dengan perbuatan
berupa 'ugutan kepada yang lain' bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah
dengan syarikat akan mengalami kesusahan.

Tetapi teman saya tadi tidak bersetuju dengan saya. Katanya, bagaimana
mungkin kita yang makan gaji dengan syarikat boleh membawa kes ke mahkamah.
Kita sepatutnya berterima kasih dengan syarikat yang memberikan kita kerja.
Saya cukup-cukup tersentak dan berasa amat marah. Bagaimana boleh ada
pemikiran yang ketinggalan zaman seperti ini pada seseorang yang hidup di
zaman moden?

"Kita pekerja, bukan hamba. Sebagai pekerja kita punyai hak tertentu, bukan
seperti hamba yang bebas diperlakukan apa sahaja. Dan jika pihak syarikat
gagal mematuhi hak kita yang ditetapkan, kita berhak membawanya ke
mahkamah!" jelas saya kepada teman saya. Mungkin tidak mahukan perdebatan,
maka teman saya tadi telah mengundur diri. Tetapi, apa yang dituturkannya
benar-benar mewujudkan kebimbangan dalam diri saya.

Berapa ramai sebenarnya orang yang berpendirian begini? Ini pendirian yang
berbahaya. Saya tidak terfikir masih ada manusia yang tidak dapat
membezakan antara penghambaan dan pekerjaan. Saya fikir golongan ini sudah
pupus ditelan zaman. Tetapi masih ada lagi rupanya. Sebenarnya, minda
begini cukup bahaya. Kerana ianya boleh menggelapkan lagi harapan
perjuangan membela golongan pekerja yang belum pernah cerah di Malaysia
ini.

Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan pekerja saya. Jangan sekali-kali
berfikir bahawa kita terhutang budi kepada syarikat. Jangan fikir syarikat
atau ketua kita yang 'memberi kita makan'. Tidak! Sebaliknya, kitalah yang
memajukan syarikat. Kita jugalah yang membolehkan ketua kita duduk di
kerusi empuknya. Kitalah yang menyuapkan mereka nasi. Mereka berjaya kerana
peluh yang kita titiskan, bukan titisan tinta dari pena mereka semata.

Hubungan antara pekerja dengan majikan adalah sebuah hubungan simbiosis.
Masing-masing akan beroleh faedah antara satu sama lain. Kita bekerja untuk
syarikat, membolehkan syarikat membuat keuntungan, lalu syarikat membayar
kita gaji dan lain-lain insentif termasuk bonus dan elaun. Inilah yang
dinamakan simbiosis. Bukannya keuntungan terletak pada satu pihak sahaja.

Jika keuntungan hanya pada syarikat, sementara pekerja terus hidup dalam
tekanan, maka ini bukan simbiosis. Ini parasitisme. Satu pihak menyedut
segala kebaikan manakala pihak satu lagi terus membiarkan hak-haknya
'dihisap' hingga akhirnya kering dan layu. Sayang sekali, inilah yang
sering dan sedang berlaku kepada kebanyakan rakyat negara kita. Lebih
menyedihkan lagi, pihak berkuasa seakan-akan merestui perbuatan parasit
ini.

Kerana itu kerajaan enggan menetapkan had gaji minimum. Kerana itu juga,
kerajaan tidak memperketatkan undang-undang buruh bagi mengelakkan
rakyatnya terus diperdaya. Semuanya dengan alasan hendak menarik pelabur
asing. Tetapi, pelabur asing untuk siapa? Ekonomi negara untuk siapa? Jika
pelabur asing ramai, ekonomi negara subur tetapi rakyat terbanyak tetap
terus disembelih, apa maknanya kesuburan ekonomi tersebut?

Menurut seorang teman saya di Jabatan Buruh, majoriti golongan pekerja di
Malaysia tidak tahu hak-hak mereka yang dilindungi oleh perlembagaan.
Mungkin sekarang sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan matapelajaran
akta-akta pekerjaan sebagai salah satu silabus di sekolah menengah.
Sekurang-kurangnya untuk mereka yang bakal menduduki SPM. Ini sebagai satu
cara melindungi golongan ini dari terus ditindas dari mula lagi.

Selain itu, Jabatan Buruh juga seharusnya mempunyai kuasa untuk
menghentikan operasi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi
peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta pekerjaan seperti mana kuasa
oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (DOSH) miliki terhadap
syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta
Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSHA).

Bercakap tentang bekerja dan menjadi hamba, ada sesuatu yang sering bermain
di fikiran saya. Kebanyakan dari kita takut untuk mempersoalkan apatah lagi
menentang perintah dari ketua mereka. Tetapi dalam masa yang sama, mereka
sanggup mempertikai bahkan melanggar secara terang-terangan arahan-arahan
Allah swt. Sedangkan hakikat, kita adalah hamba kepadaNya, bukan pekerja.
Bayangkanlah peliknya umat hari ini. Takut untuk menegakkan hak sebagai
pekerja tetapi berani melawan walaupun tanpa hak sebagai hamba. Begitulah
songsangnya hidup kita pada hari ini.

Mengapa? Mungkin kerana ketua kita mampu menjanjikan kenaikan gaji dan
pangkat untuk yang patuh dan diberhentikan kerja untuk yang menentang.
Sayang sekali jika ini yang kita fikirkan kerana sebenarnya, Allah
menjanjikan kebaikan yang beribu kali ganda kepada mereka yang patuh kepada
arahanNya dan azab yang beribu kali lebih siksa kepada yang ingkar. Hanya
yang membezakan, janji Allah sesuatu yang tidak nampak di mata…

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.