Selamat Hari Pekerja
Tanggal 1 May setiap tahun, seperti kebiasaan, seluruh golongan pekerja
menyambut Hari Pekerja atau dahulunya, ketika saya masih di zaman
kanak-kanak, dipanggil sebagai Hari Buruh. Mungkin perkataan 'buruh'
memperlihatkan kerendahan martabat, atau kebiasaannya 'buruh' dikaitkan
dengan pekerja kontrak pembinaan, maka ianya ditukarkan menjadi Hari
Pekerja. Namun Hari Pekerja mahupun Hari Buruh, konsep perayaannya tetap
sama.
Hari Pekerja diwujudkan mungkin sebagai menghargai pengorbanan golongan ini
yang banyak membantu dalam mempertingkatkan keuntungan syarikat dan
menaikkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai orang yang tergolong dalam
kelompok yang diraikan, tentu sahaja Hari Pekerja memberikan suatu jenis
perasaan dalam diri saya. Tentu sahaja saya berasa gembira ada hari yang
dikhususkan khas untuk meraikan kita semua.
Tetapi mungkin juga bagi sesetengah orang Hari Pekerja hanyalah sebuah hari
cuti umum. Di hari ini, yang mana telah digazetkan sebagai hari cuti umum
di hampir setiap negara di dunia, mereka gunakan untuk menghabiskan masa
bersama keluarga. Inilah harinya untuk keluar membeli-belah, atau mungkin
berkelah atau mungkin bermalas-malasan sahaja di rumah bersama anak dan
juga isteri dan keluarga.
Saya sebenarnya teringat akan satu perbualan antara saya dengan seorang
teman tidak sampai dua minggu yang lalu. Kami sebenarnya sedang berbicara
tentang seorang lagi teman kami yang telahpun sampai ke usia persaraan.
Teman saya itu kemudiannya telah memohon untuk kembali bekerja dengan
syarikat lamanya melalui syarikat pembekal tenaga kerja yang membekalkan
pekerja secara kontrak.
Tetapi kemudian permohonan teman saya telah ditolak. Sebabnya mudah. Kerana
teman saya itu mempunyai kes mahkamah dengan pihak syarikat yang masih
belum selesai. Saya cukup kecewa dengan tindakan syarikatnya dan
berpendapat, pihak pengurusan sedang cuba menunjuk samseng dengan perbuatan
berupa 'ugutan kepada yang lain' bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah
dengan syarikat akan mengalami kesusahan.
Tetapi teman saya tadi tidak bersetuju dengan saya. Katanya, bagaimana
mungkin kita yang makan gaji dengan syarikat boleh membawa kes ke mahkamah.
Kita sepatutnya berterima kasih dengan syarikat yang memberikan kita kerja.
Saya cukup-cukup tersentak dan berasa amat marah. Bagaimana boleh ada
pemikiran yang ketinggalan zaman seperti ini pada seseorang yang hidup di
zaman moden?
"Kita pekerja, bukan hamba. Sebagai pekerja kita punyai hak tertentu, bukan
seperti hamba yang bebas diperlakukan apa sahaja. Dan jika pihak syarikat
gagal mematuhi hak kita yang ditetapkan, kita berhak membawanya ke
mahkamah!" jelas saya kepada teman saya. Mungkin tidak mahukan perdebatan,
maka teman saya tadi telah mengundur diri. Tetapi, apa yang dituturkannya
benar-benar mewujudkan kebimbangan dalam diri saya.
Berapa ramai sebenarnya orang yang berpendirian begini? Ini pendirian yang
berbahaya. Saya tidak terfikir masih ada manusia yang tidak dapat
membezakan antara penghambaan dan pekerjaan. Saya fikir golongan ini sudah
pupus ditelan zaman. Tetapi masih ada lagi rupanya. Sebenarnya, minda
begini cukup bahaya. Kerana ianya boleh menggelapkan lagi harapan
perjuangan membela golongan pekerja yang belum pernah cerah di Malaysia
ini.
Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan pekerja saya. Jangan sekali-kali
berfikir bahawa kita terhutang budi kepada syarikat. Jangan fikir syarikat
atau ketua kita yang 'memberi kita makan'. Tidak! Sebaliknya, kitalah yang
memajukan syarikat. Kita jugalah yang membolehkan ketua kita duduk di
kerusi empuknya. Kitalah yang menyuapkan mereka nasi. Mereka berjaya kerana
peluh yang kita titiskan, bukan titisan tinta dari pena mereka semata.
Hubungan antara pekerja dengan majikan adalah sebuah hubungan simbiosis.
Masing-masing akan beroleh faedah antara satu sama lain. Kita bekerja untuk
syarikat, membolehkan syarikat membuat keuntungan, lalu syarikat membayar
kita gaji dan lain-lain insentif termasuk bonus dan elaun. Inilah yang
dinamakan simbiosis. Bukannya keuntungan terletak pada satu pihak sahaja.
Jika keuntungan hanya pada syarikat, sementara pekerja terus hidup dalam
tekanan, maka ini bukan simbiosis. Ini parasitisme. Satu pihak menyedut
segala kebaikan manakala pihak satu lagi terus membiarkan hak-haknya
'dihisap' hingga akhirnya kering dan layu. Sayang sekali, inilah yang
sering dan sedang berlaku kepada kebanyakan rakyat negara kita. Lebih
menyedihkan lagi, pihak berkuasa seakan-akan merestui perbuatan parasit
ini.
Kerana itu kerajaan enggan menetapkan had gaji minimum. Kerana itu juga,
kerajaan tidak memperketatkan undang-undang buruh bagi mengelakkan
rakyatnya terus diperdaya. Semuanya dengan alasan hendak menarik pelabur
asing. Tetapi, pelabur asing untuk siapa? Ekonomi negara untuk siapa? Jika
pelabur asing ramai, ekonomi negara subur tetapi rakyat terbanyak tetap
terus disembelih, apa maknanya kesuburan ekonomi tersebut?
Menurut seorang teman saya di Jabatan Buruh, majoriti golongan pekerja di
Malaysia tidak tahu hak-hak mereka yang dilindungi oleh perlembagaan.
Mungkin sekarang sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan matapelajaran
akta-akta pekerjaan sebagai salah satu silabus di sekolah menengah.
Sekurang-kurangnya untuk mereka yang bakal menduduki SPM. Ini sebagai satu
cara melindungi golongan ini dari terus ditindas dari mula lagi.
Selain itu, Jabatan Buruh juga seharusnya mempunyai kuasa untuk
menghentikan operasi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi
peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta pekerjaan seperti mana kuasa
oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (DOSH) miliki terhadap
syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta
Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSHA).
Bercakap tentang bekerja dan menjadi hamba, ada sesuatu yang sering bermain
di fikiran saya. Kebanyakan dari kita takut untuk mempersoalkan apatah lagi
menentang perintah dari ketua mereka. Tetapi dalam masa yang sama, mereka
sanggup mempertikai bahkan melanggar secara terang-terangan arahan-arahan
Allah swt. Sedangkan hakikat, kita adalah hamba kepadaNya, bukan pekerja.
Bayangkanlah peliknya umat hari ini. Takut untuk menegakkan hak sebagai
pekerja tetapi berani melawan walaupun tanpa hak sebagai hamba. Begitulah
songsangnya hidup kita pada hari ini.
Mengapa? Mungkin kerana ketua kita mampu menjanjikan kenaikan gaji dan
pangkat untuk yang patuh dan diberhentikan kerja untuk yang menentang.
Sayang sekali jika ini yang kita fikirkan kerana sebenarnya, Allah
menjanjikan kebaikan yang beribu kali ganda kepada mereka yang patuh kepada
arahanNya dan azab yang beribu kali lebih siksa kepada yang ingkar. Hanya
yang membezakan, janji Allah sesuatu yang tidak nampak di mata…
1 comment:
Alhamdulillah..
Saya tertarik utk memberi komen terutama kepada umat Islam.
Baru saya tersedar tentang perbezaan antara 2 perkara ini:
i) hamba
ii) pekerja
Kita sebagai hamba Allah sewajarnya mematuhi segala suruhan-Nya tanpa soal.
Manakala kita sebagai pekerja boleh dan sewajarnya berani menyuarakan hak-hak kita supaya kita tidak ditindas.
Tetapi dalam dunia skrg, ramai yg tidak mematuhi perintah Allah dan mempersoalkan Allah. Mereka TIDAK bersifat sebagai hamba.
Sebaliknya, mereka mematuhi dgn patuh arahan majikan. Seolah-olah mereka sebagai hamba.
Ini sudah terbalik. Mungkin inilah kesannya kepada masyarakat apabila mereka tidak mempelajari dan memahami agama mereka sendiri iaitu Islam.
Sekadar pendapat dan pengajaran kepada diri sendiri juga...
Post a Comment