Tidak Puas Hati
Baru-baru ini dalam sebuah grup yang saya sertai, terdapat perbincangan
mengenai satu email yang dikirimkan ke dalam grup. Email yang menggunakan
tajuk 'Saya Tak puas Hati Dengan Suami Saya' itu menyenaraikan 40 perkara
yang menimbulkan ketidak puasan dalam hati beberapa orang isteri.
Sesungguhnya saya sememangnya suka membaca perkara sebegini.
Sekurang-kurangnya saya boleh juga mengambil pengajaran daripadanya.
Tetapi seketika kemudian saya terfikir. Patutkah kita berasa tidak puas
hati dengan pasangan kita? Sama ada kita sebagai suami atau isteri.
Patutkah sebenarnya kita senaraikan perkara-perkara atau kelakuan-kelakuan
pasangan kita yang mengguriskan hati kita? Bagaimana pula dengan diri kita?
Apakah kita sebenarnya yakin kelakuan atau sifat atau layanan kita terhadap
pasangan kita sudah memuaskan hati mereka?
Sebenarnya, kalau kekurangan yang kita cari, maka kekuranganlah yang akan
kita dapati pada diri pasangan kita. Bukan sahaja pasangan kita, bahkan
sesiapa sahaja yang kita kenali. Kerana sebagai manusia, kita sememangnya
sudah diciptakan dengan sifat kekurangan. Jadi mencari-cari apatah lagi
menghebahkan kekurangan yang ada pada diri pasangan kita bukanlah perkara
yang bijak yang boleh kita lakukan.
Sesungguhnya, bukan kekurangan pada pasangan kita yang menjadi persoalan.
Sebaliknya kebijaksanaan pada diri kita bagaimana hendak menerima dan akur
dengan kekurangan yang ada pada dirinya serta sebolehnya memadamkan ianya
dari penglihatan kita sekaligus menyerlahkan kelebihan yang ada pada
dirinya. Kerana dengan penerimaan yang betul, sebuah kekurangan itu bisa
menjadi satu kelebihan.
Namun bukan kisah itu yang saya ingin bicarakan di sini. Persoalan kurang
atau lebihnya seseorang itu terlalu subjektif untuk diuraikan. Terpulang
kepada individu yang terlibat. Sebaliknya apa yang ingin saya utarakan di
sini adalah berkenaan dengan perasaan tidak puas hati. Satu perasaan yang
biasanya terbit kerana kegagalan pihak satu lagi berbuat sebagaimana yang
kita ingin atau harapkan.
Sebagai contoh, seorang suami yang tidak puas hati terhadap isterinya yang
dikatakan sering bangun lambat. Sehinggakan sarapan pun terpaksa dibeli di
kedai. Persiapan anak-anak ke sekolah pun si suami yang terpaksa uruskan.
Ataupun rungutan seorang isteri kerana sifat malas suaminya untuk menolong
di dapur. Balik pejabat tahunya hanya makan dan kemudian tidur. Tidak
peduli penat lelah isterinya yang bertungkus lumus menguruskan rumah
tangga.
Saya percaya, sesetengah individu amat suka memperbesarkan isu sebegini.
Hinggakan ada yang bukan setakat bercerita kepada kawan sepejabat, bahkan
menulis artikel mengenainya bahkan adakalanya mengirimnya ke ruangan
keluhan hati di akhbar-akhbar. Perasaan tidak puas hati ini mungkin wujud
kerana kita yang menganggap pasangan kita sebagai milik kita gagal
memperolehi layanan sebagaimana yang sering kita impikan.
Tetapi sebenarnya, pernahkah kita terfikir bahawa kita tidak pernah
memiliki pasangan kita? Apa yang ada hanyalah ikatan sementara yang boleh
bertukar menjadi ikatan yang abadi hanya sekiranya iman dan taqwa dijadikan
nilai-nilai utama dalam perhubungan itu. Itupun, pasangan kita tetap bukan
hakmilik kita secara mutlak. Mungkin kita miliki kasih mereka tetapi bukan
fizikal mereka. Tidak seperti pemilikan seorang tuan terhadap hambanya.
Namun lebih dari itu, setiap dari kita sebenarnya dimiliki oleh satu Zat
yang jauh lebih hebat. Pemilikan yang bukan setakat kepercayaan dan kasih
sayang, bahkan hubungan yang wujud adalah hubungan antara hamba dan
Tuannya. Di mana kita adalah hamba manakala Zat itu bertindak sebagai Tuan
yang mempunyai kuasa secara total terhadap apa jua yang ada pada diri kita
waima atas setiap titis darah yang mengalir dalam tubuh.
Itulah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Maalikin Naas, Tuhan Pemilik Manusia.
Allah yang Maha Agunglah yang sebenarnya berhak menguasai diri pasangan
kita bahkan diri kita sendiri. Dan sebenarnya, Allah yang berhak untuk
berasa puas hati atau tidak dengan perbuatan dan kelakuan kita.
Persoalannya, berpuas hatikah Allah kepada kita? Apakah perbuatan kita
menyamai apa yang dikehendaki atau diperintahkan olehNya?
Tadi, kita merasa marah kerana isteri kita kerap bangun lewat sehingga
mengabaikan diri kita. Tetapi bagaimana dengan diri kita? Awalkah kita
bangun untuk menunaikan solat Subuh? Apakah kita solat di masjid sebaik
azan dilaungkan atau ditunggu sehingga akhir waktu barulah 'berlumba'
mengerjakannya? Bagaimana dengan bangun malam untuk tahajud? Kerapkah kita
menunaikannya atau sebenarnya kita lebih mencintai tilam kita?
Begitu juga dengan isteri yang berang dengan suami yang enggan membantu
mereka di dapur. Berangnya bukan main. Tetapi pernahkah kita bertanya,
tidakkah Allah berang dengan kita yang enggan beramal dengan ibadah sunat?
Cukupkah solat kita dengan 17 rakaat, 5 waktu sehari semalam tanpa 12
rakaat tambahan yang dituntut oleh Nabi Muhammad saw untuk kita
mengamalkannya? Tidak pemalaskah kita?
Kadangkala, kesal juga hati melihat segelintir insan yang telah berada di
dalam masjid, tetapi enggan bangun dan mengangkat takbir untuk mendirikan
solah qobliah waktu sementara menunggu iqamah dilaungkan bahkan lebih rela
menghabiskan masa dengan berbual sesama mereka. Bukankah sifat ini sama
sahaja dengan sifat malas yang dirungutkan oleh kita terhadap pasangan
kita?
Cuba bayangkan bagaimana reaksi seorang suami apabila isterinya membantah
cakapnya berulang kali. Si suami meminta isterinya memasak nasi tetapi si
isteri sibuk mengilatkan kukunya. Kemudian si suami ketika pulang ke rumah
melihat keadaan rumah yang tunggang langgang sedangkan si isteri sedang
sibuk berbual. Ataupun ketika suami mengajak isterinya bersama tetapi si
isteri sedang asyik menonton Akademi Fantasia.
Jika kita di kedudukan suami itu, dapatkah kita bertahan dengan kelakuan
isteri yang sebegitu? Jika kita katakan suami mana yang sanggup dibantah
isterinya secara berterusan, mengapa pula kita tergamak membantah perintah
Allah berulang-ulang kali secara berterusan? Dari hal menutup aurah
sehingga ke bab riba. Dari hal menunaikan solah sehingga menunaikan zakat.
Apakah kerana kita terlalu selesa selesa sifat Ghafur Allah?
Apakah kita tidak takut kehilangan Allah, atau ditinggalkanNya kerana
keburukan sifat kita? Apakah kita yakin dengan amalan kita hari ini mampu
merebut kasih Allah? Wallahu'alam. Saya tidak berani komen. Hanya yang
boleh saya katakan, saya tidak rasa kita layak untuk berasa tidak berpuas
hati terhadap pasangan kita atas kekurangan mereka sekiranya kita sendiri
jauh dari sifat sempurna untuk melengkapkan pengabdian diri kepada Allah
swt…..
1 comment:
Allah menjadikan kita berpasang-pasangan untuk saling lengkap melengkapi...tiada yg sempurna didunia milik Allah ini..hanya kita yg redho dgn ketentuan Allah akan memahami kekurangan pasangan kita utu adalah ujian ALLAH pd diri kita.....tmpt utk bersenang lenang hanya disyurgaNYA sahaja....dunia ini hanyalah tmpt ujian dan dugaan semata-mata...
Post a Comment