Ramadhan Yang Berlalu, Apa Yang Kita Mahu Dan Apa Yang Kita Perolehi?
Ramadhan kian tiba ke penghujungnya. Petang ini (Khamis, 11 Oktober 2007)
segerombolan pakar akan 'menghendap kelahiran' anak bulan Syawal. Bermakna,
tidak esok, lusa kita akan menyambut Aidilfitri. Sekali lagi, Ramadhan
meninggalkan kita dengan pelbagai perasaan dan memori. Ada perasaan gembira
dan ada perasaan duka. Ada memori manis dan ada memori lara. Pemergian
Ramadhan memang ditangisi. Tetapi ketibaan Syawal tetap dirai.
Moleknya di penghujung bulan yang mulia ini, marilah kita muhasabahkan apa
yang telah kita perolehi dalam hampir tempoh 30 hari melalui. Namun
sebenarnya, apa yang kita cari dengan kehadiran Ramadhan ini? Apa yang kita
mahu? Sesetengah ada yang mencari keredhaan Allah. Dengan amalan
bersesuaian, insyaAllah itulah yang akan diperolehi. Namun masih ada lagi
yang mencari lebih dari itu.
Ada yang menjadikan Ramadhan ini sebagai medan menurunkan berat badan. Ada
juga yang menjadikan Ramadhan ini sebagai lubuk mengumpulkan kebendaan.
Biar apa pun hasrat dan keinginan, marilah kita muhasabahkan. Berjayakah
kita? Berapa banyakkah berat yang diturunkan? Berapa banyakkah harta yang
ditumpukkan. Gagal atau berjaya? Namun sesungguhnya, segala ibadah itu
mesti hanya diniatkan untuk Allah Subhanahu Wata'ala.
Semua ini mengingatkan saya kepada teman saya yang menyertai jemaah tabligh
untuk keluar selama 40 hari. Katanya, dia berharap pulang dari 40 hari itu,
dia dapat membuang ketagihan merokoknya. 40 hari berlalu dan kepulangannya
saya nantikan dengan deretan cerita yang menarik, yang biasanya menjadi
ole-ole dari mereka yang berpergian sepertinya. Tetapi ternyata ianya tidak
sebegitu.
Katanya, tidak banyak yang menarik untuk diceritakan. Dia juga tidak dapat
banyak beribadah sebaliknya lebih banyak tidur. Dan lebih menarik lagi,
ketagihan rokoknya masih belum mampu dihindarkan. Saya juga turut merasai
kehampaan yang dirasakan olehnya. Namun dia tersedar akan kesilapan yang
telah dilakukannya. Dia menentukan hasil yang dia mahukan dari amalannya.
Matlamatnya sudah becabang, bukan bulat hanya untuk Allah.
Mungkin dengan itu Allah menentukan tiada apa bahagian untuknya. Tiada
kenikmatan ibadah yang biasa diperolehi oleh orang lain. Dan tiada juga
kejayaan meninggalkan ketagihan tembakau. Saya hanya mendengar dengan
teliti. Banyak juga yang saya perolehi dengan cerita yang sedikit ini.
Rumusannya cuma satu. Segala amalan mesti diniatkan hanya untuk Allah.
Kemudian perolehannya, biarlah Dia yang tentukan segalanya.
Begitulah Ramadhan ini. Ramai sebenarnya yang terlepas apa yang diinginkan
tanpa disedari. Sedih juga apabila melalui bazaar Ramadhan dan mendapati
masih ramai yang sibuk berjual-beli sedangkan azan Maghrib sudah
berkumandang. Malah ada juga yang meninggalkan tarawikh demi menghabiskan
barangan jualan. Jika beginilah caranya Ramadhan dilalui… Apakah nikmat
Ramadhan mampu dirasai.
Tahun ini merupakan tahun kedua saya gagal menikmati Ramadhan seperti yang
saya harapkan. Tidak. Matlamat saya bukan untuk menurunkan berat badan.
Bukan juga untuk mengumpul duit raya. Matlamat saya mudah. Saya mahu
memanfaatkan bulan ini dengan ibadah. Saya mahu penuhi malam dengan
amalan-amalan soleh dan mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh 30 hari
ini.
Tetapi apa yang saya dapati? Al-Quran yang saya baca tidak sampaipun juzuk
yang kesepuluh. Tarawikh? Kalaulah tarawikh itu ibarat pagar dan puasa saya
ibarat sebidang kebun, nescaya kebun itu telah musnah dilanggar makhluk
perosak. Begitulah rompongnya solat tarawikh yang saya kerjakan di setiap
malam Ramadhan. Itu amalan yang paling asas. Amalan tambahan lain jangan
terlintas di fikiran.
Apa amalan yang kerap saya perbuat di bulan ini hanyalah pembaziran.
Membazir ketika membeli juadah berbuka puasa. Membazir ketika berbelanja
untuk persiapan keluarga. Membazir, membazir dan terus membazirkan. Dan
kebetulan, di bulan ini Allah kurniakan saya dengan rezeki yang lebih dari
biasa. Apa lagi, belanja sakanlah saya untuk baju-baju anak-anak dan isteri
saya.
Sehingga pada suatu masa, ketika saya sedang minum di sebuah kedai bersama
teman-teman, seorang teman lama datang menemui saya. Tanpa banyak bunga
bahasa, teman saya itu bercerita tentang masalah yang sedang dilaluinya.
Rupanya salah seorang anaknya menghidap menyakit leukemia. Dia kemudiannya
menghulurkan surat daripada doktor yang mengesahkan apa yang diceritakannya
adalah benar.
Saya terkedu. Lebih pilu, apabila membaca sepucuk surat dari Hospital
Universiti yang bertajuk 'amaran terakhir' atas kegagalan teman saya untuk
menyelesaikan bil perubatan anaknya. Saya kenal teman saya ini. Kerjanya
hanya sekadar pemotong rumput. Bil sebanyak RM860 itu terlalu tinggi
baginya. Ah… Inilah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pemimpin
bersenang lenang, rakyat marhaen digilis hutang hingga kecundang…
InsyaAllah saya akan menulis sebuah artikel berasingan berkenaan anak itu.
Tetapi apa yang saya ceritakan di sini ialah naluri kebapaan yang wujud
dalam diri. Saya melihat wajah comel anaknya yang baru berusia 7 tahun itu.
Doktor menjangkakan hanya ada tempoh tiga tahun sahaja untuk dia meneruskan
hidup. Selepas teman saya itu beredar, saya termenung dengan menung yang
cukup panjang. Bagaimana jika anak saya ditimpa bencana yang sama?
Saya masih ingat ketika di bangku sekolah dahulu. Dalam bab puasa, antara
soalan kegemaran ustaz saya ialah faedah disyariatkan berpuasa. Dan antara
jawapan skema yang akan diberikan ialah supaya kita dapat merasakan
kepayahan orang yang kurang keberadaannya. Supaya kita boleh merasa
susahnya orang miskin melalui hari dengan lapar dan dahaga. Tetapi…
tercapaikah matlamat itu?
Benar, ketika berpuasa sememangnya kita merasakan keperihan menahan lapar
dan dahaga di siang hari. Tetapi di malam hari, sebaik terlaungnya azan
Maghrib, kita 'qadha' semula waktu makan yang telah kita tinggalkan di
siang hari. Malahan berbuka puasa menjadi satu pesta pula masa kini.
Dapatkah kita merasakan kesusahan mereka sedangkan mereka masih terus
menahan lapar dan dahaga sehingga keesokan harinya???
Begitu juga dengan persiapan hari raya. Berbelanja sakan, borong segala
yang ada di kedai semata-mata dengan alasan, hari raya setahun sekali.
Sedangkan si miskin ini hendak membeli pakaian setahun pun tidak sekali.
Tercapaikah matlamat pesyariatan puasa? Dari segi apakah kita dakwa diri
kita mampu berkongsi perasaan dengan mereka sedangkan yang kita rasakan
hanya keseronokan untuk menikmati hari raya?
Saya cuba mengimbas kembali Ramadhan yang saya lalui. Berapa banyakkah
sedekah yang telah saya hulurkan… Ya Allah! Malunya aku! Rasanya sehelai
baju anak saya jauh lebih tinggi nilainya dari sedekah yang telah saya
hulurkan. Dan baju anak saya bukan sehelai tetapi berhelai-helai. Jika
beginilah pendekatan saya, sahlah saya seorang yang gagal ketika berpuasa.
Nyata roh Ramadhan gagal menyerap ke dalam hati dan jiwa saya…
"Wahai Ramadhan… Kau akan berlalu lagi. Pergimu kali ini entah kita akan
bertemu lagi. Namun biar datang pergimu berulangkali, aku masih di sini.
Masih menagih kasih duniawi. Aku alpa dan lupa dengan sifat Rahim
Penciptamu. Sehingga aku lupa mengasihi saudaraku yang kesusahan ketika
sedang aku bersamamu. Sedangkan itu antara tujuan kau diutuskan kepadaku.
Ramadhan… Semoga bertemu lagi. Semoga pertemuan yang mendatang nanti tidak
aku bazirkan seperti pertemuan di kali ini. Semoga ketika itu aku bukan
lagi orang yang hanya mementingkan diriku sendiri…"
Akhirul qalam, saya, Abu Naqibah dan mewakili isteri saya, Ummu Naqibah
berserta anak-anak kami, Nurul Naqibah Izzati dan Nurul Nazhurah Izzati
ikhlas menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kesilapan dan
kekurangan kami selama ini. Semoga kedatangan Syawal ini mengundang sejuta
keceriaan dan kegembiraan buat kita semua. Dan semoga amalan kita di
sepanjang Ramadhan akan diterima olehNya, insyaAllah…
3 comments:
Insya Allah, saya doakan semoga Abu Naqibah & keluarga di panjangkan umur utk bertemu ramadhan di tahun depan. Masya Allah, mmg melimpah ruah rezeki Allah kpd kita. Kita yg cuai ingat pd yg lebih memerlukan. Semoga Allah beri kita peluang utk guna harta, diri dan masa kita utk agamaNya. Amin
Assalamua'laikum.....
Syukur kehadrat Illahi atas lipahan rahmat yang mencurah-curah dan sentiasa menetapkan iman kita walaupun dengan pelbagai dugaan dan ujian. Semoga Allah temukan kita semua lagi dengan Bulan yang amat mulia di masa akan datang dan dapatlah kita rasai kenikmatan dalam memperhambakan diri kita pada Yang Maha Satu, Amin. Bagi saya Alhamdulillah, Ramadhan lepas walaupun agak tidak seperti yang dirancangkan, namun saya amat berasa bertuah kerana Allah telah izinkan saya menunaikan solat terawikh tanpa tertinggal satu malam pun.. walaupun ada beberapa hari solat terawikh terpaksa saya lakukan berseorangan di rumah akibat kelalaian saya mengawal hawa nafsu dengan memenuhi jemputan majlis berbuka puasa di hotel! Akibatnya, saya terkena cirit birit selepas makan di salah sebuah hotel tersebut dan pada hari tuh juga sepatutnya giliran saya menjadi imam terawikh (trainee). Syukur ada yang gantikan tempat saya. Ya Allah ampunilah hambaMu ini......
Walaubagaimanapun, Alhamdulillah inilah Ramadhan pertama saya dimana saya berpeluang menikmati solat terawikh, tadarus Al-Quran dan bersedekah(walaupun sedikit)dan Allah SWT masukkan perasaan rugi dalam diri saya jika amalan-amalan tersebut tak dapat saya lakukan. Moga Ramadhan akan datang dapat memberi kita semua merasai kenikmatan dalam memperhambakan diri kita kepada Allah SWT dengan seikhlasnya.. Amin
Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Câmera Digital, I hope you enjoy. The address is http://camera-fotografica-digital.blogspot.com. A hug.
Post a Comment