06 May 2006

Nur Muhammad saw & Islam


Setelah Nabi Adam as memakan buah khuldi yang mana beliau dilarang
menghampiri pohonnya, maka beliau dan isterinya telah diarahkan untuk
meninggalkan syurga dan dibuang di dunia. Lalu menangislah Nabi Adam as
bertahun² lamanya memohon belas agar Tuhannya dapat mengampunkannya.
Akhirnya Adam as pun berkata, “Dengan berkat Muhammad saw, maka Kau
ampunkanlah aku wahai Allah”.

Lalu Allah bertanya dari manakah Adam as telah mendengar nama tersebut.
Maka Adam as pun memberitahu ketika beliau keluar meninggalkan syurga,
beliau ternampak di pintu gerbangnya tertulis kalimah ‘Laailaha illallah,
Muhammadur rasulullah’. Lalu Allah mengatakan kepada Adam as, “Jika tidak
kerana Muhammad saw, tidak Aku ciptakan dunia ini dan keseluruhan isinya”.

Segalanya bermula dengan Nabi Muhammad saw. Begitulah bagaimana kita
terhutang budi kepada Nabi Muhammad shallahu ‘alaihi wasallam. Tidak
perlulah dibayangkan bagaimana iman kita tanpa pengutusan penutup segala
nabi ini, sebaliknya fikirkan adakah mungkin kita mampu berada di tempat
kita sekarang ini jika tanpa penciptaan Nabi Muhammad saw.

Nabi Muhammad saw adalah insan yang paling terpuji di antara insan² yang
terpuji. Baginda juga disebut sebagai ‘Penghulu Segala Nabi’. Kemuliaan dan
kesucian Nabi Muhammad saw bukan hanya selepas perlantikan Baginda sebagai
rasul Allah, sebaliknya Allah telah memelihara Baginda semenjak dari dalam
perut ibunya lagi. Bahkan ibu dan bapanya sendiri adalah dari kalangan
orang yang terpelihara.

Abdullah, bapa Nabi saw merupakan seorang anak yang paling disayangi si
antara adik beradiknya. Begitu juga Aminah, ibu Baginda, merupakan seorang
yang dihormati di kalangan masyarakat. Oleh kerana itu, Nabi saw telah
dimuliakan di sisi masyarakat semenjak kecil lagi. Ditambah lagi dengan
sifat jujur dan adil yang sedia ada di dalam diri Baginda, menjadikannya
seorang yang paling dipercayai.

Sebelum diutus sebagai rasul Allah, Nabi Muhammad saw bukanlah seorang
penyembah berhala. Tidak pernah di dalam hidup Baginda menyembah patung²
Lata dan Uzza serta patung² lain yang diletakkan di sekeliling Ka’abah.
Sebaliknya Baginda mengikuti ajaran Nabi Musa as. Begitu juga dengan isteri
Baginda saw iaitu Saidatina Khadijah r.anha, wanita pertama yang memeluk
Islam.

Baginda sebenarnya begitu risau dengan keadaan kaumnya yang semakin hari
semakin menyimpang dari ajaran sebenar. Akhirnya Baginda saw berkhalwat
(menyendiri) di sebuah gua yang bernama Gua Hira’. Dan di situlah sebuah
lembaran baru bermula di mana Malaikat Jibrail telah datang mengemui
Baginda saw dengan membawa Qalam Allah yang pertama, iaitu ‘Bacalah!’
(Surah Iqra’).

Sugguhpun Nabi Muhammad merupakan utusan Allah yang terakhir, namun untuk
mengatakan Islam sebagai agama yang baru seperti yang sering didakwa oleh
musyrikin Makkah adalah tidak tepat. Islam sebenarnya adalah agama yang
tertua. Malah Nur Islam telah wujud lama sebelum dunia ini diciptakan lagi.
Nur Islam telah wujud bersama² Nur Muhammad saw, beribu tahun sebelum Adam
as mula bernafas.

Sekalian nabi yang pernah diutuskan juga sebenarnya menyeru kepada Islam.
Dari Adam, Idris, Nuh hinggalah ke Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad saw
sendiri menyeru kepada satu kalimah agung yang sama iaitu ‘Tiada Tuhan
melainkan Allah’.

Firman Allah di dalam al-Quran,

“Dan Kami telah menganugerahkan Ishak dan Yakub kepadanya. Kepada keduanya
masing² telah Kami beri petunjuk; dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah
Kami beri petunjuk, dan kepada sebahagian dari keturunannya (Nuh) iaitu
Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah kami memberi
balasan kepada orang² yang berbuat baik, dan Zakaria, Yahya, Isa dan
Illyas. Semuanya termasuk orang-orang yang saleh. Dan Ismail, Alyasa, Yunus
dan Lut. Masing²nya Kami lebihkan darjatnya di atas umat (di masanya), (dan
Kami lebihkan pula darjat) sebahagian dari bapa² mereka, keturunan mereka
dan saudara² mereka. Dan Kami telah memilih mereka (untuk menjadi nabi-nabi
dan rasul-rasul) dan Kami menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (Surah
al-An’aam 6:84-87)

Dan Allah mengutuskan setiap nabiNya adalah di kawasan² kota, atau dengan
kata lain, nabi² diutus di kalangan orang² yang berkemajuan. Di kalangan
orang² yang mempunyai akal untuk berfikir. Dengan jumlah Nabi yang tidak
terkira banyaknya, adalah tidak mustahil jika sebenarnya ada nabi yang
diutuskan di negeri China dan India yang kita tahui pernah gemilang dengan
tamadun² yang hebat.

Sesungguhnya saya amat bersyukur terpilih menjadi sebahagian umat Nabi
Muhammad saw. Kerana sahaja bukan keagungan Baginda saw yang boleh
dibanggakan, malah kita sebagai umat, terutamanya umat akhir zaman amat
beruntung kerana hanya dengan sedikit ibadah maka kita telah menyamai
kalaupun tidak melebihi ibadah umat² nabi² yang terdahulu.

Hinggakan apabila Nabi Isa as diberitakan kelebihan umat ini, beliau telah
meminta untuk menjadi nabi kepada umat tersebut. Setelah permintaan itu
ditolak (kerana Allah telah menjanjikan bahawa Nabi Muhammad saw sebagai
khatimul anbiyak), lalu Nabi Isa as memohon untuk menjadi umat Baginda saw
(ini dimakbulkan dan beliau akan turun sebagai umat Nabi Muhammad saw untuk
membunuh dajjal).

Begitulah bersinarnya nur Nabi Muhammad saw dan Islam. Nur Nabi Muhammad
saw dan Islam telah bersinar beribu tahun sebelum dunia ini diciptakan. Dan
ia akan terus bersinar walaupun setelah Allah memerintahkan Israfil
meniupkan sangkakalanya seraya memusnahkan seluruh bumi dan langit dan yang
di antaranya serta segala isi dunia ini dengan tiupan itu.

Semua keagungan, kebesaran dan kemuliaan Nabi Muhammad saw adalah warisan
yang terlalu tinggi nilainya. Dan kerana itu jugalah, di akhirat kelak,
kita akan menjadi umat yang pertama memasuki syurga sebelum diikuti oleh
umat² nabi yang lain. Begitulah Allah memuliakan Nabi saw dan umat Baginda
sungguhpun kita umat terakhir bagi agama yang tertua ini. Semoga kita akan
bersama Baginda ketika berbaris melangkah ke syurga nanti. InsyaAllah...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.