Kiamat
"Kiamat! Kiamat! Dunia sudah kiamat!"
Jeritan yang kuat itu mengejutkan Lebai Karim dari lenanya. Dia mencapai
cermin mata yang terletak di atas meja di sebelah katilnya lalu menoleh ke
jam dinding yang terpaku di hadapannya. Pelik! Dilihatnya kesemua jarum jam
berpusing ligat. "Ah! Rosak lagi jam ini agaknya" Lebai Karim membuat
andaian sendiri.
Bunyi hingar-bingar di luar rumahnya memaksa Lebai Karim mejengah ke luar.
Di selaknya jendela kamar tidurnya perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia
apabila mendapati suasana di luar begitu amat menyeramkan. Awan hitam
memenuhi seluruh langit dan petir sambar menyambar di sana sini. Sebentar
kemudian dia melihat seperti angin yang kuat melanda bermula dari arah
barat.
Berberapa orang mula tercampak dipukul angin kuat itu. Lebai Karim segera
memaut kepada sebatang tiang apabila yakin angin kencang tersebut semakin
menghampiri rumahnya. Dia memjamkan matanya rapat-rapat. Seketika kemudian
dia merasakan gegaran yang belum pernah dia rasakan sebelum ini.
Apabila keadaan kembali tenang, perlahan-lahan Lebai Karim membuka kelopak
matanya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapat bahagian rumahnya yang
tertinggal hanya tiang tempat dia berpaut. Bahagian yang lainnya semuanya
telah pergi dibawa angin kencang tadi. Kini dia bagaikan berada di tanah
lapang. Padang jarak padang terkukur.
Lebai Karim melihat beberapa orang mulai bangun dan berdiri. Mungkin mereka
ini tercampak dipukul angin kencang tadi, Lebai Karim mengagak lagi.
Beberapa orang mula merapatinya. Keadaan mereka benar-benar tidak terurus.
Dengan pakaian yang compang-camping dan bau yang tengik, hampir-hampir
Lebai Karim terbelahak dibuatnya.
"Lebai. Apa dah jadi ni? Kiamat ke ni? Mana Dajjal? Mana Imam Mahadi? Mana
Isa? Kiamat ke ni Lebai? Cakaplah!"
Seorang lelaki menggoncang-goncang tubuh Lebai Karim. Lebai Karim hanya
membisu. Mulutnya ternganga dan matanya agak terbeliak. Kepalanya
menggeleng-geleng.
"Aku... Aku tidak tahu..."
"Mana boleh tak tahu! Kau orang alim, Lebai! Kau tahu banyak pasal agama!
Cakaplah Lebai. Kiamat ke ni?"
Lelaki tadi mula bertindak kasar. Lebai Karim cepat meloloskan diri dari
orang ramai yang mula berkeruman di sekelilingnya.
"Aku tidak tahu! Aku tidak tahu..."
Lebai Karim mula meninggikan suaranya. Tiba-tiba kata-katanya terhenti.
Tekaknya terasan mual. Bau busuk mula menerokai rongga hidungnya. Lebai
Karim tidak tahan lagi. Buekkk! Cecair berlendir keluar dari mulutnya.
"Tengok!"
Jerit seorang lelaki sambil menunjuk kepada seorang wanita.
"Hah! Argh...! Tidak...!"
Jerit wanita tadi sambil terus berlari sebaik mendapati nanah busuk
mengalir keluar dari kemaluan. Sebentar kemudian jeritan yang seakan sama
mula kedengaran dari orang-orang yang lainnya. Lelaki dan perempuan. Sama
sahaja. Mereka mula bertempiaran ke hulu dan ke hilir sebaik melihat
titisan nanah dan darah busuk mengalir keluar dari kemaluan mereka.
Dalam sekejap masa tanah lapang tadi dibanjiri dengan cairan nanah dan
darah busuk. Lebai Karim mula mencari tempat yang lebih tinggi. Entah
bagaimana, dalam dia bersusah payah mendaki anak-anak bukit, Lebai Karim
terlihat seorang lelaki berpakaian putih yang tenang wajahnya. Bukan sahaja
tidak terlihat riak bahkan lelaki itu tersenyum seperti kepuasan.
Lebai Karim segera menghampiri lelaki itu. Ketika dia benar-benar hampir
kepadanya, lelaki tersebut mengalihkan pandangannya kepada Lebai Karim.
Pandangan matanya bulat. Bibirnya yang tersenyum sebentar tadi beransur
bertukar jadi mencebik.
"Kau siapa? Kenapa kau tersenyum melihat orang-orang ini ditimpa bencana?
Ini semua angkara engkaukah?"
Lebai Karim memberanikan diri bertanya soalan bertubi-tubi.
"Hai orang tua! Aku tidak ada kuasa untuk membuat ini semua. Kau lupakah,
siapa yang paling berkuasa untuk mengadakan yang tiada?"
Jawab lelaki tadi. Kiamat? Detik hati Lebai Karim. Dia mula keliru. Rasanya
dunia masih terlalu awal untuk kiamat. Gambaran tentang tanda-tanda kiamat
yang diperlajarinya sedari kecil banyak lagi yang belum berlaku.
"Mengapa orang tua? Kau tidak percayakah? Kau lupa, Tuhanmu memiliki
segenap kudrah untuk menjadikan apa saja yang Dia ingin jadikan?"
Tambah lelaki itu seakan mengerti apa yang berada di benak Lebai Karim.
"Mereka ini... Mengapa mereka jadi begini?"
"Mereka inilah yang menggunakan kemaluan mereka pada jalan yang bukan haq.
Mereka ini penzina. Lihatlah betapa kejinya penzina yang tidak bertaubat.
Busuk! Jijik! Mengapa mereka tidak berbangga dengan keadaan ini seperti
mana mereka berbangga ketika melakukan zina dahulu?"
Lelaki itu seakan mengejek ketika menerangkan kepada Lebai Karim akan
situasi yang berada di hadapan mata mereka. Lebai Karim terangguk-angguk
tanda setuju. Namun tangan dan kakinya tetap menggigil ketakutan.
Sebentar kemudian Lebai Karim melihat beberapa orang manusia yang berjalan
terhoyong hayang dengan perut yang membusung. Perut mereka terus juga
membesar sehingga akhirnya meletup dan mengeluarkan bau yang cukup
meloyakan bersama binatang-binatang berbisa seperti kala jengking dan
lipan. Lebai Karim menoleh kepada lelaki tadi meminta jawapan dengan apa
yang dilihatnya.
"Inilah orang yang memakan riba dan hasil yang haram. Sebilangan mereka
memakan harta yang sebenarnya bukan haq mereka. Kala dan lipan itulah yang
mereka katakan lazat ketika mereka menikmatinya."
Lebai karim mula menitiskan air matanya. Betapa tidak, semua yang
dilihatnya adalah kalangan orang yang dia kenali. Pemimpin-pemimpin
tempatan yang selama ini dianggap banyak memberi sumbangan kepada penduduk
kampung.
"Lebai... Tolong aku Lebai..."
Lebai Karim menoleh ke belakang, ke tempat di mana suara itu mendatang.
"Ya Allah! Ustaz Jamaluddin! Kenapa ni ustaz?"
Bagai hendak pitam Lebai Karim melihat keadaan Ustaz Jamaluddin itu. Hanya
wajahnya sahaja yang dia kenal. Sedang dari leher ke kakinya hanya tinggal
tulang tanpa kulit dan otot. Segala isi perut dan usunya terpaksa diseret.
Terdapat beberapa batu dan jarum yang kelihatan melekat pada organ
dalamannya yang terseret itu.
"Wahai pemuda. Mengapakah Ustaz Jamaluddin diperlakukan begini? Bukankah
dia seorang guru mengaji? Bukankah ramai di kalangan anak muda di kampung
ini yang khatam Quran diajarnya? Mengapa?"
Lebai Karim sudah tidak dapat menahan lagi titisan air matanya dari
membasahi pipinya. Ustaz Jamaluddin bukan orang asing baginya. Dan Lebai
Karim juga merasakan Ustaz Jamaluddin terlalu baik orangnya.
"Inilah pembalasan bagi orang yang mengajar al-Quran untuk satu-satu
balasan. Dan dengan balasan itu dia makan dan dengan makanan itu menjadi
darah dagingnya."
Tegas lelaki itu seraya berjalan meninggalkan Lebai Karim dan Ustaz
Jamaluddin. Lebai Karim segera mengejar lelaki tersebut. Dia ingin merayu
kepadanya agar kesemua orang ini dilepaskan dari siksaan begini. Lebai
Karim sudah tindak sanggup lagi melihat segalanya.
Lelaki tadi hanya tersenyum mendengarkan rayuan dari Lebai Karim. Seketika
kemudian wajahnya mula mencuka. Matanya menjadi merah dan dengan nada yang
marah dia berkata kepada Lebai Karim.
"Wahai orang tua! Tidak malukah kau merayu untuk mereka? Merayulah untuk
dirimu sendiri!"
Diri sendiri? Lebai Karim menjadi keliru. Ada siksaan untuknya? Tetapi dia
tidak merasakannya sekarang ini?
Seketika kemudian Lebai Karim merasakan sesuatu yang berat mula menimpanya
dari bahagian atas. Ketika menoleh ke atas, alangkah terkejutnya Lebai
Karim melihat sebuah batu yang besarnya hampir menyamai sebuah bandar
sedang bertenggek di atas kepalanya.
Lebai Karim sudah tidak dapat bertahan lagi. Akhirnya dia tertiarap sambil
batu besar itu terus menimpa belakang badannya.
"Wahai pemuda... Katakanlah... Apakah salahku... sehingga aku... dibalas...
begini rupa...?"
Tanya Lebai Karim dengan nada yang tersekat-sekat. Tanpa menoleh, lelaki
itu menjelaskan kepada Lebai Karim.
"Inilah tanggungjawab yang kau abaikan dahulu. Sebagai orang berilmu,
engkau tidak berusaha memperbetulkan apa yang kau lihat sebagai salah. Dosa
sebuah bandar ini tertimpa atas dirimu kerana sifatmu yang tidak
menyampaikan. Wahai orang tua, di hari ini, tidak akan ada orang yang
dizalimi. Kesemua balasan yang mereka perolehi adalah setimpal atas amalan
mereka..."
Lebai Karim hanya mampu mengekori langkah lelaki itu yang meninggalkan
mereka yang sedang ditimpa balasan. Pandangan Lebai Karim mulai kabur.
Nafasnya mulai tersekat-sekat. Lebai Karim pasti, titisan air mata yang
dialirkannya kini sudah tidak berguna lagi. Semuanya salah dirinya sendiri.
Sayang semuanya sudah terlambat.....
*******
Lebai Karim membuka matanya perlahan-lahan. Dia menarik nafas lega apabila
mendapati dia masih berada di dalam biliknya. Kemudian Lebai Karim meninjau
keadaan sekitar. Setelah mendapati segalanya seperti biasa, Lebai Karim
segera menuju ke bilik air bagi membersihkan diri dan bersiap untuk ke
masjid.
Lebai Mat sedang asyik membaca tarhim ketika Lebai Karim tiba di masjid.
Timbul rasa kagum di hati Lebai Karim terhadap Lebai Mat. Dia tidak pernah
gagal untuk muncul di masjid apabila tiba waktunya. Di petang hari, dalam
perjalanan ke masjid, Lebai Mat tidak pernah lupa singgah ke tembok-tembok
tempat anak-anak muda melepak untuk mengajak mereka ke masjid. Memang Lebai
Mat kurang popular di kalangan orang muda di situ tetapi Lebai Mat hanya
menjalankan tanggungjawabnya. Mungkin kerana itu kelibat Lebai Mat tidak
kelihatan di dalam mimpinya tadi.
Lebai Karim segera mendirikan solat. Di penghujung solat, dia mengangkat
doa yang panjang. Bersyukur kerana diberi peringatan sebegitu dan bertaubat
akan kesilapannya. Apa yang pasti, Lebai Karim mahu menjadi seperti Lebai
Mat selepas ini. Amr-bil-ma'ruf, nahi-'anil-munkar...
Nota: Nama watak, kejadian dan cerita ini adalah rekaan semata². Tidak ada
kena mengena dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Semua bentuk 'gambaran pembalasan' adalah berdasarkan khayalan penulis.
Tidak disandarkan kepada mana² hadits. Harap maklum.
No comments:
Post a Comment