Makanan Untuk Tumbesaran
Saya sebenarnya cukup risau melihat puteri kesayangan saya makan nasi. Dia
makan sesuap, kemudian bermain² dahulu. Kemudian sesuap lagi, sambung
bermain dan kemudian sesuap lagi dan sudah. Cukup dengan 3 suap. Jika
disuap lagi, Naqibah akan menggeleng. Risau kami. Cukupkah dengan 3 suap
nasi itu? Lalu kami berikan kepadanya bijirin yang dicairkan (seperti
susu).
Bijirin ini memang disukainya. Tapi mesti cair. Jika pekat seperti bubur,
pun Naqibah akan menolak. Jadi kami campurkan dengan air suam kerana saya
tidak mahu anak saya minum susu lembu pada usia semuda itu. Dulu sehari
habis 2 botol. Sekarang sudah menjadi 3 botol pula. Entah esok lusa mungkin
meningkat menjadi 4 botol pula. Jangan sampai setin sehari sudahlah.
Itu hakikat manusia, bukan? Semakin meningkat usia kita, semakin banyak
makanan yang kita perlukan. Seperti puteri saya yang baru berusia setahun 3
bulan. Pernah dulu saya berinya makan dua ketul nugget. 2 ketul sahaja. Dan
selesai 2 ketul itu, dia mula mengeluh seperti orang yang kemengahan. "Aik?
Kecilnya perut budak ini?" tanya ibu saya yang kehairanan.
Rasanya siapa yang ada atau pernah ada anak kecil faham keadaan ini.
Agaknya kita semasa kecil pun makan sebanyak itu sahaja. Atau mungkin
kurang lagi. Sekarang? Jangankan 2 ketul, 20 ketul nugget pun belum tentu
cukup lagi. Inilah yang saya maksudkan. Keperluan tenaga ditambah dengan
nafsu menjadikan kita memerlukan lebih makanan sesuai dengan tumbesaran
kita.
Sebenarnya apa yang saya katakan ini ada kaitannya dengan hakikat iman.
Rasanya ramai yang tahu bahawa sesungguhnya amal ibadah itu adalah makanan
bagi rohani kita. Jadi, untuk memastikan iman kita kuat, perlu untuk kita
menyediakan 'makanan' yang mempunyai nutrien yang seimbang dan berkhasiat.
Dan disebabkan iman kita semakin membesar, maka keperluan 'makanannya' juga
tentulah meningkat. Bukan?
Sebenarnya inilah apa yang saya alami. Saya mula rasai kegoyangan pada iman
saya. Seolahnya iman saya begitu lemah. Hendak berdiri pun tidak mampu.
Ditiup sedikit oleh angin nafsu, maka melayang²lah ia. Hairan saya. Entah
mana silapnya. Rasanya makanan yang diberi masih lagi sama. Mungkinkah
kualiti masakan? Dan setelah saya selidiki, rasanya saya sudah kenali punca
masalahnya.
Dahulu iman saya masih boleh dikira bayi. Masih belum pandai berjalan. Jadi
tanpa banyak melakukan amalan sunat sekalipun saya masih lagi dapat rasakan
keteguhan iman di dalam jiwa saya. Cukuplah sekadar solat sunat qobliah dan
ba’diah di sebelum dan selepas solat fardhu selain sessi mengaji pada waktu
terluang. Tetapi kini, tanpa saya sedari, sebenarnya iman saya telah
meningkat dewasa. Sudah besar.
Iman saya bukan sahaja sudah pandai berjalan, malah sudah pandai berlari.
Malangnya saya tetap memberikan makanan pada jumlah yang sama. Agaknya
bagaimanalah iman saya hendak hidup dengan sihat. Makan pun tidak cukup.
Hm... Patutlah iman saya sekarang ini begitu mudah dibuli oleh nafsu.
Macamana hendak melawan semula. Tidak ada daya.....
Sebahagian dari kita sibuk membicarakan tentang pemakanan tambahan. Bukan
sedikit di kalangan pakar² kesihatan dan juga orang kebanyakan yang
mempersoalkan bagaimana rutin pemakanan kita sebenarnya tidak membekalkan
nutrien yang mencukupi untuk membekalkan tenaga bagi tubuh kita dalam
menjalani kehidupan seharian.
Tetapi tanpa kita sedar, iman kita juga begitu. Memerlukan ‘makanan
tambahan’ untuk melengkapkan jumlah ‘nutrien’ dalam ibadah asas kita.
Seperti mana yang sering kita diingatkan dari kecil bahawa ibadah sunat
sebenarnya melengkapkan atau menampung kekurangan atau kecacatan yang
terdapat dalam ibadah wajib kita. Puasa sunat sebagai contoh yang tepat.
Benar, ibadah sunat adalah sunat. Tidak wajib dan kita tidak akan
dipersoalkan nanti (insyaAllah) kerana meninggalkannya. Namun persoalannya
sekarang apakah ibadah wajib yang kita lakukan benar² sempurna? Apakah
dapat kita pastikan solat yang kita dirikan 4 rakaat itu penuh khusyuk? Dan
apakah puasa kita dalam bulan Ramadhan tidak diselang-selikan dengan
upacara mengumpat dan sebagainya? Tidak, bagi saya.
Ibadah sunat juga sebenarnya tanda kasih sayang Allah terhadap kita yang
mana Dia Maha Mengetahui betapa kita adalah tergolong dalam golongan
manusia yang sering lalai. Bayangkanlah jika tidak wujud ibadah sunat, dan
kita dihadapkan di hadapan Allah nanti dalam keadaan iman yang compang
camping dengan ibadah yang bocor di sana dan sini. Saya tidak sanggup
berhadapan dengan Allah sedemikian rupa…
Untuk beberapa teman yang sering berutus email dengan saya pasti mendengar
’keluhan’ saya tentang iman yang kian goyah. Alhamdulillah Allah telah
menjawab persoalan saya melalui ilham yang diberiNya. Tetapi untuk
menambahkan amalan bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah menambah
bilangan kegiatan dalam jadual seharian kita.
Jadi saya berikan diri saya 2 pilihan. Sama ada mamberikan lebih ‘makanan
tambahan’ untuk iman saya atau… membiarkan ianya mati dan menunggu untuk
satu kelahiran yang baru. Seperti yang telah saya bicarakan tadi, iman yang
baru bertatih tidak memerlukan makanan yang banyak untuk menjadi kuat. Dan
inilah jalan yang paling mudah sebenarnya.
Tetapi… apakah ada kepastian bahawa akan lahir sebuah iman yang baru jika
iman yang sedia ada ini dibiarkan mati? Oh tidak! Saya tidak mahu
menggadaikan masa hadapan. Jadi bagaimana sekalipun, saya perlu berikan
iman saya makanan tambahan. Saya sudah rindukan suasana di mana hati saya
begitu penuh dengan kalimah Allah. Betul. Saya begitu rindukan suasana yang
telah mulai susut itu.
Dan saya perlu mulakan ianya dengan kadar segera. Kerana bimbang nanti,
akibat sudah terlalu biasa berlapar, iman saya ditimpa aneroxia. Lebih
bahaya kerana bukan sahaja kurus kering tetapi juga hilang selera makan.
Bukan setakat tidak mengambil makanan tambahan, makan ruji pun turut sama
ditolak nanti. Wana’uzubillahi minzalik. Semoga Allah menyelamatkan iman
sekalian dari kita…..
No comments:
Post a Comment