22 October 2006

Poligami


Hari ini, ketika menyelak² akhbar harian, saya agak terkejut membaca berita
perceraian penyanyi rock Awie dan isterinya Arni Nazira. Memanglah saya
pernah terdengar mengenainya sebelum ini tetapi saya menganggapnya hanyalah
khabar angin biasa. Terkilan juga. Walaupun saya sudah lama tidak mengikuti
perkembangan dunia hiburan, tetapi saya akui saya pernah meminati Awie dan
kumpulannya.

Khabarnya perceraian itu disebabkan oleh perkahwinan kali kedua Awie dengan
Rozana Misbun, adik kepada pelakon Haliza Misbun. Dan khabarnya juga, Arni
menjadi berang setelah mengetahui berita perkahwinan yang tersebar
berikutan penyebaran email memaparkan gambar pernikahan Awie hanya setelah
setahun ianya terjadi. Hm… Mungkin yang menyebarkan email itu telah berpuas
hati dengan apa yang terjadi.

Saya menjadi lebih terkilan apabila mengetahui punca perceraian mereka.
Entah mengapalah Arni lebih suka memilih neraka (kerana wanita yang meminta
cerai tidak akan masuk syurga) berbanding dengan payung emas yang
dijanjikan di syurga. Apapun, saya tidak mahu masuk campur urusan rumah
tangga orang lain. Mungkin mereka ada masalah lain. Cuma saya berharap,
wanita lain tidak akan mengikut jejak langkah Arni yang saya kira kurang
bijak ini.

Seketika kemudian saya teringat tentang kisah seseorang yang saya kenal.
Orang ini, setakat yang saya ketahui, adalah merupakan seorang lelaki yang
cukup menyayangi anak² dan keluarganya. Jadi, apabila saya diberitahu
tentang kisahnya yang bermain kayu tiga, menduakan isterinya dengan seorang
wanita lain (khabarnya janda muda), saya agak terkejut dan lebih lagi
terkilan.

Jika dulu, keluarganya menjadi keutamaannya, kini tidak lagi. Anak² dan
isteri sering ditinggalkan dengan alasan bekerja. Tetapi semuanya
terbongkar apabila adik iparnya sendiri melihat dia berbuka puasa bersama
wanita itu. Mereka bertanya kepada saya, apa yang boleh kami lakukan untuk
menyelamatkan keadaan. Buat apa lagi? Hendak diberitahu isterinya? Boleh
jadi menjahanamkan rumah tangga mereka, bukan menyelamatkannya.

Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk menasihati lelaki itu tetapi
nampaknya kami tidak berpeluang untuk bersemuka. Dia sentiasa sibuk. Isteri
saya tentu sahaja geram apabila mendengar kelakuan lelaki terbabit. Tetapi
saya katakan kepadanya, saya sendiri belum tentu baik jahatnya. Lebih baik
dia jaga saya baik². Jangan nanti kutuk² suami orang, akhirnya suami
sendiri berkelakuan lebih buruk lagi.

Ia membuatkan saya teringat kepada peristiwa yang berlaku hampir setahun
yang lalu. Secara tiba², kotak masuk email saya didatangi oleh email dari
seorang gadis. Menurutnya, dia amat tertarik dengan artikel yang saya tulis
dan ingin bersahabat dengan saya. Dan bagi saya, setakat bersahabat tidak
ada salahnya. Saya pun melayannya sebagaimana sahabat yang lain. Tanpa saya
duga berlaku sesuatu yang lebih dari itu.

Akhirnya dia berterus terang bahawa dia telah terpikat kepada saya. Dalam
keadaan ini, saya tidak berahsia sedikitpun kepadanya. Saya telah
memaklumkan kepadanya akan status diri saya. Saya telah berkahwin dan
telahpun mempunyai anak. Bahkan nama Abu Naqibah datangnya dari nama anak
saya. Namun katanya, dia tidak kisah bermadu. Bahkan ibunya juga
menggalakkan dengan mengingatkan tentang payung emas di syurga.

Saya tetap menolak dengan berbagai alasan. Dan alasan yang paling popular
tentunya saya tidak berkelayakan untuk berpoligami. Bukan setakat masalah
fizikal seperti ekonomi, bahkan dari segi rohani. Iaitu ilmu dan iman saya
tidak memadai untuk saya memelihara dua orang isteri. Rupa²nya dia begitu
serius dan memujuk saya dengan memberikan berbagai ‘nas dan dalil’ mengapa
layak untuk berpoligami.

Akhirnya saya memberikannya 3 situasi. Situasi pertama, keadaan kerja saya.
Saya bekerja 2 minggu di lautan tanpa pulang ke rumah. Jadi saya hanya
mempunyai masa selama 2 minggu untuk bersama keluarga. Jika saya mempunyai
dua orang isteri, setiap isteri hanya akan bersama saya selama seminggu
bagi setiap bulan. Dia sanggup, katanya. Betul. Dia mungkin sanggup tetapi
bagaimana pula dengan anak²? Kasihan mereka…

Situasi kedua, saya katakan kepadanya betapa lemahnya iman saya sehinggakan
saya bimbang akan terjadi banding membandingkan antara dia dengan isteri
saya. Oh, awak tak boleh begitu. Jangan perbandingkan kami, katanya. Tidak,
kata saya. Perbandingan tetap akan wujud. Mungkin saya akan lebih
menyayanginya kerana dia masih ‘baru’. Jika begitu, bagaimana agaknya nasib
isteri pertama saya?

Atau mungkin, saya akan lebih menyayangi isteri pertama saya kerana layanan
yang diberikan kepada saya memang sangat baik. Jika begini pula yang
berlaku, apakah dia sanggup menerima keadaan bila mana saya berada di
sisinya tetapi saya asyik memikirkan isteri pertama saya hanya kerana dia
tidak mampu melayan saya sebagaimana isteri pertama saya lakukan kepada
saya? Sudah tentu dia akan berkata tidak

Dan situasi ketiga, saya tanyakan kepadanya. Andaikata dia sudah menjadi
isteri kedua saya. Tiba², saya ingin berkahwin untuk kali ketiga. Apakah
dia sanggup melepaskan saya? “Em… Mungkin tak kot…” jawabnya perlahan. Lalu
saya katakan kepadanya. Jika dia tidak sanggup melepaskan saya untuk
berkahwin kali ketiga, mengapa dia menjangka isteri saya sanggup melepaskan
saya untuk berkahwin buat kali kedua.

Akhirnya dia bersetuju dan mengambil keputusan untuk menerima pinangan
seorang ustaz, yang saya kira jauh lebih layak untuk menjadi suaminya
berbanding diri saya sendiri. Segalanya ini saya rahsiakan dari pengetahuan
isteri saya dan saya ceritakan hanya baru² ini ketika timbul kes lelaki
yang saya ceritakan pada awal tadi. Bila isteri saya bertanyakan mengapa,
saya katakan apakah jika saya bercerita, dia dapat menerima cerita saya?

Dia hanya tersenyum dan saya yakin dengan jawapannya berdasarkan senyuman
itu. Betul. Jika saya cuba berlagak jujur dan berterus-terang kepadanya,
tentu dia akan bersifat menjaga saya dengan ‘lebih ketat’ agar tidak boleh
‘dirampas’ oleh sesiapapun. Tentu sifat cemburunya akan membara dan
akhirnya, mungkin rumahtangga kami akan musnah atas sesuatu yang sepatutnya
mampu menjaga keharmonian rumahtangga kami.

Saya seorang muslim. Sebagai muslim, adalah HARAM bagi saya menolak
poligami. Tidak pernah sekali² saya katakan berpoligami itu salah. Malah
bagi saya, poligami boleh menyelesaikan banyak masalah dalam masyarakat
amnya dan keluarga khususnya. Apa yang menjadi masalah ialah iman dalam
diri saya. Saya bimbang, pembawaan yang tidak betul akan merosakkan sistem
kekeluargaan Islam yang indah ini.

Iman saya begitu lemah dan rendah. Bagaimana boleh saya bersifat adil
sepertimana Nabi Muhammad saw dengan iman selemah ini? Baginda pernah
diriwayatkan, meminta dipapah ke rumah isterinya apabila tiba giliran
mereka biarpun dirinya sendiri dalam keadaan uzur. Ini kerana Nabi saw
tidak mahu sedikitpun berlaku zalim kepada isteri² Baginda. Baginya,
giliran mereka adalah hak yang boleh dituntut di hadapan Allah kelak.

Sungguhpun Nabi saw mengakui Baginda tidak mampu menyayangi isteri Baginda
secara saksama, namun dari segi pemberian nafkah, meluangkan masa bersama
dan semua hak² lain tidak pernah terabai. Persoalannya, sekiranya saya mahu
mengamalkan poligami, mampukah untuk saya bertindak sebegitu? Saya kurang
yakin. Seperti saya katakan tadi, saya bimbang jika nanti saya teringatkan
isteri pertama saya ketika sedang bersama dengan isteri kedua.

Ada banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum seorang lelaki mengambil
keputusan untuk berpoligami. Bagi diri saya, isteri saya akan menjadi kayu
pengukur sama ada saya layak atau tidak. Selagi mana isteri saya tidak
bersetuju untuk saya berpoligami, selagi itulah saya tidak layak. Kerana,
jika seorang isteri saya gagal didiki dengan pegangan Islam yang tulen,
apakah saya mampu mendidik seorang lagi isteri?

Pun begitu, poligami sebenarnya mampu membendung gejala sosial dan maksiat.
Ada kalanya, si suami memerlukan sesuatu yang isteri tidak lagi mampu
berikan. Hendak diceraikan, rasa sayang masih menebal. Apakah yang isteri
sanggup ketika ini? Apakah seorang isteri lebih rela melihat suaminya
berzina daripada merelakan dirinya dimadukan? Sesungguhnya, tidak ada
syariat Islam itu yang sia²…

Poligami boleh menjadi pintu kebahagiaan dan boleh menjadi anak kunci
kepada pintu syurga. Tetapi ia juga boleh menjadi tiket untuk ke neraka.
Bermain dengan hak orang bukanlah perkara yang mudah. Apatah lagi hak ahli
keluarga sendiri. Hak seorang isteri. Maka kerana itu, saya tidak merasakan
diri saya layak untuk berpoligami. Cukuplah. Isteri saya, biarpun bukan
isteri terbaik di dunia, tetapi tetap yang terhebat buat diri saya…..

15 comments:

Anonymous said...

Abu Naqibah,
After reading part of your email about Arni Nazira & Awie, I think you are the true potrait of typical malay man...expecting women to be there for men even when the men did not fulfill his obligation and living with lies and dishonesty. Divorce is made halal in Islam for a reason and women in Islam are given certain rights to enforce it when there are no light in tunnel for the marriage. We women cannot continue to suffer for men while men mistreat us, I am sure this is common sense. So whether Arni was wrong in asking for divorce and whether she'll be in heaven or hell is not for you to decide. Allah is fair and HE will be the judge. I solute Arni for standing for her rights and hopefully she will lead a fulfiling Muslimah's life.

Anonymous said...

Memang poligami membawa kebahagian tetapi bukan pada wanita tapi hanya pada lelaki, seikhlas manapun isteri menyerah, setabah manapun isteri mengalah, perasaan isteri tetap hancur dan berkecai, mana mungkin bisa bersama kalau perasaan dikhianati lebih2 lagi sudah setahun dikhianati, anda tidak boleh menghukum Arni dengan mengatakan dia ahli neraka, kerana Awie bukan semulia Rasulullah...

Anonymous said...

bapa kepada naqibah, jawab2 jgn tak jawab. perempuan memprotes ni!

Anonymous said...

saya juga tidak menolak poligami. menolaknya bererti saya menolak agama Islam yang saya cintai. Adalah hak Allah untuk menentukan siapa yang layak masuk ke syurga dan nerakaNYA. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah "basically everybody dont want to share". tidak kira lelaki atau pun wanita. Bezanya, lelaki mempunyai pilihan yang diberi secara ekslusif oleh ALLAH. Mereka mendapat kebenaran untuk berkongsi dan dikongsi(poligami), manakala wanita tidak. Atas sebab itulah lebih ramai wanita yang memprotes berbanding lelaki. Cuba anda bayangkan sejenak, jika wanita juga mempunyai pilihan yang sama? nescaya lelaki pun tak senang duduk. Sesetengah isteri bersetuju untuk dimadukan bagi menyelamatkan suami terjerumus ke lembah maksiat dan dosa, namun hakikatnya hati mereka hancur berkecai. Kebahagiaan hanya terlihat pada zahirnya sahaja. Namun sesiapa yang benar-benar bahagia dan merasa nikmat dan manisnya madu itu, tahniah dan alhamdulillah. Apa pun manusia tak mungkin sehebat Rasulullah......

Anonymous said...

Salam sdr abu naqibah, saya suka penulisan anda, ttp ini agak panas sedikit, mungkin krn penggunaan bahasa yg agak 'direct'. Saya mengenali anda melalui alukep. Boleh juga layari blog kami at http://tasekpauh.blogspot.com/ utk saling ingat memperingati. wassalam.

Abu Naqibah said...

Assalamualaikum warahmatullah...

Seperti yang telah saya agak, pasti ada 'komen positif' dari kalangan perempuan sebegini...

Bukan hak saya nak kata sesiapa pun masuk syurga atau neraka. Tetapi kita telah diberikan panduan. Allah telah katakan melalui lidah Nabi Muhammad saw bahawa wanita yang meminta cerai (tanpa sebab yang dibenarkan) akan tidak akan mencium bau syurga. Apakah Nabi saw itu salah? Janganlah kerana naluri kewanitaan anda, anda sanggup mencemar kata² Rasulullah saw.

Apakah benar poligami membawa penderitaan? Jika begitu, menderitakan Aisyah, Hafsyah dan lain² isteri Rasulullah? Tolonglah cakap jangan ikut sedap. Berkatalah dengan iman. Saya bukan berkata sebagai lelaki Melayu tetapi sebagai lelaki muslim.

Terus terang, poligami tidak sikitpun membawa kerosakan. Tidak sikitpun boleh menghancurkan hati mana² prempuan dalam dunia ini. Tetapi pembawaan lelaki yang merosakkan sebenarnya. Sebab itu saya katakan, selagi tidak ada izin dari isteri saya, insyaAllah saya tak akan berpoligami kerana saya belum layak.

Sekali lagi, saya tidak mengatakan Arni penghuni neraka tetapi apa yang dilakukannya pernah dikatakan oleh Rasulullah saw sebagai perbuatan yang tidak akan membolehkannya mencium bau syurga. Apakah anda sanggup melihat seorang lelaki menceraikan isterinya semata² untuk berkahwin lain? Apakah nanti nasib anak² dan isteri itu sendiri? Di sinilah letaknya kelebihan Islam berbanding agama lain yang hanya ikut logik. Sedangkan tidak ada apa yang logik dalam dunia ini.

Cuba fikirkan. Apakah logik dua titis air mani boleh menghasilkan manusia sebesar kita? Tidak logik bukan? Tetapi Allah mampu menjadikannya. Kerana itu, kita tidak boleh memikirkan hukum Allah dengan logik akal!

Nasihat saya, berbicaralah dengan iman. Bukan setakat dengan ilmu atau aqal. Apatah lagi NAFSU!

Anonymous said...

Assalamualaikum warrahmatullah...

Benar yg abu naqibah katakan, memang pernah saya terbaca hadith yg mengatakan Bahawa perempuan yg meminta cerai tanpa alasan yg benar (mengikut Shariah), takkan mencium bau syurga.
Maknanya puan2 sekalian perlulah berfikir panjang sebelum meminta cerai, adakah mengikut shariah atau tidak. Setakat yg saya tahu antara yg dibenarkan meminta cerai, kalau suami tak beri nafkah dlm certain timeline (skrg ni ada dimasukkan selepas akad nikah), suami jd munafik atau murtad, wajib meminta cerai. Tak ada langsung pun sbb laki nak kawin satu lagi, boleh minta cerai.
Tapi dlm kes arni tu, yg saya tak setuju tu sbb awie merahsiakan pernikahan dia tu. Kan nikah tu halal, zina tu haram. Kenapa nak bersembunyi? Kalau takut nak cerita kat bini pertama niat nak kawin satu lagi, tu la tandanya memang tak layak nak berpoligami. Org yg diharapkan (ketua keluarga) utk menegakkan keadilan takut utk bercerita niat sebenar? Mcm mana nak berlaku adil kalau takut pada isteri dlm hal2 yg benar dari segi shariah.
Sepatutnya awie tak patut dan tak layak poligami pada pandangan saya, tapi realitinya pun dah mcm gitu.. Isterinya jd satu balik, walaupun berjaya menipu selama setahun. Penipuan takkan membawa berkat. Jgn ikut lagu P Ramlee hehehe.
Seperti kata abu naqibah, pembawaan lelaki tu sendiri yg salah, dan tambahan juga emosi isteri yg membuta tuli (ikut nafsu amarah??). Samada dari segi amalan dan ilmu. Mudah2an Allah menambahkan hidayah, ilmu dan amalan kita semua. Amin.

Anonymous said...

memang benar isteri yang meminta cerai tidak akan bau syurga, tapi andakah yang menentukan segala. Anda tidak tahu pergolakan apakah yang berlaku dalam rumahtangga awie dan arni, dan saya sendiri tidak tahu. anda tidak boleh menghukum, adakah anda tahu yang awie melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami...tidak bukan, anda tahukah awie memberi nafkah pada arni, tidak tahu bukan...mungkin juga arni meminta cerai atas sebab2 awie tidak melaksanakan tugas yang baik sebagai seorang suami, kerana bagi saya kalau si suami baik, melaksanakan tugas sebagai suami dengan bijak sudah tentunya arni tidak meminta cerai...dan saya percaya semua isteri tidak akan minta cerai kalau hatinya, nafkahnya dan perasaanya dijaga walaupun dimadukan....Aisyah tak mungkin menderita kerana Rasulullah tak pernah mengabaikan hatinya, nafkahnya dan batinnya...

Anonymous said...

Itu sebab saya kata awie tak layak berpoligami. Perbuatannya yg menipu isterinya selama setahun itu sendiri menunjukkan kelemahan sahsiah Awie sebagai ketua keluarga. Kalau takut pada Arni atau seperti yg dicadang sharifah, dia mengabaikan Arni, tetap menjadi bukti awie tak layak kawin satu lagi. Tu la sebab, kalau boleh, ada satu badan yg menghakimi kelayakan suami2 utk kawin lagi. Seperti temuduga oleh badan yg berkecuali. Kalau boleh ada kursus kawin, kenapa tak boleh kursus kelayakan kawin satu lagi?? Sbb kebykan lelaki yg tak sepatutnya dan mencemar imej islam dgn perbuatan mereka ini yg menyebabkan huru hara dlm masyarakat islam. Kalau ada suatu badan yg adil yg memberikan "sijil", maka isteri tak boleh nak mengada2 minta cerai sbb suami nak kawin lagi, dan suami yg tak layak dapat dicegah dari merosakkan hidup org lain. Tapi, nak hukum mcm mana kalau ada yg tak ikut peraturan?? Denda?? Penjara?? Sebat 2 kali di khalayak ramai?? Rasanya sebat paling bagus. Sbb kalau penjara, denda menyempitkan rezeki keluarga pesalah. Walaupun saya lelaki, tapi saya suka kalau dikenakan hukum sebat jer utk lelaki2 yg sebegini. Oleh kerana di khalayak ramai, semua org boleh mengenali lelaki ini supaya "minyak dagunya" tidak laku lagi. Hehehe. Wallahualam.

Anonymous said...

haa...nilah baru hujah yang bagus, tidak memihak mana2 pihak...adakan sesi temuduga untuk yang nak berkahwin lagi ni, dah cukup ke rezeki dia, dah mantian ke iman dia, dah kuat ke amalannya....ni tidak nafsu tu melebihi akal fikiran....

Anonymous said...

Abu Naqibah,
It was so clear that you wrote directly that Arni will be in neraka. You wrote "Saya menjadi lebih terkilan apabila mengetahui punca perceraian mereka.
Entah mengapalah Arni lebih suka memilih neraka...". Didn't you write this phrase? So don't say you never judged her, coz you did. When you open yourself up like this, do not cakap lepas aje because millions people are reading your mind and when you are critized, do not be defensive...once in a while you have to take criticisms instead of criticizing... You are not always right......It is good when your b*** got "satayed" sometimes...keep you on the right bearing Abu Naqibah oiiiii

Anonymous said...

Saudara,

Kerap jugak saya terdengar yang perempuan Islam yang menuntut cerai tidak akan merasa bau syurga. I cannot find any surah that supports this statement. Tak silap saya, even rasulallah (SAW)membenarkan perempuan meminta cerai, dengan syarat maskawin di pulangkan. Jadi saya rasa curious pulak nak tau the source of this statement.

Islam sangat-sangat meninggikan hak wanita, satu-satunya ugama yang memberi wanita hak untuk mewarisi harta dan juga untuk menceraikan suami. Jadi I am a bit disturb by this statement. Jika benar, I would like to know for sure.

Anonymous said...

Boleh nyatakan hadis mana yang kata wanita menolak poligami akan masuk neraka? Siapa yang meriwayat hadis hadis tu? Apakah status hadis tu dalam islam?
Payung ema???? Mana ada hadis pasal payung emas. Jahil betul!!!

Anonymous said...

Kalau nak cakap pasal hadis kena rujuk ulama'. Tak malu ke cuba pertahankan hadis melayu yang palsu.
Mungkin boleh tengok apa pandangan ulama' muktabar tentang hukum poligami? Ia bukan syariat Islam, buka digalakkan juga.Seblum Nabi datang masyarakat Arab dah lama melakukan poligami.

Anonymous said...

Abu Naqibah, nak tak kalau emak awak dimadukan secara senyap-senyap. Atau adik perempaun atau kakak awak dimadukan secara senyap-senyap?

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.