13 October 2006

Bala Atau Ujian?


Dalam hidup ini, kita sering berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak
kiralah sama ada masalah di dalam pekerjaan mahupun berkaitan dengan
kekeluargaan atau apa juga masalah. Ada kalanya masalah itu terlalu kecil
dan tidak langsung membebankan pemikiran kita. Namun acap kali juga datang
masalah yang besar yang hinggakan kita mula terasa beban dan terasa
bagaikan bala sedang diturunkan ke atas diri kita.

Persoalannya, benarkah ianya bala? Atau sebenarnya sekadar ujian? Dan
soalan seterusnya, apakah itu bala dan apakah pula itu ujian? Dan apakah
perbezaan di antara keduanya? Jawapannya adalah mudah. Sebab bala dan ujian
adalah dua perkara yang sama. Apa saja yang merupakan bala boleh dianggap
ujian dan begitulah sebaliknya. Yang membezakannya adalah cara penerimaan
kita.

Sebagai contoh, seperti yang saya ceritakan dan posting sebelum ini, kereta
saya terbabit di dalam kemalangan pada 29 September yang lepas. Pada
kejadian tersebut, saya boleh memilih sama ada hendak menganggap ianya
sebagai sebuah bala atau bencana yang Allah turunkan buat saya. Atau
sebaliknya, jika saya hendak menganggap ianya sebuah ujian dari Allah juga
tidak menjadi masalah dari segi istilahnya.

Namun, reaksi yang bakal terhasil oleh kita adalah berbeza mengikut
penterjemahan kita ke atas kejadian tadi. Sebagai contoh, sekiranya saya
menganggap kemalangan itu sebagai sebuah bala, sudah tentu yang akan
terhasil di dalam hati saya adalah kekecewaan dan rasa penyesalan. Sudah
tentu saya akan jadi tertekan. Malah, pada satu tahap, mungkin juga saya
boleh menyalahkan Tuhan.

Mungkin saya boleh berkata, "Aku dah mulakan perjalanan dengan doa menaiki
kenderaan pun accident juga!" atau "Apalah dosa aku sampai jadi macam ini
sekali...". Kedua² pengucapan tersebut, yang terhasil daripada tanggapan
bahawa kejadian kemalangan itu adalah bala dari Allah jelas sekali
menjejaskan iman. Sebagai seorang muslim, tidak wajarlah untuk saya berucap
sebegitu.

Namun saya juga punya pilihan untuk menerima kemalangan itu sebagai ujian
yang Allah turunkan buat saya. Dengan beranggapan begini, saya boleh
memujuk hati yang terluka dengan berbagai 'pujukan' yang manis. Saya boleh
menganggap ujian ini Allah turunkan demi untuk meninggikan darjat saya.
Juga boleh menganggap bahawa ini adalah satu cara untuk Allah mengurniakan
pahala yang lebih untuk saya dan berbagai 'pujukan' yang lain.

Amat nyata, bagaimana penerimaan kita terhadap sesuatu kejadian yang
menimpa diri kita mampu mengukuh atau melemahkan kedudukan iman kita. Dan
pada pengamatan saya sendiri, adalah lebih baik untuk menganggap setiap
kejadian itu sebagai ujian dari Allah daripada menganggapnya sebagai bala.
Kerana, sebagaimana seorang yang sedang mengambil peperiksaan, ujian hanya
akan membuatkan kita lebih berhati².

Pun begitu, adalah tidak mustahil jika kejadian ini sememangnya Allah
turunkan sebagai balasan atas kesilapan dan dosa yang saya lakukan. Tidak
mustahil juga jika Allah sebenarnya hendak memberikan saya amaran dan
peringatan agar lebih berhati² dan lebih berwaspada. Sesungguhnya, apa juga
yang tersirat di sebalik kejadian itu, Allah lebih mengetahui segala²nya.

Cuma yang ingin saya tekankan di sini adalah, reaksi atau cara penerimaan
kita apabila terjadi sesuatu kejadian yang tidak kita ingini berlaku
memainkan peranan penting dalam pertumbuhan iman kita. Sekiranya cara
penerimaan kita betul, maka insyaAllah iman kita akan membesar dengan lebih
sihat dan bertenaga dan begitu jugalah sebaliknya. Penerimaan yang salah
boleh membunuh iman kita.

Tidak sampai seminggu kereta saya kemalangan, ketika saya sedang membeli
tiket bas untuk kembali bekerja, saya telah tersilap langkah dan akhirnya
kaki saya tergeliat di Terminal Bas Larkin. Saya pulang ke rumah dalam
keadaan berdengkot. Kemudiannya saya meminta ayah saya untuk tolong urutkan
bagi mengurangkan kesakitan. Apa yang terjadi, bengkak semakin membesar dan
kaki saya mula kelihatan biru.

Ketika masuk waktu solat Asar, saya sudah mula menjadi malas untuk ke
masjid. "Kaki sakit ni... Macam mana nak berdiri..." Bisik hati saya.
Hampir² juga iman saya tertewas. Jika difikirkan, ya! Mengapa harus saya ke
masjid? Bukankah Allah yang memberikan kesakitan ini kepada saya? Jika
Allah mahu saya ke masjid, mengapa Allah tidak jadikan saya sihat sahaja
sepanjang masa?

Tetapi Alhamdulillah, seketika kemudian iman saya bangkit semula. "Ah...
Tidak. Ini adalah sebahagian dari ujian Allah. Aku mesti ke masjid. Pahala
lebih kalau pergi berdengkot begini... Pahala lebih..." Jadi saya pergi
juga ke masjid dalam keadaan sedemikian. Dan, pada waktu Maghrib, ketika
hendak menghidupkan enjin motorsikal entah macam mana motorsikal saya telah
tumbang ke sebelah kanan.

Yang sempat saya lakukan hanyalah menurunkan kaki untuk menahannya daripada
terjatuh. Tanpa disangka², ketika itu terdengar bunyi 'kelekuk' pada kaki
saya dan serta merta, kesakitan yang saya alami berkurang dengan banyaknya.
Alhamdulillah... Sesungguhnya Allah itu Maha Hebat. Siapa tahu, kerana saya
berkeras hendak ke masjid walaupun sakit kaki, rupanya dengan cara itu
Allah menyembuhkan kaki saya. AllahuAkbar...

Ketika ini, jika hendak dikira, ada banyak masalah yang sedang menghantui
saya. Tetapi saya telah mengambil keputusan untuk menerima setiap masalah
ini sebagai ujian dari Allah. Bukan sebagai bala. Dan saya amat percaya,
setiap kali Allah ciptakan masalah, maka Allah telahpun menyiapkan jalan
penyelesaiannya. Hanya terpulang kepada kita untuk mencarinya dengan usaha
yang kita tentukan sendiri.

Saya juga yakin, sentiasa ada orang yang punyai masalah yang jauh lebih
berat dari masalah yang saya hadapi. Sesungguhnya Allah amat² menyintai
setiap hambaNya. Dan tidak mungkin Allah akan menyiksa hambaNya yang
dikasihi. Saya percaya, ujian yang Allah berikan adalah sebagai satu
peluang untuk kita merebut kasih sayangnya. Barangsiapa yang berjaya dalam
ujian tersebut, insyaAllah akan lebih dikasihi olehNya kelak.

Sama ada bala atau ujian, ianya perkara yang sama. Terpulang kepada kita
untuk menilaikannya berdasarkan iman yang kita ada. Kita boleh hidup dengan
terus menyesali dan menyalahkan taqdir namun ianya tidak akan mengubah apa
pun yang telah terjadi. Sebaliknya, sekiranya kita menganggap ianya sebagai
satu ujian, kemudian menerimanya dengan redha dan dengannya kita mengambil
pengajaran, insyaAllah di sana kelak akan pasti ada balasan kebaikan yang
tidak ternilai dengan apa yang mampu kita bayangkan. Itulah berkat
kesabaran, insyaAllah.....

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.