27 April 2007

Sakit

Saya sedang tidak berapa sihat sebenarnya. Batuk, selsema, sakit kepala dan
'panas dalam' sehinggakan mata saya sentiasa berair. Lemahnya. Ikut hati
hendak rasanya memohon pulang ke rumah dari ketua saya. Tetapi kasihan pula
dengan teman-teman. Sekarang inipun sudah kekurangan tenaga. Kalau saya
balik, tentu yang tinggal akan jadi lebih susah. Jadi saya kira, biarlah
saya terus di sini, sekurang-kurangnya untuk menyumbangkan teori dan idea.

Saya tidak ingat kali terakhir saya demam kuat. Jika tidak salah, lebih
kurang lapan tahun dahulu. Kalau tidak salah saya ketika itu saya disyaki
menghidapi denggi kerana suhu badan mencecah 42 darjah. Selepas pemeriksaan
lanjut, saya disahkan hanya demam panas biasa. Alhamdulillah. Selepas itu
saya dibenarkan cuti sakit selama beberapa hari. Selain dari itu, rasanya
saya tidak pernah lagi demam teruk.

Tetapi hari ini rasanya keadaan agak parah. Nafas pun terasa pendek-pendek.
Kadang-kadang terasa bagai sudah dekat ajal. Telinga pun sentiasa berdesing
dan bibir pecah dan merekah. Tetapi apa boleh buat, di pelantar ini,
kesemua tempat berhawa dingin. Biar sejuk bagaimana pun, saya terpaksa juga
menahannya. Ya Allah… Siksanya… Tetapi… Kadangkala terasa bagai seronok
pula demam sebegini.

Bercakap tentang sakit dan siksa, saya teringat tempohari ketika di
hospital. Ketika itu saya melawat abang saya yang baru menjalani pembedahan
bagi membuang ketumbuhan dalam kepalanya. Ketika tiba di hadapan lif, saya
terlihat seorang tua sedang berbaring di atas penyorong. Di mulutnya
terdengar rintihan kesakitan yang dialaminya. Saya tercengang dan terdiam
melihat tingkah orang tua tersebut.

"Kalau patah macam ni, pergi bomoh boleh baik tak?" tanyanya kepada
pembantu hospital di hujung kakinya. "Bomoh? Saya tak tahulah pakcik…"
jawab pembantu hospital tersebut. Jawapan yang tepat, kata hati saya.
Kemudian saya beranikan diri untuk menegur orang tua tersebut. "Kenapa
pakcik?" tanya saya. "Jatuh dalam bilik ayaq. Patah tulang pungkoq."
Jawabnya dengan ekspresi wajah yang muram.

"AllahuAkbar… Macam boleh jatuh?" tanya saya pula. "Tak taulah. Yang pakcik
kesal, awat patah tulang pungkoq pakcik ni. Sakit la… Baik mati teruih lagi
senang. Mati pun tak sakit lagu ni, betoi dak?" "Wallahua'lam… Saya tak
tahu pakcik. Saya belum pernah mati lagi" jawab saya perlahan. Kasihan
pakcik itu. Di sebelahnya ada perempuan muda yang saya kira anaknya. Riak
wajahnya kelihatan seperti menahan malu akibat kata-kata ayahnya.

Sebentar kemudian pintu lif terbuka. Kami masuk bersama dan orang tua tadi
keluar apabila tiba di wad Barat 2, wad untuk kecederaan patah. Dahulu,
semasa saya aktif berlumba, kami gelarkan wad ini sebagai Wad Mat Banting
kerana di Johor Bahru ketika itu, aktiviti lumba haram digelar sebagai
'banting'. Saya tidak tahulah sama ada gelaran itu masih kekal kerana saya
telah lama bersara dari kegiatan yang tidak berfaedah itu…

Seketika kemudian, saya asyik terkenangkan orang tua tadi. Kasihan. Memang
kasihan. Kasihan tentang kesakitan yang dialaminya. Malah lebih kasihan
apabila dia meminta untuk mati sambil mengagak, kematian itu sendiripun
tidak seperit kesakitan yang dialaminya. Saya teringat, Nabi Muhammad
shallallahu'alaihi wasallam sendiri pun berkerut keningnya ketika rohnya
dicabut walaupun Izrail mengambil dalam keadaan cukup berhati-hati.

Inikan lagi kita. Bukan? Tetapi ajal maut itu ketentuan Allah. Lebih kita
jangan persoal. Tidak perlulah diagak-agak sakit atau tidak kematian itu.
Bila, bagaimana, oleh apa, semuanya Allah yang tentukan. Sebaiknya, kita
persiapkan diri kita untuk menghadapi alam kubur. Kerana menurut Nabi saw,
kubur itu boleh jadi satu taman dari taman-taman syurga atau boleh jadi
satu lembah dari lembah-lembah neraka.

Lebih baik kita berdoa dan berharap semoga kita akan dikurniakan kemuliaan
ketika menghadapi sakaratul maut. Lebih penting, mendapat husnul khatomah,
pengakhiran yang baik. Kerana, apa yang pastinya, itu lebih penting sebagai
umat Islam. Mati dalam keadaan bersaksi bahawa kita hanya menyembah Allah
dan tidak menyekutukanNya serta kita mempercayai kerasulan Muhammad saw.

Sesungguhnya kesakitan itu memang amat perit. Sedangkan saya yang hanya
demam ini pun rasanya tidak larat untuk menghadapinya, apatah lagi pakcik
tadi yang patah tulang punggungnya. Tetapi sesakit mana sekalipun,
sebenarnya, inilah peluang untuk kita menambahkan pahala beribadah. Iya.
Ketika sakit. Kerana ketika inilah, kita bermujahadah menahan kesakitan
untuk beribadah kepadaNya.

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Tentunya orang yang
sanggup bersusah payah beribadah itu lebih Dia sayangi. Kerana itulah bukti
cinta hambaNya kepadaNya. Sebagaimana kisah Nabi Aiyub 'alahissalam.
Seorang nabi yang dimuliakan dengan harta kekayaan, keluarga yang besar,
tubuh yang sihat, isteri yang solehah dan wajah yang menarik, pada awalnya.

Kemudian, atas permohonan Iblis, Allah lenyapkan hartanya, datangkan
penyakit kepadanya, matikan kesemua anak-anaknya bahkan hingga akhirnya,
Nabi Aiyub menghalau isterinya kerana keluhan yang keluar dari bibirnya
(atas kehendak Allah). Iblis sentiasa datang memujuk Nabi Aiyub as untuk
berpaling daripada Allah. Namun tidak pernah sekali beliau melepaskan
keluhan bahkan terus-terusan memuji Allah.

Di suatu ketika, atas permintaan Iblis, Allah gerakkan hati isterinya untuk
berkata kepada Nabi Aiyub supaya bermohon agar Allah kembalikan mereka
seperti keadaan dahulu. Nabi Aiyub as menjawab dengan bertanya, "berapa
lamakah kita telah hidup dalam kesenangan?" Lantas dijawab oleh isterinya
selama lapan puluh tahun. "Berapa lama pula kita telah menghadapi
kesusahan?" tanyanya lagi. "Tujuh tahun," jawab isterinya.

Lalu Nabi Aiyub menyatakan bahawa beliau malu untuk berdoa meminta Allah
tamatkan penderitaannya. Dan permintaan isterinya telah beliau anggap
sebagai keluhan lalu beliau menghalaunya pergi. Tetapi di akhirnya, berkat
kesabaran beliau, Allah telah mengambalikan kesemua yang dia telah
kehilangan termasuklah isterinya. Sesungguhnya Allah tidak pernah
menyesiakan orang-orang yang bersabar…

Inilah yang sering saya jadikan bahan membujuk hati saya tatkala dilanda
kesusahan. Dan seperti hari ini, saya juga malu hendak berdoa kepada Allah
agar segera menyembuhkan saya. Biarkanlah Dia yang Maha Bijaksana
menentukan selama mana saya akan sakit. Kerana setelah lapan tahun sihat,
penderitaan yang saya alami yang belum sampai 48 jam pun ini terlalu kecil
untuk dijadikan perbandingan.

Maghrib tadi, badan saya masih terlalu lemah. Sebelum bersolat, saya mula
terfikir, hari ini saya enggan melakukan sunat ba'diah Maghrib kerana tidak
larat rasanya. Tetapi kemudian, setelah selesai bersolat, saya jadi
terfikir. Para sohabat, inilah masanya, ketika dalam keadaan tidak sihat
inilah, mereka gandakan solat mereka. Tatkala inilah mereka penuhkan hari
mereka dengan nafil kerana mereka tidak lagi terikat dengan keperluan dunia
ketika ini…

Saya tidak sesal jatuh sakit. Walaupun di tengah lautan tanpa keluarga yang
boleh memanjakan saya ketika ini. Bahkan saya bangga. Kerana inilah
buktinya saya masih di dalam pandangan Allah. Allah masih mahu menguji iman
saya. Sekiranya Allah sudah enggan memandang saya, tentunya saya hidup
dalam sejahtera sentiasa hinggakan saya lupa untuk bersyukur ke hadratNya…

Nikmatnya sihat ketika sakit. Begitu juga, nikmatnya hidup setelah mati.
Orang yang tidak pernah sakit, tidak akan mengerti apa yang hebatnya
menjadi sihat. Begitu juga orang yang sudah mati juga akan membuat
permohonan untuk kembali ke dunia bagi memperbanyakkan amalan. Syukur…
Allah masih sudi memberi saya peluang menghargai nikmat kesihatan. Semoga
dengan ini, akan bertambah teballah iman di hati saya... Amin…..

1 comment:

Anonymous said...

Tulisan ini begitu terkesan dihati saya... entah kenapa tetiba saya teringatkan perjalanan hidup saya dan keluarga... saya dikurniakan 4 anak yang sihat dan cerdik tetapi Allah menguji kami dgn baby ke-5 disahkan Sindrom Down. Tiada kata-kata yang dapat dilafaz untuk mengambarkan kesedihan ini.. tetapi seperti yang saudara katakan sebenarnya ujian ini menandakan Allah memberi masih memberikan perhatianNya dan tidak membiarkan kami leka dan lalai.. Semoga Allah mengampuni kami

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.