01 April 2007

Rindu

"Naqibah demam…" beritahu isteri saya sewaktu saya menelefonnya semalam.
"Dah bawa ke klinik?" tanya saya pula. "Sudah… Tapi dia tak nak makan ubat.
Dimuntahkannya semula" terang isteri saya pula. Sewaktu sedang saya berbual
dengan isteri saya, Naqibah terjaga dari tidur. "Ibu tengah cakap dengan
ayah ni. Naqibah nak cakap?" saya terdengar suara isteri saya bertanya
kepada anak sulung kami itu.

"Dia mengangguk, bang…" jelas isteri saya. Lalu saya meminta isteri saya
hidupkan fungsi speaker pada telefon bimbitnya. "Hello sayang… Anak ayah
demam eh?" tanya saya sebaik saya rasakan fungsi speaker telah dihidupkan
oleh isteri saya. Tiba-tiba Naqibah mengangis. "Tak nak… Tak nak…" katanya
berulang kali. Saya jadi terkejut pula. "Ah… Kenapa pula ni. Tadi kata nak
cakap dengan abang?" tanya saya kepada isteri saya.

"Dia demam rindu agaknya. Dia nak cakap tapi sayu bila dengar suara abang.
Ayang selimutkan dia dengan kain abang" pinta saya kepada isteri saya.
Memang kain yang saya gunakan untuk bersolat pada hari terakhir sebelum ke
laut sengaja tidak dibasuh kerana bersedia untuk situasi sebegini. Iyalah…
Mungkin kepada pakar perubatan ianya tiada kena mengena tetapi, saya
mengikut petua orang tua. Dengan kuasa Allah, ianya tidak mustahil.

Sebentar tadi, ibu saya menerangkan keadaan anak saya sudah kembali normal.
Katanya, mungkin kerana setelah diselimutkan dengan kain saya, rindunya
sudah terubat. Alhamdulillah… Allah yang menyembuhkan. Kain itu hanya
sebagai asbab. Tetapi kasihan Naqibah. Memang kami rapat. Dan memang dia
begitu manja kepada saya. Tetapi apakan daya, rutin kerja saya tidak
memungkinkan kami sentiasa bersama.

Yang kelakarnya, kata isteri saya, sekarang ini kalau dia nampak datuknya
hendak keluar rumah, mesti dia bertanya "Nak ambik ayah?". Kalau ditanya
hendak berjalan ke mana, akan dijawabnya pula "Nak ke laut". Mungkin dia
tidak tahu apa itu laut. Tetapi yang dia tahu, saya selalu memberitahunya
saya bekerja di laut. Agaknya, kerana itu dia sering menyebut mahu
'berjalan' ke laut.

Saya juga sebenarnya merindui Naqibah. Senyumannya, tawanya, tangisannya…
Ah… Setiap ibu bapa yang berjauhan dengan anak mereka, pasti faham perasaan
saya. Tetapi sebenarnya, saya hanya mengenali erti rindu hanya selepas
kelahiran Naqibah. Bukan bererti saya tidak merindui isteri dan ibu bapa
saya. Hanya saya seupayanya cuba bersikap profesional dengan tidak
mencampurkan perasaan peribadi ketika menjalankan tugas.

Tetapi dengan Naqibah situasi agak berbeza. Tidak kira apa saya lakukan,
gelagatnya sering bermain di mata. Mulut saya juga banyak bercerita
tentangnya kepada kawan-kawan. Agaknya teman-teman saya juga sudah jelak
mendengar cerita saya. Adakalanya saya tertawa denga keadaan saya sendiri.
Rasanya merindukan anak lebih teruk dari pasangan kekasih yang sedang
menanggung rindu…

Dan bila berbicara tentang rindu, saya tidak dapat tidak, akan teringat
kepada seorang teman saya, bekas rakan sekelas saya yang terkenal dengan
imej muslimahnya. Pada suatu ketika, di zaman remaja dahulu, saya pernah
menghubunginya melalui telefon. Banyak cerita yang kami bualkan. Maklumlah
sudah lama tidak berjumpa. Hinggalah akhirnya termasuk ke bab percintaan.
Nama sahaja remaja, bukan?

Setelah puas dikorek, akhirnya teman saya mengaku sudah memiliki seorang
teman lelaki. Namun, menurutnya, teman lelakinya itu sedang menuntut di
Jordan (ketika itu). "Tak rindu ke?" tanya saya cuba mengusik. "Taklah…
Kami memang jarang jumpa pun dulu. Cuma telefon je… "jawabnya pula. "Hm…
Kalau macam tu, mesti tinggi bil telefon. Berapa ringgit seminit telefon ke
sana?" tanya saya lagi mengkepohkan diri.

"Sebenarnya… Tak pernah telefon pun sekarang ni. Dia kata tak nak diganggu
masa belajar…" terangnya dengan nada perlahan. Sekali lagi saya bertanya
tidakkah dia merindui teman lelakinya itu. "Rindu juga. Tapi setiap kali
aku teringatkan dia, aku akan berkata 'Ya Allah… Alangkah baiknya kalau aku
mampu merinduiMu sebagaimana aku merindui dia. Ya Allah… Bantulah aku
lupakan dia dan mengingatiMu…"

Saya jadi terdiam. Terpegun. Satu ayat yang tak pernah dan tak terfikir
akan terdengar dari mana-mana teman saya. Allahu Akbar! Hebat betul gadis
ini, bisik hati saya. Hanya ketika itu, sinar hidayah belum menerangi hidup
saya. Jadi kata-kata itu hilang pada esok harinya. Hanya pada akhir-akhir
ini, setelah 'teruk dilanda rindu kepada anak', barulah saya teringat
semula kepada kata teman saya dalam perbualan itu…

Benar. Sememangnya yang paling layak memiliki rindu kita adalah Allah
subhanahu wa ta'ala. Kerana Dialah yang menciptakan kita. Dialah yang
paling mengasihi kita dan Dialah yang mencukupkan segala keperluan kita.
Tetapi apa yang berlaku hari ini? Saya tidak mahu berbicara tentang orang
lain. Tetapi diri saya sendiri. Setakat manakah perasaan rindu saya kepada
Allah swt? Setakat manakah cinta saya kepadaNya sebenarnya?

Kalau saya rindukan Naqibah, seperti yang saya sebutkan tadi, apa jua yang
saya lakukan, bayangan anak saya itu akan bermain di hadapan mata saya.
Dengan kata lain, saya sentiasa teringat akannya. Tetapi bagaimana pula
dengan Allah. Apakah saya mampu mengingatiNya pada setiap masa? Rasanya
tidak. Jangankan setiap masa, ketika bersolatpun, selalunya ingatan saya
akan teralih kepada yang lain.

Mengapa begitu? Bukankah kita telah akui bahawa, 'sesungguhnya, solahku,
ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah'. Tetapi mengapa begitu
sukar untuk hati ini dekat dan ingat kepadaNya? Saya tidak pasti, pernahkah
seumur hidup saya merasa rindu kepada Allah. Saya tidak pasti. Kerana jika
saya hendak katakan pernah, perbuatan saya tidak pernah menunjukkannya
sebegitu.

Masih lagi lalai di dalam solah, masih lagi berbicara tentang perkara yang
lagho dan masih lagi sibuk mengutamakan dunia sehinggakan solatpun
didirikan pada penghujung waktunya. Apakah ini ciri-ciri orang yang
rindukan Allah? Jika kita sayangkan seseorang, apa sahaja yang dimahukan
oleh orang yang kita sayangi, tentu sedaya upayanya akan cuba kita penuhi.
Tetapi, berapa banyakkah yang telah saya penuhi permintaan Allah terhadap
saya.

Dan Allah swt tidak meminta lebihpun dari kita kerana Allah swt telah
memiliki segalanya. Yang Dia mahukan hanyalah kita taat dan tunduk serta
sujud kepadaNya. Susah sangatkah perkara sebegini hendak dilakukan? Allahu
Akbar… Jika kita tidak sujud kepadaNya pun, tidak sedikitpun luak
perbendaharaan Allah. Tetapi itu hanyalah sebagai tanda terima kasih atas
kasih dan sayang yang Dia curahkan kepada kita.

Namun, hati yang tidak kasih tidak akan setia. Kerana tiadanya rasa kasih
kita kepada Allah, maka tanpa segan silu kita menduakan Allah dengan wang!
Tanpa segan silu kita menduakan Allah dengan sesama makhluk. Dan tanpa
segan silu kita sedia menyalahkan taqdir atas malang yang datang tanpa
sedikitpun teringat, bahawa selama ini, dengan limpahan kasih sayng
dariNya, kita tidak pernah sedikitpun rindu kepadaNya.

Jika kita menyayangi seseorang, merindui seseorang, tentu sahaja kita akan
takut kehilangannya. Tetapi pernahkah kita takut kehilangan Allah?
Pernahkah kita takut Allah mengalihkan pandanganNya dari kita? Pernahkah
kita risau Allah berhenti dari menyayangi kita? Rasanya tidak. Kerana kita
begitu yakin Allah Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Tetapi air yang
dicurahkan di daun keladi tidak akan membasahkan daun tersebut.

Jika Allah menyayangi kita, jika Allah merindui kita sehingga Dia
menyediakan tempat terindah untuk menyambut 'kepulangan' kita kepadaNya
(syurga), tetapi dibalas dengan sifat sombong dan bongkak, bahkan menafikan
hak Allah untuk diutamakan, maka tidak mustahil Allah akan berhenti dari
memandang kita dengan pandangan kasih dan rahmat sebaliknya memandang
dengan pandangan murka dan azab… Wana'uzubillah…

Saya tidak mampu berhenti dari merindui anak saya berserta isteri dan ahli
keluarga saya yang lain. Tetapi mungkin saya perlu mengurangkannya agar
dapat memberikan lebih ruang kepada hati ini untuk menyayangi, mencintai
dan merindui Allah, Tuhan Pemilik Manusia. Saya mahu merinduiNya sepenuh
hati saya. Supaya di hari 'pertemuan denganNya' nanti, sayalah orang yang
paling gembira. Semoga kita semua beroleh rahmat dariNya…

1 comment:

liza1312 said...

Alhamdulillah. Artikel ini mengetuk pintu kelalaian saya yang merasa rindu dan hiba yang amat sangat pada anak saya setiap kali melangkah keluar dari rumah sambil meninggalkan pandangan sayunya.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.